Keperluan Hidup Dalam Bermasyarakat

Disediakan Untuk
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh
Fairuza Marissa Binti Mazlan
2014465098

PENDAHULUAN
Terlebih dahulu, bersyukur ke hadrat ilahi, dengan limpahan rahmatnya memberi saya semangat dan kekuatan untuk menyiapkan tugasan ini. Malah melalui kerja kursus ini juga saya dapat menambah ilmu pengetahuan dan saya dapat memahami pengertian asas-asas hidup bermasyarakat dan hubungan sosial antara masyarakat dengan lebih mendalam lagi. Tugasan ini membantu saya untuk menetapkan nilai-nilai Islam dalam sesebuah masyarakat seperti mempunyai ukhuwah yang kuat tanpa mengira bangsa dan warna kulit, bahkan menjaga hak dan kewajipan bersama. 

Tujuan esei ataupun kerja kursus ini dibuat bukan semata-mata untuk mendapatkan markah tetapi bertujuan besar bagi menyampaikan dakwah mengenai pentingnya hidup dalam bermasyarakat dan keutamaannya. Ini juga adalah untuk kita saling ingat-mengingati antara umat Islam akan sesetengah perkara paling penting yang telah dilupakan dan diabaikan sambil lewa sahaja. 

Tajuk kursus untuk kerja kursus saya ini adalah berkaitan masyarakat yang beridentitikan agama, iman, akidah, keperluan hidup bermasyarakat dan ciri-ciri yang perlu ada pada masyarakat. Dengan adanya akidah atau keyakinan seperti itulah mereka sanggup mengubah sejarah dan mengubah dunia. Di samping itu mereka juga dapat mengeluarkan umat manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang. Mereka itulah ialah masyarakat di jalan Allah SWT berjiwa perjuangan. 

Di samping itu, Islam memperhatikan persoalan masyarakat sebagaimana memperhatikan persoalan individu, kerana kedua-duanya saling mempengaruhi. Bukankah masyarakat itu tidak lain sekumpulan individu yang diikat dengan suatu ikatan? Oleh sebab itu kebaikan individu sangat berpengaruh langsung pada kebaikan masyarakat, yang ia bagaikan batu bata bagi bangunan, sebuah bangunan tidak akan baik apabila batu batanya rapuh. Begitu juga sebaliknya, seorang ini tidak akan baik kecuali jika berada dalam linkungan masyarakat yang kondusif bagi perkembangan peribadinya, bagi kemampuan menyesuaikan secara betul dan bagi perilaku yang positif. 

Seterusnya saya ingin berceritakan lebih lanjut mengenai kepentingan hidup dalam bermasyarakat. 

Sejarah Awal Kehidupan Masyarakat
Rasulullah telah berjaya membentuk satu masyarakat yang aman harmoni dan berkasih sayang. Sewaktu Islam berada di kemuncak kegemilangannya, iaitu kira-kira 1500 tahun yang lalu, di waktu itulah didapati masyarakatnya berada di era tamadun rohani yang tinggi. Mereka dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni di bawah pimpinan baginda Rasulullah SAW. Di waktu itu kira-kira tiga perempat dunia dikuasai oleh orang Islam. ( Abdul Ghafar Don, 2000)

Bukan saja orang Islam hidup dalam suasana harmoni, bahkan orang bukan Islam dapat dipaparkan seperti di dalam kisah berikut:

A. Persaudaraan Ansar dan Muhajirin 
Sebelum musyrikin Mekah dapat dilawan, pihak umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW mestilah terdiri satu pasukan yang sangat kuat. 

Iaitu kekuatan yang terhasil daripada perpaduan, persepakatan, keharmonian dan yang lebih penting persaudaraan sesama umat itu sendiri. 

Daripada kata kuncinya persaudaraan, maka itulah yang dilakukan oleh baginda sebaik sahaja tiba di Madinah. 

Iaitu menyatukan antara umat Islam yang berhijrah dari Mekah, yang dikenali sebagai Muhajirin dengan penduduk Yathrib terutama berbangsa Arab, yang kebanyakan mereka telah memeluk Islam. 

Ia bermula apabila seramai 90 orang, iaitu terdiri separuh daripada Muhajirin dan separuh lagi golongan Ansar disatukan dalam sebuah majlis yang berlangsung di rumah Anas bin Malik. 

Mereka dipersaudarakan atas asas berkongsi kehidupan dan saling mempusakai selepas berlaku kematian dengan melebihi taraf kaum kerabat yang jauh. 

Namun asas pewarisan atau mempusakai seperti itu ditamatkan setelah berlaku Peperangan Badar, iaitu dengan turunnya firman Allah: 
“Dan golongan yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. ”

Dalam pada itu, mereka yang mempunyai pertalian kerabat, sesetengahnya lebih berhak atas setengah yang lain menurut (hukum) Kitab Allah; “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ” (al-Anfal: 75)

Dengan turunnya ayat itu maka hak pewarisan ditarik balik tetapi hubungan persaudaraan itu tetap diteruskan. Baginda menjadikan persaudaraan sesama Islam itu sebagai satu kontrak atau perjanjian sejati yang perlu dilaksanakan, bukan hanya sebagai mainan di bibir atau manis dimulut sahaja tanpa dipraktikkan. Bagi baginda tidak ada gunanya dilaungkan persaudaraan sesama Muslim tetapi akhirnya tinggal sekadar slogan tanpa sebarang hasilnya. (Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, 2008)

Mereka yang mengaku saling bersaudara, merekalah rupa-rupanya yang saling bergaduh sehingga sanggup berbunuh-bunuhan. 

Indahnya persaudaraan yang dianjurkan oleh Rasulullah itu ialah ia menimbulkan satu perasaan yang sangat kuat hingga lebih mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri. 

Atau lebih tepat tidak ada sebarang perasaan pentingkan diri sendiri di samping suka berkongsi apa sahaja apa yang boleh dikongsikan dan bertambah indah apabila wujud suasana kemesraan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. 

Namun jelas menunjukkan betapa golongan Ansar sangat mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan saudara-saudara baru mereka yang sanggup meninggalkan kampung halaman tercinta iaitu, Mekah. Puak Muhajirin sama sekali tidak mengambil kesempatan dari kemurahan hati kalangan Ansar dan tidak mengaut sebarang hasil melainkan sekadar yang layak dan berpatutan dengan penat lelah mereka mengusahakan secara bersama. (Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, 2008)

Keperluan Bermasyarakat
Pembentukan masyarakat merupakan satu keperluan bagi manusia. Ini kerana Allah mencipta manusia dalam bentuk yang tidak dapat meneruskan kehidupan tanpa makanan; jasmani dan rohani. Manusia terdiri daripada dua komponen iaitu jasad dan roh. Kedua-dua komponen ini masing-masing memerlukan keperluannya yang tersendiri yang tidak mampu disempurnakan kecuali melalui proses hidup bersama atau bermasyarakat. 

Jasad memerlukan makanan yang berbentuk material yang terdiri daripada makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain. Kemampuan seseorang individu dalam proses menyediakan makanan sahaja pun sudah agak terbatas. Bagi menyediakan sepinggan nasi sahaja memerlukan gabungan daripada beberapa golongan seperti petani, nelayan dan lain-lain. Jadi mereka perlu bantu-membantu. (Wan Roslili Abd. Majid, 2002)

Di samping itu, mereka juga perlu mempertahankan diri daripada serangan musuh. Mereka memerlukan tempat, perlindungan, kenderaan dan pelbagai alat kelengkapan atau senjata. Manusia tidak mampu untuk menyediakan rumah, pakaian dan alat senjata. Manusia tidak mampu menyediakan semua ini secara bersendirian. Oleh itu, mereka saling memerlukan antara satu sama lain. 

Selain itu manusia juga perlu hidup berpasangan. Keperluan hidup berpasangan bukan hanya setakat memenuhi keperluan seksual sahaja, tetapi juga meneruskan kesinambungan generasi manusia. Sebab itu agama dan fitrah manusia tidak merestui hubungan sejenis, sama ada sesama lelaki (homoseksual) atau sesama perempuan(lesbian) manakala roh memerlukan manusia hidup beragama, berilmu pengetahuan dan penghayatan pelbagai nilai positif seperti berkasih-sayang, tolong-menolong, hormat-menghormati dan lain-lain yang hanya boleh diperolehi melalui proses hidup bersama atau masyarakat. Sebab itu manusia dikatakan bermasyarakat disebabkan tabiatnya sendiri. Jadi manusia perlu hidup bermasyarakat. Tanpa hidup bermasyarakat, seorang insan tidak mampu memenuhi keperluan asasinya. 

Sifat manusia yang sebegini rupa menyebabkan mereka perlu kepada masyarakat. Manusia perlu kepada pemimpin yang mengurus, mengatur serta mengawal keperluan dan urusan mereka. Manusia perlukan undang-undang dan peraturan bagi mengawal kegiatan mereka. Mereka memerlukan masyarakat untuk hidup aman dan bahagia serta selamat. Oleh itu, sifat manusia secara semula jadi memerlukan masyarakat. (Mustafa Al-Adawi, 2007)

KRITERIA YANG PERLU ADA PADA SETIAP MASYARAKAT

1.1 Masyarakat yang dibina atas akidah Tauhid

Allah SWT mengutuskan para rasul untuk membebaskan manusia daripada syirik iaitu menyembah Tuhan selain Allah. Tauhid menjadi intipati utama dakwah para rasul khususnya para rasul yang tergolong sebagai Ulul Azmi. 

Misi Rasulullah SAW di Mekah selama 13 tahun adalah membebaskan masyarakat Arab Jahiliah daripada perbuatan syirik. Ayat-ayat Makiyyah menyeru kepada mengesakan Allah. Dalam Surah al-Kafirun misalnya menegaskan bahawa orang-orang yang beriman amat berbeza dengan orang kafir. Sifat utama orang beriman adalah beriman kepada Allah, para malaikat, kitab, para rasul, hari kiamat, qodho’ dan qodar. Mereka membuang segala perbuatan yang menyerupai orang-orang kafir. Percaya dan yakin bahawa peranan mereka adalah sebagai hamba dan khalifah Allah dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan rasul. 

Tauhid juga bermaksud orang-orang beriman meletakkan Allah dan Rasulullah SAW sebagai matlamat utama melebihi perkara lain. Seperti sifat Abu Bakar As-Siddiq kala dipukul kafir Quraisy tetapi masih bertanyakan Rasulullah SAW apabila tersedar daripada pengsan. Ini menunjukkan kasih dan cintanya kepada Rasulullah SAW melebihi dirinya sendiri. (Abdul Ghafar Don, 2000)

Masyarakat Islam berteraskan akidah telah dimodelkan oleh para sahabat baginda SAW yang mula – mula memeluk Islam. Mereka sanggup dimusuhi saudara kerana memilih Islam, mereka memilih untuk hidup melarat dan miskin serta berjuang harta dan nyawa demi Islam, pasukan Muhajirin sanggup meninggalkan kampung halaman serta keluarga yang dicintai termasuk Zainab, Puteri sulung Rasulullah SAW. Beliau tinggalkan suaminya Abu Al- Ash yang masih musyrik kerana menyahut seruan Allah membuka tapak baru di Madinah. 
Masyarakat berteraskan akidah yang benar hanya akan menggunakan al Quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Selain keduanya, mereka akan menolak. (Abdul Ghafar Don, 2000)

1.2 Masyarakat Yang Benar

Kesan daripada akidah Tauhid yang mendokongi iman adalah ibadah, amal, akhlak dan sikap yang ikhlas dan benar. Dr Wahbah az-Zuhaili dalam bukunya Akhlak Muslim menjelaskan bahawa sifat benar hanya terdapat pada orang mukmin. Firman Allah Taala bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dan jadilah kamu bersama orang-orang yang benar’ Surah at-Taubah;119

Allah juga menyebut dalam surah al-Ahzab ayat 35 tentang sifat orang beriman bermaksud; ‘Lelaki-lelaki yang benar dan perempuan-perempuan yang benar. ’

Sebaliknya, mereka yang beriman tetapi tidak berkelakuan as-Siddiq atau benar, Allah menyifatkan mereka sebagai al-mukazzibin (penipu). Sifat penipu atau tidak amanah termasuk sebagai sifat munafik. Dalam surah as-Soff menyebutkan; “Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu mengata sesuatu yang tidak kamu laksanakan?” (Surah as-Soff)

Perbuatan tidak amanah sangat besar dosanya di sisi Allah. Daripada diri mukmin yang benar dan bersih, akan melahirkan keluarga dan ahli masyarakat yang baik. 

Masyarakat Islam juga benar dalam tindakan, percakapan dan pemikiran. Hanya bercakap perkara-perkara yang baik dan benar. Tidak berlaku zalim seperti mengamalkan rasuah, memakan harta anak yatim, mengabaikan tanggungjawab dan 1001 perkara yang bertentangan dengan kebenaran. (Wan Roslili Abd. Majid, 2002)

Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “ Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. ”

Justeru, masyarakat Islam yang mengambil siri tauladan Islam bermakna menjadikan kebenaran sebagai rujukan kehidupannya. Manakala selainnya adalah kesesatan. 

1. 3 Masyarakat yang dikukuhkan dengan persaudaraan (ukuhwah)

Allah SWT menciptakan manusia daripada tubuh yang satu iaitu Nabi Adam AS. Justeru, percaturan fitrah manusia seperti bentuk fizikal, naluri dan perasaan, kecenderungan adalah sama sahaja. Malah, Allah telah berfirman yang bermaksud, 
“Allah tidak menilai seseorang itu berdasarkan keturunan, bangsa, warna kulit tetapi hanya sifat taqwa. ”

Justeru, kebersamaan itulah yang mengikat manusia untuk tunduk kepada Allah SWT sebagai Pencipta dan Tuhan sekalian alam. 

Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT maka ia telah disatukan dalam persaudaraan Islam. Malah baginda SAW pernah mengatakan bahawa orang-orang beriman itu ibarat satu tubuh, jika salah satu anggotanya sakit maka sakitlah seluruh tubuh. Misalnya, kisah di Medan Uhud menyaksikan tentera Islam berkorban untuk sahabat-sahabat mereka minuman. Masing-masing menolak kerana mendahulukan sahabat. Akhirnya, semua mereka mati syahid. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; 
“Tidak masuk syurga seseorang yang membiarkan saudaranya lapar walaupun dia seorang ahli ibadah. ”

Punca kekuatan Islam boleh tersebar ke pelusuk dunia timur dan barat adalah kesatuan diri dan akidah. Kini, apabila kuasa barat Eropah menakluk sebahagian dunia, mereka telah memisahkan negara-negara Islam kepada negara dan bangsa melalui dasar pecah dan perintah. Oleh itu, wujudlah jurang perbezaan berdasarkan geografi, bahasa, warna kulit walaupun masing-masing adalah Muslim. Malang lagi, semua mereka disatukan dengan penonjolan budaya barat (hegemoni) yang jauh bertentangan dengan Islam. Oleh itu, umat Islam tidak lagi berasa sensitif kepada keadaan yang berlaku di negara Islam lain kerana sikap taksub terhadap bangsa dan negara sendiri. 

Jelaslah bahawa, apabila rasa ukhuwah hilang dari jiwa umat Islam, maka mereka menjadi umat yang lemah, mundur, kecewa dan pesimis terhadap saudaranya sendiri. (Mustafa Al-Adawi, 2007)

1. 4 Masyarakat Yang mementingkan ilmu pengetahuan

Ilmu adalah perkara pertama yang diajarkan Allah SWT kepada Nabi Adam AS. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah:31 bermaksud: “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama benda seluruhnya”. Daripada ayat yang berikutnya, Nabi Adam AS telah mengajarkan pula kepada malaikat (al-Baqarah: 33). Ini membuktikan Allah SWT menaikkan taraf manusia berbanding para makluk lain termasuk malaikat hanya dengan akal fikiran yakni ilmu pengetahuan. Bahkan ketika Rasulullah SAW diangkat menjadi nabi, wahyu pertama yang diberikan kepada baginda SAW adalah Iqra iaitu membaca. Malaikat Jibril AS sendiri yang menjadi guru kepada Rasulullah SAW. (Mustafa Al-Adawi, 2007)

Perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang jahil itu amat ketara. Ini telah disebutkan di dalam al Quran. Firman Allah Taala bermaksud;
“Adakah sama orang-orang yang mengetahui-ilmu- dan orang-orang yang tidak mengetahui-jahil”- (Surah az-Zumar: 39) (Kamaruddin Haji Kachar, 1989), 

PENUTUP
Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya hidup bermasyarakat dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai masyarakat yang hebat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum ada ciri-ciri positif yang perlu ada dalam sesebuah masyarakat. Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. 

Kekuatan sesebuah masyarakat yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah dan kasih sayang. Perkataan masyarakat bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dan mempunyai peraturan tertentu. Manusia perlu hidup bermasyarakat kerana keperluan jasmani dan rohani atau dunia dan akhiratnya tidak mampu diusahakannya seorang diri. 

Hidup bermasyarakat dalam Islam bermaksud hidup dalam satu organisasi yang berpaksikan Islam sebagai suatu cara hidup. Individu muslim mu‘min tidak akan mantap tanpa masyarakat Islam. Ini kerana hanya masyarakat Islam sahaja yang boleh menjamin jalinan erat antara hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. ” (Surah al-Ra’d:11)

RUJUKAN

  1. Abdul Ghafar Don(2000), Dakwah dan Pengurusan Islam di Malaysia(Konsep dan Perlaksanaan), Selangor, Persatuan Penerbit Buku Malaysia. 
  2. Kamaruddin Haji Kachar(1989), Strategi Penerapan Nilai-Nilai Islam, Singapura:Teks Publishing. 
  3. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti. (2008). Fiqh Al-Sirah Jilid 2. Selangor: Dewan Pustaka Fajar. 
  4. Mustafa Al-Adawi (2007), Mencapai Kebahagiaan dengan Ilmu dan Amal, Kuala Lumpur, Berlian Publication Sdn. Bhd. 
  5. Wan Roslili Abd. Majid (2002), Kriteria Negara Berteraskan Prinsip Islam, Kuala Lumpur: IKIM. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015