Bahana Riba

Disediakan Untuk
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin 

Disediakan Oleh 
Safheefful Amar Bin Satar
2014487818

PENDAHULUAN
Perniagaan adalah sumber rezeki terbanyak menurut Islam. Islam menggalakkan perniagaan tetapi Islam melarang penglibatan perniagaan berbentuk riba, penipuan, ketidakpastian, perjudian serta barang-barang dan perkhidmatan yang dilarang menurut Islam. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188 “ Sesungguhnya Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” 

Seantero dunia telah pun mengetahui bahawa agama Islam amat tegas dalam amalan riba, iaitu amalan yang keji dan tergolong sebagai dosa besar. Dengan wujudnya riba, golongan kaya akan menjadi semakin kaya dan golongan miskin bertambah miskin. Golongan miskin hanya akan bergantung kepada pemberi pinjam kerana tiada saluran lain lagi untuk memperoleh bantuan. 

Riba muncul dan bermaharajalela sejak zaman jahiliah lagi, yang mana ia jelas menunjukkan penindasan terhadap orang yang mengharapkan dan orang yang miskin atau juga dikenali sebagai “membantu kemudian membunuh”. Apabila Islam muncul riba dikeji dan diperangi habis-habisan. Amalan riba diharamkan kerana tiada keadilan kepada orang yang memerlukan dan perlakuan riba itu adalah perbuatan zalim yang melampau. 

Beberapa Ulama telah bahagikan riba kepada beberapa jenis iaitu Ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali membahagikan riba kepada riba al-Fadhl dan al-Nasiah. Manakala Imam Syafie hanya menambah satu dari jenis riba iaitu riba al-Fadhl dan al-Nasiah serta riba al-Yadd. Dalam riba juga terdapat harta riba yang dipanggil harta ribawi. Melalui pembentangan kertas kerja ini pengertian riba dan impak akan memberi kefahaman yang lebih jelas. 

1. TAKRIF RIBA
Riba dari segi bahasa adalah pertambahan dan peningkatan. (Zaharuddin Abd Rahman, 2010). Selain itu riba juga diertikan sebagai bunga berganda yang membebankan, yang diharamkan oleh Islam (Kamus Dewan Edisi Keempat. (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka) ataupun lebihan keatas sesuatu. 

Manakala pengertian riba dari sudut istilah berbeza mengikut pandangan-pandangan Ulama Mazhab berdasarkan kefahaman dan hujah masing-masing. Mereka melihat riba dalam pelbagai aspek seperti riba hutang, riba jual-beli dan riba secara umum. Berikut pengertian riba oleh mazhab fekah. 

i. Mazhab Hanafi: Riba sebagai lebihan yang tidak setara tukaran mengikut ukuran yang diakui syarak dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh salah satu pihak yang berkontrak dalam kontrak pertukaran (Mohd Nor Bin Anuar, 2013)
ii. Mazhab Syafie: Riba sebagai kontrak ke atas tukaran tertentu yang tidak diketahui persamaannya pada ukuran yang diakui syarak semasa berkontrak atau penangguhan pada kedua-dua atau salah satu barangan tukaran tersebut. pertukaran (Mohd Nor Bin Anuar, 2013)
iii. Mazhab Hanbali: Riba itu adalah melebihkan sesuatu dan menangguhkan sesuatu yang tertentu dengan sesuatu (Mohd Nor Bin Anuar, 2013)
iv. Mazhab Maliki: Riba sebagai lebihan pada bilangan atau timbang yang sebenar atau samar-samar dan menangguhkan pertukaran (Mohd Nor Bin Anuar, 2013)

Namun demikian, pengertian riba yang paling lengkap dan tepat (jami’ dan mani’) “Sebarang tambahan dalam item-item tertentu (ribawi) dan tambahan ke atas hutang akibat tempoh. ”. 

Daripada takrifan diatas ia merangkumi riba yang terhasil daripada jual beli barangan ribawi(riba buyu’) dan juga merangkumi riba yang terhasil daripda hutang (riba duyun). (Zaharuddin Abd Rahman, 2010). Panduan asas berkenaan riba dan itemnya boleh difahami daripada hadis berikut:

“Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW melarang menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam kecuali bersamaan, ain denga ain, maka sesiapa yang menambah atau minta tambah maka dia telah melakukan riba” diriwayatkan daripada Ubadah bin al-Samit (r. a. )

Daripada pengertian-pengertian di atas boleh disimpulkan bahawa riba terjadi pada dua perkara iaitu jual beli dan tanggungan urusniaga sepertu pinjaman. Oleh itu, riba terjadi apabila

i. Bayaran lebihan daripada wang asal atau wang pokok (harta asal) mengikut perjanjian yang diisyaratkan terlebih dahulu

ii. Kontrak ke atas pertukaran barangan tertentu yang tidak diketahui persamaannya pada timbangan atau sukatan yang diakui oleh syarak

iii. Penangguhan serahan salah satu barangan yang ditukarkan atau yang diperdagangkan bagi tukaran matawang barangan ribawi

2. JENIS RIBA
Ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali membahagikan riba kepada dua jenis iaitu:
a) Riba al-Fadhl 
b) Riba al-Nasi’ah

Manakala mazhab Syafi’i membahagikan riba kepada tiga jenis iaitu:
a) Ribaal-Fadhl
b) Riba al-Nasi’ah
c) Riba al-Yad (Zaharuddin Abd Rahman, 2010)

Secara ringkasnya riba terdiri daripada pinjam dan hutang (Riba al-Duyun) dan jual beli item ribawi ( Riba al-Buyu’). Dalam konteks ini Riba al-Qardh dan Riba al-Jahiliah berada dalam Riba al-Duyun manakala Riba al-Fadhl dan Riba al-Nasi’ah berada dalam Riba al-Buyu’

2. 1. Riba al-Duyun ( muncul daripada hutang)

Riba jenis ini melihat kepada kadar lebihan faedah (riba) yang terhasil disebabkan tempoh, sama ada tempoh pemberian pinjaman mata wang atau manfaat sesuatu aset. (Zaharuddin Abd Rahman, 2010)  

2. 1. 1 Riba al-Qardh

Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok di mana syarat telah diletakkan pada awal kontrak pinjaman (loan contract), yang dikenakan oleh pemberi pinjaman (Zaharuddin Abd Rahman, Wang Anda Dan Islam, 2010)
Riba al-Qardh ini sememangnya amat popular dalam masyarakat kita sekarang keranaia terdiri daripada pelbagai bentuk dan cara
a. Duit berbalas duit yang lebih banyak
Contohnya: Pinjam RM 1000 pulang RM2000 dalam masa 5 bulan
b. Duit berbalas duit berserta sesuatu manfaat
Contohnya: Pinjam RM1000 pulang RM1000 dalam tempoh 5 bulan tetapi terdapat balasannya seperti penggunaan kereta orang yang meminjam oleh orang yang memberi pinjaman
c. Manfaat berbalas manfaat yang banyak
Contohnya: Ali memberi Abu meminjam keretanya dengan syarat semasa pemulangan tangki minyak harus penuh padahalk sewaktu Abu meminjam tangki tidak penuh
d. Hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak
Contohnya: Ali menghadiahkan Abu RM1000 pada bulan ini dengan syarat Abu akan menghadiahkan Ali RM1200 pada bulan hadapan
Secara kesimpulannya Riba al-Qardh ialah meminjam dengan syarat ada keuntungan bagi yang memberi hutang atau lebihan yang bernadi syarat keatas sesuatu pinjaman sama ada wang atau barang. 

2. 1. 2. Riba al-Jahiliah
Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih daripada jumlah pinjaman pokok yang telah dikenakan akibat si peminjam gagal membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan pada tempoh yang dipersetujui. Akibatnya, si pemberi pinjaman dapat mengenakan kadar denda ke atas si peminjam kerana meminta penangguhan untuk membayar hutang atau gagal membayar hutang dalam waktu yang ditetapkan. (Zaharuddin Abd Rahman, Wang Anda Dan Islam, 2010)
Daripada pengertian yang diberikan Riba al-Jahiliah boleh berlaku dalam dua keadaan

a) Dalam pinjaman
Iaitu lewat memulangkan barang yang dipinjam sama ada wang atau lain-lain barangan, lalu dikenakan denda atas kelewatan
Contohnya: Ketika kelewatan pulangan buku di perpustakaan pihak penggurusan akan menggenakan denda sebanyak RM10 untuk satu hari yang terlewat

b) Dalam hutang
Lewat membayar hutang daripada sebarang pembelian secara bayaran ansuran, lalu dikenakan denda atas kelewatan
Contohnya: Kelewatan membayar ansuran kereta pada bulan ketiga atau seumpamanya pihak bank akan menggenakan 6% cas denda
Kesimpulannya Riba al-Jahiliah ialah bayaran yang lebih daripada hutang asal atau pokok yang dikenakan ke atas si berhutang kerana tidak membayar hutangnya dalam tempoh yang ditetapkan. 

2.2. Riba al-Buyu’ ( muncul daripada jual beli barangan ribawi)
 Riba al-Buyu’ ialah ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran dua barangan ribawi atau pertukarannya dibuat secara bertangguh

2.2.1. Riba al-Nasiah/al-Nasak
Iaitu berjual beli atau bertukar antara dua barangan ribawi yang sama jenis secara bertangguh (tidak disempurnakan dalam satu masa). (Zaharuddin Abd Rahman, Wang Anda Dan Islam, 2010)
Contohnya: i) 5 gram emas dijual dengan harga RM2000 secara tangguh
 ii) 10kg beras ditukar dengan 15kg gandum secara tangguh
Ulasannya:- Riba akan muncul apabila transaksi tersebut berlaku secara tangguh manakala tidak sama beratnya seperti beras dan gandum 
Konklusinya Riba al-Nasiah ialah lebihan yang dikenakan terhadap sesuatu pinjaman kerana penangguhan masa sama ada wang atau barang. 

2. 2. 2. Riba al-Fadhl
Iaitu berjual beli atau bertukar antara dua barang ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat (jika dijual secara timbang) atau kuantitinya (jika dijual secara bilangan kuantiti). (Zaharuddin Abd Rahman, Wang Anda Dan Islam, 2010)
Contohnya:
i) Menukar 5gram emas (jenis 916) dengan 6gram (jenis 750). Ia adalah haram kerana sepatutnya kedua-duanya 5gram. Jenis kualiti tidak memberi kesan kepada hukum
ii) Menukar atau menjual 10gram beras Basmathi dengan bayarannya 15gram beras jenis A1. Ia juga haram kerana kedua-duanya sepatutnya 10gram
Apabila wujudnya perbezaan ia jatuh ke dalam kategori Riba al-Fadhl. Oleh itu Riba al-Fadhl ialah pertambahan atau perbezaan kuantiti dalam pertukaran atau jual beli barang-barang yang sama sejenis dari kumpulan barang-barang jenis ribawi

2. 3 Riba al-Yadd
Dua komoditi tetapi tidak sama kuantitinya atau dua komoditi yang sama jenisnya, tetapi sama kuantitinya ditukarkan mengikut system barter
Contohnya: Syahmi menjual kereta kepada Yani. Mereka telah berakad bahawa Syahmi menjualnya dengan harga RM30 ribu. Mereka berdua berpisah dari majlis akad tersebut dan Yani telah menangguhkan pembayaran. Apabila Yani ingin membayar hutang pembelian kereta tersebut, Syahmi telah meminta RM32 ribu daripadanya yakni lebih daripada akad sebelum ini. 

3. PANDANGAN RIBA MENURUT SUMBER LAIN
3. 1 Riba Dalam Agama Yahudi
Umum mengetahui orang-orang Yahudi memang terkenal dengan kelicikan mereka. Hatta nabi mereka sendiri ditipu dan dikhinati oleh mereka. Riba merupakan salah satu dari helah mereka menurut sejarah. Disini akan menerangkan pandangan riba dari orang-orang Yahudi. Penerangan ini adalah daripada Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir r. a. Firman Allah SWT dalam menceritakan orang-orang Yahudi:

”Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, Kami haramkan ke atas mereka (memakan makanan) yang baik-baik, yang dahulunya dihalalkan bagi mereka, dan kerana mereka banyak menghalangi manusia dari jalan Allah, dan disebabkan mereka makan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya. Dan kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka itu siksa yang pedih. ” (Al-Nisa’:160-161) 

Menurut Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir r. a dalam mentafsirkan ayat itu berkata: “Allah SWT telah melarang mereka (orang-orang Yahudi) daripada mengambil atau memakan riba. Sekalipun dilarang, mereka mengambilnya dan memakannya. Mereka mencari pelbagai alasan dan helah untuk menghalalkannya dan akhirnya mereka memakan harta orang lain secara batil. ” Dalil-dalil tersebut diputar belitkan orang Yahudi mengenai pengharaman riba iaitu haram apabila berlaku riba sesama kaum mereka tetapi dibolehkan jika dengan puak yang lain dengan menukarkan kalimah yang terdapat dalam kitab taurat mereka. 

3. 2 Riba Pada Zaman Jahiliah
Orang-orang zaman jahiliah menganggap riba itu sebagai sesuatu yang amat menguntungkan. Imam Al-Tabari dalam kitabnya berkata, yakni riwayat yang diterima dari Mujahid: “Mereka ada zaman jahiliah, kalau ada hutang piutang, maka berkatalah orang yang berhutang kepada si pemberi pinjaman: “Engkau mendapatkan sejumlah itu dan ini jika engkau tangguhkan pembayaran. ” Maka yang memberi pinjaman pun menangguhkannya”. (Dr. Zulkifli Mohamad Al. Basri, 2012). Bagi sesiapa yang tak mampu hutang, jadi hutang itu akan bertambah dari masa ke semasa mengikut tempoh yang mereka tetapkan. Penambahan ini disebut sebagai “ bunga”. Oleh itu orang kaya atau mempunyai harta pada zaman tersebut tidak mempedulikan orang yang meminjam itu rugi atau betambah miskin. Pada zaman jahiliah ini tidak hairan berlakunya pernindasan. 

4. ERTI HARTA RIBAWI
Imam al-Nawawi berkata: Orang Islam berijmak tentang haramnya riba dan ia termasuk daripada dosa besar. Ada pendapat menyatakan ia haram dalam semua syariat, yang menukilkan seperti itu antaranya al-Mawardi.. Para ulama hanya berbeza pendapat tentang takrif riba dan huraiannya seperti yang telah dinyatakan pada bahagian takrif riba. (Dr. Zulkifli Mohamad Al. Basri, 2012)
Rasulullah SAW menetapkan bahawa harta Ribawi, yakni barang-barang yang dianggap sebagai riba, maksudnya jual-beli atau tukar-menukar ada peraturan tertentu, ada enam jenis ianya berdasarkan hadis tersebut. 
“Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW melarang menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam kecuali bersamaan, ain denga ain, maka sesiapa yang menambah ataun minta tambah maka dia telah melakukan riba” diriwayatkan daripada Ubadah bin al-Samit (r. a. )
Emas
Perak
Al-Burr (sejenis gandum)
Al-Sya’ir (gandum)
Tamar
Garam

Menurut ulama zahiriah ini sajalah yang dianggap sebagai barang ribawi. Ulama zahiriah maksudnya ulama-ulama yang hanya melihat zahir ayat atau hadis. Mereka tidak mengkaji ayat atau hadis lain, tidak memakai qiyas dan sebagainya. Manakala ulama yang bukan zahiriah pula“Bukan hanya enam jenis barang yang dianggap ribawi tetapi termasuk juga barang yang lainnya yang sama illat atau sebabnya dengan salah satu yang enam seperti yang ditentukan oleh Rasulullah SAW (Zaharuddin Abd Rahman, Wang Anda Dan Islam, 2010)

Imam Syafie berkata: “Illat emas dan perak adalah masalah harganya. Sedangkan empat yang lainnya illatnya adalah sebangsa yang dimakan. Maka jenis makanan lainnya pun dianggap sebagai harta ribawi. ” Imam Malik setuju dengan pendapat Imam Syafie tentang emas dan perak. Yakni setiap benda yang mahal disamakan dengan emas dan perak dan dianggap sebagai harta ribawi tetapi empat yang lainnya menurut illatnya imam maliki adalah makanan yang tahan keadaannya disimpan dalam waktu yang lama. 

Imam Ibnu Taimiah berkata: “Sependapat jumhur para sahabat, tabiin dan imam, yang empat bahawa tidak boleh menjual atau tukar-menukar barang yang enam jenis kecuali, tukar sesama jenis yang sama, kecuali sama banyak dan serah terima secara tunai. Kalau ditambah atau dilebihkan, maka lebihnya itu dianggap memakan harta orang lain secara batil. ” ( (Mat Noor Mat Zain, 2007)) 

Kesimpulannya barang ribawi yang dimaksudkan Ibnu Taimiah ialah: 
Emas
Perak
Al-Hintah (biji gandum)
Al-Sya’ir (gandum)
Tamar
Buah anggur kering

5. HUKUM RIBA
Isu rasuah, kenaikan harga barang, dan pelbagai lagitelah dibincangkan namun apabila terlibat isu riba ramai pihak yang mengambil sikap menarik diri terlibatnya dengan perbincangan tersebut. Justeru semakin ramai yang tidak mengetahui bahayanya riba dan menyebabkan orang Islam yang terlibat tidak berasa bersalah. Seperti yang dimaklumi secara darurat bahawa hukum riba adalah HARAM berdasarkan nas-nas yang sahih. 

Dalil atau bukti bertapa bahayanya riba
I. Surah al-Baqarah 2:278-279
 “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (tidak meninggalkan riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagi kamu pokok harta kamu, kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya. ”

Dalam ayat di atas Allah SWT menjelaskan bahawa pemakan riba dan pemberi riba diperangi Allah dan Rasulullah SAW. Melainkan dia bertaubat dan halal asal hartanya. 
II. Surah al-Baqarah 2:276
“ Allah menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah. Dan Allah tidak suka kepada orang kafir lagi berdosa”

III. Sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r. a
“ Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” ( Musnad Ahmad, no 3754, 1/395; al-Hakim mengatakannya sahih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya Hassan)

Kedua-dua dalil tersebut bahawa riba membawa kepada kehilangan berkat harta dan kehidupan ianya akan berlaku di dunia dan di akhirat

IV. Nabi SAWA bersabda
“ Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya” (Ibn Majah, 2/764; al-Hakim, 2/37 sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)
Hukum riba menunjukan dosa yang paling ringan apabila seseorang itu melakukan seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya. 

V. Lebih berat atau sama dengan 36 kali perzinaan seperti dalil di bawah
Nabi SAW bersabda “ Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan dia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali” ( Musnad Ahmad, 2/225; al-Daruqutni, hlm, 295; al-Albani mengatakan sahih dalam Ghayat al-Maram fi Takhrij Hadis al-Halal wa al-Haram li al-Qaradhawi, hlm, 103)

VI. Riba salah satu daripada tujuh dosa besar. ia berdasarkan hadis Nabi SAW
“ Jauhilah tujuh dosa besar; syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil)” (Riwayat al-Bukhari, no 2615 dan Muslim, no 272)

Tuntasnya, hukum riba adalah haram. Oleh yang demikian setiap orang yang terlihat dengan amalan riba sama ada mengambil, member, menulis atau menjadi saksi adalah berdosa besar. Sebarang muamalat, jual beli atau perniagaan yang disertai dengan riba adalah tidak sah. riba bolh berlaku dalam hutang piutang, jual beli dan pertukaran mata wang. Bukti seterusnnya adalah dari segi aspek pemikiran

“ Orang memakan riba, sama ada bank atau penyimpan memperolehi keuntungan dan tidak menanggung kerugian. Perkara ini sebenarnya tidak menepati pemikiran yang sihat. Pemikiran yang sihat menghukumkan setiap orang yang memperolehi keuntungan, pasti menanggung kerugian” (Dr Muhammad Rawwas Qalanji, 2008)

6. KESAN ATAU IMPLIKASI RIBA DAN KEMUDARATANNYA
Ramai penulis dan ahli fikir telah membahaskan tentang keburukkkan dan kesan riba. Ini kerana riba tidak dapat lari dari urusan muamalat kita. Kemudaratan riba terbahagi kepada dua iaitu kemudaratan kepada individu dan kemudaratan kepada masyarakat. (Dr Muhammad Rawwas Qalanji, 2008)

6. 1 Kemudaratan Kepada Individu
i. Mengajar sifat pengecut dan lari dari memikul tanggungjawab kepada individu. Ini kerana ia telah lari dari tanggungjawab dan tidak mahu menanggung sebarang kerugiaan
ii. Menjauhkan diri daripada Allah. Apabila merasa hasil daripada riba yang banyak dan
berterusan, pengharapan rezeki dari Allah akan berkuranggan. 

6. 2 Kemudaratan Kepada Masyarakat
i. Menyebabkan penggangguran, kerana orang-orang yang mempunyai harta meletakkan harta-harta mereka di bank ribawi dengan mendapat faedah tertentu, sebenarnya menjamin untuk diri mereka rezeki yang tetap. Ini membuatkan mereka menganggur dan enggan berkerja.  
ii. Menyebabkan terputusnya ihsan di kalangan orang ramai. Ini kerana pemakan riba tidak akan menghulurkan sebarang tambahan walaupun dalam darurat kecuali ia mendapat pulangan kembali.   

Kemudaratan riba menyebabkan umat Islam menjadi mundur bukan sahaja dari segi aspek ekonomi malah dalam aspek kerohanian dan pergaulannya. Riba memberi kesan kepada kedua-dua pihak. Ianya jelas berlaku kepada pemberi pinjam dan peminjam 

Kesan riba jelas berlaku kepada pemberi pinjam dan peminjam
6. 3 Kesan Riba Jelas Berlaku Kepada Pemberi Pinjam

i. Menanam perasaan cinta terhadap wang dan keinginan untuk mengumpul harta untuk kepentingan diri sendiri. 
Apabila memperolehi wang yang banyak dengan cara yang mudah menyebabkan keinginan untuk mendapat lebih dari itu wujud dalam diri dalam kemewahan dunia

ii. Membentuk sifat tidak mengenal belas kasihan dan membangkitkan sifat cemburu serta memupuk sifat bakhil sengan pelbagai cara. 

Berlakunya riba, menghakisnya ihsan. Itu yang berlaku kepada pemberi pinjam kerana tanpa merasa bersalah meletakkan kadar pemulangan yang tinggi kepada peminjan

Ringkasnya riba menggalakan sifat-sifat buruk dan keji pada pemberi pinjam yakni menjadi manusia sombong, bakhil, berfikiran sempit dan berhati batu. Pemberi pinjam akan bertambah kaya dengan cara yang menyalahi syarak

6. 4 Kesan Jelas Berlaku Kepada Peminjam
i. Menimbulkan rasa kurang puas hati peminjam kepada pemberi pinjaman. 
Peminjam akan melahirkan satu sifat negatif dalam dirinya yakni kebencian kepada pemberi pinjam kerana terpaksa membayar lebih

ii. Peminjam akan mengutuk dan mendendami pemiutang
Peminjam tidak menghormati pemberi pinjam kerana merasakan seperti tertindas dan berazam untuk membalas perbuatan tersebut dengan apa jua sekalipun sanggup membunuh. 

iii. Peminjam menjadi semakin miskin. 
Nasib tidak terjamin kerana jika tidak mampu membayar akhirnya semua harta akan menjadi milik pemberi pinjam

Secara keseluruhannya peminjam akan dididik dengan cara yang salah dan sifat yang mazmudah yang akan timbul dalam dirinya. Riba akan membuat hidup peminjam huru-hara dan mentalnya terganggu akibat tertekan dengan hutang yang tinggi lalu mengambil jalan yang salah bagi menyelesaikan masalah pembayaran balik hutang tersebut seperti bunuh diri atau membunuh. 

7. SEBAB PENGHARAM RIBA
Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha yang Bijaksana. Allah SWT tidak mengharamkan seseuatu itu tanpa sebab. Berikut adalah sebab mengapa riba adalah haram

a) Menghalalkan jalan perniagaan

Islam menghalalkan penanaman modal dengan jalan perdagangan atau perniagaan. Firman Allah SWT “ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta kamu diantara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan (jalan) perniagaan yang dilakukan secara sukasama suka antara kamu”. Apabila riba diharamkan maka perniagaan yang bersih dapat dilakukan dengan menepati kehendak syarak

b) Menutup sebarang pintu berasaskan riba

Islam menutup sebarang pintu ke atas orang yang berusaha menanam atau melaburkan modal dengan cara riba. Maka, diharamkan cara ini sama ada banyak atau sedikit. Islam mengencam kaum Yahudi yang mengambil riba walhal riba diharamkan ke atas mereka
c) Pengharaman riba wujud dalam syariat-syariat Allah yang terdahulu

Orang yang memberi pinjaman telah berkorban untuk kepentingan orang yang meminjam dengan kesediaannya menyerahkan wang dalam keadaan bahaya untuk dinikmati faaedahnya oleh si peminjam dalam menampung keperluan hidup si peminjam. Sikap Islam terhadap pengharaman riba itu bukanlah persoalan baru, bahkan pengharaman itu memang wujud dalam syariat-syariat Allah yang terdahulu, sehinggakan dalam syariat Yahudi ada tercatat. 

8. HIKMAH PENGHARAM RIBA
Islam memandang berat terhadap riba dan mengharamkan dengan cukup tegas untuk mengawal dan memelihara kepentingan manusia seluruhnya sama ada dari segi akhlak, kemasyarakatan dan ekonomi. Ulama Islam telah menyebut beberapa rahsia tentang pengharamannya.  
Berpegang kepada riba boleh menghalang manusia daripada mencari nafkahnya dengan jalan membina, sebab pemakan riba yang member pinjam mendapat pulangan yang lebih dengan jalan riba. Seperti yang dikatakan oleh Zaharuddin Abd Rahman dalam bukunya yang bertajuk Wang Anda dan Islam hikmah pengharaman riba ialah menyuburkan sikap malas bekerja dan kurang dinamik. Maka pemiutang tidak perlu bekerja tetapi mendapat keuntungan. Islam tidak menerima konsep untung tanpa bekerja keras. 

Riba boleh membawa terputus kebajikan antara orang ramai dalam masalah pinjaman, kerana pengharaman riba boleh memperbaiki jiwa dan perasaan manusia sebab pemberi peminjam itu mendapat balik wangnya tanpa lebih atau kurang. Sebaliknya jika riba dihalalkan bermakna si peminjam yang meminjam perlu memulangkan sekali ganda atau lebih kepada pemberi pinjam. Ini terputusnya nilai-nilai kebajikan, tolong-menolong, dan kerjasama antara orang ramai. Ini menunjukkan kemudaratan akhlak dan sikap

Mengekplotasikan kesusahan yang memerlukan. Menurut kebiasaan bahawa yang memberi pinjam itu orang kaya atau orang yang mampu, manakala orang yang berhutang itu biasanya orang yang miskin atau orang yang tidak mampu. Maka mengharuskan riba itu ianya bermakna membuka peluang kepada orang kaya untuk mengambil faedah daripada orang yang miskin dan lemah. Keadaan ini tidak selaras dengan kerahmatan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya “ Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah melaknatkan orang yang memakan riba, orang yang berwakilkan darinya, penulisnya, dan dua saksinya” (riwayat Imam Muslim)

9. KESIMPULAN
Amalan riba adalah sesuatu amalan yang dilarang keras dalam Islam. Amalan riba ini akanmenyuburkan sifat malas berusaha dalam diri umat Islam. Selain itu, amalan riba ini juga menyebabkan berlakunya penindasan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini
Amalan riba bukan sahaja member impak kepada masyarakat, bahkan kepada individu tersebut ekonomi dan Negara. Riba mampu memati atau melemahkan roh kesedaran orang yang mengamalkan. Walaupun riba mempunyai jenis-jenisnya, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW dilarang keras sama sekali untuk mengamalkannya. 

Islam menyuruh umatnya menolong orang yang dalam kesusahan. Ia menepati Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud “ Bertolong-tolonglah kamu atas jalan kebaikan dan takwa, dan jangan bertolong-tolongan atas jalan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat bersangatan siksaan-Nya”. 

Tambahan lagi Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya saling mengasihani, sabda Rasulullah SAW mafhumnya “ Sesungguhnya orang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. Baginda menyatukan jari-jarinya” ( riwayat Bukhari)

Tidak mungkin selamat, tidak tercapai kebahagian dan mana mungkin tercapai kebahagiaan dan mana mungkin juga terlepas dari azab yang pedih angkara riba kecuali ia bertaubat apabila melakukan dan mengikut cara yang digariskan oleh Islam selaku agama yang benar

RUJUKAN

  1. Dr Muhammad Rawwas Qalanji, P. B. -H. -A. (2008). Urusan Kewangan Semasa. Selangor: Al-Hidayah Publication. 
  2. Dr. Zulkifli Mohamad Al. Basri. (2012). Riba:Perspetif Tasawwur. Melaka: Bank Muamalat Malaysia. 
  3. Kamus Dewan Edisi Keempat. (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. 
  4. Mat Noor Mat Zain. (2007). Jual Beli Barangan Kemas daripada Emas Dan Perak Reaksi Terhadap Pandangan Ibnu Taymiyyah. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia. 
  5. Mohd Nor Bin Anuar. (2013). Mode lNegara Berkebajikan Aplikasi Maqasid Syariah Dalam Sistem Ekonomi Dan Kewangan. Kelantan: Pusat Kursus Pengajian Ilmu-ilmu Islam (PKPII) (KIAS). 
  6. Muhammad Kamal Azhari. (1993). Bank Islam Teori Dan Praktik. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Pelajar. 
  7. Zaharuddin Abd Rahman. (2010). Riba Dan Isu Kewangan. Selangor: Telaga Biru. 
  8. Zaharuddin Abd Rahman. (2010). Wang Anda Dan Islam. Selangor: True Wealth. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 5/02/2015