Perkahwinan Dalam Islam

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Noor Aleeza Binti Abdul Wahab
2014876728

Pendahuluan
Bermula dari alam perkenalan, pertunangan, upacara perkahwinan dan alam penuh kesepakatan, alam rumahtangga yang merupakan rentetan yang bakal dijelajahi oleh setiap pasangan yang berumahtangga. Perkahwinan merupakan salah satu sunnatullah yang berlaku pada semua makhluk Tuhan, baik pada manusia haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan dan merupakan cara yang dipilih Allah sebagai jalan bagi manusia untuk berkembang dan beranak-pinak serta menghalalkan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan. Secara umumnya, hukum perkahwinan adalah sunat kerana diamalkan oleh Rasulullah SAW dan boleh berubah mengikut keadaan seseorang itu. Hukum-hukum yang boleh berubah mengikut keadaan seseorang itu terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunat, makhruh, harus, dan haram. Sesuatu perkahwinan tidak akan berlaku tanpa adanya rukun-rukun perkahwinan. Perkahwinan yang sah amat bergantung dengan kesemua rukun tersebut iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi dan sighah ( ijab dan kabul ). Maka setiap rukun tersebut pula diikat dengan beberapa syarat agar segala-galanya berjalan dengan lancar. Syarat-syarat perkahwinan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam haruslah diikuti agar perkahwinan itu sah di sisi Islam. Di dalam perkahwinan Islam, terdapat perkahwinan-perkahwinan yang diharamkan seperti perkahwinan Mut’ah, perkahwinan Tahlil, perkahwinan Syighar dan banyak lagi. Akhir sekali ialah hikmah perkahwinan. Apabila berkahwin, badan akan menjadi segar, jiwa menjadi tenang serta mata terpelihara dari melihat sesuatu yang haram dilihat. Hikmah lainnya ialah naluri kebapaan dan keibuan akan tumbuh saling melengkapi dalam suasana hidup bersama anak-anak dan akan tumbuh perasaan kasih sayang yang merupakan tunggak kebahagiaan sesebuah rumahtangga. 

Pengertian Perkahwinan
Dari segi bahasa, perkahwinan bermaksud cantum atau himpun. Manakala dari segi istilah pula ialah akad yang menggunakan lafaz nikah atau yang membawa makna nikah bagi menghalalkan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan. (Khairunnisa' Yusoff, 2012)

Allah SWT berfirman dan maksudnya : “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami). ”(Adz-Dzariyat:49)

Allah SWT berfirman lagi dan maksudnya : “Maha suci Allah yang telah menciptakan makhluk-makhluk, semuanya berpasangan sama ada dari bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak dapat mengetahuinya. ” (Yaasin:36)

Perkahwinan merupakan salah satu sunnatullah yang berlaku pada semua makhluk Tuhan, baik pada manusia, haiwan, mahupun tumbuh-tumbuhan dan merupakan cara yang dipilih Allah sebagai jalan bagi manusia untuk beranak-pinak, berkembang dan mengekalkan kehidupan setelah pasangan masing-masing siap melakukan ijab kabul dan sebagainya dalam mewujudkan tujuan perkahwinan. Allah tidak menjadikan manusia seperti makhluk lain yang hidup bebas mengikut naluri masing-masing antara jantan dan betina tanpa aturan. Hubungan antara lelaki dan perempuan diatur secara terhormat berdasarkan rasa saling meredhai dengan upacara ijab kabul sebagai lambang rasa redha dan dengan dihadiri para saksi yang menyaksikan bahawa kedua pasangan lelaki dan perempuan itu saling rela-merelakan. (Zulkefli Yazid, 2002)

Selain itu perkahwinan adalah sebahagian dari fitrah manusia dan berdasarkan fitrah Allah menciptakan manusia. Perkahwinan juga merupakan sebahagian pula dari hukum Allah yang berlaku di alam nyata. Kerana itu, Rasulullah SAW melarang dari bersikap menolak atau mengabaikan perkahwinan, bahkan dengan tegas baginda mencela keras dan tidak mengakui orang yang bersikap seperti itu sebagai umat baginda. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Mengenai hal itu, baginda SAW bersabda: Mafhumnya: “Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, ia bukan dari aku (yakni bukan dari umatku). Berkahwin adalah sunnahku kerana itu, siapa yang mengasihaniku hendaklah ia melaksanakan sunnahku. ”(Diriwayatkan oleh Ahmad B. Hanbal)

Rasulullah SAW menegaskan bahawa orang-orang yang membujang (tidak mahu kahwin) adalah orang-orang yang sia-sia hidupnya dan mereka juga merupakan orang-orang yang akan mati sia-sia. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Di samping itu, perkahwinan dari sudut kemasyarakatan ialah suatu cara yang berfaedah bagi tujuan-tujuan sosial yang mulia, dan menjamin lahirnya hubungan yang kukuh di antara anggota-anggota masyarakat. Misalnya, jika tiga orang lelaki bersaudara kahwin dengan tiga orang wanita dari keluarga yang berlainan, maka perkahwinan itu tentu menjadi semakin meluas iaitu saling berkenalan dan saling mengerti di antara beberapa linkungan keluarga atau beberapa puak dan beberapa suku bangsa, hasil dari pembentukan dan ikatan hubungan perkahwinan dan hubungan tersebut tidak ada. Hubungan itulah yang disebut sebagai silaturrahim atau hubungan keakrabatan. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Islam juga memandang perkahwinan sebagai cara yang bermanfaat untuk menjaga kaum lelaki dari keburukan dan bahaya yang dilakukan secara bersembunyi, penyelewengan seks dan segala gejala yang dapat merosakkan kesihatan fizikal dan mental, jasmani dan rohani. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Seterusnya, pelbagai pengertian perkahwinan telah diberikan oleh para ulama’ iaitu suatu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan muhrim dan menimbulkan hak serta kewajipan antara kedua-dua mereka. Dalam pengertian yang luas, perkahwinan adalah suatu ikatan lahir antara dua orang lelaki dan perempuan untuk hidup bersama di dalam sebuah rumahtangga di samping melahirkan zuriat sebagai meneruskan kelangsungan hidup manusia menurut batas-batas (disiplin), hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Galakan melangsungkan perkahwinan ini dapat kita lihat dalam beberapa ayat al Quran di antaranya ialah surah al-Nisa’ ayat tiga(Muhammad Ali Quthb, 1991) :

Mafhumnya : “Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai, dua, tiga atau empat tetapi kalau kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (di antara perempuan-perempuan itu) hendaklah (kamu berkahwin) seorang sahaja. ”

Hukum Perkahwinan

Secara umumnya hukum perkahwinan adalah sunat kerana diamalkan oleh rasulullah SAW. (Khairunnisa' Yusoff, 2012)
Hukum perkahwinan berubah mengikut keadaan seseorang iaitu :
A) Wajib
• Orang yang mampu menunaikan nafkah zahir dan batin dikhuatiri terjerumus kepada zina jika tidak berkahwin. (Khairunnisa' Yusoff, 2012)
• Kahwin diwajibkan bagi orang yang telah mampu, yang akan menambah takwa dan bila dikhuatiri akan berbuat zina kerana menjaga jiwa dan menyelamatkannya dari perbuatan haram adalah wajib. Kewajipan ini tidak akan dapat terlaksana kecuali dengan berkahwin. (Abd Aziz, 1998)

B) Sunat
• Orang yang mampu menunaikan nafkah zahir dan batin berkeinginan untuk berkahwin tetapi tidak dikhuatiri terjerumus kepada zina jika tidak berkahwin. (Khairunnisa' Yusoff, 2012)
• Kahwin disunatkan bagi orang yang sudah mampu tetapi ia masih sanggup mengendalikan dirinya dari perbuatan haram, dalam hal seperti ini maka kahwin lebih baik daripada membujang kerana membujang tidak diajar oleh Islam. (Abd Aziz, 1998)

C) Makruh
• Mereka yang tidak mampu memberi nafkah tetapi berkeinginan untuk berkahwin. (Khairunnisa' Yusoff, 2012)

D) Harus 
• Orang yang tidak mempunyai tuntutan mendesak dan tidak ada perkara yang mengharamkannya berkahwin. (Khairunnisa' Yusoff, 2012)
• Orang yang tidak ada halangan untuk kahwin dan dorongan untuk kahwin belum membahayakan dirinya ia belum wajib kahwin dan tidak haram bila tidak kahwin. (Abd Aziz, 1998)

E) Haram
• Orang yang tidak mampu memberi nafkah zahir dan batin atau diyakini akan melakukan kezaliman terhadap pasangannya. (Khairunnisa' Yusoff, 2012)
• Kahwin diharamkan bagi orang yang tahu bahawa dirinya tidak mampu melaksanakan hidup berumahtangga, melaksanakan kewajipan lahir seperti memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal dan kewajipan batin seperti menggauli isteri. 
(Abd Aziz, 1998)

Rukun Perkahwinan 

Sesuatu perkahwinan tidak akan berlaku tanpa berasakan kepada beberapa perkara penting yang diistilahkan oleh para ulama’ sebagai rukun-rukun perkahwinan. Tanpa sebahagiannya atau salah satunya maka, perkahwinan tidak akan wujud. Kesempurnaan serta kesahannya amat bergantung dengan kewujudan kesemua rukun tersebut. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

Rukun-rukun perkahwinan kesemuanya ada lima iaitu:
I) Pengantin lelaki. 
II) Pengantin perempuan. 
III) Wali. 
IV) Dua orang saksi. 
V) Sighah (Ijab dan Kabul). 

Setiap rukun di atas diikat dengan beberapa syarat tertentu agar segala-galanya berlaku dengan sempurna. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

Syarat-syarat Perkahwinan 

a) Syarat-syarat pengantin lelaki :

Kesahan sesuatu perkahwinan mempunyai pertalian yang rapat dengan kesempurnaan syarat-syarat kelayakan diri pada pengantin lelaki. Antara syarat-syarat tersebut ialah pengantin lelaki hendaklah seorang yang beragama Islam, bukan seorang yang dipaksa berkahwin dan dia bukan seorang yang sedang berihram kerana mengerjakan haji atau umrah. Selain itu, dia juga tidak mempunyai empat orang isteri atau salah seorang dari isteri-isterinya yang empat itu berada di dalam iddah raj’ie serta bukan mahram bagi bakal isterinya. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

b) Syarat-syarat pengantin perempuan :

Jika pengantin lelaki diikat dengan beberapa syarat kelayakan peribadi maka amat tidak wajar jika pengantin perempuan diabaikan begitu sahaja tanpa sebarang ikatan syarat yang menentukan dirinya sah sebagai seorang pengantin. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

Dalam konteks ini kita dapati para ulamak telah mencatatkan beberapa syarat yang berkaitan dengannya iaitu seorang pengantin perempuan yang bakal dikahwinkan oleh seorang pengantin lelaki hendaklah beragama Islam, tidak menjadi isteri kepada orang lain serta tidak berada dalam iddah raj’ie. Di samping itu, dia hendaklah bukan dalam ihram kerana mengerjakan haji atau umrah dan seorang yang bukan mahram kepada lelaki yang akan menjadi suaminya. Tanpa syarat-syarat ini, seseorang perempuan dianggap tidak layak untuk menjadi pengantin. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

c) Syarat-syarat wali :

Seseorang wali juga adalah terikat dengan beberapa syarat kelayakan peribadi yang mesti dipenuhi. Yang paling penting ialah wali tersebut mestilah beragama Islam, seorang lelaki, sempurna umur baligh dan berakal serta waras fikirannya. Seterusnya, dia juga haruslah bersikap adil, merdeka dan tidak berada di dalam ihram kerana mengerjakan haji atau umrah. Sekiranya seorang wali itu dipaksa untuk menjadi wali, berkemungkinan perkahwinan itu tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Tanpa adanya syarat-syarat kelayakan terhadap wali, maka hilanglah kelayakannya. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

d) Syarat-syarat saksi :

Di dalam melangsungkan perkahwinan, selain dari dua pengantin dan wali atau wakilnya, maka dua orang saksi lelaki juga diperlukan. Sebelum seseorang itu menjadi saksi dalam perkahwinan, terdapat beberapa syarat yang mengikat kelayakannya iaitu mereka hendaklah terdiri dari orang-orang lelaki dan beragama Islam. Sempurna umur baligh, waras fikiran, bersikap adil, boleh bercakap dan melihat serta sempurna pendengaran juga merupakan kelayakan bagi seseorang saksi itu. Seorang saksi itu juga mestilah faham dan mngerti bahasa yang digunakan di dalam ijab dan kabul serta tidak berada dalam ihram haji dan umrah. Kesemua syarat ini adalah diperlukan pada diri seseorang yang akan menjadi saksi. Tanpa salah satunya, maka kesaksiannya tidak sah dan suatu akad itu juga dihukum tidak sah. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

e) Syarat-syarat ijab dan kabul :

Ijab dan kabul kadang-kadang disebut juga sebagai sighah. Ijab bererti pengakuan pihak bakal isteri bahawa dia rela dan bersedia untuk dikahwinkan dengan lelaki iaitu bakal suaminya. Kabul pula ialah pengakuan atau jawapan daripada pihak bakal suami bahawa dia menerima kesediaan bakal isteri untuk menjadi isterinya. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

Kedua-dua ijab dan kabul adalah terikat dengan beberapa syarat seperti berikut iaitu kedua-duanya hendaklah dengan lafaz yang terang(sarih), tidak disyaratkan dengan sesuatu, tidak mengandungi syarat-syarat yang menyalahi maksud nikah atau perkahwinan dan bersamaan makna atau maksud di antara ijab dan kabul. Selain itu, kedua-duanya hendaklah dilakukan dengan berturut-turut dan tidak diikat dengan masa tertentu. Lafaz kedua-duanya haruslah disebut dengan nada yang dapat didengar agar suatu akad itu sah. (Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

Perkahwinan Yang Diharamkan

a) Perkahwinan Mut’ah :

Perkahwinan Mut’ah ialah apabila seorang lelaki dan seorang wanita berkahwin atas dasar perjanjian bahawa perkahwinannya itu hanya untuk sementara waktu, baik seminggu, sebulan ataupun setahun dan penceraian terjadi bila waktu yang ditentukan itu habis. Perkahwinan Mut’ah ini adalah salah, tidak sah menurut syara’. Perkahwinan ini termasuk dosa besar kerana tidak berbeza dengan zina. Ini sebab, asas atau dasar yang melandasi perkahwinan adalah keteguhan ikatan, kemantapan, melahirkan dan memelihara keturunan serta mendidik anak-anak. Sedangkan, perkahwinan Mut’ah bersifat sementara tidak ubah seperti penzinaan yang berakhir dengan perpisahan dan kehancuran rumahtangga. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Selain itu, kahwin Mut’ah juga dinamakan kahwin Muaqqat ertinya kahwin untuk waktu tertentu atau kahwin munqadathi’ ertinya kahwin putus, iaitu seorang lelaki mengikat perkahwinan dengan perempuan untuk bebrapa hari, seminggu atau sebulan. Perkahwinan ini diharamkan oleh Islam. Menurut kesepakatan mazhab, mazhab dalam kalangan ahli sunnah wal Jamaah, mazhab Syiah memperbolehkan kahwin Mut’ah padahal hais-hadis menunjukkan haramnya kahwin Mut’ah. (Abd Aziz, 1998)

Kahwin ini dikatakan Mut’ah ertinya senang-senang. Ini kerana akadnya semata-mata untuk senang-senang saja antara lelaki dan perempuan untuk memuaskan nafsu, bukan untuk bergaul sebagai suami isteri, bukan untuk mendapatkan keturunan atau hidup sebagai suami isteri dengan membina rumahtangga sejahtera. Kahwin Mut’ah tidak bertujuan sedemikian. Kahwin Mut’ah bertentangan dengan hukum-hukum al Quran tentang perkahwinan, talak, iddah dan waris. Dalam kahwin Mut’ah, tidak ada aturan tentang talak kerana perkahwinan itu akan berakhir dengan habisnya waktu yang ditentukan. (Abd Aziz, 1998)

Rasulullah SAW telah mengharamkan nikah Mut’ah seperti di dalam hadith baginda :

Mafhumnya : “Wahai sekalian manusia, sungguh saya pernah mngizinkan kamu untuk kahwin Mut’ah, ingatlah bahawa sekarang Allah SWT telah mengharamkannya sampai hari kiamat. ” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Hibban)

Riwayat dai Umar bin Khattab menerangkan, pada waktu dia diangkat menjadi Khalifah, dia berkhutbah di hadapan orang ramai. Umar menjelakan tentang haramnya nikah Mut’ah dan para sahabat mendiamkannya, mereka tidak menyalahkan ucapan Umar. Para sahabat pasti tidak akan diam terhadap suatu kekeliruan seandainya Umar salah. (Abd Aziz, 1998)

Ali bin Abi Talib berkata : Mafhumnya: “Rasulullah SAW telah melarang kahwin Mut’ah di waktu perang Khaibar dan mengharamkannya makan daging himar jinak. ” (Riwayat Muslim)

Abdullah bin Umar r. a berkata : Mafhumya : “Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya : “ Pernah diizinkan kepada kami untuk kahwin Mut’ah selama tiga hari kemudian diharamkannya. Demi Allah, saya tidak melihat seseorang yang kahwin Mut’ah padahal ia beristeri kecuali saya akan merejamnya dengan batu. ” (Riwayat Ibnu Majah)

Ada riwayat dari Imam Syafi’i bahawa beliau berkata : Mafhumnya: “ Saya tidak melihat sesuatu yang pernah dihalalkan Allah kemudian diharamkannya, kemudian dihalalkan lagi kemuadian diharamkan lagi kecuali nikah Mut’ah. ”

b) Perkahwinan Tahlil 

Perkahwinan tahlil ialah perkahwinan yang dilakukan oleh seorang janda yang telah tiga kali ditalak (atau dijatuhi talak tiga) oleh suaminya, sesudah janda itu berakhir masa iddahnya. Setelah janda yang berkahwin itu digauli, lalu dia dicerai agar dapat dinikah oleh bekas suaminya yang pertama. Tegasnya ialah, perkahwinan tahlil ini tidak lain hanyalah perkahwinan formal untuk menghindari ketentuan hukum Allah secara formal. Ini kerana, Allah mengharamkan lelaki menikah kembali dengan isterinya yang telah tiga kali dicerainya (atau telah dijatuhi talak tiga), sebelum bekas isterinya itu kahwin lagi dengan lelaki lain dan kemudian dicerai oleh lelaki lain itu. Demikianlah ketentuan hukum Allah sebagaimana termaktub di dalam Al-Qur’anul Karim, surah Al-Baqarah ayat 230. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Perkahwinan Tahlil merupakan perbuatan keji dan termasuk dosa besar. Allah megharamkan perkahwinan sebegitu, melaknati pelakunya dan menganggap perkahwinan itu tidak sah (batil). Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmuzi dengan Isnad Hasan dan sahih (baikdan benar) berasal dari Ibnu Mas’ud r. a, mengatakan :

Mafhumnya : “ Rasulullah SAW melaknati orang yang melakukan perkahwinan tahlil (muhallil-lelaki) dan orang yang hendak dihalalkan olehnya (Muhalla lahu – wanita). ”

Bahkan si muhallil diibaratkan seperti kambing jantan yang dipinjam sementara waktu! Mengenai hal itu sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, bhawasanya Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabatnya :

Mafhumnya: “ Mahukah kamu ku beritahu tentang kambing pinjaman ?” Para sahabat menjawab : “ Tentu, ya Rasulullah !” Beliau lalu menerangkan “ Dialah Muhalill, Allah melaknat Muhallil dan Muhalla lahu. ” 

Allah meredhai apa yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyyah bahawa agama Allah jauh lebih mulia dan lebih suci daripada hanya sekadar mengharamkan hubungan seksual yang tidak sah sehingga orang perlu meminjam seekor kambing untuk memenuhi keinginannya. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Padahal orang yang suka kahwin banyak itu berniat berkahwin dan tidak ingin hidup bersama perempuan yang dikahwininya. Perbuatan seperti itu jelas merupakan pelacuran dan penzinaan, sebagaimana yang dikatakan Rasulullah SAW :

Mafhumnya: “ Bagaimana manusia yang berwatak jahat akan menjadi baik dan bagaimana suatu najis dapat dianggap suci ?”

Hal itu merupakan kejahatan yang paling tercela dan tidak mungkin dapat diterima oleh orang-orang yang berfikir. Jauh sekali perbuatan itu boleh dibenarkan oleh syariat para Nabi, lebih-lebih lagi oleh syariat yang tertinggi dan termulia iaitu syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Perkahwinan dengan seorang janda yang telah tiga kali dicerai atau ditalak tiga kali oleh suaminya, dipandang sah jika lelaki yang mengahwininya itu benar-benar atas kemahuannya sendiri dan benar-benar bertujuan hendak hidup bersama seumur hidup. Apabila suami isteri itu berkahwin dengan niat ikhlas dan kehendaknya sendiri, kemudian suaminya meninggal dunia atau mencerainya berdasarkan alas an yang diterima akal, barulah bekas suaminya yang pertama dihalalkan berkahwin kembali dengan bekas isterinya itu setelah berakhir masa iddahnya. (Muhammad Ali Quthb, 1991)

Nikah ini haram dan termasuk dalam dosa besar apabila maksudnya untuk menghalalkan perkahwinan seseorang dengan bekas isterinya yang telah ditalak tiga, baik dengan persetujuan bekas suaminya ataupun tidak, sebab semua perbuatan itu dinilai menurut niatnya. Apabila diniatkan untuk menghalalkan, maka kahwinnya haram dan batil kerana maksud perkahwinan yang sebenarnya adalah untuk pergaulan yang abadi untuk memperoleh keturunan, mengasuh anak dan membina rumahtangga yang sejahtera, sedangkan perkahwinan muhallil ini meskipun namanya perkahwinan tetapi dusta, penipuan yang tidak diajarkan Allah dan dilarang bagi sesiapapun. Dalam perkahwinan ini, ada unsur-unsur yang merosak dan bahaya yang dapat diketahui oleh siapapun. (Abd Aziz, 1998)

c) Perkahwinan Syighar

Definisi nikah ini sebagaimana yang disabda oleh Rasulullah SAW : Mafhumnya: “ Nikah Syighar adalah seseorang yang berkata kepada orang lain, ‘Nikahkanlah aku dengan puterimu, maka aku akan nikahkan puteriku dengan dirimu. ’ Atau berkata ‘ Nikahkanlah aku dengan saudara perempuanmu, maka aku akan nikahkan saudara perempuanku dengan dirimu. ” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Dalam hadith lain, beiau bersabda : Mafhumnya : “ Tidak ada nikah syighar dalam Islam. ” (Riwayat Muslim dari Ibnu Umar) 

Hadith-hadith sahih di atas menjadi dalil atas haram dan tidak sahnya nikah syihgar. Nabi Muhammad SAW tidak membezakan apakah nikah tersebut disebutan mas kahwin ataupun tidak. (Syaikh Muhammad, 2004)

Nikah Syighar adalah seorang lelaki mahu menikahkan puterinya dengan seseorang asalkan orang tersebut mahu menikahkan puterinya dengannya tanpa adanya mas kahwin di antara keduanya atau menikahkan saudara perempuannya kepada seseorang dengan syarat orang itu menikahkan dia kepada saura perempuannya juga tanpa ada mas kahwin di antara keduanya. Pernikahkan tersebut dinamakan nikah syighar yang beerti anjing sdang mengangkat salah satu kakinya pada waktu kencing sebab cara tersebut dianggap keji oleh ajaran Islam. Seakan-akan orang yang melakukan akad nikah tersebut mengangkat salah satu kakinya dalam rangka memenuhi keinginan saudaranya. Syighar juga beerti sepi atau kosong ertinya satu sama lain saling mengosongkan kemaluannya dari mas kahwin. Seluruh ulama’ sepakat bahawa pernikahan tersebut diharamkan sebab bertentangan dengan hadith-hadith dan tujuan ajaran syariat. (Syaikh Muhammad, 2004)

Dan dalam sohih Muslim dari Abu Zubair r. a sesungguhnya ia mendengar Jabir r. a berkata : Rasulullah SAW melarang nikah syighar dan dari Abdur-Rahman bin Hurmus bin A’raj sesungguhnya Abbas bin Abdullah bin Abbas menikahkan Abdurrahman bin Hakam dengan puterinya dan Abdurrahman menikahkan puterinya dengan Abbas bin Abdullah bin Abbas tanpa mas kahwin, lalu Muawiyah menulis surat kepada Marwan bin Hakam. Dan beliau memerintahkan untuk membatalkan pernikahan dan mengatakan dalam suratnya bahawa pernikahan tersebut termasuk pernikahan syighar yang dilarang Rasulullah. (Syaikh Muhammad, 2004)

Para ulama berbeza pendapat dalam mentafsirkan makna syighar, sebagaimana mereka juga berbeza pendapat tentang sah dan tidaknya nikah tersebut. (Syaikh Muhammad, 2004)

Imam Syaukani dalam kitab Nailul Authar menyebutkan bahawa nikah syighar ada dua pengertian, pertama adalah disebutkan dalam hadith-hadith yang beerti kosong masing-masing kemaluan dari mas kahwin. Kedua beerti wali masing-masing mahu menikahkan wanita yang di bawah kewaliannya dengan syarat kedua belah pihak saling menikah dengan wanita yang di bawah perwalian mereka. Sebahagian ulama mengambil pengertian yang pertama sahaja sehingga melarangnya. Adapun yang kedua, mereka tidak melarangnya. Ibnu Abdur Bar berkata bahawa para ulama sepakat bahawa nikah syighar tidak boleh, akan tetapi mereka berbeza pendapat sah atau tidaknya akad nikah, jumhur ulama menyatakan bahawa akad nikah tersebut tidak sah. Imam Malik dalam salah satu riwayat menyebutkan bahawa jika kedua suami isteri belum bercampur, maka pernikahan tersebut harus dibatalkan. Akan tetapi jika keduanya telah bercampur, maka pernikahan tersebut harus dipertahankan. (Syaikh Muhammad, 2004)

Ibnul Mundzir meriwayatkan pendapat itu dari Al-Auza’i, ulama-ulama mazhab Hanaf, juga Zuhry, Makhul, Ats-tsaury, Al-Laits, Imam Ahmad dalam satu riwayat, Ishaq dan Abu Tsaur berpendapat bahawa nikah syighar sah tetapi masing-masing wajib membayar mas kahwin. Imam Ibnul Qayyim dalam kitab Zadul Ma’ad mengatakan bahawa para ulama ahli fiqh berbeza pendapat dalam masalah ini, Imam Ahmad berpendapat nikah syighar batil (tidak sah) adalah wali masing-masing mahu menikahkan wanita yang dibawah kewaliannya dengan syarat kedua belah pihak saling menikah dengan wanita yang di bawah perwalian mereka masing-masing tanpa mas kahwin. Jika mereka menyebut mas kahwin, maka akad nikah tersebut dinyatakan sah. (Syaikh Muhammad, 2004)

Akan tetapi Imam Al-Kharqi berpendapat bahawa nikah syighar tidak sah walaupun dengan menyebut mas kahwin, begitu juga Imam Abu Barakat Ibnu Talmiyah dan beberapa pengikut Imam Ahmad berpendapat bahawa apabila mereka menyebut mas kahwin dalam akad nika, setelah akad nikah masing-masing menggugurkan mas kahwin pernikahan, maka akad nikah tersebut dianggap tidak sah. Dalam kitab Muharrar disebutkan bahawa apabila wali masing-masing mahu menikahkan wanita yang di bawah kewaliannya dengan syarat kedua belah pihak saling menikah dengan wanita yang di bawah perwalian mereka masing-masing tanpa mas kahwin, maka pernikahan tersebut tidak sah dan itulah yang dimaksudkan dengan nikah syighar. Apabila masing-masing menyebut mas kahwin, maka akad nikah tersebut dinyatakan sah. Akan tetapi Imam Al-Kharqi berpendapat bahawa pernikahan tersebut tidak sah baik menggunakan mas kahwin mahupun tidak. (Syaikh Muhammad, 2004)

Jika masing-masing menggugurkan mas kahwin hanya secara simbolis, maka hukum pernikahan tersebut adalah bail dan harus dibatalkan, baik sudah dicampur atau belum. Syariat Islam telah mengharamkan nikah syighar sebab pernikahan tersebut mengandungi unsur penipuan terhadap tanggungjawab kewalian. Seharusnya seorang wali berusaha untuk mencarikan jodoh sebaik mungkin bagi wanita yang di bawah kewaliannya, yang akan membawa mereka bahagia dunia dan akhirat. (Syaikh Muhammad, 2004)

Dan seharusnya para wali selalu mengutamakan maslahat wanita yang di bawah kewaliannya dan bukan hanya untuk mementingkan hawa nafsu peribadi. Kerana wanita bukanlah binatang atau hamba yang boleh dimanfaatkan untuk memenuhi kesenangan sessat, tetapi wanita itu merupakan amanah yang harus dicari oleh calon suami yang baik dan mas kahwin yang wajar. (Syaikh Muhammad, 2004)


Hikmah Nikah 

Allah SWT berfirman : Bermaksud : “ Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya membuktikan (dan rahmat-Nya bahawa ia menciptakan bagi kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih saying dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi ketenangan bagi orang yang berfikir. ” (Ar-Rum : 21)

Perkahwinan adalah jalan semula jadi dan yang paling baik dan sesuai untuk menyalur dan memuaskan nafsu. Dengan kahwin, badan menjadi segar, jiwa menjadi tenang, mata terpelihara dari melihat sesuatu yang haram dan perasaan tenang menikmati barang yang halal. Perkahwinan merupakan jalan terbaik untuk melahirkan anak-anak yang baik dan mulia, membanyakkan keturunan, mengekalkan hidup bahagia serta memelihara nasab. (Zulkefli Yazid, 2002)

Telah dinyatakan dalam sabda Raulullah SAW :

Mafhumnya : “ Kahwinlah dengan perempuan penyayang dan banyak anak agar nanti aku dapat membanggakan jumlahmu yang banyak di hadapan para nabi pada hari kiamat kelak. ” 

Banyak keturunan mempunyai kebaikan umum dan khusus antaranya ada yang berkeinginan untuk banyakkan jumlah rakyatnya dengan memberikan peransang-peransang melalui pemberian hadiah bagi mereka yang anaknya ramai. (Zulkefli Yazid, 2002)

Selanjutnya, naluri kebapaan dan keibuan akan tumbuh saling melengkapi dalam suasana hidup bersama anak-anak dan akan tumbuh pula perasaan-perasaan ramah, cinta dan kasih saying yang merupakan tunggak dalam mencapai kebahagiaan sesebuah rumahtangga. (Zulkefli Yazid, 2002)

Menyedari tanggungjawab beristeri dan menanggung anak-anak, menimbulkan sikap rajin dan tekun dalam memperakui bakat dan pembawaan seseorang. Mereka akan cekap bekerja kerana dorongan rasa tanggungjawab terhadap keluarga sehingga akan menambah jumlah kekayaan dan simpanan. (Zulkefli Yazid, 2002)

Penutup 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi yang telah memberikan taufiq dan hidayah-Nya sepanjang perjalanan saya untuk menyempurnakan tugasan ini. Syukur dan terima kasih saya sampaikan kepada Ustaz Abd Aziz bin Harjin, ibu bapa serta rakan-rakan yang telah membantu saya sehingga tugasan ini berjalan dengan lancar dan sempurna. Perkahwinan adalah sebahagian dari fitrah manusia dan sebahagian dari hukum Allah yang berlaku di alam nyata. Sebuah rumahtangga yang tenang, harmoni, dan selesa menjadi impian setiap pasangan yang berkahwin. Perkahwinan tidak semata-mata sebagai cara untuk menyatukan lelaki dan perempuan malah bukan untuk memenuhi kepuasan nafsu syahwat. Ianya jauh lebih mendalam, agung dan lebih mulia. Dengan melaksanakan perkahwinan yang mengikuti rukun dan syarat-syarat nikah yang benar, muncul lah generasi baru yang dapat mentadbir kemakmuran di muka bumi ini serta sentiasa memperoleh rahmat-Nya. Melalui perkahwinan, hubungan silaturrahim antara manusia dengan manusia dapat dieratkan. Disebalik suatu perkahwinan itu terdapat hikmanya, sekiranya perkahwinan yang dijalankan itu kerana Allah SWT, maka insyaAllah hidupnya serta rumahtangga yang dibina mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Oleh yang demikian, perkahwinan yang suci adalah perkahwinan yang tidak bercanggah dari syariat Islam dan sentiasa mematuhi segala peraturan agar dapat membentuk keluarga yang bahagia. Dan yang paling penting, setiap pasangan yang ingin berkahwin haruslah meletakkan cinta mereka terhadap Allah SWT, selepas itu baru cinta mereka terhadap pasangan mereka. 

Rujukan

  1. Abd Aziz (1998). Kursus dan Bimbingan Perkahwinan. Kuala Lumpur: Darul Nu' Man. 
  2. Dr. Mat Saad Abd. Rahman (1993). Undang-undang Keluarga Islam. Shah Alam: Hizbi SDN BHD. 
  3. Khairunnisa' Yusoff (2012). Pendidikan Islam SPM. Kuala Lumpur: Rina Sdn. Bhd. 
  4. Muhammad Ali Quthb (1991). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid. 
  5. Syaikh Muhammad (2004). 300 Soal Jawab Nikah & Kahwin. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise. 
  6. Zulkefli Yazid (2002). 40 Petunjuk Menempuh Alam Perkahwinan. Kuala Lumpur: Pustaka Al-Shafa. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin. blogspot. com
abdazizharjin@perlis. uitm. edu. my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 4/02/2015