Zakat Penting Dalam Hidup Muslim

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Ctu 151

Disediakan Oleh :
Siti Norfatihah Binti Rahim
2014876496
PENDAHULUAN
Dengan limpah kurnia-Nya, ingin saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas keizinan-Nya, saya dapat membuat esei/kerja kursus ini dengan baik. Tujuan esei ini ditulis adalah untuk saya memahami dengan lebih terperinci tentang zakat. Hal ini kerana pengetahuan tentang zakat kian pudar dalam kalangan masyarakat amnya dan belia khususnya. Sekali gus, menyiapkan esei/kerja kursus ini. 

Antara bidang yang akan saya ketengahkan ialah pengertian zakat. Pengertian dari pelbagai pandangan berdasarkan ulama’, dalil, As-Sunnah dan banyak lagi. Seterusnya, hukum zakat. Zakat merupakan salah satu rukun Islam (lima perkara). Selain itu, pembahagian zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah dan zakat harta berbeza dari segi aspek perlaksanaannya, kadar zakat itu sendiri dan sebagainya. Perincian demi perincian akan terungkai helaian demi helaian seketika nanti. Syarat-syarat juga penting untuk menjadikan sesuatu perkara itu tidak dilakukan secara hentam kromo. 

Harapan saya dengan adanya esei/kerja kursus ini, sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada pembaca-pembaca sekalian dan juga empunya diri. Semoga ia memberi manfaat dan menjadi rujukan kepada sesiapa yang masih samar-samar bagai berada di awan-awangan tentang zakat ini. 

Kesimpulannya, janganlah kita sekadar memandang enteng tentang pentingnya zakat dalam hidup muslim. Yakinlah, walaupun mengeluarkan zakat itu bererti mengurangkan kuantiti harta kita tetapi ia membersihkan harta kita dan menambah keberkatannya. Semoga kita mendapat rahmat-Nya, Insya-Allah. 

PENGERTIAN ZAKAT
Mengeluarkan kadar harta yang tertentu kepada orang yang tertentu dengan syarat-syarat tertentu. (Endut, 2001)

Al-Qurthubiy telah menjelaskan zakat dari segi bahasa ia berasal dari kata zakka yang bermaksud :

Suci(Tharah): Apabila seseorang mmengeluarkan zakat daripada harta bendanya seolah-olah dia telah menyucikan hartanya daripada hak-hak wajib yang dituntut oleh orang lain. 

Subur: Menyuburkan sikap positif dalam kalangan masyarakat di samping membersihkan diri mereka daripada sikap-sikap yang negatif. 

Bertambah: Zakat tidak menjadikan harta pengeluarannya semakin berkurangan bahkan bertambah. 

Menurut Imam Nawawi dan Abu Muhammad Ibnu Quta’ba dari segi bahasa seperti barakah (keberkatan). Mengeluarkan zakat sama sekali tidak mengurangkan harta, tambahan lagi ia telah dijanjikan oleh Allah SWT dengan pahala yang besar. 
(Shofian & Amir, 2002)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak akan berkurang harta dengan sebab sedekah (zakat). (Muslim)

Pengertian zakat menurut syarak bagi :
Ulama Hanafi iaitu memberi milik sebahagian harta yang tertentu menurut sifat-sifat yang tertentu untuk diberikan kepada golongan yang tertentu. 

Ulama Maliki ialah mengeluarkan sebahagian yang tertentu daripada harta yang tertentu yang mencukupi nisab kepada orang yang berhak ke atasnya apabila sempurna milik dan haul, kecuali pada harta galian dan tanaman tidak dikira sempurna haul. 

Daripada definisi berikut dapat dilihat secara jelas bahawa ulama menggunakan perkataan “tertentu”, hal ini disebabkan harta zakat terdiri daripada pelbagai jenis. Antara zakat tersebut pula berbeza dari segi nisabnya walaupun dalam kategori yang sama. 
(Masyhur, 2002)

Pengertian zakat menurut dalil Al Quran dari segi kata dasarnya bermaksud berkat, tumbuh, bersih dan baik. Sesuai dengan pelbagai maksud ini, zakat sebenarnya adalah satu konsep yang sangat luas dan terperinci. Terangkum dalam maksud zakat ialah sedekah. Mawardi menyatakan sedekah itu zakat, zakat itu sedekah. 

Seterusnya dari segi syarak ia merujuk kepada pembayaran wajib sebahagian harta kepada golongan yang berhak berdasarkan kaedah dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. 

Sebenarnya dalam Al Quran, Allah SWT telah menyebut beberapa Nabi telah melaksanakan kewajipan berzakat di masa kenabian mereka. Ini termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ya’akub, Nabi Ismail, Nabi Isa bahkan juga kepada semua ahli kitab. Ia telah disebut sebanyak 30 kali dan 27 kali daripada sebutan ini telah digandingkan dengan perkataan mendirikan sembahyang. Kedudukan ini adalah bagi menggambarkan kepada kita tentang betapa kewajipan membayar zakat adalah suatu yang amat jelas seumpama kewajipan kita menunaikan sembahyang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dirikanlah solat dan bayarlah zakat”. (Al-Baqarah:110)

Dari segi dalil hadis pula adalah seperti berikut:
Hadis dari Qais bin Said bin Ubadah, “Kami diperintah oleh Rasulullah SAW untuk membayar zakat fitrah sebelum zakat diwajibkan; setelah itu barulah syariat zakat itu turun”. (Ahmad, Nasai’ dan Ibn Majah)

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang bermaksud: “Islam ditegakkan di atas lima dasar: Syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji bagi sesiapa yang berkemampuan”. (Mutaffak ‘alaih)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kekayaan tidak akan binasa di darat atau di laut kecuali apabila zakat tidak dikeluarkan”. (Al-Tabrani) (Hasan Bin Bahrom, 2006)

SOALAN :“Setahu saya Islam menganjurkan orang tertentu membayar zakat, begitu juga Islam menganjurkan banyak bersedekah. Bagaimana perbezaan pengertian zakat dan sedekah ini menurut syarak?”

JAWAPAN :“Daripada makna-makna ini, dapatlah difahami bahawa zakat bertujuan membersihkan harta dan sifat bakhil dalam diri pemilik harta. Zakat juga akan mengembangkan harta. 

Pada syarak, zakat ialah kadar tertentu dengan harta yang diwajibkan sedekah. Ini bermakna kalau ada harta, kenalah ambil sedikit bahagian untuk disedekahkan. Bukan banyak tetapi sedikit. Walaupun sedikit tetapi berkat. Tak pernah ada dalam sejarah atau kisah disebutkan ada orang yang menjadi miskin kerana mengeluarkan zakat. 

Ada kalanya, zakat juga dinamakan sedekah. Dalam istilah masyarakat kita, kalau disebut zakat maknanya wajiblah. Kalau sedekah pula maknanya sunatlah. Walau bagaimanapun, Quran dan sunnah Nabi SAW menggunakan lafaz “sedekah” bagi menunjuk kepada zakat. 

Persoalan kenapa zakat disebut sebagai sedekah? Sebenarnya nama menunjukkan maksud yang tertentu. Allah mempunyai 99 nama yang menggambarkan sifat-sifat Allah. Zakat juga mempunyai nama lain iaitu sedekah. Lafaz sedekah lahir daripada perkataan arab. Ia menggambarkan kebenaran iaitu kebenaran iman seseorang. Sedekah menjadi bukti keimanan sebagaimana disebut dalam hadis yang bermakksud : “ Sedekah adalah bukti keterangan “. (Riwayat Muslim) (Kadir, 2006)

HUKUM ZAKAT
Fardu ain ke atas tiap-tiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. (Endut, 2001)

Hukum zakat fitrah adalah wajib sebagaimana yang termaktub dalam Al Quran. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu- berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk). 
(Surah al-A’laa 87:14-15) (Masyhur, 2002)

Menurut riwayat Ibnu Khuzaimah, ayat tersebut diturunkan berkenaan dengan zakat fitrah. Ayat ini juga melambangkan kejayaan dan kemenangan umat Islam kerana berjaya menyucikan jiwa mereka daripada kekotoran dan maksiat tatkala melaksanakan puasa sebulan Ramadan. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Zakat fitrah menyucikan orang yang berpuasa daripada segala perkataan yang keji dan buruk (yang mereka lakukan ketika mereka berpuasa) dan untuk menjadi makanan bagi orang yang miskin. (Al-Dar Qutni) (Shofian & Amir, 2002)

Hukum rukun Islam zakat adalah merupakan satu kewajipan yang qat’ii dan ijmak para ulama dan seluruh umat Islam sejak dari zaman awal Islam lagi. 

Hukum membayar zakat ke atas orang yang berkelayakan adalah suatu yang wajib dan pasti. Ingkar terhadap hukum ini adalah satu kesalahan dan dosa besar seterusnya dihukum kafir. (Hasan Bin Bahrom, 2006)

SOALAN : “Jika zakat hukumnya wajib, adakah jadi kafir kalau ingkar kewajipan membayar zakat?”

JAWAPAN : “Secara prinsip, tidak menunaikan kewajipan membayar zakat adalah salah dan berdosa. Mengingkari kewajipan membayar zakat juga berdosa dan boleh membawa kepada kufur. Ini berlaku jika seseorang itu sudah masuk Islam agak lama dan sudah terdedah dengan hukum zakat tetapi kalau baru masuk Islam, tidak mengapalah, Insya-Allah dimaafkan. ”

SOALAN : “Ramai juga orang yang tahu dan faham tentang kewajipan zakat. Cuma buat-buat pejam mata sahaja apabila sampai bab zakat. Bolehkan dikira orang yang sebegini sebagai kes enggan membayar zakat juga?”

JAWAPAN : “ ada juga yang enggan membayar zakat. Ada juga yang menipu dengan menyembunyikan hartanya agar tidak dikenakan zakat. Mungkin atas dunia dia selamat tetapi akhirat belum pasti. 

Sebenarnya kerajaan boleh mengambil zakat secara paksa, bahkan boleh dikenakan denda bagi yang malas atau enggan membayar zakat. Satu riwayat hadis menyebut yang bermaksud :

“Sesiapa yang memberikannya (zakat) kerana mengharapkan pahala, maka baginya pahala. Sesiapa yang enggan mengeluarkan zakat, maka Aku akan mengambilnya dan sebahagian hartanya. Satu kewajipan daripada kewajipan-kewajipan Tuhan kami. ”
(Riwayat Abu Daud) (Kadir, 2006)

PEMBAHAGIAN ZAKAT
Zakat fitrah. 
Zakat harta. 

ZAKAT FITRAH
Tujuan : menyucikan diri orang yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji. 

Zakat fitrah ini diwajibkan ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan, besar dan kecil, merdeka atau hamba sebanyak 3. 1 liter atau lima kati dari makanan yang mengenyangkan bagi sesebuah negara. 

Di Malaysia ialah beras atau kadar yang sama dengannya. Ini ditetapkan oleh negeri masing-masing. (Endut, 2001)

Sabda Rasulullah SAW, terjemahan : Zakat fitrah difardukan atas setiap orang Islam, merdeka atau hamba, lelaki atau wanita, segantang kurma atau segantang barli. (Al-Dar Qutni) (Shofian & Amir, 2002)

Zakat fitrah ialah pembayaran yang wajib ke atas setiap individu muslim bermula bulan Ramadan sehingga satu syawal. (Hasan Bin Bahrom, 2006)

Zakat fitrah berbeza dengan zakat-zakat yang lain kerana korelasinya dengan perorangan dan tidak adanya keterkaitan dengan bentuk harta. Zakat fitrah dapat dikatakan sedekah fitrah, zakat puasa dan zakat Ramadan. (Masyhur, 2002)

Syarat-syarat wajib zakat fitrah

Mestilah dia seorang Islam. (Endut, 2001)

Sabda Rasulullah SAW, terjemahan : Rasulullah telah memfardukan zakat fitrah pada bulan Ramadan, iaitu mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan daripada setiap orang Islam. 
(Bukhari dan Muslim) (Shofian & Amir, 2002)

Mempunyai harta lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya pada Hari Raya Aidilfitri dan malamnya. (Hasan Bin Bahrom, 2006)

Rasulullah SAW bersabda, terjemahan : Cukuplah mereka (dengan zakat) pada hari ini (hari raya) daripada meminta-minta. (Malik)

Wajibnya zakat fitrah itu ialah setelah terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan. Tidak wajib zakat fitrah ke atas orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan atau kanak-kanak yang lahir selepas terbenam matahari akhir Ramadan atau bagi seorang mualaf yang baru memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadan atau seorang lelaki yang bernikah sesudah terbenam matahari terakhir Ramadan. (Masyhur, 2002)

Waktu-waktu membayar zakat
  1. Waktu yang dibolehkan iaitu dari awal Ramadan sehingga hari akhir bulan Ramadan. 
  2. Waktu wajib iaitu selepas terbenam matahari pada hari akhir Ramadan. 
  3. Waktu yang afdal iaitu selepas sembahyang Subuh pada akhir Ramadan. 
  4. Waktu makruh iaitu selepas sembahyang hari Raya Aidilfitri sehingga tibanya waktu maghrib (iaitu selepas terbenam matahari). 
  5. Waktu haram iaitu selepas terbenam matahari pada hari Raya Aidilfitri itu. (Hasan Bin Bahrom, 2006)

SOALAN : “Kalau lewat bayar zakat fitrah, macam mana? Pernah berlaku, konon nak buat yang afdal bayar zakat fitrah pada pagi raya. Oleh kerana sibuk pada pagi hari raya tu terus saya lupa bayar zakat fitrah. Macam mana tu ye?”

JAWAPAN : “Sebahagian ulama berpendapat bahawa ia adalah haram dan berdosa. Bayarlah segera selepas solat raya, jangan bertangguh lagi. Oleh kerana sudah lewat, apa salahnya kalau dibayar lebih sedikit. ” (Kadir, 2006)

Orang yang berhak menerima zakat

Firman Allah SWT, terjemahan : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir dan orang miskin dan para amil yang mengurusnya dan para mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan dalam perjalanan). (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. 
(Surah at-Taubah 9:60) (Shofian & Amir, 2002)

Fakir
Orang yang tidak mempunyai harta atau mempunyai harta yang kurang seperdua keperluannya dan tidak ada orang yang berkewajipan memberi belanja kepadanya. 
(Masyhur, 2002) 

Miskin
Orang yang mempunyai harta sebanyak seperdua keperluannya atau lebih tidak sampai mencukupinya. (Endut, 2001)

SOALAN : “ Ada orang kampung saya tu, bapanya seorang yang kaya, harta banyak, tanah kebun banyak, hidup senang tetapi anaknya nak melanjutkan pelajaran minta bantuan zakat. Adakah boleh kita bertindak sedemikian?”

JAWAPAN : “ Sepatutnya anak meminta dengan bapanya terlebih dahulu. Kalau bapa sudah mampu, janganlah berebut lagi duit zakat. Biarlah diberi kepada orang yang benar-benar berhak. 
 Prinsip yang dipakai ialah sesiapa yang wajib nafkahnya atas orang kaya, maka tidaklah wajar dan tidak berhak menerima bantuan zakat. Isteri wajib diberi nafkah daripada poket suami, manakala anak daripada bapanya. Oleh itu, tidaklah harus mereka menerima bantuan zakat tetapi kalau suami yang kaya tidak memberi nafkah, maka mahkamah berkuasa mewajibkan suami membayar nafkah. Jika tidak berlaku juga, mungkin wajar ketika itu diberikan bantuan zakat. Macam itu jugalah kes anak yang bapanya kaya. ” (Kadir, 2006)

Amil
Orang yang dilantik untuk menguruskan pungutan dan pembahagian zakat. (Endut, 2001)

Mualaf
Orang yang baru memeluk agama Islam dan keadaan imannya masih belum kuat dan teguh. (Hasan Bin Bahrom, 2006)

Hamba
Orang yang akan menebus dirinya dari tuannya. (Masyhur, 2002)

Orang yang berhutang
Orang yang mempunyai beban hutang yang masih belum dijelaskan. Hutang itu bukanlah kerana tujuan maksiat tetapi untuk kepentingan masyarakat dan juga keperluan yang harus bagi dirinya. (Shofian & Amir, 2002)

Di jalan Allah
Tentera yang berjuang di jalan Allah atau semua amal soleh dimaksudkan untuk meninggikan agama Allah seperti membina sekolah, rumah sakit, masjid, jalan, jambatan, rumah-rumah anak yatim, bantuan biasiswa dan mubaligh-mubaligh yang menjalankan seruan dakwah di jalan Allah. (Shofian & Amir, 2002)

Musafir
Orang yang melakukan perjalanan untuk tujuan baik dan untuk kepentingan agama Islam. (Hasan Bin Bahrom, 2006)

Golongan wajib zakat fitrah
Diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Tha’labah, kata-katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Zakat fitrah itu segantang kurma atau segantang gandum bagi setiap kecil atau besar, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kaya atau fakir. Adapun yang kaya, Allah SWT akan membersihkannya (diri dan harta), manakala yang miskin Allah SWT akan mengembalikan kepadanya lebih banyak daripada yang dikeluarkannya (zakat fitrah). 
(Ahmad dan Abu Daud) (Shofian & Amir, 2002)

ZAKAT HARTA (AMWAL)
Terpenting dan terbesar dalam Islam kerana ia bergantung dengan harta-harta tertentu yang dimiliki oleh seseorang dengan syarat-syarat tertentu. 

Jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat dalam Islam terdiri daripada harta-harta yang terpenting dalam sektor ekonomi seperti pertanian, perniagaan, perlombongan, emas, perak dan sebagainya. 
(Hasan Bin Bahrom, 2006)

Zakat emas dan perak
-Kadar nisab zakat emas itu ialah 25 mayam 2. 7108 saga bersamaan dengan 85 gram dikenakan zakat 2_2^1 peratus. 
-Kadar nisab zakat perak ialah 200 dirham = 560 gram dikenakan zakat 2_2^1 peratus juga. 
-Kadar zakat wang pula berubah-ubah antara sebulan ke sebulan seperti zakat pada bulan April 1993 had minima simpannya ialah RM2, 413. (Endut, 2001)

Syarat wajib zakat atas pemilik emas dan perak
  1. Islam. 
  2. Merdeka. 
  3. Milik yang sempurna. (Masyhur, 2002)


Milik yang sah dan bertanggungjawab ke atas harta sepenuhnya serta boleh digunakan pada bila-bila masa. Pinjaman, harta wakaf, wang dalam KWSP dan harta haram tidak wajib tidak tertakluk atau memenuhi syarat. 
(Shofian & Amir, 2002)

Cukup nisab. 
Kadar atau nilai minimum yang menentukan harta itu wajib dikeluarkan zakat atau sebaliknya. Pada umumnya kebanyakan jenis harta diukur berasaskan nilai emas semasa iaitu sebanyak 85 gram. Ini termasuklah bagi zakat pendapatan, emas, perniagaan, saham dan simpanan. Bagi zakat pertanian dan ternakan terdapat kaedah nisab yang tersendiri dalam menentukan paras yang diwajibkan membayar zakat. 

Cukup masanya setahun (haul). (Masyhur, 2002)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan disisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan sejak di hari Dia menciptakan langit dan bumi ; di antaranya ada empat bulan suci. Itulah agama yang betul”. (Al-Taubah : 36)

*Pada masa sekarang emas hanya menjadi cagaran dan disimpan di bank-bank dan tidak lagi beredar menjadi alat pembayaran kerana diambil alih oleh mata wang. Oleh itu mata wang adalah dikira gentian daripada emas. Maka mata wang itu pula sekarang adalah dikenakan zakat berdasarkan syarat-syarat yang sama seperti emas. (Endut, 2001)

 Zakat tanaman dan buah-buahan
 Nisab zakat tanaman atau buah-buahan ialah 5 aswaq atau 600 kilo atau 300 gantang Baghdad. 
 10% terhadap tanaman yang diairi oleh air hujan atau air sungai. 
 5% terhadap tanaman yang disirami sendiri atau alat-alat lain yang terpaksa mengeluarkan belanja. 
(Hasan Bin Bahrom, 2006)

Syarat wajib zakat ke atas pemilik tanaman dan buah-buahan
  1. Islam. 
  2. Merdeka. 
  3. Milik yang sempurna. 
  4. Cukup nisabnya. 
  5. Ditanam oleh manusia. 
  6. Bijian atau buah-buahan itu boleh disimpan lama dan mengenyangkan. (Masyhur, 2002)

Zakat harta perniagaan 
Nisab zakat perniagaan ialah menurut modal asalnya sama seperti emas iaitu 80 gram emas. (Endut, 2001)

Syarat-syarat wajib zakat harta perniagaan
Mestilah cukup setahun. 
Kadar zakatnya 2_2^1 peratus. 

Caranya ialah wang (modal) yang dikeluarkan ditaksir harga menurut keseluruhannya lalu dikeluarkan zakat. 

Wajib juga dijumlahkan hutang-hutang yang ada di tangan orang lain yang dia yakin akan dapat dibayar balik kepadanya. 

Kalau perniagaan itu rugi, nilainya tidak sampai satu nisab lagi, tidaklah wajib dikeluarkan zakat. (Shofian & Amir, 2002)

Zakat Binatang ternakan dan syarat-syaratnya
  1. Islam. 
  2. Merdeka. 
  3. Cukup nisabnya. 
  4. Cukup masanya. 
  5. Milik yang sempurna. 
  6. Binatang yang hidup bebas di padang rumput. Binatang yang makanannya terpaksa dibeli maka tidak wajib. 
  7. Binatang itu tidak cacat dan tidak terlalu tua. (Endut, 2001)


Zakat lembu atau kerbau
 Berjumlah 30 ekor yang pertama zakatnya 1 ekor yang berumur satu tahun. 
 Kalau jumlah 40 ekor zakatnya 1 ekor yang berumur dua tahun. 
 Dan begitulah seterusnya kadar nisabnya ialah tiap-tiap tambahan 30 ekor, zakat 1 ekor berumur 1 tahun dan tambahan 40 ekor, zakatnya 1 ekor yang berumur 2 tahun. (Hasan Bin Bahrom, 2006)

Zakat kambing atau biri-biri
 Berjumlah 40 ekor sehingga 120 ekor, zakatnya 1 ekor berumur 2 tahun. 
 121 sehingga 200 ekor, zakatnya 2 ekor berumur 2 tahun. 
 201 sehingga 300 ekor, zakatnya 3 ekor berumur 2 tahun. 
 Tiap-tiap tambahan 100 ekor berikut zakatnya 1 ekor yang berumur 2 tahun. (Endut, 2001)

Syarat sah pelaksanaan zakat
 Niat. 

Jumhur ulama bersepakat bahawa niat diperlukan ketika pelaksanaan pengeluaran zakat. Ketetapan ini berdasarkan hadis : “Sesungguhnya amalan dengan niat”. Niat yang wajib ialah di hati manakala melafazkan perkataan di mulut tidak diwajibkan seperti seseorang berkata : “Iniah zakat hartaku yang wajib…”
(Hasan Bin Bahrom, 2006)

Mempermilikkan harta kepada asnaf-Nya. 
Harta zakat mestilah diberikan kepada mereka yang layak menerimanya secara pemilikan kekal, bukannya dalam bentuk hutang atau pinjaman atau perkongsian atau sebagainya. Tetapi pemberian tersebut mestilah menjadi milik fakir miskin atau asnaf lain. Dengan itu, adalah tidak cukup dan tidak sah mengeluarkan zakat sekadar menghidang makanan kepada asnaf-Nya. (Shofian & Amir, 2002)

PENUTUP

Konklusinya, tidak dapat dinafikan zakat amat penting dalam kehidupan. Bukan semua insan bernasib baik. Ada yang kaya-raya, ada yang berada, ada yang susah dan ada yang papa kedana. Di manakah kita atau golongan berada bagi menghulurkan sedikit bantuan? Fikirkan sejenak. 

Seterusnya, Islam sebagai agama yang mementingkan kebaikan mengadakan satu sistem yang baik. Zakat diwajibkan ke atas sebahagian harta. Zakat menuntut agar umatnya sentiasa berusaha mencari kekayaan. Berbahagialah jika kita mampu mengeluarkan zakat. Jangan sekadar bangga hanya kerana menerima bantuan zakat. 

Seterusnya, pengertian dari pelbagai pandangan berdasarkan Dalil, As-sunnah, ulama’ juga diterangkan secara terperinci. Dari segi bahasa ia berasal dari kata zakka yang bermaksud suci(Tharah), apabila seseorang mengeluarkan zakat daripada harta bendanya seolah-olah dia telah menyucikan hartanya daripada hak-hak wajib yang dituntut oleh orang lain. Subur, menyuburkan sikap positif dalam kalangan masyarakat di samping membersihkan diri mereka daripada sikap-sikap yang negatif. Bertambah, zakat tidak menjadikan harta pengeluarannya semakin berkurangan bahkan bertambah. Dari segi istilah syarak, mengeluarkan kadar harta yang tertentu kepada orang yang tertentu dengan syarat-syarat tertentu. 

Hukum zakat ialah wajib kerana zakat merupakan salah satu rukun Islam (lima perkara). Selain itu, pembahagian zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah bertujuan untuk menyucikan diri orang yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji. Zakat harta pula penting dan terbesar dalam Islam kerana ia bergantung dengan harta-harta tertentu yang dimiliki oleh seseorang dengan syarat-syarat tertentu. Jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat dalam Islam terdiri daripada harta-harta yang terpenting dalam sektor ekonomi seperti pertanian, perniagaan dan sebagainya. 

Kita sepatutnya mengetahui dan mengutamakan hal-hal berkaitan rukun Islam yakni salah satunya zakat daripada perkara-perkara sunat. Perkara sunat boleh dijadikan sampingan disusuli perkara-perkara wajib. Dengan adanya sistem ini, semoga nasib golongan susah akan terbela. Dalam masa yang sama kita telah melaksanakan fungsi kita sebagai orang yang diberi sedikit kelebihan oleh Allah, menampung kekurangan saudara seagama kita. 

RUJUKAN

  1. Endut, U.S. (2001). Asas-asas Fardhu Ain. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid. 
  2. Hasan Bin Bahrom, E.B. (2006). Pengurusan Zakat Semasa. Shah Alam, Selangor: Penerbitan Universiti (UPENA). 
  3. Kadir, M.N.(2006). Soal jawab remeh temeh tentang zakat tapi anda malu bertanya. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. 
  4. Masyhur, D.R.-L. (2002). Zakat Penjana Ekonomi Islam. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. 
  5. S.A., & A.H. (2002). Zakat Membangun Ummah. Cheras, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin. blogspot. com
abdazizharjin@perlis. uitm. edu. my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 4/02/2015