Asas-Asas Hidup Bermasyarakat

Disediakan Untuk: 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh: 
Nurul Amanina Binti Abdul Husin
2014284032
PENDAHULUAN
Segala puji bagi Allah SWT dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW serta sejahtera ke atas seluruh keluarga dan sahabatnya. Dengan izin Allah SWT, saya Nurul Amanina bt Abdul Husin bersyukur kerana dapat menyiapkan tugasan CTU 151. Tajuk bagi tugasan ini ialah “Asas-asas Hidup Bermasyarakat”. 

Masyarakat memberi makna kumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Kemasyarakatan pula bermaksud keadaan masyarakat atau yang berkaitan dengan masyarakat. Sejak dahulu lagi, manusia mewujudkan kehidupan mereka berdasarkan berbagai-bagai teori sosial. Tujuan saya memilih tajuk ini adalah untuk menerangkan asas-asas yang perlu ada dalam setiap anggota masyarakat dalam usaha mengecapi kehidupan bermasyarakat yang harmonis lagi aman damai. Terdapat banyak asas hidup bermasyarakat yang dapat diaplikasi, contohnya saling mengenali, berkasih sayang, saling menolong, bertoleransi dan bekerjasama. Semua asas ini menerapkan sifat saling bergantungan. Asas-asas ini bukan hanya dipraktik oleh masyarakat Islam sahaja, malah hendaklah dipraktik bersama masyarakat bukan Islam. 

Dalam surah al-Nisa ayat 1, Allah SWT berfirman: “Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat. ”

Demikian juga dalam surah al-Hujurat ayat 10, Allah SWT menegaskan dalam firmanNya: “Sebenarnya orang-orang Mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara saudara kamu yang bertengkar itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. ”

Mewujudkan tali persaudaraan itu sendiri telah diperintahkan kepada kita. Masyarakat di sekeliling kita juga adalah saudara kita walaupun bukan dari darah daging yang sama. Kita haruslah mewujudkan hubungan baik sesama masyarakat. 
SALING MENGENALI
Perkara paling asas dalam hidup bermasyarakat adalah saling mengenali antara satu sama lain. Dalam bahasa Arab saling mengenali bermaksud taaruf. Manusia memang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan yang berbeza-beza dari suku bangsa yang berlainan tentunya akan menimbulkan kepentingan yang berbeza pula, dan ini boleh mencetuskan perselisihan. 

Oleh itu, untuk menghalang dari terjadinya perselisihan, maka mereka harus saling kenal mengenali sebagai langkah awal untuk menciptakan persefahaman sesama mereka. Firman Allah SWT:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu dapat berkenal-kenalan” (Surah Al-Hujurat: 13)

Maksud ayat di atas dapat dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu: (Hj Syarifuddin Muhammad, 2005)

I)Ianya memberi makna bahawa manusia memang diciptakan berbeza-beza dari segi suku, bangsa dan warna kulitnya. 
II)Dalam usaha mewujudkan suasana harmoni dan aman damai, perbezaan suku, bangsa ataupun warna kulit bukannya bermakna saling bertentangan atau saling bermusuhan, tetapi ianya bermakna saling kenal mengenal dan diteruskan dengan melakukan kerjasama dalam mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni dan aman damai. 
III)Satu pesanan yang bersifat doktrinal iaitu kemuliaan manusia adalah ditentukan oleh kualiti amal perbuatan seseorang itu. 

Jelas sekali Allah SWT telah memerintahkan umatnya untuk saling mengenali antara satu sama lain walaupun berlainan kaum dan bangsa, dengan syarat ianya dengan cara yang baik dan saling memberi kebaikan bersama. Islam sememangnya menekankan kepada hubungan yang baik dengan anggota masyarakat yang lain, samaada mereka beragama Islam ataupun bukan Islam. Dengan orang-orang bukan Islam, corak hubungan ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk memerangi kamu”
(Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa tiada salahnya untuk kita menjalinkan hubungan yang baik dengan orang bukan Islam, terutama dengan mereka yang tiada niat jahat terhadap kita dan agama kita. Justeru, alasan bahawa agama melarang kita daripada bercampur gaul dengan orang bukan Islam sama sekali tidak benar. Sebaliknya, Islam menuntut kita supaya saling mengenali antara satu sama lain. (Abdul Monir Yaacob & Norhanizah Ismail, 2005) 

Dengan mengenali antara satu sama lain, hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat akan terjalin dengan lebih utuh dan rapat. Sehubungan dengan itu, segala susah dan senang setiap anggota masyarakat dirasai bersama kerana masing-masing sudah menganggap sebagai saudara sesama mereka. Perbezaan dari segi taraf hidup, pendidikan dan seumpamanya jangan dijadikan sebagai halangan untuk memulakan salam perkenalan dalam masyarakat. Kaya mahupun miskin, tua ataupun muda, semuanya hidup bermasyarakat. 

Bagi memastikan perpaduan yang erat dalam sesebuah masyarakat, kenal-mengenali adalah salah satu usahanya. Dalam proses perkenalan, pastinya akan ada persoalan yang akan diajukan secara dua hala. Bukan hanya bertanyakan nama atau tempat tinggal sahaja, bahkan perlu ketahui serba sedikit kedudukan seseorang, corak kehidupan sehariannya, budaya hidup dan sebagainya. Hal ini adalah kerana bagi mewujudkan persefahaman antara anggota masyarakat. Situasi ini dapat diketahui apabila wujudnya kehidupan mesra dalam masyarakat. 

Kini, semakin ramai daripada kita tinggal di flat, apartmen atau kondominium. Sekiranya tidak tinggal di aras yang sama, kita masih boleh bertembung dan bertemu di tempat parkir kereta atau di dalam lif. Kita sepatutnya menggunakan masa ini untuk saling mengenali ataupun bertegur sapa. Malah, di kawasan perumahan, pastinya ada anggota masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum. Oleh itu, gunalah kesempatan ini untuk mewujudkan hubungan baik dengan kaum lain. (Abdul Monir Yaacob & Norhanizah Ismail, 2005)  

KASIH SAYANG
Unsur lain yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat ialah perasaan kasih dan sayang. Tanpa wujudnya kasih dan sayang, maka porak peranda sesebuah masyarakat itu. Dalam Islam, akar umbi sifat kasih dan sayang sesama Mukmin ini berasal daripada cinta dan keikhlasan mereka kepada Allah SWT, serta keprihatinan mereka untuk bersifat dengan sifat-sifat yang telah Allah SWT gunakan untuk mereka. Orang yang mempunyai belas ihsan ini dikasihi oleh Allah. (Mahmud Mohamad Babeli, 2002). Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda: Kasihanilah makhluk dunia, nescaya yang berada di langit mengasihini kamu (Hadis Muttafaq Alaihi)

Peringkat kasih sayang yang paling rendah ialah bersihnya hati dari perasaan hasad dengki, kebencian, iri hati dan punca-punca yang menyebabkan permusuhan dan pertengkaran. Di dalam Al Quran, kita diberitahu bahawa permusuhan dan kebencian sebagai hukuman yang dijatuhkan oleh Allah ke atas mereka yang kufur kepada risalahNya serta menyeleweng dari ayat-ayatNya, sepertimana dalam firman Allah: (Yusuf Al-Qardhawi, 2000)

“Dan di antara orang-orang yang mengatakan: Sesungguhnya kami orang-orang Nasrani, ada yang telah kami ambil perjanjian daripada mereka, tetapi mereka telah melupakan sebhagiandari apa yang telah diberi peringatan dengannya; maka Kami timbulkan anatar mereke permusuhan dan kebencian sehingga Hari Kiamat. Dan kelak Allah SWT akan memberitahu kepada merek apa yang telah mereka kerjakan” (Al-Maidah: 14)

Pada peringkat kasih sayang yang lebih tinggi, peringkat ini digambarkan oleh sebuah Hadis sahih yang bermaksud: “Tidak beriman seorang dari kamu sehinggalah ia mengasihani saudara sepertimana ia mengasihani dirinya sendiri”

Peringkat ini bermakna apabila seseorang itu mengasihani orang lain sebagaimana dia mengasihani dirinya. Ini juga bermaksud seseorang itu membenci segala sesuatu yang menimpa saudaranya sepertimana dia membencinya jika ia menimpanya. Jika dia suka kemakmuran hidup, dia suka orang lain juga menikmati kemakmuran hidup. Jika seseorang itu suka rumah tangga yang damai, maka dia suka orang lain juga menikmatinya. Jika dia tidak suka orang lain membuka aib dirinya, maka haruslah dia berbuat sedemikian kepada orang lain. (Yusuf Al-Qardhawi, 2000) 

Islam mengajar penganutnya untuk berkasih sayang; sekiranya seorang Muslim sayang pada Muslim yang lain, nescaya undang-undang tidak diperlukan lagi dan masyarakat itu akan menikmati kehidupan yang tinggi nilainya. (Yusof Al-Qardawi, 1985). Di dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman: “KasihKu wajib bagi orang-orang yang berkasih sayang kerana Aku dan orang-orang yang berbaik-baik keranaKu dan orang-orang yang ziarah-menziarahi kerana Aku”

Rasulullah SAW juga bersabda: “Kamu tidak akan masuk syurga melainkan kamu beriman dan kamu tidak akan beriman melainkan kamu berkasih sayang”

Perasaan saling benci membenci adalah satu perasaan yang ternyata buruk lagi busuk. Ketika itu, syaitan bersuka ria mengawal diri seseorang itu dengan membisik kepadanya agar bersangka buruk, sentiasa mencari kesalahan orang lain, membuka aib orang lain, mengadu domba atau mencaci. Perkara seperti ini amat merisaukan kerana ia akan mengganggu gugat keharmonian sesebuah masyarakat. Hanya seorang yang berperilaku sedemikian, maka terjadilah pergaduhan sesama masyarakat. 

Oleh sebab itu, kita hendaklah memperbaiki hubungan kemasyarakatan dengan mewujudkan perasaan kasih dan sayang. Bermula dari perasaan itu, akan timbul perbuatan yang dilakukan atas rasa kasih dan sayang sesama masyarakat. Sebagai contoh, perasaan belas kasihan yang timbul apabila salah seorang dari masyarakat setempat kehilangan tempat tinggal disebabkan kebakaran. Jika tiada sifat kasih terhadap saudara sendiri, maka orang itu akan diabaikan dan tidak dihiraukan, atau lebih teruk dia akan tinggal sekangkang kera tanpa mendapat bantuan daripada masyarakat setempat. Jelas sekali, perasaan kasih dan sayang perlu ada dalam diri individu itu sendiri mahupun masyarakat. 
TOLONG MENOLONG
Unsur lain perlu ada dalam hidup bermasyarakat adalah sikap saling menolong antara satu sama lain. “Tangan yang di atas itu adalah lebih mulia daripada tangan yang di bawah. ” Kata-kata demikian telah disarankan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia yang inginkan kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. (Mahmud Mohamad Babeli, 2002)

Tangan di atas itu memberi makna orang yang suka menolong kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan manakala tangan yang di bawah memberi makna orang yang menerima. Kata-kata tersebut menekankan bahawa orang yang memberi pertolongan dianggap lebih mulia daripada yang menerima kerana kelemahan manusia sentiasa menemaninya bahawa setiap yang menerima itu agak sukar baginya membudayakan rasa syukur terhadap rahmat yang diterimanya. Lantas, apabila menerima pertolongan, dia lupa pada Maha Pemurah yang menurunkan rezeki kepadanya. (Mahmud Mohamad Babeli, 2002)

Dalam hidup bermasyarakat, kita dianjurkan membudayakan amalan tolong-menolong antara satu sama lain. Jika kita menganggap anggota masyarakat yang lain merupakan saudara kandung kita, contohnya pada suatu ketika mereka ditimpa bencana, menderita kebuluran, pastinya kita tidak rela membiarkan mereka terkontang kanting sedangkan kita mampu menolong mereka. 

Jika terjadi kes saling menzalimi dalam sesebuah masyarakat itu, hendaklah kita menolong mereka yang dizalimi dan membantu mereka yang menzalimi dengan mencegahnya daripada berbuat sedemikian. Jika kita menghiraukannya sedangkan dia memerlukan pertolongan, membiarkannya hanyut dalam hawa nafsunya sedangkan kita berupaya menasihatinya dan menyelamatkannya, menafikan atau mengurangkan haknya, cuba melebihinya dan dengki padanya, kesemua ini perbuatan zalim. Serupa kita yang menzalimi mereka. Rasulullah bersabda:
“Tolonglah saudaramu tidak kira sama ada dia yang menzalimi atau dizalimi”. Rasulullah ditanya, “Jika dia dizalimi, memang patut kita menolongnya. Tetapi bagaimana pula jika dia yang menzalimi, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda, “Kamu pegang kedua tangannya atau kamu mencegahnya dari melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya. ”

Selain daripada itu, antara cara menolong ialah menolong anggota masyarakat yang berada di dalam kecemasan, contohnya seseorang yang diserang penyakit pada waktu malam, perempuan yang mahu melahirkan anak, orang yang diserang perompak, penumpang yang keretanya rosak di tengah jalan dan lain-lain lagi. Pemikiran Islam menganjurkan agar kesusahan sebegini mesti diberi pertolongan kepada orang-orang yang berhajat menurut kesanggupan masing-masing. 

“Sesiapa yang menyampaikan hajat saudaranya, Allah akan menyampaikan hajatnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan seorang Islam di dunia, Tuhan akan menghilangkan kesusahannya pada Hari Kiamat. ”

Wujudnya sifat tolong-menolong ini, akan wujudnya kehidupan bermasyarakat yang harmoni. Jika kita menolong orang lain, pasti kita akan dapat ganjaran daripadanya di dunia mahupun akhirat. 

TOLERANSI
Antara prinsip lain yang menjadi asas pembinaan masyarakat harmoni ialah bertoleransi. Prinsip ini penting terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama, contohnya Malaysia. Islam telah mengetengahkan keperluan sifat toleransi dalam masyarakat. Dalam bahasa Arab, toleransi bermaksud tasamuh. Dalam kamus Dwibahasa, Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) ada memberi erti kesabaran. 

Menurut pendapat Dr Abdul Monir Yaacob, toleransi sebagai satu sikap pegangan kehidupa dalam masyarakat memberi erti tidak idealism, tidak fanatik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain. Individu yang mengamalkan sikap bertoleransi ini mampu menanggung sesuatu tekanan atau mampu menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain dan bersikap terbuka serta berlapang dada. Ciri-ciri ini penting untuk mengecapi keharmonian dalam masyarakat majmuk. (Abdul Monir Yaacob & Norhanizah Ismail, 2005)

Bersikap toleransi akan mewujudkan satu perlakuan tolak ansur terhadap perlakuan, pendapat mahupun kepercayaan orang lain walaupun ia tidak senada dengan pendapat kita, contohnya, seseorang itu mempunyai sikap sabar dan sentiasa mengalah untuk kepentingan umum. Bertoleransi amat digalakkan dalam urusan kehidupan terutamanya dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, kita hendaklah berfikir dan sedar mengenai kepentingan umum dahulu berbanding memikirkan kepentingan diri sendiri. (Haji Mohamad Farid Linggi, 2007)

Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan contohnya apabila situasi dimana jika seseorang itu susah untuk faham mengenai sesuatu isu walaupun sudah diterang berulang kali kepadanya, adalah wajar di antara mereka terutama sesiapa yang dapat melihat kebenarannya mengenai pertembungan tertentu, hendaklah dia mengorbankan pendapatnya. Dengan cara ini, selesailah masalah pertembungan fikiran yang hanya akan mengudang pergeseran pendapat jika pertembungan itu tetap berterusan tanpa kata putus. 

Kita boleh mencontohi sikap toleransi Nabi Muhammad SAW dimana baginda sentiasa bertoleransi dalam usahanya menyampaikan dakwah dan menyebarkan ajaran Islam walaupun keselamatannya sering dalam bahaya serta diancam bunuh oleh mereka yang tidak mahu memahami kebenaran dalam menyebarkan agama Islam. Rasulullah SAW sentiasa bertolak ansur dan bertoleransi kepasa setiap masalah yang dilaluinya dengan orang lain. Baginda berpendapata bahawa individu yang mneyakiti hatinya tidak menyedari dan tidak faham bahawa perbuatan mereka itu sebenarnya salah. Jika mereka tahu akan kesalahan mereka itu, mereka tentu tidak akan melakukannya. Allah SWT sentiasa melindungi orang yang sabar dan dapat menerima pendapat orang lain walaupun bertentangan dengan pendapat dan kepercayaan sendiri untuk menjaga kepentingan umum. (Haji Mohamad Farid Linggi, 2007)

Terdapat beberapa peringkat toleransi iaitu peringkat toleransi yang paling rendah, pertengahan dan tinggi. Pada peringkat toleransi yang rendah adalah dimana kamu membiarkan orang yang berlainan agama dengan kamu bebas memilih agama dan kepercayaannya, kamu tidak memaksa mereka untuk memeluk agama yang sama seperti kamu. Kamu membiarkan mereka bebas untuk memilih agama dan kepercayaan mereka namun kamu tidak membenarkan mereka untuk melakukan aktiviti keagamaan mereka. Seterusnya, peringkat toleransi pertengahan pula, kamu memberikan hak kepada mereka untuk menganut apa-apa agama atau kepercayaan yang mereka sukai, malah kamu tidak paksa mereka meninggalkan sesuatu yang mereka percayai. Pada peringkat toleransi yang paling tinggi adalah dimana kamu memberi hak kepada mereka untuk menganuti apa-apa agama yang mereka mahu anuti dan kamu tidak melarang orang yang berlainan agama melakukan sesuatu yang mereka percayai walaupun kamu tahu ianya tidak dibenarkan di dalam agama kamu. (Yusof Al-Qardawi, 1985)

Firman Allah SWT:
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percaya taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ” (QS Al-Baqarah: 256)

KERJASAMA
Bekerjasama antara satu sama lain amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini adalah untuk mewujudkan kehidupan masyarakat yang harmonis. Kerjasama adalah antara perkara-perkara yang tidak dipertikaikan kerana ianya sudah diperintahkan oleh Allah SWT dalam firmanNya: (Mahmud Mohamad Babeli, 2002)

“Dan bekerjasamalah untuk kebaikan dan takwa, jangan bekerjasama untuk dosa dan perseteruan” (Surah al-Maidah: 2)

Jelas sekali di dalam ayat di atas, kita hendaklah bekerjasama antara satu sama lain jika ianya mendatangkan faedah atau kebaikan bersama namun jika ia berkaitan dengan kezaliman atau sesuatu yang mendatangkan dosa atau keburukan, kita disuruh untuk tidak memberi kerjasama keatasnya. (Abu 'Urwah, 2001) Sebagai contoh, kerjasama ini dapat diwujudkan dengan penglibatan anggota masyarakat dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan di kawasan mereka. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong, program jati diri atau aktiviti keagamaan jelas merupakan aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Oleh itu, masyarakat perlu memberi kerjasama, jika tidak sukar untuk mengecapi kehidupan masyarakat harmonis. Masyarakat juga perlu memberi kerjasama yang padu kepada pemimpin kerana tanpa mereka kucar kacirlah sesebuah masyarakat itu disebabkan tiada siapa yang mahu memimpin dan mengetuai masyarakat itu. 

Dengan kerjasama yang ada masyarakat akan lebih memahami makna hidup berjiran, secara lansung mereka dapat mengaplikasinya dalam hidup bermasyarakat. Tetapi jika budaya kerjasama itu tidak menginap dalam satu-satu tempat, maka akan berlakulah pergeseran pendapat yang kelak akan mengakibatkan persengketaan kerana ketidakpuasan hati terhadap hubungan sesama manusia. Budaya menunding jari kepada orang lain dan mengikhtiarkan kebenaran masing-masing tidak dapat menyelesaikan masalah. Apa yang akan berlakunya hanyalah pertumpahan darah dan keharmonian bermasyarakat tidak lagi menjadi isu dalam kehidupan. 

Sejak dari zaman dahulu lagi, masyarakat Islam hidup bersama masyarakat bukan Islam. Mereka saling bekerjasama untuk membangunkan negara. Hal demikian menunjukkan walaupun mereka berlainan agama dan kepercayaan, mereka masih boleh bekerjasama atas dasar kebaikan bersama. Seperti yang kita boleh lihat, di negara Malaysia sendiri, rakyatnya berlainan kaum- Melayu, Cina, India dan lain-lain, dan berlainan agama- Islam, Buddha, Kristian dan lain-lain, namun mereka tetap memberi kerjasama kerana mereka tinggal di negara yang sama. Hal ini kerana, semua manusia daripada bangsa manusia yang lahir dari punca yang satu. (Hj Syarifuddin Muhammad, 2005). Firman Allah SWT: “Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam) kemudian ia menjadikan daripadanya- isterinya (Hawa)” (QS Az-Zumar: 6)

Islam juga menentang keras manusia dibezakan atas dasar warna kulitnya. Allah SWT telah menyatakan bahawa Allah SWT telah memuliakan semua manusia samaada yang berkulit hitam atau putih atau coklat. Satu golongan atau kaum tidak boleh membuat kezaliman kepada golongan atau kaum lain hanya berdasarkan warna kulit. Oleh itu, Islam telah mengajar penganutnya agar hidup bekerjasama terhadap sesiapapun, tidak melihat pada keturunan atau warna kulitnya. Jika mereka berjuang pada kebenaran, maka kita mesti menyokong di belakangnya walaupun mereka dari agama lain, namun jika berlaku kezaliman, maka kita mesti menentang meskipun mereka dari puak atau kerabat kita sendiri. (Hj Syarifuddin Muhammad, 2005)

Kunci kepada keselamatan hidup di dunia ialah kerjasama dalam semua aspek pembangunan termasuklah keyakinan kepada yang Maha Kuasa. Tiada yang lebih selamat melainkan daripada usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana segalanya adalah di bawah ketentuanNya. 

PENUTUP
Kesimpulannya, asas-asas bermasyarakat penting dalam usaha membina masyarakat yang harmonis dan aman damai. Berdasarkan apa yang telah diterangkan sebelum ini, nilai saling mengenali, kasih sayang, tolong menolong, toleransi dan kerjasama amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. 

Kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya nilai-nilai yang diterangkan sebelum ini dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. Nilai-nilai ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum. Perpaduan kaum akan membolehkan sesebuah masyarakat hidup harmoni dan sejahtera. Bak kata pepatah, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. 

Selain itu, jika nilai-nilai tersebut diaplikasikan oleh semua anggota masyarakat, kadar gejala sosial akan berkurangan. Hal ini adalah kerana sikap prihatin oleh semua anggota masyarakat terhadap masalah-masalah ini. Dengan perasaan kasih sayang, masyarakat akan saling menasihati jika ada seseorang dalam masyarakat itu melakukan perbuatan yang salah atau kurang baik. 

Justeru, kita sesama masyarakat sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan dan kemajuan. Dengan adanya kesedaran ini, nilai-nilai diatas, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di negara ini. 
RUJUKAN

  1. Abdul Monir Yaacob, & Norhanizah Ismail. (2005). Islam Hadhari: Himpunan Isu Kontemporari. Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur. 
  2. Abu 'Urwah. (2001). Sistem-sistem Islam: Satu Analisis Perbandingan. Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur. 
  3. Haji Mohamad Farid Linggi. (2007). Warna Warni Kehidupan. Al-Hidayah Publications. 
  4. Hj Syarifuddin Muhammad, D. (2005). Manhaj Islam Hadhari, Konsep & Metodologi. Konsortium Wansan Maju Bersatu Sdn Bhd. 
  5. Mahmud Mohamad Babeli, D. (2002). Persaudaraan Islam dan Pembangunan Sosial. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur. 
  6. Yusof Al-Qardawi, D. (1985). Kedudukan Non Muslim dalam Negara Islam. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. 
  7. Yusuf Al-Qardhawi, P. D. (2000). Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan. Penerbitan Seribu Dinar. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 4/02/2015