Sistem Ekonomi Menurut Islam

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Ain Athirah Binti Mohd Kamal
2014278474

PENDAHULUAN

Ekonomi Islam bertunjangkan atas dasar keadilan. Usaha mewujudkan keadilan yang hakiki tidak akan tercapai tanpa memahami, menghayati, dan menyedari akan wujudnya hubungan timbal balik antara manusia dengan penciptaNya dan persekitarannya. Kehidupan manusia terbentuk berasaskan hubungan tiga penjuru iaitu hubungannya dengan Allah, yang berbentuk hubungan menegak; dan dengan persekitarannya, termasuk hubungannya dengan manusia lain, haiwan, tumbuhan, harta benda, sumber alam seluruhnya yang berbentuk hubungan mendatar. Hubungan yang pelbagai dimensi ini mencorakkan pegangan dan tanggapan yang unik seseorang ataupun masyarakat terhadap kegiatan ekonomi yang akan diamalkannya. Dalam pembentangan esei ini, saya akan menjelaskan definisi-definisi sistem ekonomi berdasarkan pandangan sosialis, kapitalis dan Islam. Selain itu, saya akan menjelaskan juga ciri-ciri sistem ekonomi Islam yang masih diguna pakai sehingga hari ini. Pembentangan esei saya juga akan diperkembangkan dengan tujuan sistem ekonomi Islam dijalankan sebagaimana ia disyariatkan untuk membantu golongan yang tidak mampu bagi meringankan bebanan mereka. Sehubungan itu, salah seorang ahli pemikiran ekonomi Islam akan dibentangkan dalam esei ini untuk mengetahui sumbangan beliau dan pendapat-pendapat ahli ekonomi Barat mengenai sumbangan beliau. Seterusnya, saya akan memfokuskan sistem ekonomi Islam dalam skop kewangan Islam. Oleh itu, selepas menjalankan kajian ini, saya akan membentangkan hasil kerja esei saya yang bertajuk “Sistem Ekonomi menurut Islam”. 

2. 1 DEFINISI SISTEM EKONOMI
Dalam konteks ekonomi, terdapat beberapa takrif yang dapat diperjelaskan mengenai sistem ekonomi. Dalam konteks sistem ekonomi sosialis, sistem ekonomi ialah sejenis sistem di mana semua aktiviti dan keputusan ekonomi dilaksanakan oleh kerajaan. Faktor-faktor pengeluaran dimiliki oleh rakyat secara bersama dan pemilikan tersebut diletakkan dibawah pemerintahan dan kawalan pemerintahan. Oleh itu, segala keuntungan yang diperoleh diserahkan kepada perbendaharaan kerajaan. Konsep sistem ekonomi ini berasaskan persamaan dan keadilan di mana segala aktiviti yang dijalankan adalah untuk kebaikan masyarakat dan tidak wujud perbezaan pendapatan yang serius dalam kalangan rakyat dalam sistem ekonomi sosialis ini. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)

Selain itu, sistem ekonomi kapitalis ditakrifkan sebagai pasaran bebas di mana individu dan sektor swasta bebas membuat segala keputusan ekonomi tanpa campur tangan daripada pihak kerajaan. Bentuk pengurusan sistem ekonomi kapitalis ini dikenali sebagai sistem tak terkawal atau ekonomi pasar mahupun ‘laissez faire’. Kesemua individu di bawah sistem ekonomi ini bebas mengumpul dan memiliki harta persendirian serta memindahkan hak milik kepada sesiapa sahaja. Semua kelengkapan dan harta di bawah sistem ini dimiliki oleh pihak persendirian ataupun pihak swasta. Dengan itu, segala keuntungan adalah matlamat dan menjadi pendorong kepada asas aktiviti bagi kegiatan perniagaan. Golongan ini lebih mementingkan faedah persendirian dan kebajikan umum diabaikan. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)

Seterusnya, sistem ekonomi Islam telah ditakrifkan oleh para ahli ekonomi dalam pelbagai definisi. Menurut Akram Khan, sistem ekonomi Islam merupakan kajian kejayaan manusia dalam sumber bumi berasaskan kerjasama dan penyertaan. Ia juga adalah sains sosial yang mengkaji masalah ekonomi yang berpegang kepada nilai Islam. Ada yang menyatakan sistem ekonomi Islam sebagai suatu ilmu wasilah yang digunakan oleh manusia bagi memenuhi segala hajat individu dan masyarakat sesuai dengan aturan syariat. Sistem ekonomi Islam juga adalah kajian kegiatan manusia selaras dengan syariat daripada segi memperoleh, mengguna dan mengurus sumber asli harta demi kebaikan bersama secara kebendaan dan kerohanian demi memperoleh keredhaan Allah SWT. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)

2. 2 CIRI-CIRI SISTEM EKONOMI ISLAM

Dalam sistem ekonomi Islam, terdapat beberapa ciri yang dapat dikenal pasti dalam sistem ekonomi Islam. Hal ini demikian dapat membezakan sistem ekonomi Islam dengan sistem ekonomi sosialis dan sistem ekonomi kapitalis. 

Antara ciri sistem ekonomi Islam ialah mesyarakat diberi kebebasan dalam menjalankan aktiviti ekonomi. Setiap individu bebas menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi seperti pertanian, perdagangan, perindustrian dan lain-lain jenis bentuk perusahaan yang produktif. Sistem ini menekankan ciri ibadah atau amalan kebajikan ketika menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi. Tujuan utama setiap individu mejalankan aktiviti ekonomi adalah untuk memnuhi keperluan dan kehendak dirinya sendiri atau keluarganya. Oleh itu, kesederhanaan dalam memenuhi kehendak-kehendak adalah dititikberatkan. Sifat-sifat seperti tamak, kedekut, dan mencari pendapatan yang berlebihan bagi kehidupan yang lebih mewah adalah dilarang. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)

Masyarakat juga berhak dalam pemilikan harta swasta. Dalam perspektif Islam, semua kekayaan adalah hak milik Allah SWT. Manusia hanyalah pemegang amanah kepada harta-harta dan bukan kepada pemilik harta. Sebagai pemegang amanah daripada Allah SWT, setiap individu bebas memiliki dan mempergunakan faktor-faktor pengeluaran dan harta pemegangnya. Walau bagaimanapun, penggunaan dan pemilikan harta perlulah secara sederhana. Kekayaan negara haruslah dinikmati oleh seluruh masyarakat namun penumpuan kekayaan pada individu tertentu adalah dilarang. Oleh itu, seseorang individu mempunyai kewajipan memberi zakat kepada golongan yang memerlukan sama ada dalam bentuk kewangan atau harta benda. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)

Sumber-sumber ekonomi harus diperuntukkan bagi pengeluaran barang-barang keperluan dan bukan barang-barang mewah bagi menjamin kebajikan sosial. Namun begitu, barang-barang mewah hanya akan dikeluarkan apabila pengeluaran barang-barang keperluan sudah cukup bagi memenuhi keperluan masyarakat. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)

Selain itu, individu memainkan peranan dalam sistem ekonomi Islam. Setiap individu bebas untuk memilih aktiviti ekonomi yang hendak dijalankan. Segala pilihan adalah bebas asalkan ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Dalam sistem ekonomi Islam, kebebasan pengguna diimbangi dengan tanggungjawab sosial. Islam menekankan pemberian zakat bagi memastikan semua ahli masyarakat mendapat sekurang-kurangnya keperluan asas. Dalam ekonomi Islam, kebebasan pengguna dikurangkan bagi membolehkan sumber-sumber yang cukup disalurkan kepada pengeluaran barang-barang keperluan. Hal ini demikian akan mengurangkan kemiskinan, kelaparan dan penderitaan orang miskin. Pengeluar pula harus mengelakkan sifat-sifat seperti tidak jujur, menipu, memaksa, dan sebagainya. Mereka tidak harus melakukan sesuatu yang boleh membahayakan orang lain misalnya melakukan pencemaran udara, air dan bunyi dalam proses pengeluaran. Sebaliknya, aktiviti-aktiviti pengeluar harus berdasarkan kepada kepentingan sosial dan haruslah memberi keutamaan kepada pengeluaran. Motif untung bukanlah kuasa dorongan yang utama dalam ekonomi Islam. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)

Dalam ekonomi Islam, pihak kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebajikan sosial. Pihak kerajaan harus memastikan kelakuan individu bersesuaian dengan peraturan Islam. Pihak kerajaan juga haruslah memastikan aktiviti-aktiviti berjalan dengan lancar dan mengubahsuaikan peruntukan sumber serta pengagihan pendapatan bagi menjamin kebajikan sosial. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil langkah-langkah positif dalam pengeluaran dan pembentukan modal bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial. (Mat Hassan Abu Bakar, 2003)



Seterusnya, sistem ekonomi Islam merupakan sebahagian daripada sistem Islam yang syumul (Dr. H. Abu Ahmadi, 1980). Kegiatan ekonomi mempunyai hubungan yang rapat dengan sistem Islam yang syumul sama ada daripada segi aqidah mahupun syariatnya. Sistem ekonomi Islam tidak boleh dipisahkan daripada dasar-dasar aqidah dan nilai-nilai syariat Islam. Daripada segi aqidah, sistem ekonomi Islam berlandaskan kepada hakikat bahawa Allah SWT adalah pencipta dan pemilik alam semesta (Abu ‘Urwah, 1989). Firman-firman Allah SWT bermaksud :

“Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan) kamu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan nikmatNya untukmu zahir dan batin. ” (Surah Luqman : 20)  

“Kepunyaan semua yang ada di langit, semua yang ada di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang dibawah tanah. ” (Surah TaHa : 6)  

Daripada segi syariat pula menghubungkan sudut-sudut muamalah sesama manusia. Firman Allah SWT bermaksud :  “Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. ” (Surah al-Hasyr : 7) 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud :  “Semua muslim atas muslim yng lain haram kehormatannya, hartanya dan darahnya. ” (Hadis Riwayat Tarmidhi) 

2. 3 TUJUAN EKONOMI MENURUT ISLAM 
Setiap perkara yang dilakukan mempunyai tujuan dan matlamat tersendiri. Dalam sistem ekonomi Islam, terdapat beberapa tujuan ekonomi menurut Islam. 

Antaranya ialah umat Islam dapat menunaikan sebahagian daripada tuntutan ibadah. Dalam menitikberatkan asas-asas dan ruang lingkup ciri-cirinya, ternyatalah tujuan ekonomi Islam adalah kerana ibadah dan melaksanakannya seperti menunaikan sebahagian daripada ibadah yang menyeluruh (Abu ‘Urwah, 1989). Sabda Rasulullah SAW bermaksud :

“Sesungguhnya tidak kamu keluarkan satu nafkah pun yang kamu cari di jalan Allah, melainkan kau diberi pahala kerananya, sekalipun nafkah yang kamu berikan untuk isterimu. ” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)  

Roh di sebalik semua kegiatan ekonomi Islam adalah ta’awun atau kerjasama. Oleh itu, sesiapa yang membantu saudara-saudaranya dan masyarakatnya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, maka ia merupakan ibadah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud :  “Seorang muslim adalah saudara seorang muslim yang lain. Tidak boleh ia menganiayainya dan menghinanya. Barang siapa memenuhi hajat saudaranya, Allah sentiasa menolong hajatnya. Dan barang siapa membukakan satu kesusahan daripada seseorang muslim, Allah akan membukakan daripadanya satu daripada kesusahan-kesusahan kelak pada hari Akhirat. ”  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)   

Selain itu, ia dapat menegakkan keadilan sosial dan ekonomi dalam kalangan masyarakat. Kegiatan ekonomi yang berteraskan kepada kesaksamaan serta menghapuskan penindasan dan penipuan merupakan satu sistem yang dapat menegakkan keadilan sosial dan ekonomi masyarakat. Atas dasar inilah, Islam membenarkan jual beli dan mengharamkan riba serta sebarang jenis penipuan. 

Sebarang sistem ekonomi berteraskan penindasan akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat kerana wujudnya amalan yang mementingkan diri sendiri seperti monopoli perniagaan, manipulasi pasaran dan eksploitasi buruh. Kesannya, wujudnya ketegangan bukan sahaja antara individu dengan individu, malah antara satu negara dan negara lain. 

Sebaliknya, sistem ekonomi yang berteraskan kepada kerjasama dan kesaksamaan dapat mewujudkan kasih sayang, sifat tanggungjawab dan tolong menolong antara satu sama lain. Kesannya bukan sahaja individu dapat meningkatkan pembangunan diri, malah negara dapat saling bantu membantu dalam memenuhi kemaslahatan seluruh umat Islam (Abu ‘Urwah, 1989). 

Sehubungan itu, ia juga dapat menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadaan guna tenaga penuh serta kadar perkembangan ekonomi yang optimum. Dalam konsep Islam, kegiatan ekonomi merupakan salah satu ibadah dan merupakan amanah Allah SWT kepada orang-orang beriman. Kegiatan ekonomi membri kesan dalam kerohanian dan keimanan muslimin. Antaranya tuntutan ibadah yang lain dapat diperkembangkan dan perlaksanaan kegiatan ekonomi juga adalah natijah daripada tuntutan ibadah-ibadah yang lain. 

Dalam konteks ekonomi Islam, ia sebagai amanah Allah SWT kepada muslimin. Maka, antara matlamat ekonomi Islam ialah menghapuskan atau mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan mengekalkan kadar pertumbuhan yang optimum sejajar dengan perkembangan kebendaan dan kerohanian masyarakat. 

Menurut Islam, kemiskinan adalah musuh muslimin kerana ia boleh membawa kepada kekufuran. Kegiatan ekonomi dan asas-asas hidup sosial Islam menggariskan langkah-langkah untuk mengatasi kemiskinan dan mencari jalan penyelesaian dalam membasmi pengangguran kerana kemiskinan dan pengangguran adalah antara jalan yang membawa kepada terabainya fardhu ain seseorang (Abu ‘Urwah, 1989). 

2. 4IBN KHALDUN, TOKOH PEMIKIRAN EKONOMI ISLAM TERSOHOR

Kemunculan ekonomi Islam mengarahkan perhatian para cendekiawan terhadap pemikiran ekonomi ahli fikir Islam pada masa dahulu yang tidak pernah diberikan perhatian langsung oleh karya sejarah pemikiran ekonomi. Antara tokoh pemikiran ekonomi tersohor adalah Ibn Khaldun. 

Ibn Khaldun atau nama sebenarnya adalah Abdul Rahman dilahirkan di Tunisia pada 1 Ramadan tahun 732H atau pada 27 Mei 1323M. Beliau berasal daripada keturunan Andalusia (Arab Sepanyol) yang berpindah dari Sevilla (Andalusia) ke Tunisia pada pertengahan abad ke-7 tahun Hijrah. Beliau merupakan bangsa Yaman yang berasal daripada keturunan Ibn Hajar. 

Beliau sangat terkenal dalam kalangan ahli falsafah Barat kerana penulisannya yang sangat baik. Antara kitab yang dikarangya adalah Mukadimmah (Pembimbing ke Sejarah). Di samping itu, Ibn Khaldun telah disanjung sebagai ahli ekonomi Islam yang teragung. Melalui tesis kedoktoran Ezzat (655) dan karya Nasya. T (659), kita dapati sumbangan daripada Rosenthal (611) berkembang. Sehubungan itu, beliau juga menyedari pentingnya permintaan, perbelanjaan kerajaan bagi mengelakkan kemelesetan perniagaan dan menjaga kepentingan ekonomi. 

T. B. Irving menyebut bahawa Ibn Khaldun berpendapat bahawa cukai mempunyai kesan pulangan berkurangan dan penggalak diperlukan bagi memastikan perniagaan berjalan dengan sempurna. 

Rifa. T. merujuk perbincangan Ibn Khaldun berkenaan utiliti yang dijangka akan dianalisis seterusnya. Mengenai wang pula, beliau menerima dua peranan utama iaitu pertukaran dan penyimpanan nilai. Rifa. T. membandingkan teori penduduk Ibn Khaldun tidak menyebut kaedah pencegahan tetapi terdapat bebrapa persamaan. 

Ibn Khaldun juga mengingatkan mengenai campur tangan kerajaan dalam ekonomi dan berpendapat bahawa pasaran bebas dapat memastikan pembahagian yang saksama. Tahawi menggulung pandangan Ibn Khaldun mengenai penentuan harga melalui daya penawaran dan permintaan, wang (nilai dan fungsinya) dan prinsip-prinsip percukaian serta perbelanjaan negara. 

Beberapa ahli falsafah ekonomi Barat menyedari kebaikan dan keperluan buruh sebelum Smith menyedariya dan prinsip buruh sebelum Ricardo. Ibn Khaldun telah menjelaskan teori penduduk sebelum Mathus berbuat demikian dan beliau menekankan peranan kerajaan ekonomi terlebih dahulu daripada Keynes. Baulakia tidak ragu-ragu menegaskan bahawa Ibn Khaldun adalah pengasas sains ekonomi. Beliau juga adalah seorang tokoh yang mula menyeru kepada mazhab ekonomi bebas atau ‘Laissez Faire’. Beliau telah mendahului para naturalis selama tiga abad bagi melahirkan pendapat ini (Mat Hassan Abu Bakar, 2003). 

2. 5EKONOMI ISLAM DALAM KONSEP KEWANGAN

Sistem kewangan merupakan sistem utama yang merangkumi sektor kewangan negara. Ia merangkumi dua sektor iaitu sektor awam dan sektor swasta. Sektor awam terdiri daripada Kementerian Kewangan, Perbendaharaan Negara, Bank Negara dan jabatan-jabatan di bawah mereka seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain. Bagi sektor swasta pula terdiri daripada institusi bank seperti Bank Islam, institusi kewangan bukan pasaran wang dan syarikat seperti Tabung Haji dan sebagainya (Surtahman Kastin Hasan, 1993). 

Dalam sistem ekonomi Islam, institusi kewangan terdiri daripada Baitul mal, Takaful dan Wakaf. Baitul mal secara umumnya dikenali sebagai rumah harta. Ia merupakan institusi kewangan yang termasyhur dalam sejarah Islam. Baitul mal juga tidak terhad kepada suatu tempat atau pusat penyimpanan harta yang diterima oleh kerajaan Islam sebelum diagihkan kepada pihak yang layak menerimanya. 

Sehubungan itu, Baitul mal mempunyai peranan yang besar dalam institusi kewangan Islam. Antaranya ialah Baitul mal membentuk dan menggubal polisi kewangan dan pembiayaan awam. Selain itu, ia berfungsi sebagai peminjam terakhir atau ‘lender of last resort’. Baitul mal juga berperanan mengutip segala kutipan seperti zakat dan cukai yang wajib dan harus tetapi ia telah menyimpan dua kiraan yang berasingan. Satu untuk zakat dan satu lagi untuk segala kutipan lain. Begitu juga dengan kiraan perbelanjaannya diasingkan antara zakat dan lain-lain. Sehubungan itu, ia dapat menyedarkan umat Islam berkenaan masalah ekonomi dan tanggungjawab sosial sesama masyarakat. Hal ini demikian dapat membantu masyarakat yang tidak bernasib baik dengan wujudnya Baitul mal. Ia juga dapat membentuk dasar dalam melaksanakan perancangan dan pembangunan negara dan sebagai tempat menyimpan harta negara hasil daripada kutipan zakat dan cukai serta menjalankan kerjasama di peringkat antarabangsa. Seterusnya, Baitul mal juga merupakan badan penasihat kepada kerajaan dalam belanjawan dan badan pengawas bagi kegiatan-kegiatan yang tidak selari dengan kehendak syarak yang merosakkan masyarakat (Syed Othman Alhabshi, 1989). 

Takaful yang dikendali oleh Syarikat Takaful Malaysia SDN BHD ditubuhkan pada tahun 1985 mengendalikan Takaful Umat Islam di Malaysia. Objektifnya adalah untuk menyediakan perkhidmatan takaful atau insurans secara Islam yang berkualiti secara profesional kepada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di negara ini. Pelaksanaan skim takaful adalah berdasarkan hukum syarak yang mengharamkan unsur-unsur seperti gharar, maisir, riba dan amalan-amalan lain yang bercanggah dengan hukum syarak. 

Insurans yang berdasarkan takaful mempunyai tiga prinsip utama. Pertama, saling bertanggungjawab. Seseorang yang menyertai insurans akan bersetuju untuk saling bertanggungjawab antara satu sama lain. Memikul tanggungjawab dengan baik adalah satu ibadah dan ia dituntut dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud :

“Setiap orang daripada kamu adalah memikul tanggungjawab dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap orang-orang di bawah tanggungjawab kamu. ” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)  

“Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri. ” (Sabda Rasulullah SAW)  

Sifat bertanggungjawab seseorang terhadap yang lain adalah salah satu di antara asas perpaduan suatu masyarakat. Kesannya, orang miskin yang sakit tidak berasa susah kerana mendapat pertolongan daripada pemerintah yang mengamalkan keadilan yang saksama dan seterusnya.  

Kedua, saling bekerjasama atau bantu-membantu. Seseorang yang menyertai insurans Islam bersetuju untuk bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. Islam menuntut umatnya bekerjasama dalam perkara-perkara baik dan boleh menyuburkan perasaan taqwa. Antara unsur-unsur kebajikan dan taqwa sebagaimana dijelaskan dalam al Quran adalah melaksanakan fungsi harta yang betul, menepati janji dan sabar ketika menghadapi bencana (Syed Othman Alhabshi, 1989). Firman Allah SWT bermaksud :  “Bekerjasamalah kamu dalam perkara-perkara kebajikan dan taqwa dan jangan bekerjasama dalam perkara-perkara dosa yang boleh menimbulkan permusuhan. ” (Surah al-Maidah : 5)  

Ketiga, saling lindung-melindungi dalam sebarang kesusahan. Mereka juga bersetuju supaya saling lindung-melindungi antara satu sama lain daripada sebarang kesusahan, bencana dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud :  “Tidak dikira beriman seseorang itu kalau dia tidur nyenyak dengan perut yang kenyang sedangkan jirannya meratap kelaparan. ” (Hadis Riwayat al-Bazaar)  

Waqaf pula merupakan institusi kewangan yang telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW. Waqaf bermaksud tahankan atau hentikan merupakan institusi kewangan yang dinamik. Pada dasarnya harta yang diwaqafkan tidak boleh digunakan lagi tetapi hasilnya sahaja boleh digunakan untuk faedah penerima waqaf. Definisi ini diriwayatkan oleh Imam Shafie dan Imam Ahmad bin Hambal, daripada Umar bin al-Khattab RA mafhumnya :

“Bahawa (Saidina) Umar RA pernah berkata : ‘Wahai Rasulullah! Saya telah memperolehi harta yang saya tidak pernah perolehi seumpamanya (sebelum ini) dan saya ingin mendekati Allah SWT menerusinya... ’ lalu dijawab oleh Rasulullah SAW : ‘tahankan (waqafkan) asal harta itu dan sedekahkan hasilnya... ’ lalu Saidina Umar RA jadikan hartanya itu (tanah perolehannya di Khaibar) sebagai harta sedekah yang tidak boleh dijual, dibeli dan diwarisi. ”

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa waqaf memainkan peranan penting sebagai sumber kewangan dalam pelbagai tujuan yang berfaedah bagi seseorang, kumpulan, masyarakat dan lain-lain (Syed Othman Alhabshi, 1989). Saidina Jabir RA berkata :

“Tidak ada seorang pun daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang berkemampuan melainkan mereka itu telah mewaqafkan (sebahagian daripada harta mereka). ”

PENUTUP

Hasil daripada kajian saya mengenai sistem ekonomi Islam, saya mendapati bahawa sistem ekonomi Islam lebih efektif dalam menguruskan sumber asli demi kebaikan masyarakat bersama. Selain itu, melalui ciri-ciri sistem ekonomi Islam ternyata memberi masyarakat kebebasan untuk menjalankan aktiviti ekonomi berlandaskan syariat Islam. Hal ini demikian juga memberi peranan kepada manusia dan pihak kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara. Sehubungan itu, berdasarkan peranan manusia dan pihak kerajaan maka tercapailah tujuan ekonomi menurut Islam dilaksanakan. Antaranya ialah dapat menunaikan sebahagian daripada tuntutan ibadah, membantu masyarakat yang memerlukan, menegakkan keadilan sosial dan ekonomi masyarakat dan lain-lain lagi. Seterusnya, saya berasa kagum dengan sumbangan Ibn Khaldun dalam ekonomi Islam. Ramai ahli ekonomi Barat mengagumi sumbangan beliau dalam ekonomi dunia. Antaranya ialah konsep wang, sistem pertukaran dan penyimpanan nilai, sistem pasaran dunia dan sebagainya. Tambahan pula, institusi-institusi kewangan seperti Baitul mal, waqaf dan takaful mempunyai peranan yang penting dalam sistem ekonomi Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu bersama-sama membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan pelbagai inisiatif tersebut sekurang-kurangnya dapat dilaksanakan demi mencapai keredhaan Allah SWT. Maka, marilah sama-sama kita menguruskan ekonomi negara berlandaskan syariat Islam dan membasmi unsur-unsur yang diharamkan dalam Islam seperti riba agar setiap amalan dan ibadah kita diterima Allah SWT. 

RUJUKAN

  1. Abu ‘Urwah, (1989). Sistem-sistem Islam. Pustaka Salam. 
  2. Ahmad Muhammad Al-’Assul, Dr., dll. Terj. H. Abu Ahmadi, Dr., dll, (1980). Sistem Ekonomi Islam, Prinsip-prinsip dan Tujuan-tujuannya. (T. Penerbit). 
  3. Mat Hassan Abu Bakar, (2003). Apa itu Ekonomi Islam. PTS Publications & Distributors SDN. BHD. 
  4. Surtahman Kastin Hasan, (1983). Ekonomi Islam Dasar dan Amalan. Dewan Bahasa dan Pustaka. 
  5. Syed Othman Alhabshi, (1989). Islam, Ekonomi dan Pengurusan. Penerbitan Hizbi. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 5/02/2015