Sunnah Rasulullah SAW

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Muhammad Asyraf Bin Muhamad Pozi
2014641478

PENDAHULUAN

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sahabat serta kaum keluarga baginda. 

Rasulullah SAW adalah ` role model ‘ dan insan terbaik untuk dicontohi dalam segala aspek kehidupan seharian. Baginda adalah utusan Allah kepada seluruh umat manusia sehingga ke akhir zaman. Segala bentuk amalan, perbuatan serta tingkah laku baginda menjadi Sunnah yang perlu diikuti dan dipraktikkan oleh umat Islam keseluruhannya. 

Ketinggian akhlak Rasulullah tidak perlu dipertikaikan lagi kerana baik orang Islam mahupun orang bukan Islam apabila membaca dan mengkaji tentang sejarah hidupnya, mengakui tindakan dan perbuatan Rasulullah adalah tindakan yang terbaik. Allah menyatakan ketinggian akhlak Rasulullah di dalam surah al-Qalam ayat 4, 

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”

Sunnah Rasulullah SAW menjelaskan rahsia keunggulan Nabi Muhammad melalui pengamalan amalan-amalan yang disukai baginda dalam kehidupan baginda. Rasulullah SAW mencintai zikrullah, bersedekah, memelihara wuduk sepanjang waktu, menghiasi diri dengan solat sunat dhuha dan baginda sering memulakan setiap hari dengan solat tahajud. 

BERZIKIR

Subahanallah walhamdulillah wala ilaha illahah wallahu akbar. “Lelaki yang selalu menyebut (mengingati) Allah disertai dengan perempuan yang banyak menyebut Allah, maka Allah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar”, (Surah al-Ahzab, ayat 35). 

Melihat makna asalnya, zikir dapat diertikan sebagai `mengingati dan menyebut Allah’. Manusia ingat pada Allah, lalu lidahnya terus menyebut Allah. Jabir meriwayatkan Rasulullah SAW berpesan, “Zikir yang paling utama adalah La ilaha illallah”, (Hadis Riwayat Tirmizi). Oleh kerana sentiasa mengingati Allah, hati secara automatiknya juga terus ingat kepadanya. Menurut ulama, zikir dapat dilakukan dengan hati (mengingati), dapat juga dilakukan dengan lisan (menyebut). Perbuatan keduanya membuatkan pelakunya lebih khusyuk. Walaubagaimanapun, zikir yang paling baik adalah zikir yang dilakukan dengan lidah dan hati secara serentak. Lidah menyebut La ilaha illallah dan hati menegaskannya. Lidah menyebut Subhanallah, hati menyucikan, dan seterusnya. 

Banyakkanlah berzikir pada Allah yang sering dipuji dan seperti diperintahkan oleh Allah dalam Quran. Walaubagaimanapun, kelebihan zikir tidak terbatas kepada membaca tasbih (menyucikan Allah), tahlil (mengesakan Allah), tahmid (memuji Allah), takbir (mengagungkan Allah) dan sebagainya. Tetapi sesiapa yang melakukan amal kerana Allah dengan ketaatan kepadanya, dialah orang yang berzikir. 

Terdapat beberapa ayat berkenaan zikir, “Ingatlah tuhan kamu banyak-banyak dan bertasbihlah dengan memuji tuhan kamu pada waktu petang dan pagi”, (Surah Ali Imran, ayat 41), “Ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung”, (Surah al-Jumuah, ayat 10) dan “Wahai orang yang beriman, janganlah harta-harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang yang rugi”, (Surah al-Munafiqun, ayat 9). Melalui tiga ayat ini dapat disimpulkan bahawa seseorang yang beriman hendaklah mengingati Allah dengan berzikir pada waktu petang dan pagi supaya beroleh keberuntungan, tetapi jika seseorang itu lalai dia akan tergolong dalam kalangan orang yang rugi. 

Rasulullah SAW berkata, “Perumpumaan orang yang berzikir kepada tuhannya dan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dan orang yang mati”, (Hadis Riwayat Bukhari). Setiap manusia tidak pernah terlepas daripada kelalaian. Lebih-lebih lagi apabila kita sibuk dengan hal-hal dunia yang tidak berkaitan langsung dengan urusan ibadat kepada Allah. Itu belum ditambah dengan masalah-masalah yang dihadapi seperti masalah rumah tangga dan masalah di tempat kerja. Maka, dengan zikrullah boleh mengatasi kelalaian yang dihadapi. Zikrullah juga boleh menghidupkan semangat dan menaikkan semangat jiwa yang rapuh. Melalui amalan berzikir kita boleh memperoleh manfaat-manfaat yang baik. Antara manfaat zikir ialah dapat menjauhkan diri daripada syaitan dan menghancurkan kekuataannya. Selain itu, dapat menjauhkan rasa kegelisahan dan kesedihan hati, menguatkan tubuh dan hati serta dapat mendekatkan seseorang kepada Allah. Tambahan lagi, apabila seseorang berzikir mengingati Allah pada waktu senangnya, Allah mengingatinya pada saat dia berada dalam kesusahan. Dengan berzikir, lidah seseorang jauh daripada ucapan-ucapan keji seperti mengumpat, memaki, berbohong, perkataan kotor, dan juga perkataan sia-sia. Pada hari kiamat, orang yang selalu berzikir terhindar daripada bencana dan penyesalan. 

BERSEDEKAH
Amalan sedekah adalah salah satu daripada tujuh amalan harian Rasulullah SAW. Awal perkataan sedekah mempunyai makna yang sama dengan zakat, (Surah at-Taubah, ayat 60). Tetapi hari ini, perkataan sedekah membawa makna memberi sesuatu kepada orang yang memerlukan tanpa ada kewajipan. Perkataan sedekah sering kali disebut di dalam Al Quran dan dinyatakan dengan perkataan yang berbeza tetapi menunjukkan makna yang serupa. Perintah bersedekah (Surah at-Taubah, ayat 60), keutamaan bersedekah (Surah al-Baqarah, ayat 261) dan orang yang berhak menerima sedekah (Surah al-Baqarah, ayat 215). 

Kalimat sedekah terkandung maksud jujur dan benar. Ini bermakna seseorang yang bersedekah perlulah ikhlas bagi menghayati sebuah kejujuran dan kebenaran erti sedekah dalam syariat Islam, yang dapat melahirkan konsep yang dipanggil berkongsi dan peduli. Maka, seseorang yang bersedekah bermakna dia sedang menghapuskan dosa-dosanya dan melembutkan hati. Malah, bukan itu sahaja sedekah juga dapat memadamkan kemurkaan Allah. Rasulullah SAW berpesan, “Sungguh, sedekah dapat memadamkan kemarahan Allah seperti air memadamkan api”. 

Memetik makna dari surah al-Baqarah, ayat 261 yang menegaskan harta yang dinafkahkan pada jalan Allah bagaikan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Pada setiap tangkai, terdapat 100 biji buah. Ternyata, walaupun harta seseorang sering disedekahkan, dia tidak pernah jatuh miskin. Malah harta yang disedekahkan itu bukannya semakin berkurang, tetapi semakin bertambah. Harus diingati perkara ini sudah dijamain oleh Allah sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang dipetik diatas. ”Berbahagilah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberi kamu 300 dirham”, kata Rasulullah SAW. Baginda menyambung lagi, “Badwi yang pertama ialah jibrail dan yang kedua adalah Mikail”. 

Allahu Akbar ! Kita tidak lagi mempunyai alasan bagi mengelak daripada memberi sedekah. Begitulah hebatnya mukjizat sedekah, perhatikan hadis berikut, “Sesiapa yang mahu doanya termakbul ataupun dibebaskan daripada kesulitan, dia perlu membantu dan mengatasi kesulitan orang lain”, (Hadis Riwayat Ahmad). 

Keberkatan bersedekah dapat menghindarkan diri kita daripada pelbagai kejahatan sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, “Sedekah dapat memelihara manusia daripada kejahatan”. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW berkata kepada sahabat yang bersedekah kepada pencuri, pelacur, dan orang kaya. “Semoga sedekahmu kepada pencuri dapat menghentikannya daripada kebiasaan mencuri. Semoga sedekahmu kepada pelacur dapat menghindarkannya daripada zina. Semoga sedekah kamu pada orang kaya dapat memberi pelajaran kepadanya hingga dia juga mahu menafkahkan harta Allah”. 

Terdapat 10 keutamaan sedekah, lima di dunia dan lima di akhirat. Lima keutamaan di dunia ialah membersihkan harta, membersihkan diri daripada dosa, menolak penyakit dan bahaya, menyenangkan hati orang miskin, dan memperluas rezeki yang penuh berkat. Manakala, lima keutamaan di akhirat pula ialah menaungi di hari kiamat, meringankan hisab, memberatkan timbangan amal kebaikan, memudahkan ketika menyeberangi shirath, dan menambah darjat di syurga. 

Menurut Quran, berkat sedekah hilang apabila orang yang bersedekah itu sering mengungkit -ungkit dan selalu menyebut sedekah yang dilakukannya di hadapan orang. Ataupun proses pemberian sedekah itu disertai dengan tindakan yang menyakitkan hati penerimanya. Sedekah juga menjadi tidak bernilai, malah dapat menjadi senjata yang membahayakan diri apabila sedekah disertakan dengan perasaan riak, iaitu menunjuk-nunjuk di hadapan orang ramai supaya dipuji dan disebut sebagai dermawan. 

BERWUDUK
Rasulullah SAW berkata, “Tidak sah solat orang yang tidak berwuduk, dan tidak ada wuduk bagi orang yang tidak membaca bismillahirrahmanirrahim”, (Hadis Riwayat Abu Daud). Berdasarkan hadis ini, dapat difahami yang manusia perlu berada dalam keadaan suci, terutamanya fizikal luaran, semasa mahu berkomunikasi dengan Allah. Kesucian lahir yang ditandai dengan wuduk boleh membawa manusia ke tahap kesucian yang lebih tinggi, iaitu kesucian batin, dan dalam hadis yang disebutkan tadi, perkara itu dapat diperoleh dengan mengerjakan solat. Solat itu sendiri sudah jelas, iaitu suatu amalan yang mempunyai syarat-syarat tertentu yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam. 

Rasulullah SAW berkata, “Apabila seseorang menyempurnakan wuduknya kemudian berdoa, `Aku naik saksi tiada tuhan selain Allah, tidak ada sekutu baginya, dan aku naik saksi yang Muhammad adalah hamba dan rasulnya’, dibukakan lapan pintu syurga baginya, dan dia boleh masuk melalui pintu mana pun yang dia mahu”, (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan Tirmizi). Subahanallah! Sungguh besar nikmat yang diberikan Allah kepada sesiapa yang berwuduk kemudian berdoa seperti yang dikata oleh Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya wuduk dalam kehidupan seseorang muslim, seiring dengan kata-kata ini `menebar pesona, meraih kesucian’. 

Rasulullah SAW berkata, “Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna pada hari jumaat, kemudian pergi mendirikan solat jumaat, mendengar khutbah, dan diam(ketika khutbah dibacakan), dosanya diampun hingga hari jumaat berikutnya, serta ditambah tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil (bermain-main), dia seperti berkata sia-sia”, (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad). Satu kelebihan telah disediakan dan ditawarkan kepada seseorang muslim terutamanya lelaki yang sepatutnya tidak disia-siakan kerana kelebihan ini diibaratkan kelebihan mega (besar). Maka, jelaslah bahawa hari jumaat merupakan penghulu segala hari kerana memiliki keistimewaan yang tidak ada pada hari yang lain. 

Rasulullah SAW memulakan berwuduk dengan membaca bismillahirrahmanirrahim. Kemudian, baginda membasuh tangan hingga pergelangan sebanyak tiga kali pada permulaan wuduk. Memulakan wuduk dengan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung sebelum membasuh muka. Menghembuskan air yang dimasukkan ke hidung dengan tangan kiri (memegang hidung dengan tangan kiri). Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan kecuali bagi orang yang berpuasa. Maksud berlebihan semasa berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung adalah memasukkan air sedalam-dalamnya ke dalam hidung hingga ke pangkal, kemudian menghembuskannya semula. Ditambah pula baginda bersugi ketika berkumur-kumur, ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW, “Jika tidak menjadi keberatan kepada umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak (bersugi) setiap kali ingin mengambil wuduk”. Sunnah terakhir ialah menyelati janggut yang tebal dengan memasukkan jari-jari tangan ke dalam janggut ketika membasuh muka. Yang diterangkan diatas merupakan antara Sunnah-sunnah Rauslullah SAW ketika berwuduk. 

SOLAT SUNAT DHUHA

Rasulullah SAW menunaikan solat sunat dhuha yang pahala dan fadilatnya menyamai 360 sedekah, ini kerana di dalam tubuh manusia terdapat 360 tulang. Kesemua tulang tersebut memerlukan kepada sedekah bagi membalas segala nikmat kurniaan Allah kepada manusia. Dengan hanya menunaikan dua rakaat solat sunat dhuha, seseorang dapat menunaikan 360 sedekah yang menjadi balasan kesyukurannya kepada Allah atas nikmatnya. Kelebihan dua rakaat solat sunat dhuha ini dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW, “Setiap sendi tulang tubuh manusia mempunyai sedekah yang mesti ditunaikan. Setiap tasbih adalah sedekah, menyuruh perkara yang baik adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah, semua itu memadai dengan solat sunat dhuha dua rakaat”. 

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, “Sahabat karibku (Rasulullah SAW) mewasiatkan kepadaku supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur”. Waktu solat sunat dhuha adalah bermula dari 15 minit setelah terbitnya matahari hingga sebelum masuk waktu zuhur. Walaubagaimanapun, waktu yang paling baik bagi mengerjakan solat sunat dhuha adalah apabila terasa kepanasan matahari pada waktu pagi. Manakala, bilangan solat sunat dhuha adalah sekurang-kurangnya dua rakaat, paling banyak lapan rakaat, ada juga pendapat mengatakan tiada had bagi bilangan rakaat paling banyak. 

Solat sunat dhuha dan segala yang berkaitan dengannya disandarkan atas apa yang dilakukan oleh Rasulullah S. AW. Baginda tidak hanya melakukan solat sunat dhuha ketika berada di rumah, tetapi juga ketika dalam perjalanan. Bukannya hanya di masjid, tetapi di mana juga yang membolehkan baginda melakukannya. “Selalunya Rasulullah SAW kembali daripada perjalanan pada waktu dhuha. Apabila kembali, Rasulullah SAW menuju ke masjid dan selepas menunaikan soalt sunat dhuha dua rakat, baginda pun duduk”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

SOLAT SUNAT TAHAJUD 
Banyak buku yang kita lihat yang menjelaskan berkenaan fadilat dan keutamaan solat tahajud. Kisah-kisah berkesan yang menjadi hikmah solat tahajud juga banyak kita dengar. Banyak juga yang mengaitkan keutamaannya dengan pelbagai aspek kehidupan yang lain. Kesimpulannya, semua penjelasan itu sebenarnya hanya mahu menegaskan, solat tahajud adalah solat yang penting selepas solat fardu lima waktu sehari semalam. Antara tujuh sunnah Rasulullah SAW, Sunnah ini berada di tempat pertama. Perkara ini wajar kerana putaran waktu yang mengelilingi manusia juga bermula dari waktu tahajud. Jarum jam bergerak perlahan dan mendarat pada keheningan dini hari, dan kemudiannya terus bergerak mengelilingi putaran kehidupan manusia. 

 Berikut, adalah ayat yang boleh didalami dan dibincangkan berkenaan tafsiran ayat surah al-Israk ayat 79, sebagai ayat yang menceritakan dan memperkenalkan solat tahajud. Ayat itu bermaksud, “Dan dari sebahagian malam, hendaklah engkau bangun (tahajud), sebagai amalan tambahan untukmu. Semoga tuhanmu mengangkat (darjatmu) ke tempat yang terpuji”. Perkataan tahajud ataupun tahajjada diambil daripada perkataan hujuud yang bermakna tidur. Perkataan ini mempunyai erti meninggalkan tidur bagi mendirikan solat. Solat ini juga dipanggil solat lail ataupun solat malam kerana ia dilakukan pada waktu malam, sama dengan masa tidur. Tahajud kemudian menjadi nama solat kerana pelakunya bangun daripada tidur bagi mendirikan solat

Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah SAW pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Baginda menjawab dengan tegas, “Solat malam!” (Hadis Riwayat Muslim). Terdapat beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam, ia adalah seperti tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat, ayat 15 hingga 18). 

Selain itu, mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan, ayat 63 hingga 64) dan dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-sajadah, ayat 16). Beberapa petikan hadis ada menyebut beberapa fadilat dan keindahan solat malam. Antaranya adalah hadis daripada Abdullah bin Amr bin Al-`Ash yang berbunyi, Rasulullah SAW berkata kepadaku, “Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah mendirikan solat malam kemudian meninggalkannya”, (Hadis Riwayat Bukhari- Muslim). 

PENUTUP

Mengenalinya membuatkan orang lain jatuh hati padanya. Melakukan sunnahnya menyenangkan hati orang yang mengamalkannya. Perbuatan orang yang mencontohi dan mengamalkannya menyejukkan mata orang yang melihat. Biarpun sudah beribu – ribu tahun baginda meninggal dunia, sunnahnya tetap menjadi contoh yang terbaik sepanjang zaman dan seolah – olah diri baginda masih hidup di kalangan umat Nabi Muhammad. 

Amalan – amalan kesukaan Nabi Muhammad memberikan pengamalnya nilai kerohanian yang tinggi. Setiap amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad adalah berdasarkan dalil – dalil yang kukuh daripada wahyu Allah. Sebagai umat Nabi Muhammad, wajar setiap amalan ataupun Sunnah yang dilakukan oleh baginda dijadikan ikutan sebagai petunjuk jalan menuju Allah. 

Para sahabat berlumba – lumba mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad sekalipun perkara itu kecil. Maka, setiap orang Islam juga perlu mempunyai keinginan untuk melakukan sebagaimana dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. 

Rasulullah SAW tidak diutus semata – mata mahu dipuja – puja dan diagung – agungkan. Malah, Rasulullah SAW juga tidak diutus semata – mata menjadi symbol agama Islam. Sebaliknya, Rasulullah SAW diutus sebagai qudwah hasanah, supaya kehidupannya, keperibadiannya dan keunggulannya menjadi bekal utama kepada umat sepanjang zaman. 

RUJUKAN
Imam Nawawi. Amalan &Doa Kesukaan Nabi Muhammad, Edisi Kemas Kini. PTS ISLAMIKA SDN. BHD., pts. com. my/Islamika. 
Muhammad Abd. Syukur, Muhammad Muslih Aziz, Muhammad Syamsul Yakin (2012). Diari Hidup Rasulullah SAW. PTS MILLENIA SDN. BHD.. 
Na’eem Siddiqi (1985). Muhammad Pembina Umat, Terjemahan. Kuala Lumpur : Pustaka Salam. 
Ustadz Muhammda Anis. Sekelumit Kebesaran Rasulullah SAW, Terjemahan. C. V. TOHA PUTRA SEMARANG. 
Zulkarnain Dollah. Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah SAW. PTS ISLAMIKA SDN. BHD., pts. com. my/Islamika. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015