Riwayat Hidup Saidina Ali Bin Abu Thalib R.A

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Nuurasikin Binti Ishak
2014809314


Pendahuluan
Saidina Ali Bin Abu Thalib R. A Merupakan Seorang Tokoh Islam Yang Terkemuka Dan Sangat Disanjungi. Sepanjang Hidupnya, Beliau Banyak Menyumbangkan Tenaga, Harta Malahan Nyawa Demi Menegakkan Islam. Pelbagai Suka Dan Duka Yang Dilaluinya. Di Sini Saya Akan Mengupas Serba Sedikit Perjalanan Hidup Yang Dilaluinya Bermula Dari Kecil Sehinggalah Beliau Meninggal Dunia. Beliau Dilahirkan Sepuluh Tahun Sebelum Nabi Muhammad Saw Dilantik Menjadi Rasul. Beliau juga merupakan sepupu yang sangat dikasihi dan disayangi oleh Rasulullah SAW. Tambahan pula, beliau juga merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam.

Setelah meningkat dewasa, beliau telah dikahwinkan dengan puteri kesayangan Rasulullah SAW iaitu Saidatina Fatimah Az-Zahra. Rumah tangga mereka sangat bahagia. Mereka dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan iaitu Hassan, Hussain, Zainab dan Ummi Kalsum. Hassan dan Hussain merupakan cucu yang sangat disayangi Rasulullah SAW. Selain itu, mereka juga merupakan penghulu pemuda-pemuda syurga.

Di samping itu, Saidina Ali bin Abu Thalib juga merupakan seorang pahlawan Islam yang berani. Banyak peperangan yang disertainya semasa di zaman Rasulullah SAW. Sebagai contoh perang badar, perang uhud dan lain- lain. Hanya perang Tabuk sahaja yang beliau tidak sertai kerana arahan daripada Rasulullah SAW.

Kemudian, beliau dilantik menjadi Khalifah Islam yang keempat bagi menggantikan Khalifah Islam yang ketiga iaitu Khalifah Uthman bin Affan yang meninggal dunia akibat dibunuh oleh pemberontak. Beliau menerima jawatan khalifah ketika negara masih berada dalam keadaan kucar-kacir.

Pemerintahannya menjadi semakin konflik apabila berlakunya perselisihan faham sesama umat Islam sehingga berlakunya pertumpahan darah yang tidak diingini. Antara peperangan yang berlaku semasa pemerintahan Khalifah Ali r. a ialah Perang Jamal(unta) dan Perang Shiffin. Hal ini demikian kerana mereka mahu kes pembunuhan Saidina Uthman bin Affan diselesaikan dengan kadar segera. Mereka mahu pembunuh beliau ditangkap dan di hukum bunuh. Tetapi, Saidina Ali berpendapat sebaliknya. Beliau berpendapat bahawa apabila negara kembali aman semula, kes ini dapat diselesaikan dengan mudah.

Seterusnya, Saidina Ali juga mempunyai akhlak dan sifat-sifat peribadi yang terpuji. Hal ini demikian kerana beliau telah dididik dan diasuh oleh Rasulullah sejak dari kecil lagi. Beliau juga ditonjolkan sebagai model Rasulullah SAW.

Akhir sekali, Saidina Ali juga banyak memberikan sumbangan dalam dunia Islam. Jasa dan pengorbanan beliau menegakkan Islam hendaklah dijadikan tauladan dan pembakar semangat untuk kita terus berusaha dan mencapai kejayaan.

TAKRIF
Saidina Ali bin Abu Thalib merupakan salah seorang tokoh Islam yang terkemuka dan sangat dikenali dalam kalangan masyarakat Islam sama ada di masa zaman dahulu atau sekarang. Beliau merupakan salah seorang yang memainkan peranan yang penting dala menyebar dan menbangunkan Islam. Beliau merupakan sepupu dan sahabat yang sangat disayangi oleh Rasulullah SAW. Sejak dari kecil lagi, beliau diasuh dan dididik oleh baginda SAW sendiri. Tambahan pula, beliau juga merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat Nabi yang dijamin syurga.

Sepanjang hayatnya, beliau banyak memberi sumbangan dari segi harta, nyawa dan tenaga demi menegakkan Islam. Beliau juga terkenal dengan panggilan ‘Karamallahu Wajhah’ yang bermaksud Allah memuliakan wajahnya kerana beliau tidak pernah menyembah berhala. Selain itu, beliau juga merupakan pahlawan Islam yang berani. Beliau banyak menyertai peperangan semasa di zaman Rasulullah.

Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan salah seorang daripada khulafa Ar-rasyidin yang memerintah negara Islam setelah wafatnya Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Pelbagai suka dan duka yang dilaluinya semasa memerintah negara Islam yang huru-hara akibat kematian Khalifah Islam yang ketiga iaitu Khalifah Uthman bin Affan yang mati syahid akibat dibunuh.

Natijahnya, dengan mempelajari dan mengetahui serba sedikit perjalanan hidup salah seorang sahabat Nabi yang agung ini dapat memberikan kita pengajaran yang berguna. Selain itu, menjadikan kita seorang umat Islam yang sentiasa mempunyai nilai-nilai murni dalam diri. Akhir sekali, menjadikan ia sebagai penyuntik semangat untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat.

KELAHIRANNYA SEHINGGA BELIAU MEMELUK ISLAM

Saidina Ali bin Abu Thalib merupakan sepupu yang sangat disayangi Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan pada sepuluh tahun sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, iaitu pada 601 Masihi. Beliau dilahirkan di dalam Kaabah, Mekah Al-Mukarramah. Setelah dilahirkan, ibunya memberinya nama ‘Haidarah’ yang bermaksud singa. Manakala ayahnya pula memberi nama Ali. Beliau berketurunan Bani Hasyim. Bapa beliau iaitu Abu Thalib bin Abdul Muthalib merupakan bapa saudara baginda Rasulullah SAW. Bapanya sangat menyayangi baginda Rasulullah SAW. Beliau juga turut menjaga baginda Rasulullah SAW setelah kematian Abdul Muthalib iaitu datuk Nabi. Baginda sentiasa membantu bapa saudaranya mengembali kambing, berniaga bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Abu Thalib. Abu Thalib juga sentiasa melindungi Nabi Muhammad SAW daripada ancaman orang Quraisy setelah baginda dilantik menjadi Rasul. Manakala, ibunya pula bernama Fatimah binti Asad. Beliau merupakan seorang wanita yang penyayang dan baik hati. Baginda SAW sangat menyayanginya dan menganggap beliau seperti ibunya sendiri. Di samping itu, Saidina Ali bin Abu Thalib juga mempunyai tiga orang saudara lelaki iaitu Talib, Aqil, Jaafar dan tiga orang saudara perempuan iaitu Ummu Hani, Jumarah dan Raitah. Mereka ini merupakan saudara seibu dan sebapa iaitu anak kepada Abu Thalib bin Abdul Muthalib dan Fatimah binti Asad.

Pada suatu ketika, Mekah Al-Mukarramah mengalami musim kemarau. Ini menyebabkan penduduk Mekah yang mempunyai keluarga yang ramai mengalami kesulitan untuk menyara hidup mereka. Abu Thalib juga tidak terkecuali. Hal ini demikian kerana dia mempunyai anak-anak yang ramai dan mempunyai keluarga yang besar. Melihatkan kesusahan yang ditanggung oleh bapa saudaranya, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk membantu meringankan beban bapa saudaranya, Abu Thalib. Oleh itu, Baginda Rasulullah SAW mencadangkan pendapatnya kepada salah seorang bapa saudaranya iaitu Abbas bin Abdul Muthalib untuk mengambil salah seorang anak Abu Thalib untuk dijaga. Abbas menyetujuinya. Lalu, mereka berdua pergi menemui Abu Thalib. Abu Thalib menyetujui cadangan tersebut. Maka, dengan itu Rasulullah SAW mengambil Ali, manakala Abbas bin Abdul Muthalib pula mengambil Jaafar. Daripada peristiwa inilah, Saidina Ali tinggal bersama baginda dan diasuh oleh baginda sendiri.

Beliau sentiasa bersama-sama dengan Rasulullah SAW sehinggalah baginda diangkat menjadi nabi dan rasul oleh Allah SWT. Segala asuhan dan didikan Rasulullah samaada dari segi pertuturan, tingkah laku, pemikiran dan segalanya diamalkan. Oleh itu, beliau ditonjolkan sebagai model Rasulullah SAW. Hal ini demikian kerana, beliau tinggal bersama baginda sejak dari kecil dan diasuh dan dididik sendiri oleh insan yang agung ini.

Menurut Ibnu Ishaq disebutkan bahawa pada suatu masa, Ali bin Abu Thalib melihat Rasulullah SAW bersama isterinya, Khadijah sedang solat, lalu Ali bertanya: “Wahai Muhammad! Apakah (yang sedang kamu lakukan) ini?” Jawab baginda SAW: “Agama Allah yang terpilih dan diutuskan para rasul kerananya. Maka aku menyeru kamu kepada Allah yang Maha Esa, Tuhan yang tiada sekutu bagiNya. Aku menyeru kamu kepada penyembahanNya, supaya kamu mengkufuri al-Lat dan al-Uzza” Jawab Ali: “Inilah perkara yang belum pernah aku dengar selain sebelum hari ini. Tetapi aku memutuskan sesuatu perkara melainkan aku berbincang dahulu dengan (bapaku) Abu Thalib. ”

Rasulullah SAW agak kurang senang dengan tindakan Ali itu kerana baginda tidak mahu perkara itu diketahui umum sebelum baginda mengisytiharkannya sendiri suatu masa nanti. Baginda berkata kepada Ali: “Wahai Ali! Sekiranya kamu tidak mahu memeluk Islam maka diamkanlah sahaja perkara ini”. Malam itu Allah telah membuka pintu hati Ali untuk memeluk Islam. Dan keesokkannya beliau berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu memeluk Islam. Oleh itu, Ali RA merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Ali memeluk Islam ketika usianya menjangkau 10 tahun.

Pelbagai gelaran yang dibeikan kepadanya. Antaranya ialah ‘Karramallahu Wajhah’ yang bermaksud Allah SWT memuliakan wajahnya kerana beliau tidak pernah menyembah berhala. Selain itu, beliau juga digelar sebagai Abu Hassan sempena nama anaknya iaitu Hassan bin Ali. Di samping itu, beliau juga digelar sebagai Abu Turab. Gelaran ini diberikan sendiri oleh Rasulullah SAW. Terdapat pelbagai riwayat yang menceritakan bagaimanakah beliau menerima gelaran ‘Abu Turab’’.

PERNIKAHANNYA DENGAN FATIMAH AZ-ZAHRA R. A
Setelah berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r. a dan baginda Rasulullah SAW tinggal bersama di rumah Abu Ayyub Al-Anshari. Pada waktu itu, Saidina Ali berusia lebih dari 20 tahun. Oleh itu, beliau berhasrat mahu hidup sendiri, tetapi beliau memerlukan seorang teman hidup yang bergelar isteri.

Akhirnya, Rasulullah SAW menjodohkan beliau dengan puteri kesayangannya iaitu Fatimah Az-Zahra. Walaupun puterinya itu pernah dilamar oleh beberapa orang sahabat Nabi. Tetapi, baginda SAW menolaknya dengan baik. Baginda SAW memilih Saidina Ali untuk dijodohkan dengan Fatimah. Hal ini menjelaskan betapa sayangnya Rasulullah SAW terhadap beliau sehingga mempersaudarakannya dengan dirinya sendiri.

Dengan berbekalkan mas kahwin 400 dirham iaitu setelah beliau menjual baju besinya. Dapatlah beliau membeli serba sedikit barang-barangan keperluan setelah berumahtangga iaitu beberapa helai kain, beberapa jenis tembikar dan lain-lain lagi. Di saat penikahannya mereka, baginda SAW memberi khutbah. Maknanya kurang lebih sebagai berikut:

“Alhamdulillah Yang Maha Terpuji kerana limpahan nikmatNya, Yang berhak disembah kerana keagunganNya, Yang berhak didambakan keredhaanNya kerana segala sesuatu berada di tanganNya, Yang segala perintahNya terlaksana di bumiNya dan di langitNya, yang menciptakan manusia dengan kekuasaanNya; kemudian mereka diistimewakan dengan hukum-hukumNya, dimenangkan dengan agamaNya dan dimuliakan dengan NabiNya Muhammad SAW. kemudian Allah menjadikan hubungan perkahwinan(mushaharah) sebagai sarana penerus keturunan dan dijadikan pula olehNya sebagai perintah yang diwajibkan. Dengan hubungan perkahwinan itu, silaturahim(kekerabatan) tambah diperkukuh, suatu hal yang diperlukan dalam kehidupan manusia. Allah Tabaraka Wa Ta’ala telah berfirman: “... Dan Dialah(Allah) yang telah menciptakan manusia dari air, lalu Dia menjadikan manusia berketurunan dan bermushaharah (hubungan kekeluargaan dan kekerabatan dari perkahwinan);dan Tuhanmu adalah Maha Kuasa (berbuat segala sesuatu). ” Allah memerintahkan diriku menikahkan Fathimah
dengan Ali, dan aku bersaksi bahawa aku telah menikahkannya dengan Ali atas dasar maskahwin 400 mitsqal perak. Hai Ali, apakah engkau redha?” Imam Ali menjawab: “Aku redha ya Rasulullah. ” Imam Ali kemudian sujud (bersyukur kepada Allah). Kemudian Rasulullah SAW berdoa bagi dua orang pengantin: “Semoga Allah memberkati kalian berdua, memberkati apa yang ada pada kalian berdua, membuat kalian berbahagia dan mengeluarkan dari kalian keturunan yang banyak dan baik”.

Setelah selesai baginda berucap, giliran Ali pula berucap:“Alhamdulillah, Allah dekat dengan hamba-hambaNya yang berpuji syukur kepadaNya, Yang tidak jauh dari hamba-hambaNya yang mohon kepadaNya, Yang menjanjikan syurga bagi hamba-hambaNya yang bertakwa kepadaNya, Yang mengancamkan azab neraka bagi orang-orang yang durhaka kepadaNya. Kita panjatkan puji syukur atas kebaikan dan limpahan kasih sayangNya, puji syukur seorang hamba yang mengenal Khalid dan PenciptaNya, Allah yang mematikan, menghidupkan, Yang akan menuntut pertanggungjawapan atas perbuatan buruk hamba-hambaNya. KepadaNya kita mohon pertolongan dan hidayah; kepadaNya kita beriman dan menyerahkan segala sesuatu krpada kekuasaanNya. Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan tiada sekutu apa pun bagiNya, kesaksian yang mengdatangkan keredhaanNya; dan aku pun bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan RasulNya, kesaksian yang menjunjung tinggi martabat dan kemuliaannya. Saksikanlah (para hadirin) bahawa Rasulullah SAW telah menikahkan diriku dengan Fathimah atas dasar maskahwin 400 dirham. Rasulullah SAW kemudian menjawab: “aku telah menikahkan engkau dengan anakku Fathimah atas dasar apa yang Allah Maha Pengasih telah menikahkan dirimu. Aku redha apa yang telah diredhai Allah. Engkau adalah menantu yang baik, sahabat yang baik dan Allah meredhaimu. ”

Setelah itu Rasulullah SAW menyuruh orang menghidangkan kurma dan Ali R. A menyantapnya.

Hasil daripada perkahwinan mereka, mereka berdua telah dianugerahkan oleh Allah empat orang cahaya mata yang baik dan soleh, iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Hassan dan Hussain merupakan cucu yang sangat disayangi Rasulullah SAW. Mereka juga merupakan penghulu pemuda-pemuda syurga.

SAIDINA ALI R. A MENJADI KHALIFAH
Apabila Uthman bin Affan, iaitu Khalifah Islam yang ketiga gugur syahid akibat dibunuh oleh puak pemberontak. Oleh itu, Kota Madinah tidak mempunyai pemimpin. Banyak orang menganggap bahawa beliau layak menjadi khalifah kerana beliau satu-satunya sahabat nabi yang layak dibaiat, tetapi Saidina Ali tidak bersedia untuk dibaiat. Akhirnya, dia menerima jawatan itu dengan hati yang berat disebabkan keadaan umat Islam yang tidak tenteram akibat musibah yang menimpa mereka iaitu pembunuhan Khalifah Uthman. Beliau dilantik menjadi Khalifah pada tahun 35 Hijrah / 656 Masihi.

Setelah dibaiat menjadi Khalifah, beliau memberikan khutbah di hadapan para muslimin. Ianya seperti berikut:

Sesudah memanjatkan kepujian kepada Allah Taala dan menujukan selawat dan salam kepada rasulnya, dia lalu berkata: Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah menurunkan kitabNya sebagai petunjuk yang menjelaskan antara yang baik dan yang jahat, maka ambillah kamu yang baik dan tinggalkanlah yang jahat. Semua fardhu yang diwajibkan ke atas kamu, tunaikanlah kepada Allah SWT mudah-mudahan dia akan membawa kamu ke syurga. Sesungguhnya Allah telah mengharamkan banyak perkara-perkara yang tidak asing lagi kepada kamu, tetapi Dia telah mengutamakan pengharaman darah seorang Muslim ke atas semua perkara yang diharamkanNya dan Dia telah memperteguhkan diri dengan seorang Muslim itu dengan ikhlas dan tauhid. Seorang Muslim ialah siapa yang terselamat manusia dari lisannya dan tangannya, kecuali dengan kebenaran. Tidak dibolehkan menganiayai seorang Muslim kecuali yang wajib saja. Segeralah mematuhi perintah umum dan kekhususan seseorang kaum ialah maut, kerana manusia berada dihadapanmu, dan dibelakang kamu ajalmu sedang membuntutimu. Ringankanlah diri kamu supaya kamu dapat mengumpulkan diri dengan siapa yang sudah pergi sebelum kamu. Sebab yang dikirakan manusia itu ialah keakhiratan mereka. Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah kepada Allah, dan berkhidmatlah terhadap hamba-hamba Allah dan negara, kerana sesungguhnya kamu sekalian akan dipertanggungjawabkan terhadap manusia dan binatang. Taatlah kepada Allah dan jangan melanggarNya, dan jika kamu dapati yang baik, maka ambillah dia, dan jika kamu mendapati yang jahat, maka tinggalkanlah dia.

Apabila Saidina Ali menjadi Khalifah Islam yang Keempat, beliau cuba mengembalikan pemerintahan Islam kepada dasar asalnya seperti zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar Al-khattab. Tetapi, perkara ini akan menimbulkan rasa kurang senang orang ramai khususnya Bani Umaiyah yang kini banyak menjawat jawatan yang tinggi dan penting dalam jabatan kerajaan yang sebelumnya. Maka, akan timbullah prasangka-prasangka yang buruk seperti menolak perlantikan Ali sebagai Khalifah dengan alasan beliau telah mengabaikan tugasnya untuk menuntut bela di atas pembunuhan Khalifah Uthman. Selain itu, mereka juga mengatakan Ali terlibat dalam pembunuhan tersebut. Sebenarnya bukan beliau tidak mahu melaksanakan hukuman Allah itu, tetapi biarlah perpaduan rakyat diraih semula.

Di samping itu, beliau telah memindahkan pusat pemerintahan ke Kufah. Beliau juga telah memecat semua gabenor-gabenor yang dilantik oleh Khalifah Uthman. Hal ini menyebabkan keadaan pentadbirannya lebih menerima tentangan dari luar. Selain itu, beliau juga mendapat tentangan daripada Muawiyah bin Abu Sufyan iaitu gabenor wilayah Syam dan pembantunya Amru bin As. Mereka tidak menyatakan taat setia kepada pemerintahan Ali. Hal ini demikian kerana, mereka bercita-cita untuk menjadi Khalifah. Oleh itu, Khalifah Ali mengutuskan wakilnya ke Syam, tetapi Muawiyah lewat memberi jawapan. Hal ini telah mencetuskan perbalahan yang sengit di antara mereka sehingga berlakunya pertumpahan darah sesama umat Islam.

Muawiyah enggan mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah. Beliau juga menuntut agar Saidina Ali mengenakan hukuman terhadap orang-orang yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Saidina Uthman r. a. Akibat kedegilannya tidak mahu membaiat Saidina Ali sebagai Khalifah telah menyebabkan berlakunya peperangan diantara kedua-dua penyokong. Akhirnya, dengan takdir Ilahi, gugur syahidlah Saidina Ali r. a. akibat dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam yang terdiri daripada puak khawarij. Sebenarnya puak khawarij merupakan askar-askar Ali yang pernah berperang dipihaknya dalam Perang Shiffin. Mereka tidak menyetujui keputusan beliau untuk berhenti berperang apabila melihat pihak Muawiyah menjulang kitab Al Quran sedangkan pada waktu itu, mereka hampir berjaya mengalahkan pihak Muawiyah. Ini membuktikan bahawa Saidina Ali sangat sayangkan keamanan dan talian persaudaraan diantara umat Islam.

Khalifah Ali meninggal dunia pada 19 Ramadhan tahun 40 Hijrah dalam usia 63 tahun dan masa pemerintahannya lebih kurang lima tahun. Beliau gugur syahid akibat dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam iaitu puak khawarij yang tidak bersetuju dengan majlis tahkim. Beliau dimakamkan di Kufah. Sesudah beliau meninggal dunia, pembunuhnya telah dihukum bunuh.

PEPERANGAN YANG BERLAKU DI ZAMAN KHALIFAH ALI

Perang Jamal atau Perang Unta berlaku pada 11 Jamadilakhir 36H atau 657M yang mengambil masa tidak sampai sehari. Kemenangan berpihak kepada Ali. Diriwayatkan bahawa perang ini dpanggil sebagai perang Jamal(unta) kerana pada ketika itu Saidatina Aisyah sedang duduk di atas unta. Selepas peristiwa pembunuhan Khalifah Islam yang ketiga iaitu Saidina Uthman bin Affan, yang didalangi oleh pihak munafiqun iaitu Abdullah bin Saba. Saidina Ali dibaiat sebagai Khalifah Islam. Pembaiahan ini tidak menjadi masalah kepada para sahabat. Tetapi kekacauan mula berlaku apabila mereka meminta agar pembunuhnya segera ditangkap dan diqisas dan fitnah mula tersebar. Saidina Ali mengambil langkah untuk melewatkan sedikit perlaksanaan hukuman ini di atas 2 sebab yang utama iaitu keadaan negara yang tidak stabil kerana umat Islam berpecah kepada dua belah pihak. Selain itu, orang yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman terdiri daripada kaum munafiqun dan beberapa orang muslim yang termakan dengan hasutan mereka. Walau bagaimanapun, waris Saidina Uthman kurang bersetuju dengan ijtihad Ali dan menggesa agar Ali mempercepatkan hukuman itu. Tetapi ada sesetengah pihak yang bersetuju dengan Ali. Hal ini menyebabkan Saidaitina Aisyah berangkat ke Basrah bersama-sama dengan sekumpulan muslimin untuk mencari jalan penyelesaian terhadap perpecahan umat Islam yang tercetus akibat kematian Saidina Uthman. Hal ini jelas menunjukkan keberangkatan Aisyah ke Basrah bukanlah bermaksud untuk berperang, tetapi lebih kepada perdamaian. Dan ketika menghampiri Basrah, kumpulan Saidina Ali telah bertemu dengan kumpulan Saidina Aisyah. Hasil dari perbincangan mereka, maka kata sepakat telah diambil iaitu untuk mempercepatkan proses hukuman terhadap pembunuh yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Saidina Uthman. Segala-segalanya kelihatan selesai, namun tidak bagi pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu. Oleh itu, mereka merancang untuk melakukan onar bagi mengelakkan diri mereka dihukum. Pada awal keesokkan paginya iaitu sehari selepas pertemuan Ali dengan Aisyah, kaum munafiqun itu telah menyerang kumpulan Saidina Aisyah. Dalam keadaan terkejut dari tidur, mereka menyangka bahawa serangan itu datang daripada kumpulan Saidina Ali. Tanpa berfikir panjang, mereka lalu menyerang balas bagi mempertahankan diri kerana terasa perjanjian itu telah dikhianati. Melihat kejadian itu, Ali pun menyerang balas. Pendek kata, kedua-dua kumpulan merasakan diri mereka masing-masing dikhianati. Maka terjadilah peperangan Jamal. Ribuan orang mati terbunuh akibat peperangan hanya kerana ketidakpuashatian sesetengah pihak terhadap keadilan yang ditegakkan oleh Saidina Ali. Pasukan Ali berjaya mengalahkan pasukan yang diketuai oleh Aisyah yang ketika itu sedang menunggang unta. Perang ini berakhir apabila unta yang dinaiki oleh beliau ditusuk tombak dan jatuh. Ali memaafkan mereka yang sebelum ini menghunuskan pedang untuk memeranginya. Malahan pula, Aisyah juga dihantar pulang ke Madinah dengan dikawal oleh sepasukan wanita bersenjata lengkap.

Perang yang kedua terjadi semasa pemerintahan Ali ialah Perang Shiffin. Perang ini merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Muawiyah bin Abu Sufyan ke atas Ali. setelah Perang Jamal berakhir, Saidina Ali menghantar utusan kepada Muawiyah meminta agar beliau membaiatnya sebagai Khalifah Islam. Tetapi Muawiyah menolaknya dengan alasan beliau mahu kes pembunuhan Saidina Uthman diselesaikan dengan kadar segera. Jika tidak beliau sendiri akan mengambil tindakan ke atas pembunuh Uthman. Mendengar jawapan beliau, Saidina Ali lantas menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke Syam. Keadaan ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan bergerak menuju ke Kufah. Akhirnya, kedua-dua pasukan ini bertemu disatu tempat yang bernama Siffin. Mereka berperang sehinggakan ramai yang terkorban termasuklah Ammar bin Yasir yang berpihak di pihak Ali. Pasukan Ali hampir berjaya mengalahkan pasukan Muawiyah. Tetapi pihak Muawiyah mengangkat al Quran. Oleh itu, Saidina Ali mengambil keputusan untuk menghentikan peperangan dan memulakan proses perundingan. Proses rundingan itu berlangsung di mana pihak Ali diwakili oleh Abu Musa Al-Asya’ari manakala di pihak Muawiyah pula diwakili oleh Amru bin Al-Ash.

SIFAT-SIFAT PERIBADI
Saidina Ali R. A terkenal sebagai seorang pemuda yang berani. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau sanggup menggantikan diri dengan tidur di tempat Rasululluh SAW pada malam hijrah. Walaupun beliau tahu risiko yang akan dihadapinya. Beliau tetap menerimanya tanpa rasa takut dan khuatir. Selain itu, keberanian beliau juga terserlah apabila berada di medan perang. Sebagai contoh, beliau menyahut cabaran orang Quraisy untuk bertanding satu lawan satu di dalam peperangan Badar. Dan Akhirnya, beliau berjaya membunuh lawannya dengan mudah. Di samping itu, di dalam perang Khandak, beliau juga menyahut cabaran satu lawan satu dengan pahlawan Quraisy iaitu Amru bin Wid yang lebih berpengalaman daripadanya. Tetapi, beliau berjaya membunuhnya. Beliau juga telah menyertai kesemua peperangan pada zaman Rasulullah kecuali Perang Tabuk.

Seterusnya, Ali R. A juga merupakan seorang yang pintar dan berilmu. Beliau terkenal dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti sastera, ilmu Hisab dan kehakiman sehingga beliau digelar sebagai gedung Ilmu oleh Baginda Rasulullah. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, beliau menjadi sebagai sumber rujukan dalam kalangan sahabat. Hal ini kerana, beliaulah orang yang paling rapat dengan baginda dan keupayaan beliau dalam mengemukakan pendapat dan mengeluarkan hukum dalam sesuatu perkara. Seterusnya, baginda SAW juga pernah melantiknya sebagai jurutulis wahyu dan jurutulis perjanjian Hudaibiyah.

Di samping itu, beliau juga seorang yang zuhud dalam seluruh kehidupannya. Anak beliau, Hassan pernah menceritakan:
‘Demi Allah, dia tidak pernah menyimpan wang emas atau perak. Dia cuma ada tujuh atau lapan dirham sahaja dan itu pun telah diberikan kepada seorang hamba perempuan. ’

Selain itu, diriwayatkan bahawa pada suatu hari Saidina Ali telah pergi ke pasar untuk menjual pedangnya. Beliau berkata: ‘kalaulah aku memiliki empat dirham, nescaya aku tidak akan menjualnya’. Hassan bin Soleh pernah bercerita: ‘Ramai orang sedang berbincang tentang orang-orang yang zuhud di hadapan Umar Abd Aziz. Lalu, Umar berkata: Manusia yang paling zuhud di dunia ini ialah Ali bin Abu Thalib.

Seterusnya, beliau juga seorang yang dermawan. Beliau pernah memberikan pedang kesayangannya kepada seseorang untuk dijual guna membeli sehelai kain. Walaupun dalam keadaan miskin, beliau memang terbiasa untuk tidak mengecewakan siapa pun yang mengetuk pintu rumahnya. Pada suatu hari, beliau menerima ‘upah’ menyiram kebun di Madinah. Keesokkan harinya, Ali mendapat sepiring gandum rebus untuk makanannya. Sebelum ia sempat memakannya, datang seorang peminta sedekah mengetuk pintu rumahnya lalu diberinya makanan itu. Kejadian itu terjadi selama 3 hari dan selama itu ia tidak ada makanan untuk dirinya sendiri.

Saidina Ali juga merupakan seorang yang tidak berat sebelah atau pilih kasih. Beliau sangat tegas dengan gabenor-gabenornya. Beliau sering memantau tindakan-tindakan mereka. Diceritakan suatu ketika bapa saudaranya, Ibnu Abbas yang menjawat jawatan sebagai gabenor Basrah mengambil wang Baitul Mal untuk kepentingan peribadi. Ali langsung menegurnya sehingga Ibnu Abbas takut bertemunya lalu meninggalkan Basrah pergi ke Mekah. Jelas disini bahawa Ali tidak pilih bulu.

SUMBANGAN DAN JASA SAIDINA ALI RA
Saidina Ali RA banyak memberi sumbangan dalam menyebar dan membangunkan Islam. Antaranya ialah beliau menjadi jurutulis dalam perjanjian Hudaibiyah. Ketika itu, Rasulullah SAW dan para sahabat hendak menunaikan haji. Malangnya, kehadiran mereka telah di salah tafsir oleh pihak Quraisy. Oleh itu, Baginda SAW telah mengutuskan Uthman bin Affan kepada kaum Quraisy untuk menerangkan tujuan mereka yang sebenar. Tidak lama kemudian, datanglah Suhail bin Amru yang mewakili kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW. Setelah berbincang, kedua- dua pihak bersetuju untuk berdamai. Oleh itu, Baginda Rasulullah memanggil Ali untuk menulis surat perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian Hudaibiyah.

Selain itu, beliau juga pernah mengetuai misi dakwah dan menjadi hakim di Yaman. Pada waktu itu, Rasulullah SAW pernah mengutus Khalid Al-Walid dan sahabat-sahabatnya ke Yaman untuk mengajak penduduk Yaman memeluk Islam. Khalid Al-Walid menetap di sana selama 6 bulan tetapi tidak ada seorang pun daripada mereka mahu memeluk Islam. Maka, Rasulullah SAW mengutuskan Ali bin Abu Thalib ke Yaman dengan dibekali sepucuk surat. Beliau telah membacakan surat itu dihadapan mereka, lalu kaum Hamdan itu memeluk Islam. Ali menulis sepucuk surat kepada baginda SAW untuk memberitahu berita itu. Setelah membacanya, baginda SAW bersujud sebagai tanda syukur.

Di samping itu, beliau juga pernah menyelesaikan masalah harta rampasan perang. Beliau telah membahagikan kepada lima bahagian. Dengan itu, beliau mula membuat undian bahagian manakah yang akan disalurkan untuk agama Allah. Akhirnya, undian beliau itu telah terkena pada bahagian yang pertama. Bahagian-bahagian selebihnya dibahagikan kepada semua askarnya termasuk dirinya sendiri. Beliau juga menyediakan bahagian untuk baginda SAW.

Kemudian, beliau juga pernah menjadi penasihat dalam bidang kehakiman kepada ketiga-tiga Khalifah Ar-Rasyidin. Sebagai contoh, pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, Umar sentiasa menjadikan beliau sebagai sumber rujukan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini demikian kerana, beliau seorang yang sangat cekap dalam mengemukakan pendapatnya terhadap kes-kes yang tertentu. Tambahan pula, beliau berupaya mengeluarkan sebarang hukum bagi sesuatu perkara dan masalah.

Akhir sekali, jasanya semakin jelas apabila beliau sanggup menerima jawatan khalifah dalam keadaan huru-hara. Pelbagai usaha yang dilakukannya untuk menyatukan umat Islam yang berpecah walaupun memdapat tentangan yang kuat daripada pihak lain. Akhirnya, beliau gugur syahid akibat dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam.

PENUTUP
Ali bin Abu Thalib merupakan seorang tokoh Islam yang harus dijadikan sebagai role model dalam kalangan umat Islam masa kini. Hal ini demikian kerana, sepanjang hidup beliau, beliau banyak memberikan sumbangan tidak kiralah dari segi harta, nyawa dan tenaga demi menegakkan Islam. Bukan itu sahaja, pada dirinya juga terdapat nilai-nilai kebenaran, keadilan, keimanan, kepahlawanan, kebajikan dan kemuliaan sehingga menempatkan beliau di kedudukan yang tinggi dan terhormat dalam kalangan Umat Islam.

Beliau merupakan sepupu Rasulullah SAW dan juga suami kepada puteri kesayangan Rasulullah iaitu Fatimah Az-Zahra. Beliau juga merupakan ayahanda kepada Hassan dan Hussain iaitu cucu yang sangat disayangi Rasulullah SAW. Di samping itu, beliau banyak memberi sumbangan tenaga dengan menyertai pelbagai peperangan. Kegagahan beliau dalam medan tempur tidak dapat ditandingi oleh pihak lawan.

Beliau juga merupakan cendiakiawan yang terulung. Pelbagai bidang yang dapat dikuasainya sehinggakan beliau digelar sebagai ‘gedung ilmu’ oleh Rasulullah SAW sendiri. Pernah Ibnu Abbas RA ditanya: Di mana ilmumu jika dibandingkan dengan ilmu sepupumu (yakni Ali bin Abu Thalib). ’ Jawab Ibnu Abbas: “Ilmuku ibarat setitik air hujan yang jatuh mengalir kedalam lautan yang dalam!”

Setelah beliau menjadi Khalifah, pelbagai usaha yang dilakukannya untuk mengembalikan perpaduan Umat Islam yang berpecah belah. Pelbagai cabaran yang dihadapinya sehingga berlakunya pertumpahan darah sesama Umat Islam. Dan akhirnya, beliau meniggal dunia akibat di bunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam. Sungguhpun beliau telah meninggal dunia, jasa beliau tetap dikenang sehingga kini.

Natijahnya, beliau hendaklah dijadikan sebagai tauladan untuk kita berubah menjadi umat Islam yang lebih baik. Sepanjang usianya enam puluh tiga tahun, beliau sentiasa mengamalkan amar makruf nahi mungkar dan menghabiskan masa hidupnya dengan menyebar dan mengembangkan Islam. Oleh itu, tidak hairanlah beliau dicalonkan antara sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga. Mudah-mudahan Allah SWT meredhainya.

RUJUKAN

  1. Jamil Ahmad. (1988). Seratus Muslim Terkemuka. Kuala Lumpur:Syarikat S. Abdul Majeed. 
  2. H. M. H. Al Hamid Al Husaini. (1995). Imamul Muhtadin. Singapura:Pustaka Nasional Pte Ltd. 
  3. Syed Ahmad Semait. (1995). Sepuluh Yang Dijamin Masuk Syurga, edisi PI. Singapura:Pustaka Islamiyah Pte Ltd. 
  4. Mahmud Syakir. (2004). Ali Bin Abi Talib(Abu Turab), terjemahan Ibnu Ghazali. :Jasmine Enterprise
  5. Yunus Ali Al-Muhdhor. (1993). Kehidupan Nabi Muhammad SAW Dan Amirul Mu’minin Ali Bin Abi Talib ra. Kuala Lumpur:Victory Agencie. 



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 4/02/2015