Selangkah Ke Alam Perkahwinan

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd. Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Hazra Hidayana Maulad Hamid
2014682732

Pendahuluan
Keluarga Sakinah Berasal Dari Perkataan Arab Yang Membawa Maksud Ketenangan Dan Penuh Kasih Sayang. Dalam Usaha Membentuk Keluarga Sakinah Adalah Melalui Perkahwinan Yang Diredhai Allah. Perkahwinan Ialah Akad Atau Ikatan Lahir Batin Di Antara Seorang Laki-Laki Dan Seorang Wanita Yang Menjamin Halalnya Pergaulan Sebagai Suami Isteri. Perkahwinan Juga Merupakan Ibadah Iaitu Dengan Niat Menjaga Kesucian Diri. Selain Itu, Perkahwinan Adalah Cara Untuk Mendapat Pengampunan Allah, Peningkatan Darjat Dan Istiqomah (Kemantapan Iman Dan kelurusan sikap). Saya juga ada selitkan tentang anjuran kahwin dan larangan membujang. Tajuk lain yang diselitkan dalam esei ini ialah hukum perkahwinan yang terbahagi kepada dua iaitu hukum asal dan hukum mengikut situasi. Hukum asal ialah sunat. Dasar memilih calon isteri terdiri daripada dasar agama, keturunan, tiada hubungan kekeluargaan yang rapat, boleh melahirkan zuriat dan seorang gadis (bukan janda). Selain itu, wanita yang haram dikahwini terbahagi kepada dua iaitu haram dikahwini selama-lamanya dan haram dikahwini tidak selama-lamanya (dalam tempoh tertentu). Tajuk yang saya selitkan juga dalam esei ini ialah calon suami yang baik iaitu seorang yang beragama, bersopan dan berakhlak, bukan dari golongan fasik dan kemampuan dari segi belanja. Akhir sekali, adalah hikmah perkahwinan iaitu kelainan jenis manusia dengan adanya keturunan dan majmuk yang bererti perkahwinan merupakan satu-satunya jalan tanpa pengganti untuk menambah keturunan. Hikmah lainnya ialah perkahwinan adalah ibadah, terpeliharanya kehormatan dari segala godaan dan penyelewengan dan mententeramkan dan menenangkan jiwa antara suami isteri. Hikmah yang seterusnya ialah mendapat keturunan yang sah yang akan menyambung amal dan pahala dan membahu antara suami isteri iaitu wanita yang berperanan memenuhi hak-hak suami sesuai dengan ciri penciptaannya. 
Definisi perkahwinan
 Tidak dinafikan lagi, perkahwinan merupakan salah satu kaedah bagi pembentukan keluarga dan untuk melahirkan keturunan. Itu adalah fitrah Ilahi Allah menciptakan manusia. Selain dari itu perkahwinan juga merupakan hukum alam yang tidak boleh diubah(Muhammad Ali Quthb, 2000). 
 Perkahwinan atau nikah, ertinya ialah akad atau ikatan lahir batin diantara seorang laki-laki dan seorang wanita, yang menjamin halalnya pergaulan sebagai suami isteri dan sahnya hidup berumah tangga, dengan tujuan membentuk sebuah keluarga sejahtera dan dinaungi oleh keberkatan daripada Allah SWT. (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). Dengan demikian dalam jiwa setiap individu (pada setiap generasi dan setiap zaman) terdapat sesuatu yang mendorong keinginan berhubung dengan jenis kelamin lain untuk dapat melaksanakan perkahwinan dan melahirkan generasi baru yang akan mentadbir kemakmuran di muka bumi ini (Muhammad Ali Quthb, 2000). 
 Islam memandang perkahwinan tidak semata-mata sebagai tempat untuk melampiaskan dan memuaskan tuntutan hawa nafsu atau sebagai cara untuk memenuhi kebuasan nafsu syahwat. Islam memandang perkahwinan jauh lebih mendalam dari semuanya itu, lebih agung dan lebih mulia (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 
Perkahwinan Adalah Ibadah

Ibadah dalam Islam skopnya amat luas. Islam memandang setiap amal perbuatan yang dilakukan seseorang demi keredhaan Allah SW. T. adalah ibadah dan mendapat pahala. Bahkan setiap suapan nasi yang diberikan suami kepada isterinya dengan rela, ikhlas dan senang hati memperolehi balasan pahala, sebagaimana Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqqah r. a yang bermaksud (Muhammad Ali Quthb, 2000):

“Nafkah apa pun yang engkau berikan dengan harapan memperolehi keredhaan Allah, pasti engkau akan mendapat pahalanya, bahkan apa saja yang engkau suapkan ke mulut isterimu. ”

Ya. Bahkan dua orang suami-isteri jika ketika berkahwin mereka berniat hendak menjaga kesucian diri dari perbuatan yang diharamkan Allah (yakni zina), dan berniat memperbanyak jumlah umat Muhammad SAW. dengan kelahiran anak-anak yang soleh, yang akan menjadi para pendakwah (da’i) agama Islam dan para pejuang dijalan Allah ; persetubuhan dua orang (suami isteri) itu dikira sebagai sedekah dan ibadah (Muhammad Ali Quthb, 2000). 
Perkahwinan Merupakan Cara Untuk Mendapat Pengampunan Allah, Peningkatan Darjat Dan Istiqomah (Kemantapan Iman Dan Kelurusan Sikap)

Riwayat Muslim yang bermaksud:
“Di antara berbagai macam dosa, ada beberapa dosa yang tak terhapus kecuali oleh kesulitan mencari penghidupan. ”

Hadith berasal dari Al-Miqdam bin Ma’di Karb r. a mengatakan, 
Rasulullah pernah bersabda (maksudnya):
“Apa yang kamu dapat untuk makanmu sendiri itu adalah sedekah bagimu; makanan yang engkau berikan kepada anakmu itu adalah sedekah bagimu; makanan yang engkau berikan kepada isterimu itu adalah sedekah bagimu; dan makanan yang engkau berikan kepada pelayanmu iu pun sedekah bagimu. ”

Didalam perkahwinan terdapat unsur perjuangan melawan nafsu dan latihan jiwa dengan tujuan menjaga, mengasuh, memenuhi kewajipan terhadap keluarga, sabar menghadapi perangai wanita, tabah menghadapi gangguan mereka, berusaha memperbaiki dan menunjukkan mereka ke jalan agama(Muhammad Ali Quthb, 2000). 
Semua itu adalah amal perbuatan yang besar pahalanya, kerana semuanya merupakan tugas memelihara, mengasuh dan memimpin. Isteri dan anak adalah pihak yang dipimpin, diasuh dan dipelihara. Tugas demikian amat besar kelebihan dan pahalanya. Orang yang bekerja untuk kebaikan dirinya sendiri dan kebaikan orang lain tidak sama dengan orang yang bekerja untuk kebaikan dirinya sahaja. Susah payah mengurus isteri dan anak-anak sama dengan perjuangan di jalan Allah. Kerana itulah Bisyr Al-Hafi berkata(Muhammad Ali Quthb, 2000):
“Keutamaan Ahmad bin Hanbal disebabkan oleh tiga hal. Satu diantaranya ialah kerana ia menginginkan yang halal bagi dirinya sendiri dan bagi orang lain”. 
Firman Allah Shubhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud, 
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia jadikan di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ” (Ar-Rum:21)

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasalam bersabda, 
“Nikah itu adalah sebahagian sunnahku. Maka orang yang tidak mengamalkan sunnahku, dia tidak termasuk umatku. ”

Demikianlah besar penghargaan Islam terhadap ikatan suci - ikatan perkahwinan, tinggi penilaiannya. Dengan memberi kedudukan tinggi kepada masalah perkahwinan itu Islam mengajak mengambil fitrah yang sihat, yang atas dasar itu Allah menciptakan manusia. Perkahwinan atau hidup berpasangan yang sah merupakan sebahagian dari hukum Allah seperti firman-Nya yang bermaksud (Muhammad Ali Quthb, 2000):
 “Dan dari segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)…” (Adz-zariyat:49)

Atas dasar Sunnatullah itu maka setiap lelaki, sesuai dengan fitrah kejadiannya cenderung kepada wanita ; demikian pula sebaliknya, kerana pada tabiat masing-masing (lelaki mahupun perempuan) terdapat kekosongan (gap) rohani dan jasmani. Kekosongan itu tidak mungkin diisi kecuali dengan suatu rahsia oleh satu terhadap yang lain. Apabila satu pasangan bertemu, maka hakikat kemanusiaan yang satu telah disempurnakan oleh yang lain sehingga kekosongan jiwa masing-masing dapat dipenuhi (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

Anjuran Kahwin Dan Larangan Membujang

Islam menjunjung tinggi ikatan suci perkahwinan dan memandangnya sebagai cara untuk mewujudkan tujuan penting yang berbagai fungsi, mengandungi berbagai segi kemasyarakatan dan kehidupan, antara lain: soal-soal ibadah, akhlak, mental, kehidupan sosial, kesihatan, politik dan sebagainya(Muhammad Ali Quthb, 2000). 

Allah juga berfirman yang bermaksud:
 “Dan kahwinkanlah orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang layak dari hamba-hambamu yang laki-laki dan hamba-hambamu yang perempuan, jika mereka miskin, jadikan mereka mampu dengan kurnianya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. ” (An-Nur:32)

Rasulullah Shallalahu Alaihi Wassalam bersabda (maksudnya):
 “Wahai kaum muda, siapa di antara kamu yang telah mampu hendaklah menikah, kerana nikah itu lebih dapat menundukkan pandangan mata, dan lebih dapat menjaga faraj (kemaluan). Maka siapa yang belum mampu hendaklah berpuasa, kerana puasa itu merupakan pengekang syahwat baginya. ” (Diriwayatkan Jama’ah) 

 Islam mensyariatkan perkahwinan dan menganjurkannya, maka tidak boleh bahkan haram seseorang Muslim membujang dan menghindari pernikahan sekalipun dengan niat untuk beribadah dan taqarrub kepada Allah, kerana hal itu bertentangan dengan fitrah manusia dan dengan naluri, kecenderungan dan keinginannya (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wassalam bersabda (maksudnya):

 “Orang yang paling buruk di antara kamu adalah para pembujang, dan di antara orang-orang mati yang terburuk adalah orang yang mati dalam keadaan membujang. ” (Diriwayatkan Abu Ya’la dan Thabrani)
Hukum Perkahwinan

Hukum mengikut situasi:
a)Wajib
Bagi orang sudah mampu kahwin, nafsunya telah mendesak dan takut terjerumus dalam penzinaan, maka wajiblah dia kahwin. Kerana menjauhkan diri dari sesuatu yang haram adalah wajib, sedang untuk itu tidak dapat dilakukan dengan baik kecuali dengan jalan kahwin (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 

Kata Qurthubi:
“Orang bujang yang sudah mampu kahwin dan takut dirinya dan agamanya jadi rosak, sedang tak ada jalan untuk menyelamatkan diri kecuali dengan kahwin, maka tak ada perselisihan pendapat tentang wajibnya ia kahwin. Jika nafsu telah mendesaknya, sedang ia tidak mampu membelanjai isterinya, maka Allah nanti akan melapangkan rezekinya. ”

b) Sunat
Adapun bagi orang yang nafsunya telah mendesak lagi mampu kahwin, tetapi masih dapat menahan dirinya dari berzina, maka sunat untuk dia kahwin (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). Ia adalah untuk mereka yang mempunyai perbelanjaan seperti mahar dan nafkah. Sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012):

 “Wahai golongan pemuda! Sesiapa antara kamu yang mempunyai keupayaan zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. ”
c) Haram
 Bagi seseorang yang tidak mampu memenuhi nafkah zahir dan batin kepada isterinya serta nafsunya pun tidak mendesak, haramlah ia kahwin (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 

Qurthubi berkata:
 “Bila seseorang lelaki sedar tidak mampu membelanjai isterinya atau membayar maharnya atau memenuhi hak-hak isterinya maka tidak boleh ia kahwin, sebelum ia dengan jelas menerangkan keadaan kepadanya, atau sampai datang saatnya ia mampu memenuhi hak-hak isterinya. Begitu pula kalau ia kerana sesuatu hal menjadi lemah, tidak mampu menggauli isterinya, maka wajiblah ia menerangkan dengan terus-terang agar perempuannya tidak tertipu olehnya. ”

 Orang yang berniat menyia-nyiakan isterinya setelah dinikahi, hukum pernikahannya juga haram (Fatimah Haji Omar, 1997). Sebaliknya bagi perempuan bila ia sedar dirinya tidak mampu untuk memenuhi hak-hak suaminya, atau ada hal-hal yang menyebabkan dia tidak boleh melayani tuntutan batinnya, kerana sakit jiwa atau kusta atau mukanya bopeng atau penyakit lain pada kemaluannya, maka ia tidak boleh mendustainya, tetapi wajiblah ia menerangkan semuanya kepada laki-lakinya, ibaratnya seperti seorang pedagang yang wajib menerangkan keadaan barang-barangnya bilamana ada aibnya (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 
 Bila ternyata salah satu pasangan mengetahui aib pada lawannya, maka ia berhak untuk membatalkan. Jika yang aib perempuannya, maka suaminya boleh membatalkannya dan dapat mengambil kembali mahar yang telah diberi(Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 
d) Makruh
 Makruh kahwin bagi seseorang yang lemah syahwat dan tidak mampu memberi tuntutan isterinya, walaupun tidak merugikan isterinya, ia kaya dan tidak mempunyai keinginan syahwat yang kuat. Juga bertambah makruh hukumnya kerana lemah syahwat ia berhenti melakukan ibadah atau menuntut sesuatu ilmu (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 

e) Mubah
 Dan bagi lelaki yang tidak terdesak oleh alasan-alasan yang mewajibkan segera berkahwin atau alasan-alasan yang mengharamkan untuk kahwin, maka hukumnya mubah (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). Ia juga ditujukan kepada sesiapa yang tidak berhajat atau tidak berminat kepada hubungan seks atau tidak gemar melakukannya tetapi memiliki perbelanjaan dan nafkah (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 

Hukum asal:
Sunat (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 
Dasar Memilih Calon Isteri Menurut Pandangan Islam

 Untuk memilih calon isteri, Islam telah meletakkan beberapa kaedah dan prinsip yang betul. Islam telah menuntut kepada semua muslimin supaya memperhatikan kaedah dan prinsip tersebut untuk membangun sebuah keluarga sejati (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

Dasar pertama

 “Kahwinilah engkau dengan wanita yang baik penghayatan agamanya, engkau akan perolehi ketenteraman. ”

Itulah sabda Rasulullah SAW. dan itulah dasar terpenting dan amat besar ertinya (Muhammad Ali Quthb, 2000). Agama yang dimaksudkan disini ialah pemahaman yang benar tentang Islam dan penerapan amalinya terhadap semua keutamaan dan adabnya yang tinggi(Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). Islam adalah agama yang menjunjung tinggi etika dan nilai-nilai moral. Islam mewajibkan umatnya supaya dalam perkahwinan mengutamakan calon isteri yang berbudi luhur, indah perilakunya dan baik akhlaknya (Muhammad Ali Quthb, 2000). 
 Wanita yang berakhlak mulia dan kuat penghayatan agamanya lebih berhak dipilih menjadi isteri dan lebih baik dipilih, sekalipun mengikut ukuran hawa nafsu kebinatangan, wanita tidak dianggap sedemikian (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:
 “Wanita itu lazimnya dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya, maka pilihlah wanita yang mempunyai agama, (jika tidak), maka binasalah engkau. ” (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)
Dan sabdanya lagi, maksudnya:

 “Dunia adalah kesenangan sementara, dan sebaik-baik kesenangan dunia adalah wanita (isteri) yang saleh. ” (Diriwayatkan Muslim dan An-Nasa’i)

Rasulullah SAW. memandang isteri yang saleh sebagai nikmat terbesar yang dikurnia oleh Allah kepada seorang suami. Sebuah hadith berasal dari Ibnu Abbas r. a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda, maksudnya (Muhammad Ali Quthb, 2000):

 “Empat perkara yang dikurniakan kepada seorang bererti ia telah dikurnia kebajikan di dunia dan akhirat : hati yang bersyukur, lidah yang berzikir, badan yang sabar menerima cubaan dan isteri yang tidak ingin berbuat durhaka terhadap dirinya sendiri dan terhadap harta suaminya. ” (Diriwayatkan oleh Thabrani)

Rasulullah kemudian menerangkan kepada kita, sifat-sifat isteri yang saleh, iaitu melalui hadith (maksudnya):

 “Seorang lelaki itu akan mendapat apa-apa kebaikan selepas taqwanya kepada Allah SWT. selain dari isteri yang salehah. Jika disuruh oleh suami ia taat jika suaminya melihat kepadanya ia menyenangkannya, jika dicumbui ia dapat membuktikan kesucian dirinya dan jika ditinggalkan pergi oleh suaminya ia menjaga diri dan hartanya. ” (Hadith dari Abu Amamah r. a dan dikemukakan oleh Ibnu Majah)

 Wanita yang salehah yang beriman akan membantu suami berjalan di atas jalan Allah. Isteri yang mentaati suami sebenarnya mentaati Allah. Oleh itu mukmin dituntut mencari isteri salehah (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012).  
Dasar kedua

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wassalam bersabda, maksudnya (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001):
 “Pilihlah wanita yang baik untuk benih kamu, kerana wanita itu melahirkan (anak) seperti saudara laki-laki dan saudara-saudara perempuannya. ” (Diriwayatkan Ibnu Adi dan Ibnu Asakir)

 Asal keturunan yang baik dan mulia menjadi salah satu kriteria dalam memiih calon istrei yang baik. Namun demikian faktor ini diambil kira apabila faktor agama menjadi keutamaan. Maksudnya, seorang perempuan beragama yang berketurunan mulia, itulah pilihan utama (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 

Dasar ketiga

 Galakan perkahwinan terhadap wanita yang tiada hubungan kekeluargaan atas dasar ingin melebarkan hubungan sosial kemasyarakatan melampaui sempadan dan pertalian persaudaraan. Ia bertujuan menambahkan kekuatan kerjasama dan persepakatan yang lebih luas (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001):
 “Janganlah engkau menikahi keluarga dekat, kerana anak akan lahir dalam keadaan lemah fisik dan mental. ”

 Islam menganjurkan supaya kaum lelaki lebih mengutamakan perkahwinan wanita yang bukan ahli keluarganya sendiri, jika antara wanita yang bukan keluarganya mempunyai persamaan dengan wanita keluarga sendiri tentang kepatuhan kepada agama, kebaikan akhlak dan kebaikan keturunan. Perkahwinan begini digalakkan agar dapat melahirkan keturunan yang kuat, sihat dan cerdas. Pengalaman menunjukkan bahawa perkahwinan antara lelaki dan wanita yang berasal dari pertalian saudara yang dekat akan melahirkan ketururunan yang lemah jasmaninya dan lesu fikirannya, sedangkan perkahwinan dengan wanitabukan keluarganya dapat melahirkan keturunan yang sihat jasmani dan fikiran (Muhammad Ali Quthb, 2000). 
 Kemungkaran kesan buruk seperti itu merupakan hikmah sunnatullah yang ditetapkan berlaku bagi manusia sebagai dorongan untuk lebih memperluaskan lingkaran pertalian kekeluargaan dan saling berkenalan antara berbagai lingkungan keluarga, bangsa, puak dan suku. Oleh itu, ikatan persaudaraan antara sesama kaum muslimin menjadi bertambah kuat dan persatuan mereka pun semakin kukuh (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

 Sebab itulah Islam mengharamkan seorang muslim berkahwin dengan wanita-wanita yang mempunyai hubungan persaudaraan atau hubungan yang terbentuk oleh persusuan. Larangan tersebut demi kepentingan keluarga, dan juga sebagai penghormatan terhadap mereka (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

Dasar keempat
 Zuriat atau keturunan tidak akan wujud tanpa melalui perempuan yang boleh melahirkan zuriat yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri, juga kepada masyarakat dan seluruh manusia (Dr. Kamil Musa, 2004). Maka dengan itu Islam menganjurkan supaya pemeluknya mencari calon isteri yang subur, yakni tidak mandul. Iaitu wanita yang tidak berpenyakit keturunan atau penyakit lainnya yang dapat mencegah kehamilan dan kelahiran anak. Tegasnya ialah wanita yang berbadan sihat dan tidak cacat, sehingga ia memiliki persiapan untuk menunaikan tugas sebaik-baiknya sebagai ibu. Kebiasaannya jika ibu gadis itu sihat dan subur, maka kebiasaannya gadis itu pun subur juga (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud(Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001):
 “Nikahlah dengan wanita yang subur dan penyayang kerana saya akan berbahagia dengan jumlah kamu yang banyak dihadapan umat lain. ” (Diriwayatkan Abu Daud, An-Nasa’i dan Hakim)

Dasar kelima

 Islam juga menganjurkan supaya pemuda lebih mengutamakan gadis daripada janda dalam usahanya mencari jodoh. Islam menganjurkan supaya seorang pemuda berkahwin dengan seorang gadis kerana ianya sesuai dengan fitrah yang sihat, dan untuk mengawasi kemungkinan berlakunya kekecohan dalam kehidupan nanti. Biasanya seorang gadis mudah menerima pengalaman pertamanya dalam kehidupan rumahtangga. Berlainan dengan janda, mungkin dengan suaminya yang baru ia mengalami pengalaman yang berbeza dengan suami dahulu. Keadaan seperti itu menimbulkan perasaan tidak senang dan akan memerintah suami melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, sekiranya ia berbicara mengenai suaminya yang dahulu samada mengenai kebaikan atau keburukan akan menimbulkan perasaan seperti cemburu (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001):
 “Hendaknya kamu nikah dengan perawan, kerana mereka lebih manis tutur katanya, lebih banyak keturunannya, lebih sedikit maharnya dan lebih dapat menerima terhadap yang sedikit. ” (Diriwayatkan Ibnu Majah dan Baihaqi)

 Begitu juga dari segi kebendaan, gadis biasanya lebih bersifat berpada dengan apa yang ada dari segi harta benda. Disebabkan sifat itulah gadis sudah sewajarnya akan membawa kebahagiaan kepada kehidupan rumahtangga suami isteri yang dibina (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 
Wanita Yang Haram Dikahwini

 Wanita yang haram dikahwini terbahagi dalam dua golongan iaitu 1) wanita yang haram dikahwini selama-lamanya, 2) wanita yang haram dikahwini tidak selama-lamanya (selama masa tertentu). 

1) Yang haram dikahwini selama-lamanya
 a) Kerana hubungan kekeluargaan:
 Lelaki dilarang keras (diharamkan) selama-lamanya berkahwin dengan salah seorang dari wanita yang menjadi muhrimnya iaitu ibu, nenek dan seterusnya mengiut garis keatas. Diharamkan juga berkahwin dengan wanita dari keturunan kakak dan neneknya yang merupakan cabang-cabang keturunannya dan seterusnya menurut garis kebawah. Dengan iu diharamkan berkahwin dengan saudara perempuan ayahnya dan saudara perempuan ibunya. Anak-anak perempuan mereka boleh dikahwini, begitu juga anak perempuan saudara lelaki ayahnya dan anak perempuan saudara lelaki ibunya (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

 b) Kerana hubungan perkahwinan (mushaharah):
 Diharamkan selama-lamanya berkahwin dengan empat golongan wanita yang mempunyai hubungan persaudaraan berdasarkan ikatan perkahwinan (mushaharah). Empat golongan wanita itu ialah:
 1. Anak perempuan isterinya dan keturunannya menurut garis kebawah (yakni anak
 perempuan isterinya dari perkahwinan dengan lelaki lain yang dahulu dan anak cucu
keturunannya), jika isterinya itu telah digauli (Muhammad Ali Quthb, 2000). 


 Diharamkan juga berkahwin dengan ibu mertua, nenek ibu mertua serta seterusnya menurut garis keatas, sekalipun mereka itu (para nenek) dari isteri yang belum pernah digauli (Muhammad Ali Quthb, 2000). 
 2. Para isteri ayah dan datuk, seterusnya menurut garis keatas juga termasuk golongan
yang haram dikahwini (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

 3. Para isteri anak kandung lelaki (menantu perempuan) dan para isteri cucu lelaki, 
seterusnya menurut garis kebawah (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

 c) Kerana hubungan persusuan (ridha’)
 Diharamkan perkahwinan antara lelaki dan wanita yang sama-sama mempunyai hubungan persusuan (iaitu : kedua-duanya pernah disusui oleh seorang wanita), kecuali bentuk-bentuk persusuan seperti yang dijelaskan di dalam kitab persusuan (Bab khusus mengenai bentuk-bentuk persusuan yang dijelaskan telah ditetapkan dalam hukum Feqah) (Muhammad Ali Quthb, 2000). 
 Dua golongan wanita yang haram dikahwini kerana persusuan berdasarkan nash Al Quranul-Karim, ialah : ibu susuan dan saudara perempuan seibu-susuan (Muhammad Ali Quthb, 2000). 
 Disini kami kemukakan suatu ketentuan undang-undang mengenai perkahwinan antara lelaki dan wanita sepersusuan. Apabila ia terjadi, kemudian pihak pengendalian menemukan bukti-bukti bahawa mereka adalah saudara sepersusuan, maka dengan sendirinya keputusan hukum yang telah ditetapkan adalah : memisahkan dua orang suami isteri itu, kerana syariat mengharamkan perkahwinan antara dua orang sepersusuan (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

2) Yang haram dikahwini tidak selama-lamanya

 Wanita yang haram dikahwini untuk sementara waktu, tetapi hanya tidak boleh dimadu ialah :
 a) Saudara perempuan isteri. Ia tidak boleh dimadu (tidak boleh dijadikan isteri kedua, ketiga atau keempat) (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

 b) Isteri tidak boleh dimadu dengan emak saudaranya, baik emak saudara dari pihak ayahnya mahupun dari pihak ibunya, baik emak saudara kerana hubungan keturunan mahupun emak saudara hubungan persusuan, dengan ayahnya atau dengan ibunya (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

 c) Lelaki dilarang mengahwini wanita-wanita lain lebih dari empat orang pada satu-satu masa (Muhammad Ali Quthb, 2000). 

 d) Isteri yang telah dicerai talak tiga kali (tiga kali talak atau talak tiga) tidak boleh dikahwinkan kembali sebelum ia berkahwin dengan lelaki lain dan sudah digaulinya kemudian bercerai (Muhammad Ali Quthb, 2000). 





Calon Suami Yang Baik

Beragama
 Memilih calon suami yang mempunyai agama dan akhlak merupakan kriteria dalam memenuhi syariat Islam. Ia adalah agar suami dapat melaksanakan kewajipan secara sempurna dalam membimbing keluarga, menunaikan hak isteri, pendidikan anak, tanggungjawab yang besar dalam menjaga kehormatan dan menjamin material rumah tangga (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 
Nabi SAW. ada berpesan kepada para wali pihak perempuan supaya melihat kepada agama orang yang masuk meminang(Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). Didalam sabdanya yang bermaksud:

 “Bila anda didatangi oleh orang yang ada agama dan berakhlak baik, maka terimalah jangan dipersiakan nanti kamu akan ditimpa bencana dan malapetaka. ”

Perkahwinan adalah pertaruhan masa depan. Kepada siapa diserahkan anak gadis kita kelak. Oleh itu amat perlu sekali bagi pihak wali mengenal pasti akan orang yang mahu diserahkan anak gadis mereka. Biarlah orang yang bakal menjadi suaminya seorang yang beriman dan bertakwa yang menjaga dan memelihara tuntutan agama. Itulah yang akan menjamin kebahagiaan anak mereka apabila berada di alam perkahwinan (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 
 Seorang laki-laki pernah bertanya kepada Hasan bin Ali, “Saya punya seorang puteri. Siapakah kiranya yang patut menjadi suaminya menurut anda!. ” Jawabnya, “Seorang laki-laki yang taqwa kepada Allah. Sebab jika ia senang, ia sudi menghormatinya dan jika ia sedang marah, ia tidak suka zalim kepadanya. ” (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001)

Bersopan dan berakhlak

Al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
 “Mukmin yang sempurna imannya adalah mukmin yang paling baik akhlaknya dan yang berbudi bahasa terhadap isterinya. ”
 Selidikilah tentang budi bahasa dan tabiat perangainya terlebih dahulu supaya tidak menyesal di kemudian hari. Banyak kes penyesalan berlaku hasil daripada tidak mendapat maklumat yang sebenar terlebih dahulu. Kadang-kadang kerana terpikat dan terperangkap zaman bercinta, soal akhlak dan budi bahasa tidak dipersoalkan sangat malah dipandang remeh. Setelah mendirikan rumahtangga barulah ternyata perangai yang sebenar. Masa itu nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 

Bukan dari golongan fasik

 Calon suami yang dipilihbukanlah dari golongan fasik tukang pembuat dosa yang dapat memutuskan tali kekeluargaan (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 

Riwayat Ibnu Hibban yang bermaksud(Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001):
 “Siapa sahaja menikahkan saudara perempuannya dengan laki-laki fasik, bererti memutuskan tali keluarganya. ”
Ibnu Taimiyah berkata, “Laki-laki yang selalu berbuat dosa tidak patut dijadikan suami. ” (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001)

Kemampuan dari segi belanja

 Kekuatan ekonomi untuk sebuah perkahwinan zaman sekarang amat ketara sekali pentingnya. Banyak kes-kes kegagalan rumahtangga berpunca dari masalah kewangan. Zaman sekarang setiap pergerakan memerlukan bayaran. Lemah sudut kewangan akan mengganggu perjalanan kehidupan dan kebahagiaan rumahtangga. Janganlah terpedaya dengan bayangan waktu indah bercinta, semua cabaran akan diharungi bersama walau apa keadaan sekalipun! (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012)
 Faktor kemampuan dari segi perbelanjaan harus diberi perhatian oleh pihak wanita bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa di waktumelangkah ke gerbang pekahwinan. Banyak suara-suara rungutan yang kita dengar daripada masyarakat kini yang melibatkan soal kesempitan perbelanjaan. Ramai yang merasa tidak selesa dan terganggu kesihatan disebabkan kekurangan kewangan. Bila ada duit barulah rasa sihat. Begitulah kuatnya pengaruh ekonomi membayangi kehidupan manusia (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 
Alam perkahwinan amatlah berbeza dari alam bercinta. Bila berada di alam perkahwinan semua aspek mula difikirkan. Soal rumah tempat kediaman, perabot yang menjadi keperluan asas seperti peti sejuk, mesin basuh, kerusi meja dan sebagainya. Kenderaan untuk bergerak ke sana ke mari tak kiralah kereta atau motosikal. Semuanya harus difikir. Oleh yang demikian faktor perbelanjaan sangat penting semasa membuat pilihan (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 

Hikmah Perkahwinan

a) Kelainan jenis manusia dengan adanya keturunan dan majmuk
 Perkahwinan merupakan satu-satunya jalan tanpa pengganti untuk menambah keturunan manusia, kelansungan dan kelainannya hingga hari kiamat tiba (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). Allah telah menjadikan manusia dengan fitrahnya iaitu hidup berpasangan, berkasih sayang, harmoni dan sejahtera serta dapat memenuhi tuntutan syahwatnya dengan cara yang halal. Fitrah tersebut adalah melalui ikatan perkahwinan(Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’(ayat 1) yang bermaksu:
 “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu daripada
diri yang satu (Adam). Dia (Allah) menjadikan daripada diri Adam dan isterinya
dan mengembang biak daripada keduanya ramai laki dan perempuan…”

 Berdasarkan firman Allah di atas, jelas menunjukkan perkahwinan adalah bertujuan bagi menyambung keturunan, melalui cara yang dihalalkan dalam Islam. Perkahwinan adalah satu ibadah juga sunnah Rasulullah SAW. (Dr Engku Ahmad Zaki, 2012). 

 b) Perkahwinan adalah ibadah
Anas r. a berkata, Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:
 Daripada Anas bin Malik r. a bahawa Rasulullah memuji Allah dan bersyukur pada
 Allah lalu bersabda, “Akan tetapi aku bersolat dan tidur, aku juga berpuasa dan
juga berbuka dan juga berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang tidak suka pada
 sunnahku, maka dia bukan dari golonganku (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 c) Terpeliharanya kehormatan
 Berbeza dengan haiwan, maka manusia adalah makhluk susilah yang amat sekali ingin terjaganya kehormatan dan martabat dirinya. Dan ini hanya dapat dicapai melalui pintu perkahwinan, yang merupakan benteng untuk melindungi diri dari segala godaan dan penyelewengan (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 

 d) Mententeramkan dan menenangkan jiwa kerana kebersamaan isteri serta kesenangan kepadanya
 Al-Imam Al Ghazali berkata tentang sebahagian hikmah perkahwinan, “Perkahwinan adalah penenangan jiwa dan kesenangan kepada isteri, iaitu tatkala bersanding bersamanya, memandang dan bercanda. Perkahwinan juga mententeramkan hati dan menambah kekuatan untuk beribadah. Kerana jiwa itu mudah jemu lalu menghindari kebenaran. Sebab ia berbeza dengan tabiatnya. Andaikata jiwa terus menerus dibebani sesuatu yang kurang disukai, maka ia akan berteriak dan lari. Namun sekali waktu jika ia dihibur dengan kesenangan, maka ia akan kuat dan bersemangat. ” (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001)

 e) Mendapatkan keturunan yang sah, yang akan menyambung amal dan pahala
 Allah telah menanamkan rasa ingin mempunyai keturunan ini dalam diri setiap manusia, untuk menggantikan mereka meneruskan kehidupan dan melanjutkan generasi. Lebih-lebih lagi pada waktu mereka mulai lemah dan telah menjejakkan kaki pada akhir kehidupan. Dalam keadaan inilah, manusia mulai memikirkan dan membayangkan bahawa masa muda dan kecerdasan badannya akan berakhir. Pada waktu ini manusia tidak terdaya lagi untuk menguruskan segala keperluan dan tanggungjawabnya, hatta dirinya sendiri. Dia benar-benar memerlukan seseorang bagi mengurus keperluan dan memperbaiki keadaannya (Dr. Kamil Musa, 2004). 

Dengan jalan perkahwinan inilah orang akan dapat keturunan yang sah, baik menurut agama mahupun menurut pandangan masyarakat. Dan dengan adanya keturunan yang sah ini, maka amal usahanya akan dapat dilanjutkan walaupun ia telah meninggal dunia (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:
 “Bila seseorang anak Adam meninggal, putuslah amal usahanya kecuali dari tiga
 perkara : sedekah yang terus mengalir, ilmu yang bermanfaat dan anak saleh 
yang mendoakannya. ” (riwayat Muslim)

 Inilah yang menyebabkan manusia memerlukan anak-anak atau zuriat yang akan berbakti dan menumpahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap dirinya (Dr. Kamil Musa, 2004). Doa dari anak terhadap orang tuanya itu sahaja, yakni anak yang saleh sudah dijamin akan diterima Allah, seolah-olah almarhum memperoleh pencen yang datang mengalir tidak henti-hentinya (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 

 f) Bahu membahu antara suami isteri
 Wanita berperanan sesuai dengan tabiat dan sifat kewanitaannya yang menjadi ciri penciptaannya, seperti : memenuhi hak-hak suami, mengatur rumah dan mendidik anak-anak. Sedangkan tugas laki-laki bekerja untuk memenuhi keperluan hidup semua ahli keluarga. Bahu-membahu seperti ini akan menciptakan rasa kasih dan sayang di dalam rumah, sesuai dengan pola berkeluarga yang diletakkan Islam, sebagai upaya menegakkan keluarga Muslim (Haya binti Mubarok Al-Barik, 2001). 
 Pada waktu yang sama, suami akan memperolehi kepuasan kerana ia tahu isterinya lah yang melahirkan zuriat mereka. Dia tahu bahawa anak itu adalah sebahagian dari dirinya dan darah yang mengalir dalam tubuh anaknya adalah juga darahnya bukan orang lain (Dr. Kamil Musa, 2004). 

Penutup
Alhamdulillah. Satu-satunya ungkapan yang dapat diungkapkan ke hadrat Ilahi kerana akhirnya tugasan ini dapat disempurnakan. Tidak lupa juga kepada Ustaz Abd. Aziz bin Harjin, ibu bapa serta rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang tempoh menyiapkan tugasan ini samada dari segi kewangan mahupun tunjuk ajar. Perkahwinan yang bahagia dan sempurna merupakan dambaan setiap individu di dunia ini. Rumahtangga bukan sahaja merupakan sesuatu yang suci malah perlu dijaga sebaiknya. Ianya adalah supaya diberkati oleh Allah selaras dengan agama Islam iaitu rumahtangga yang melayakkan anggotanya menjadi ahli syurga. Perkahwinan yang terjalin bukan hanya untuk keseronokan dan memuaskan nafsu tetapi untuk memenuhi sunnah Rasulullah. Sempurnanya perkahwinan adalah kerana dasar cinta kedua-dua pasangan yang didasarkan atas cinta mereka kepada Allah. Dasar cinta kepada Allah inilah yang membuatkan sesebuah perkahwinan itu bahagia walaupun telah berpuluh tahun lamanya. Ia adalah kerana perkahwinan ini mendapat keredhaan dan diberkati Allah. Ke arah dalam menggapai keredhaan Allah, perkahwinan itu mestilah mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan dalam Islam. 

Rujukan

Dr Engku Ahmad Zaki (2012). Aku Nikah Akan Dikau. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn. Bhd. 
Dr. Kamil Musa (2004). Panduan Mencari Suami Soleh Dan Isteri Solehah. Kuala Lumpur: Percetakan Putrajaya Sdn. Bhd. 
Fatimah Haji Omar (1997). Soal-Jawab Bakal Pengantin Khusus Untuk Wanita. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. 
Haya binti Mubarok Al-Barik (2001). Ensiklopedia Wanita Mulimah. Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa Sdn. Bhd. 
Muhammad Ali Quthb (2000). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015