Pembahagian Akhlak Dalam Kehidupan Manusia

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh : 
Fatin Nur Athirah Binti Mohd Radzi
2014858076

Pendahuluan

Dewasa ini kebanyakkan manusia tidak tahu akan nilai akhlak yang sebenar-benarnya dalam kehidupan masing-masing. Hal ini kerana, kebanyakkan kehidupan manusia lebih terdedah kepada cara hidup barat yang jauh bezanya dengan akhlak dalam kehidupan muslim. 

Pada kali ini, saya akan mengupas tajuk berkaitan dengan pembahagian akhlak yang terdapat dalam kehidupan manusia. Nilai akhlak amat penting dan perlu ada dalam diri setiap individu. Hal ini kerana pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan terdapat beberapa pendapat mengatakan akhlak ibarat perhiasan bagi diri seseorang. Jika akhlak seseorang itu rosak, maka rosaklah diri orang tersebut dan begitu jugalah sebaliknya yang berlaku. 

Akhlak terbahagi kepada beberapa bahagian yang perlu kita ketahui. Antaranya ialah akhlak dengan Allah SWT, akhlak dengan Nabi Muhammad SAW, akhlak manusia sesama manusia, akhlak dengan masyarakat /jiran serta akhlak dengan alam. Kesemua pembahagian akhlak ini perlu diikuti oleh setiap individu. 

Kesimpulannya, akhlak yang ditekankan di sini bukan dari segi luaran atau fizikal sahaja tetapi mestilah meliputi keseluruhan tingkah laku kehidupan manusia. Oleh itu, setiap orang bukan sahaja perlu berakhlak mulia di antara sesama manusia tetapi juga terhadap makhluk lain serta pelbagai kehidupan di dunia. 

Definisi Akhlak
Akhlak difahami sebagai suatu kelakuan atau tingkah laku yang terbit daripada motivasi seseorang yang mendorong mereka bertindak dan telah menjadi kebiasaan atau adat bagi seseorang itu. Perkataan akhlak berasal dari perkataan Arab, jamak bagi perkataan khuluqun bermaksud akhlak dan digunakan oleh Al Quran sebagaimana yang difirman Allah SWT surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya engkau (Muhammad) berada di atas akhlak yang tinggi. ’

Akhlak juga bermakna budi pekerti yang tinggi nilainya. Seseorang yang berakhlak bererti ia mempunyai budi pekerti yang tinggi lagi mulia. Orang yang berakhlak akan sentiasa berkata benar, cintakan keadilan, jujur terhadap diri sendiri serta orang lain. Kecemerlangan diri seseorang sering dikaitkan dengan akhlak yang terdapat dalam diri mereka. Walaupun seseorang itu Berjaya dalam sesuatu bidang seperti bidang akademik, kerjaya, perniagaan, dan sebagainya tetapi masih tidak mempunyai akhlak yang mulia maka mereka boleh dianggap sebagai seseorang yang gagal dalam kehidupan. (Dr. Hasan Hj. Mohd. Ali, 1994)

Akhlak yang mulia sentiasa memaparkan keimanan kepada Allah SWT sebagai landasan untuk bertoleransi dalam menelusuri kehidupan yang serba mencabar pada zaman kini. Manusia yang mempunyai akhlak mulia biasanya memahami hidup sebagai tanggungjawab yang berat. Hal ini demikian kerana, manusia dihidupkan di muka bumi ini adalah untuk menjadi khalifah di dunia ini. (Muhammad Ahmad Abd Al-Jawwad, 2004). 

Manusia mempunyai tiga dimensi dalam hidupnya iaitu jasmani, hati dan rohani (jiwa). Ketiga- tiga dimensi ini haruslah dalam keadaan yang sihat untuk membina akhlak yang mulia. Jasmani yang sihat tidak dapat membantu dalam pembangunan diri kerana ia mempunyai elemen yang bertentangan dengan akhlak yang mulia. (Haji Mohamad Farid Linggi, 2007). 

Akhlak dengan Allah SWT

Sebagai manusia yang diutuskan sebagai khalifah di muka bumi ini, kita seharusnya menunjukkan akhlak yang baik kepada pencipata kita yang Maha Esa iaitu Allah SWT. 

Antara cara yang boleh diamalkan dalam berakhlak kepada Allah SWT adalah dengan beriman kepada Allah yang bermaksud mengakui, mempercayai atau meyakini bahawa Allah itu ada bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan terhindar daripada sifat-sifat kekurangan. Kita perlu yakin bahawa tidak ada yang lebih sempurna melainkan Allah SWT. Ini menunjukkan kita sebagai manusia berakhlak dengan Allah SWT. (Jamalia Aurani, 2014)

Selain itu, beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah SWT menunjukkan bahawa kita berakhlak kepadaNya, beribadah kepadaNya dan meninggalkan laranganNya. Contohnya, kita menunaikan segala perintahNya dengan melaksanakan solat lima waktu, berpuasa serta ibadah-ibadah yang lain. Meninggalkan laranganNya bermaksud kita tidak melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti berjudi, meminum arak, berzina dan jenis-jenis maksiat yang lain. (Jamalia Aurani, 2014)

Akhlak dengan Allah SWT. adalah dengan tidak mempersekutukan Allah bermaksud tidak menyamakan atau menganggap ada sesuatu yang lebih berkuasa daripada Allah. Jika seseorang mempersekutukan Allah dengan sesuatu maka ia adalah syirik. Perbuatan syirik adalah berdosa besar. Contoh perbuatan syirik adalah mempercayai ramalan bomoh, benda tahyul dan memuja makhluk lain seperti makhluk halus. Oleh itu, kita sebagai manusia tidak sepatutnya mempersekutukan Allah dengan sesuatu kerana sesungguhnya kita mengetahui bahawa Allah bersifat yang Maha Esa dan tidak ada yang layak disembah selain Allah SWT. (Jamalia Aurani, 2014)

Akhlak kepada Allah SWT yang seterusnya ialah takut kepada Allah. Antara sebabnya ialah agama Islam mengajar kita semua takut kepada Allah. Allah tidak hanya bersifat dengan Maha Pengasih, Maha Penyayang. Tetapi juga dimana perlu Dia perlu menghukum siapa yang berani derhaka kepadaNya. Hal ini kerana, Dia tidak hanya mempunyai syurga tetapi juga mempunyai neraka. Allah juga telah berjanji akan menyiksa orang-orang yang ingkar terhadap perintahNya. Oleh itu, hendaklah kita takut terhadap siksaanNya kerana janji Allah adalah benar. (Jamalia Aurani, 2014)

Seterusnya ialah redha dan ikhlas terhadap Qada’ dan Qadar Allah. Qada’ bermaksud kehendak Allah, manakala Qadar bermaksud keputusan atau takdir Allah yang bermaksud takdir ketuhanan dalam Islam. Percaya kepada Qada’ dan Qadar Allah adalah rukun Iman yang keenam. Iaitu mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah semata-mata. Ibnu Hajaar al-Asqalani berkata “Mereka yakni para ulama’ mengatakan bahawa Qada’ adalah ketentuan yang bersifat umum dan glodal sejak azali, sedangkan Qadar adalah bahagian-bahagian dan perincian-periancian dari ketentuan tersebut. ” Oleh itu, kita wajib menerima Qada’ dan Qadar Allah dengan penuh redha dan ikhlas kerana ia mengajar bahawa sesuatu yang terjadi di alam ini termasuk yang menimpa diri manusia itu sendiri, tidaklah terlepas dari takdir atau ketentuan Allah. (Jamalia Aurani, 2014)

Akhlak dengan Nabi Muhammad SAW. 
Akhlak kepada Rasulullah SAW adalah sesuatu yang penting kerana ia berada pada kedudukan yang kedua selepas akhlak kepada Allah. Kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW adalah suatu kemestian dalam kehidupan muslim. Setiap muslim mesti berbuat sedemikian kerana Baginda adalah orang yang paling berjasa di dalam membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada manusia sejagatnya. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar daripada Rasulullah SAW sudah tentu manusia berada dalam kegelapan dan kesesatan. (Jamalia Aurani, 2014)

Perkara utama dalam berakhlak kepada Rasulullah SAW ialah dengan beriman kepada Nabi Muhammad SAW iaitu dengan percaya bahawa baginda adalah Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada manusia. Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah adalah untuk menyampaikan suruhan Allah kepada umat manusia. Manusia hidup berasaskan al Quran dan as-Sunnah. Manusia perlu berpegang kepada dua perkara ini. Jika sebaliknya yang berlaku, manusia berada di landasan yang jauh daripada agama Islam. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, 1994). 

Selain itu, kita juga wajib mencintai baginda Rasulullah SAW. cinta kepada Rasulullah tidak hanya dizahirkan melalui kata- kata sahaja tetapi mestilah dizahirkan melalui perbuatan. Contohnya ialah sentiasa akur kepada larangan-larangan Rasulullah SAW. Hal ini dapat dilaksanakan dengan menjauhkan diri daripada bercakap bohong, perbuatan khianat, dengki, buruk sangka, mencaci maki, malas, lemah, bakhil, pengecut dan sebagainya. Seterusnya kita juga boleh menunjukkan rasa cinta kita kepada baginda dengan sentiasa menyebut dan mengingati baginda pada setiap tempat dan masa. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, 1994). 

Seterusnya, kita boleh berakhlak dengan Rasulullah dengan mengamal dan mematuhi ajaran Islam yang disampaikan olehnya, berjuang menegakkan, mengembangkan dan membela ajaran-ajarannya termasuk menjaga kemurniannya daripada segala bid’ah dan khurafat. Selain itu, kita juga haruslah sentiasa mengenali dan memahami sejarah dan perjuangan baginda sekadar yang termampu. Akhir sekali, kita juga boleh sentiasa berusaha menyebarkan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW sepanjang hayat. Hal ini kerana kita sebagai manusia diutuskan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Oleh itu, tidak menjadi suatu kesalahan jika kita menyebarkan dakwah Rasulullah SAW. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, 1994). 

Akhlak manusia kepada sesama manusia. 
Akhlak manusia sesama manusia terbahagi kepada beberapa pecahan. Yang pertama ialah akhlak manusia terhadap diri sendiri. Akhlak terhadap diri sendiri bermaksud seseorang muslim perlulah mempunyai iman yang mantap kepada Allah. Sebagai seorang muslim, kita haruslah menghias diri dengan pertingkatkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan agama Islam. (Jamalia Aurani, 2014)

Seterusnya ialah akhlak manusia kepada ibu bapa. Ibu bapa adalah tapak permulaan kehidupan seseorang. Mereka berdualah dengan izin Allah SWT menjadi pemudah cara kepada kelahiran kita di dunia ini. Ibu bapa adalah insan yang wajib ditaati selepas Allah dan RasulNya. Seseorang itu mestilah sentiasa menghormati, memulia dan mengasihi ibu bapa mereka sama ada ketika mereka masih hidup ataupun setelah mereka meninggal dunia. (Jamalia Aurani, 2014)

Akhlak terhadap ibu bapa antaranya ialah sentiasa bertutur dengan suara yang lemah lembut, bermanis muka dan penuh kemesraan. Selain itu, kita haruslah sentiasa meminta izin mereka ketika hendak meninggalkan rumah atau sewaktu hendak melakukan sesuatu. Di samping itu, seseorang anak juga patutlah berbuat baik kepada kedua-duanya setelah mereka meninggal, iaitu dengan melaksanakan solat jenazah, mendoakan, menyempurnakan janji dan memuliakan sahabat-sahabat mereka. Seterusnya, kita hendaklah sentiasa menyambut mereka dengan muka yang manis dan ramah mesra. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ sesiapa yang memandang wajah ibu bapa dengan pandangan gembira sama pahalanya dengan mengerjakan haji. ” (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, 1994). 

Akhlak sesama manusia yang seterusnya ialah akhlak manusia kepada guru. Guru adalah sesorang yang mulia di sisi Allah. Kemuliaan ini diberi oleh Allah kepada mereka lantaran usaha mereka memberi bimbingan dan panduan yang sempurna bagi memudahkan seseorang itu mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat. Justeru, besarnya peranan dan pengorbanan guru dan pendidik maka sewajarnyalah para pelajar menghargai mereka dan mengenang segala jasa dan sumbangan mereka. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, 1994). 

Akhlak yang boleh ditunjukkan adalah dengan menunjukkan rasa hormat kepada setiap guru melalui pertuturan dan perlakuan. Kita juga perlu bermanis muka apabila berhadapan dengan guru lebih-lebih lagi keika berada di dalam kelas atau majlis ilmu yang dikendalikan oleh guru itu. Janganlah kita melahirkan rasa kurang senang kepada guru jika guru mempunyai kekurangan ketika menyampaikan sesuatu. Tutupilah kekurangan mereka dengan kita sendiri berusaha memantapkan ilmu yang disampaikan. Kita seeloknya carilah kesempatan untuk berkhidmat kepada guru sebanyak yang mungkin seperti membukakan pintu untuk guru, memadamkan papan hitam, menyusun buku untuk guru dan sebagainya. Akhir sekali ialah, janganlah cuba menguji kesabaran guru. Orang yang berniat untuk menguji kebolehan guru tidak akan mendapat keberkatan daripada pelajaran yang diikuti. Perbuatan seperti ini membayangkan di hati pelajar itu terdapat sifat takbur selain daripada ia ingin membandingkan ilmu yang ada pada dirinya dengan ilmu yang ada pada guru tersebut. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, 1994). 

Akhlak manusia sesama manusia yang seterusnya ialah akhlak suami isteri. Dalam Islam, suami isteri akan sentiasa membantu antara satu sama lain dalam membangunkan keluarga dan memikul tanggungjawab. Walau bagaimanapun, keutamaan tanggungjawab isteri ialah melaksanakan peranan yang khusus sesuai dengan tabiat keperempuanannya seperti mengurus rumahtangga, mendidik anak-anak dan seumpamanya. Manakala tugas keutamaan suami pula ialah melaksanakan tangggungjawab yang sesuai dengan tabiat dan sifat kelakiannya, iaitu mencari nafkah untuk mencukupkan keperluan isteri dan anak-anak, melindungi keluarga dari cabaran dan sebarang kesulitan. (Jamalia Aurani, 2014)

Akhlak manusia dengan masyarakat/ jiran
Manusia perlu hidup bermasyarakat dan bergaul antara satu sama lain. Masyarakat terdiri daripada keluarga dan jiran. Jiran tetangga merupakan orang yang paling dekat dengan diri seseorang. Jika berlaku sesuratu, jiranlah merupakan orang yang pertama yang lazimnya dapat memberi pertolongan. Jiran tetangga boleh dianggap sebagai pengganti kepada ahli keluarga yang jauh. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, (1994). 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Empat puluh buah rumah (di sekitar kamu) adalah jiran tetangga dan tidak akan masuk syurga orang yang tetangganya takut akan kecelakaannya. ” (Riwayat al-Tabarani)

Hadis di atas menjelaskan bahawa jiran adalah mereka satu tetangga yang tinggal di setiap penjuru yang mengelilingi rumah seseorang. Bilangannya ialah kira-kira empat puluh buah rumah. 

Setiap orang perlu menghormati jiran tetangga kerana ia merupakan sebahagian daripada akhlak mulia yang perlu ditanam dan dihidupkan. Peranan jiran amat penting sehingga kadang-kadang melebihi peranan keluarga kita sendiri yang tinggal jauh daripada kita. 

Antara cara-cara yang boleh dilakukan untuk menghormati jiran tetangga ialah dengan mengucapkan salam kepada jiran tetangga yang muslim setiap kali bertemu. Bagi tetangga yang bukan muslim pula ucapkan kata-kata yang mengandungi penghormatan seperti selamat pagi dan sebagainya. Selain itu, kita juga boleh mengunjungi jiran tetangga jika salah seorang ahli keluarganya sakit. Tunjukkan rasa dukacita seandainya jiran tetangga mendapat musibah. Sebaiknya diiringi ucapan “Inna Lillahi wa inna ilaihi raji’un. ” (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, (1994). 

Jika jiran ada melakukan kesalahan, haruslah kita memaafkan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan khususnya kesalahan yang tidak disengajakan. Dan janganlah pula kita mendedahkan keburukan jiran tetangga dan membuat sesuatu yang boleh menyakiti perasaan mereka. Janganlah kita mempersempitkan atau menghalang jalan yang menuju ke rumah mereka. Jika kita membawa sesuatu seelok-eloknya bawalah dalam keadaan tertutup dan berbungkus. Sekiranya jiran menghadapi masalah, berilah dorongan pada saat-saat mereka susah. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, (1994). 

Oleh itu, hendaklah menjadi satu kewajipan ke atas setiap muslim untuk berakhlak kepada jiran. Kesan daripada perlaksanaan tanggungjawab terhadap jiran akan melahirkan masyarakat yang harmonis, berdisiplin dari penindasan sesama manusia dan kemaksiatan. Selain itu, mereka juga bersatu padu di atas ajaran Al Quran dan As-Sunnah seperti menegakkan agama dan suruhan Allah serta menentang kezaliman. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, (1994). 

Seseorang yang menghormati jiran tetangga akan sentiasa disukai dan dihormati oleh jiran tetangga juga akan bersedia menolong apabila mereka menghadapi sebarang masalah. Oleh itu semangat kejiranan perlu dipupuk di dalam diri setiap insan supaya mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan bahagia. (Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, (1994)

Akhlak dengan alam
Seluruh alam, termasuk bumi dan segala isi kandungannya dijadikan Allah untuk kegunaan manusia bagi menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifahNya. Manusia diamanahkan oleh Allah supaya menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya dan tidak mencemarkan alam ini dengan perkara-perkara yang mendatangkan kermurkaanNya.. (Jamalia Aurani, 2014)

Alam ini merupakan anugerah Allah kepada manusia supaya ia dapat menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dengan sempurna dan baik. Oleh itu setiap manusia perlulah memelihara alam ini seperti menjaga dan mengendalikannya dengan sebaiknya. (Jamalia Aurani, 2014)

Contohnya tanggungjawab manusia terhadap binatang iaitu dengan tidak membunuh atau menyeksa sesuka hati. Jika binatang tersebut adalah binatan yang merbahaya dan perlu dibunuh, maka bunuhlah dengan cara yang baik dan bukan dengan cara yang menyeksakannya. Di samping itu, tanggungjawab terhadap tumbuh-tumbuhan ialah tidak memusnahkan atau menebangnya dengan sesuka hati. Setiap manusia juga perlu menjaga alam ini dari pencemaran udara, air, kerana semua ini diperlukan oleh manusia di dalam menjalani kehidupan.. (Jamalia Aurani, 2014)

Oleh itu, segala isi alam harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menggunakan akal fikiran, ilmu pengetahuan dan teknologi. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. ” (Fatir: 28)

PENUTUP
Keseluruhannya, akhlak melambangkan peribadi seseorang. Pembahagian akhlak dalam kehidupan manusia ini sedikit sebanyak membantu individu dalam membentuk peribadi yang mulia. Melalui akhlak yang mulia kepada Allah SWT dapat memberi kesan yang baik dalam hidup seseorang. Contohnya, kehidupan seseorang itu akan lebih Berjaya, bahagia dan diberkati ooleh Allah SW. T. 

Mengasihi Rasulullah juga adalah amalan yang mulia yang harus diamalkan dalam kehidupan manusia. Akhlak mulia Rasulullah amat mudah untuk kita ikuti kerana ia merangkumi amalan hati seperti sikap jujur dan amanah serta berkaitan dengan perhubungan sesama manusia. Hal ini akan melahirkan suasana yang lebih bahagia dan harmoni. Begitu juga jika kita mempraktikkan pembahagian akhlak mulia yang lain. Ia amat memberi kesan yang positif dalam kehidupan manusia. 

Akhir sekali, sesuatu akhlak itu akan menjadi amalan kebiasaan jika dipraktikkan dengan ikhlas dan tekun. Akhlak perbuatan yang dilakukan berulang-ulang tentu akan menjadi kebiasaan. Manakala kebiasaan pula akan membentuk watak dan peribadi seseorang. Oleh itu, sebagai seorang muslim perlulah kita mengamalkan contoh-contoh akhlak mulia dalam Islam supaya hidup kita lebih mudah dan diberkati oleh Allah SWT. 

RUJUKAN

  1. Abu Urwah. (2001). Sistem-Sistem Islam Satu Analisis Perbandingan. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.. 
  2. Dr. Hasan Hj. Mohd. Ali. (1994). 100 Akhlak Mulia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 
  3. Haji Mohamad Farid Linggi. (2007). Warna-Warni Kehidupan. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications. 
  4. Jamalia Aurani, S. I. (2014). Asas-Asas Pandangan Hidup Islam. Perlis: Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS). 
  5. Muhammad Ahmad Abd Al-Jawwad. (2004). 35 Akhlak Terpuji Seorang Pemimpin. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise. 




Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015