Anak Amanah Allah

Disediakan Untuk : 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh : 
Siti Norfathiah Khairuna Binti Muhamad
2014688558

Pendahuluan
Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat – sahabat Baginda. 
Apabila berkata mengenai “ANAK” maka sudah dapat dibayangkan dalam benak fikiran kita akan besarnya tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi Allah yang digelar ibu dan bapa. Tanggungjawab seperti apa yang dimaksudkan ? Tentu sekali tanggungjawab mendidik, membesarkan dan memberi kasih sayang yang cukup kepada mereka. Oleh kerana inilah, anak merupakan amanah Allah yang sangat besar yang wajib kita pikul dan bukanlah satu tugas enteng agar anak membentuk insan muslim, mukmin lagi mukhsin. Bertepatan sekali pemilihan tajuk bagi tugasan individu kos CTU151 saya iaitu “Anak Amanah Allah” di bawah topik Nilai-Nilai Universal Dalam Tamadun dengan nilai pertamanya iaitu kekeluargaan. Apabila sudah lahir anak kita, maka wujud metadologi yang spesifik bagi mendidik anak tersebut. Maka rentetan daripada ini, maka lahirlah teknik-teknik terbaik mendidik anak. 

TEKNIK 1: Mendidik Anak Dengan Agama Sumber Kasih Sayang. 
Apabila kasih sayang tidak mencapai puncak keagungannya, maka akan kita temukan umat manusia saling membinasakan dari jalan kebenaran dan dari menciptakan setiap keindahan. Atau kita temukan umat manusia saling membinasakan dalam menciptakan cinta kasih terhadap kemanusiaan dan peliharaannya. Apakah kita mampu menebarkan benih kasih sayang dalam jiwa seorang anak yang masih kecil, ataukah harus menanti sampai dia sempurna akal fikirannya sehingga dapat menerima penjelasan? Bagi kita tidak perlu menantikannya kerana lebih cepat lebih baik. Sejak anak itu dilahirkan, mulai ditebarkan benih kasih sayang. 
Kami tidak mengatakan didiklah anakmu tetapi ‘belajarlah’ kamu darinya. 
Perhatikan anakmu agar hatimu dipenuhi keimanan sebelum kamu mengasuhnya sehingga dapat menumbuhkan kasih sayang dalam jiwanya. Dan agar dia mudah menerima hal-hal baru yang mendewasakan jiwanya. Di atas kedewasaan jiwa itulah didirikan kasih sayang. 
Apabila kamu memperhatikan seorang anak kecil dan mencuba mengadakan sentuhan dengan akal dan hati terhadap jiwanya yang suci, tentu akan kamu temui sumber kejiwaan yang memancarkan kasih sayang agama dalam hidup dan kehidupan. Dan barangkali dirimu dapat memberikan arah tujuan yang mulia dan berguna bagi peribadi anak dan masyarakat di mana dia hidup di dalamnya. Perhatian seorang anak terhadap lingkungan dan alam sekitar yang serba indah serta hal-hal yang menakjubkan dalam hidup keseharian merupakan dasar pengembangan kreativiti bagi dirinya. 
Memperlihatkan hal-hal yang indah kepada seorang anak akan membentuk kesedaran untuk berperibadi yang baik, sehingga dapat merasakan erti keindahan dan memikirkan Penciptanya. Lebih kreatif untuk mencari fenomena baru. Bukankah Allah Maha Indah, mencintai segala keindahan? Maka bimbinglah anakmu ke jalan Allah dengan mengajak dia menikmati berbagai-bagai keindahan dan menggali sumber-sumber untuk menciptakan segala yang indah. Baik lingkungan mahupun kehidupan peribadi yang dihias dengan akhlak karimah yang indah. 

A)Kaedah Menanam Ajaran Agama Pada Jiwa Anak. 
Anak adalah seorang filosof kecil, kadang kala pertanyaan yang diketengahkan tentang Allah dan agama atau masalah syurga dan neraka membingungkan fikiran kita. 
Menanamkan iman dan ajaran-ajaran agama pada jiwa anak harus di mulai dengan memberikan contoh perbuatan yang baik. Misalnya kita berbicara masalah solat kepadanya, maka tidak akan memberi pengaruh bagi dirinya. Lain halnya kalau dia melihat kita melakukan solat tepat waktu dengan penuh kesedaran dan kekhusyukan, pasti akan berpengaruh dalam jiwanya. Bagi kita Rasulullah adalah sebaik-baik contoh teladan dan pemberi petunjuk. Di antara petunjuk itu Baginda telah bersabda yang bermaksud :
“Perintahlah anak-anakmu melakukan solat ketika berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka apabila meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan pisahlah dari tempat tidur. ”
Ibu bapa hendaklah membimbing anaknya ke syurga dengan memberikan contoh yang baik dalam mendidik solat dan dalam melatih berpuasa. Jangan sekali-sekali menanamkan nilai-nilai agama kepada anak dengan cara berbantah. Hendaklah dengan cara melatih dan membiasakan diri untuk melakukannya ibadah yang diulang-ulang itu akhirnya akan menjadi suatu kebiasaan. Dengan demikian maka nilai-nilai agama dapat tertanam kukuh dalam jiwanya. 
Apabila seorang anak bertanya “Mengapa Allah menciptakan kita?”
Kita diciptakan Allah SWT agar beribadah kepada-Nya. Mengetahui kekuasaan dan keagunganNya. Allah lah yang memberikan segala kebaikan kepada kita dan melindungi dari segala keburukan. Mengabulkan doa dan menerima taubat kita tatkala kita melakukan dosa. Sangat cinta dan belas kasihan kepada kita. Oleh kerana itu kita wajib taat kepada Allah dan RasulNya. Melakukan ibadah, baik yang fardu mahupun yang sunat kepadaNya. Sebab melakukan kebajikan bererti taat dan beribadah kepadaNya. 
Apabila seorang anak bertanya “Apakah yang dapat mendekatkan diriku kepada Allah?”
Jawabnya, hendaklah kamu mentaati perintah-perintah Allah dan beribadah kepadaNya. Cinta dan kasih sayang terhadap sesama umat manusia. Sebelum melakukan sesuatu sebaiknya difikir dahulu, adakah perbuatan itu membuat keredhaan Allah ataukah membuat murkaNya. (NurHayati A. Mohd Azwan, 1999)

B)Menerapkan Nilai-Nilai Solat dan Riadah Solat Kepada Anak. 
Riadah solat lebih banyak memberi kekuatan dan kesihatan jiwa jika dibandingkan dengan kekuatan dan kesihatan fizikal. Walau bagaimanapun, solat adalah perintah Allah SWT yang dikerjakan bukan kerana manfaat kesihatan. Jika dengan solat seseorang itu menjadi sihat, itu adalah hadiah dari Allah SWT kerana ketaatan hamba kepadaNya. 
Sebagai orang Islam, kita mestilah mengerjakan solat dengan penuh khusyuk yang mana akan mempengaruhi jiwa dan boleh mendorong seseorang itu menjadi seorang mukmin yang bertakwa kepada Allah. 
Solat juga boleh melahirkan tubuh badan yang sihat dan cergas iaitu melalui pergerakan –pergerakan yang dilakukan ketika solat. Misalnya seperti berikut :
1)Kelebihan ketika rukuk ialah kita dapat menghindarkan penyakit yang menyerang tulang belakang seperti ruas tulang punggung dan ruas tulang leher. 
2)Ketika sujud boleh menguatkan otot-otot di samping itu, membantu perjalanan darah pada pembuluh, urat darah dan limpa supaya berjalan lancar. Akibatnya jantung akan mengepam darah dengan baik ke seluruh badan. 
3)Ketika sujud juga boleh menghasilkan tenaga yang sangat di perlukan dalam proses zat-zat makanan dan membuang segala zat-zat kotor dalam badan. 
Oleh itu solat juga adalah perbuatan atau gerak badan yang sangat baik untuk menghasilkan tubuh badan yang sihat. Sesiapa sahaja yang banyak melakukan solat bererti dia telah melakukan riadah yang paling baik untuk menjaga kesihatannya di samping menguatkan hubungannya kepada Allah SWT. 
Setiap kali kita ingin melakukan ibadah solat, kita harus memastikan akan kesucian tubuh badan dari sebarang najis. Sebelum mengajar anak-anak bersolat, mengaji Al Quran hendaklah terlebih dahulu menerangkan kepada anak-anak akan kepentingan bersuci. 
Di dalam Islam sangat menitikberatkan kebersihan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak menghendaki untuk menjadikan kesusahan kepada kamu sebaliknya Dia menghendaki untuk mensucikan kamu. ” (Surah Al-Maidah:7)
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Kebersihan itu separuh dari iman. ”
Namun bagi orang-orang yang berpandangan jauh dapat memahami bahawa perkara yang amat penting sekali ialah mensucikan yang batin iaitu suci akidah. Maka kesucian ini adalah yang paling mulia dan paling tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Islam telah mewajibkan bersuci serta perkara-perkara yang membawa kepada bersuci. 

C)Menerapkan Pendidikan Akidah
Sesungguhnya anak adalah anugerah yang tidak ternilai kepada manusia. Mereka yang tidak mendapat anak, lazimnya akan melakukan pelbagai usaha tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit yang digunakan untuk mendapat seorang cahaya mata, penyambung zuriat mereka di dunia ini. Justeru itu, setiap kelahiran perlulah direncanakan dengan teratur menurut Ilahi sejak awal lagi. 
Mengenalkan kepada anak-anak akan Allah SWT seelok-eloknya bermula sejak di dalam kandungan lagi. Dari itu ibu yang mengandung digalakkan membaca ayat-ayat suci Al Quran dalam masa sembilan bulan mengandung, memujiNya (takbir), membesarkanNya (takdir) dan menyucikan (tanzih). 
Ibu yang sedang mengandung juga digalakkan memperbanyakkan amalan soleh. Manakala bapa-bapa pula mestilah banyak berdoa agar anak yang dikandung itu akan lahir sebagai seorang anak yang mengenal dan berbakti kepada Tuhannya. 
Setiap kanak-kanak yang baru lahir disunatkan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kirinya. Ini bertujuan untuk memperkenalkan kalimah-kalimah Allah di saat pertama kali mereka hadir ke dunia ini. Azan dan iqamah berperanan untuk menghindarkan kanak-kanak daripada gangguan syaitan yang bernama Ummu Sibyan. 
Hadith Nabi ada menjelaskan :
“Sesiapa yang dilahirkan kepadanya seorang bayi, maka azankan di telinga kanannya dan iqamahlah pada telinga kirinya nescaya ia tidak akan dapat dimudaratkan oleh Ummu Sibyan. ” (Riwayat Al-Baihaqi)
Oleh itu sangat malang sekiranya mereka diperdengarkan sesuatu yang tidak langsung mempunyai hubungan dengan Penciptanya di saat mereka buat pertama kali mengecapi hidup di bumi ciptaan Tuhan ini. 
Begitulah Allah SWT memerintahkan agar kita memberi didikan akidah sejak dari mula kelahiran seseorang bayi. Sewajarnya anak-anak yang telah tahu berkata-kata itu diperkenalkan dengan sifat Allah, mereka tidak akan mampu menjadi manusia yang beriman dan mengabdikan diri kepadaNya. 
Di samping memperkenalkan anak-anak akan kebesaran Allah, perlu juga kita perkenalkan pada Nabi Muhammad SAW kepada anak-anak. Juga para Nabi dan Rasul yang seramai 25 orang. Tetapi lebihkanlah cerita tentang perjuangan Nabi Muhammad kerana baginda adalah Nabi yang terakhir. Boleh juga diceritakan pada anak-anak tentang kisah para sahabat yang berjuang fisabilillah. (Noorfizah Abdul Malek, 2001)
TEKNIK 2 : Contohi Rasulullah Dalam Membina Anak Bertakwa
Kedudukan Anak Dalam Hati Rasulullah. 
Mengenai kedudukan anak dalam hati Nabi Muhammad SAW adalah kedudukan yang sangat tinggi. Kerana sesungguhnya Baginda sering mentahnik anak-anak dengan tangannya sendiri yang mulia agar mereka dapat menyerap cahaya kalimut “La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah. ”
Dengan demikian, anak yang dilahirkan pada masa Rasulullah SAW adalah tanggungjawab besar yang menjadi perhatian dalam hidupnya, iaitu menolong agama Allah dan meninggikan kalimut La Ilaha Ilallah dan bersembah sujud kepadaNya. 
Sesungguhnya para anak melihat pada diri Rasulullah SAW sentuhan tangan yang penuh dengan belaian kasih sayang, air matanya yang mengharukan, senyumannya yang lembut dan gurauannya yang menyegarkan. 
Kanak-kanak menemui pada diri Rasulullah sebagai ayah sekaligus pendidik, guru yang agung dan pembaharu yang mulia. Anak-anak para sahabat mengikuti jalan Baginda dalam semua gerakan dan sikap diamnya, kerana sesungguhnya sikap Baginda sangat berpengaruh sekali dalam kehidupan mereka. 
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran: 159 yang bermaksud :
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka. ”
Sementara ketika anak dilahirkan, maka dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Ertinya :
Tidak seorang anak pun yang dilahirkan melainkan akan diganggu oleh syaitan, kecuali Isa putera Maryam. (H. R Bukhari dan Muslim)
Tidakkah engkau melihat bagaimana keadaan bayi yang menangis saat dia dilahirkan?
Subhanallah ! Di perut yang sempit dia tidak menangis. Namun dia ketika keluar ke dunia yang luas, dia justeru menangis. 
Wahai manusia.. Ketika ibumu melahirkanmu dahulu kala 
Hanya engkau sedirilah menangis
Sedang orang-orang di sekitarmu bergembira
Kerana menyambut kelahiranmu
Maka setelah engkau lahir wahai manusia.. 
Berjuanglah dengan sebaik-baiknya untuk dirimu 
Semoga di akhir hayatmu nantinya engkau tersenyum simpul
Sementara orang-orang di sekitarmu menangis bersedih
Kerana melepas kepergianmu.. 
Penyair lain mengaktakan :
Cukuplah bagimu bukti tentang sempit dan sedihnya kehidupan ini
Iaitu tangisan bayi pada saat dilahirkan
Kalau tidak demikian pastilah si bayi tidak akan menangis. 
Kerana pada saat dalam perut ibunya dia hidup bahagia
Mengenai hal ini Abu Al-Atahiyah mengaktakan melalui baik-baik syair yang indah dan menakjubkan :
Azan sentiasa dikumandangkan untuk bayi saat kelahirannya 
Sementara solatnya tertunda hingga tiba kematian 
Hal itu menunjukkan bahawa masa hidupnya hanya sebentar 
Seperti layaknya jarak waktu antara iqamat dan solat. 
Alangkah indahnya makna bait syair-syair ini! Iaitu suara azan selalu dikumandangkan di telinga si bayi sejurus setelah kelahirannya. Tetapi dia tidak solat dan tidak pula disolatkan, namun solatnya ditunda hingga saat kematiannya, iaitu solat jenazah. Seakan-akan masa hidup yang dijalaninya sangat singkat bagaikan jarak antara azan dan pelaksanaan solat. 
Hal ini menunjukkan betapa pendeknya masa hidup di dunia, kerana perihalnya mirip dengan jarak waktu antara azan dan iqamah. 
Mengumandang azan di telinga anak adalah hadis hasan diriwayatkan oleh Abu Daud dan lain-lainnya. Dalam hadis tersebut bahawa Rasulullah SAW telah mengumandangkan azan di telinga Hasan anak dari puterinya sejurus telah kelahirannya. 
Para ulama mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW mengumandangkan azan di telinga Hasan kerana memililki beberapa tujuan, antara lain :
1)Harapan semoga Allah menetapkan keyakinan tauhid dalam jiwanya dan selalu berada dalam agama fitrah-Nya. 
2)Seruan azan mengandungi maklumat yang mengikrarkan terhadap keIslaman si bayi. 
3)Azan diserukan untuk mengusir syaitan. 
Rasulullah SAW juga mentahnik anak-anak yang baru dilahirkan sebagaimana yang telah disebut sebelumnya. Tahnik yang dilakukan Rasulullah adalah dengan mengambil sebiji buah kurma atau yang sejenisnya, lalu beliau mengunyahnya terlebih dahulu kemudian mengeluarkannya dan menyuapkannya dengan jari telunjuk ke mulut bayi sebelum si bayi minum air susu ibunya. 
Dahulu jika seseorang wanita muslimah melahirkan anak, maka dia mengirimkan bayinya dalam kain selimut kepada Rasulullah SAWselaku guru kebaikan. Dengan tujuan bahawa makanan yang mula-mula dicerna oleh perut yang mula-mula dicerna oleh perut si bayi adalah berasal dari air liur Baginda yang penuh dengan keberkahan, air liur yang bersih, harum lagi baik. 
Dahulu Rasulullah SAW sering memberi nama anak-anak yang baru lahir, namun Baginda memilih nama-nama yang dianjurkan oleh Islam agar kelak dapat menuntun si anak ke dalam syurga yang luasnya seperti luas langit dan bumi. 

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan bahawa Nabi bersabda : Ertinya : Nama yang paling disukai Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman.  (H. R Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah) Rasulullah SAW bersabda: Ertinya: Nama yang paling tepat ialah Hamman dan Harith.  (H. R Ahmad, Abu Daud) 

Dahulu orang-orang Arab menyukai nama-nama yang mengandungi makna kuat dan cemerlang. Oleh kerana itulah maka mereka suka menggunakan nama-nama seperti Hamzah, Usamah dan Haidarah. 
Rasulullah SAW suka memberi nama yang diambil dari nama para nabi. Ketika puteranya lahir Baginda memberinya nama Nabi Ibrahim kesayangan Allah sebab Baginda sendiri adalah orang yang paling mirip dengan Nabi Ibrahim. 
Termasuk hal yang dianjurkan dalam tuntutan sunnah ialah anjuran Rasulullah SAW untuk mencukur rambut bayi dengan harapan semoga Allah menghilangkan segala kekotorannya. Dan hal yang sama dianjurkan pula bagi orang yang telah melakukan ibadah haji dan umrah kerana harapan yang sama. 
Lalu dianjurkan pula menyedekahkan perak atau emas seberat timbangan rambut bayi yang tela dicukur untuk diberikan kepada orang-orang miskin. Hal ini mengandungi hikmah yang besar, barangkali dapat terjangkau oleh wawasan pengetahuan kita ataupun tidak, yang jelas mengandung harapan agar si bayi kelak akan tumbuh menjadi orang yang suka bersedekah, suka berzakat dan setia dengan sunnah Rasulullah SAW. 

Rasulullah SAW bersabda : Ertinya : Setiap anak tergadai oleh aqiqahnya.  (H. R Ahmad no. 19751, 19801, Abu Daud no. 2838, Tarmizi no. 1525, Ibnu Majah no. 3241, lihat Kitab Al-Misykat no. 4153) 

Rasulullah SAW biasa bergurau dengan anak-anak setelah mereka mencapai usia yang dapat diajak bergurau, mengerti ucapan, mengerti senyuman kasih dan senda gurau. 
Menurut riwayat Ahmad dan Nasa’I dari Syaddad bin Al-Had r. a disebutkan bahawa Rasulullah dalam salah satu solat petang petang harinya, yakni solat Zohor atau solat Asar, keluar untuk mengimami kami, dalam solatnya itu Baginda melakukan sujudnya agak lama. 
Saudara-saudara sekalian ! Barangkali tadi aku cukup lama bersujud. Kerana putraku ini menunggangi saat aku sedang solat. Aku khuatir jika bangun dari sujud akan menyakitinya. 
(H. R Ahmad dan Nasa’i)
Apakah kamu menemui kasih sayang seperti ini? Lalu bagaimana anak-anak tidak mencintai Baginda? ('Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, 2011)





TEKNIK 3 : Ibu Bapa Menjadi Contoh Terbaik. 
Didikan adalah melalui teladan. Anak-anak lebih percaya apa yang mereka lihat. Bukannya apa yang mereka dengar. Oleh itu ibu bapa mesti berusaha meningkatkan kualiti diri supaya dicontohi oleh anak-anak. Anak-anak membesar mengikut acuan yang ibu bapa sediakan. Namun begitu bukanlah bermakna anak-anak mengikut 100 peratus apa yang kita lakukan, kalau begitu maka kita hanya mendapat anak-anak yang serupa sahaja daripada segi sifat dan tingkah lakunya. Sedangkan hakikatnya tidak begitu. Anak-anak hanya mencontohi 40 peratus sahaja sifat dan tingkah laku ibu bapa mereka. Selebihnya mereka peroleh daripada pergajulan, guru, orang sekeliling, bahan bacaan, idola dan lain-lain. 
Walaupun pengaruh kita lebih kurang 40 peratus sahaja, namun ibu bapa tetap pemegang saham terbesar dalam membentuk sifat dan kelakuan anak-anak. Sebab itulah, kita dapat melihat setiap anak itu memiliki peribadi yang unik misalnya panas baran macam ayah, cermat macam ibu, bergaya macam kawan, bercakap macam guru dan sebagainya. Ini disebabkan dia cuba meniru apa yang berlaku disekelilingnya. 
Sebab itulah juga, bagi meningkatkan kredibiliti kita, ibu bapa tidak dapat lari daripada tanggungjawab bagi menjadi contoh yang baik sama ada dari segi percakapan, pergaulan, tindakan, berpakaian, makan dan sebagainya. Apabila elok acuan maka eloklah hasilnya. Kalau buruk acuan maka begitulah juga hasilnya. Apabila anak-anak sampai ke satu peringkat usia, mereka dapat membezakan sama ada acuan itu baik ataupun buruk. Oleh itu, ibu bapa perlu bersungguh meningkatkan kualiti dari mereka supaya sentiasa dihormati dan dikagumi oleh anak-anak

Anak-anak itu Amanah Allah. 
Anak-anak itu adalah amanah Tuhan kepada kita. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai ibu bapa bagi melakukan yang terbaik membantu mereka menghadapi kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini. 
Sebagai ibu bapa, adalah merupakan amanah Allah untuk kita :
1)Memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Ajar mereka solat, membaca Al Quran, berwuduk, mandi wajib, fardu ain, perkara yang halal dan haram dan sebagainya. 
2)Membentuk akhlak dan sahsiah anak-anak. Mengajar anak-anak dengan pelbagai adab seperti adab makan minum, adab menyambut tetamu, adab dengan orang lebih tua, adab menuntut ilmu, adab berguru, adab tidur, adab ke bilik air dan pelbagai adab-adab yang lain lagi. Adab itu penting. Ramai anak-anak dibesarkan hari ini membelakangkan adab sedangkan adab itu mampu membentuk jiwa anak yang halus dan peka dengan persekitaran dan perasaan orang lain. Anak-anak yang terdidik daripada segi adabnya mempunyai kekuatan kemahiran interpersonal. Kemahiran ini penting bagi menjadi seorang pemimpin yang hebat kerana ia berkaitan dengan hubungan anak-anak dengan orang lain. 
3)Memberi anak-anak pelajaran yang baik. Ibu bapa jangan kedekut melabur bagi tujuan memberikan ilmu kepada anak-anak. Ibu bapa yang hebat sanggup mendahulukan pelajaran dan di samping perkara-perkara lain yang kurang penting. Perhiasan rumah, pakaian baru, perabut, aksesori kereta dan sebagainya bukanlah satu keutamaan. Yang sepatutnya menjadi keutamaan adalah pendidikan anak-anak. 
Jika ibu bapa tidak mahu berkorban bagi anak-anak mereka, maka siapa lagi? Hari ini, ketinggian ilmu adalah satu aset penting bagi anak-anak menyahut cabaran hidup mereka. Adalah menjadi amanah kita sebagai ibu bapa bagi memberikan yang terbaik kepada mereka. Belikan buku-buku tambahan bagi anak-anak, masukkan mereka ke kelas tuisyen tambahan jika itu diperlukan, melihat dan menyemak kerja sekolah anak-anak, dedahkan mereka dengan program-program motivasi, perkhemahan, kem ibadah, kembara dan sebagainya. 

4)Memberikan pendedahan kepada anak-anak dalam soal ko-kurikulum. Anak-anak hebat bukanlah mereka yang mampu mendapat tempat pertama dalam kelas atau pun memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan. Untuk berjaya di alam pekerjaan dan mampu menggalas cabaran pada masa hadapan, anak–anak memerlukan kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran sosial, mampu berkomunikasi dengan baik, berani ke hadapan dan berjumpa orang, pandai mengurus orang lain, ada ciri-ciri kepimpinan, memiliki keyakinan diri yang tinggi dan sebagainya. Semua ini tidak mungkin mampu dimiliki oleh mereka dengan hanya belajar di dalam kelas. Anak-anak perlu bergaul, bermain dan terlibat dengan pelbagai aktiviti di luar kelas. 
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa bagi mendorong anak-anak agar terlibat dalam aktiviti-aktiviti ini. Lihat bagaimana ibu bapa Nicol Ann David, pemain squash negara, memupuk minat dan kebolehan anaknya sejak di bangku sekolah rendah. Begitu juga dengan ibu bapa kepada ratu boling negara, Shazlin Zulkifli. Malah di barat minat, kecenderungan dan potensi anak-anak mampu mencapai sesuatu yang besar dan bermakna dalam hidup mereka. Ibu bapa perlu pikul amanah ini sebaik-baiknya. (Tengku Asmadi, 2008)

TEKNIK 4: Kaedah Yang Terbaik Dalam Menghukum Anak. 

Seseorang anak itu memiliki keupayaan untuk berbuat perkara-perkara baik dan buruk. Tetapi kadang-kadang mereka mungkin tidak dapat membezakan antara keduanya. Oleh itu, teknik balasan baik dan buruk ini amat penting untuk mendidik dan mengajar mereka bagaimana yang baik dan bagaimana pula yang buruk. 
A)Kaedah Menghukum Anak Boleh Memudaratkan?
Sesetengah pakar berpendapat bahawa teknik mendidik anak dengan cara menghukumnya adalah lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan kerana sebab yang tertentu seperti :
1)Hukuman boleh mewujudkan rasa bimbang dan takut ke dalam hati anak sehingga membuatkan dia merasa tidak gembira. 

2)Kadangkala hukuman yang dikenakan membuatkan jiwa anak memberontak. 

3)Balasan baik bagi perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak memang amat senang bagi mereka untuk memahaminya kerana mereka akan diberikan hadiah atau disuruh supaya mengulangi lagi perlakuan itu. Tetapi berkenaan hukuman di atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan mungkin agak sukar bagi mereka untuk memahaminya kerana mereka hanya dilarang “Jangan berbuat begitu dan begini” tetapi tidak pula dihadkan apa yang mereka harus buat. 

4)Sesudah selesai dihukum, kesan dari hukuman itu akan terus meresap ke dalam hatinya lalu berkembang pesat dan lama-kelamaan akan mempengaruhi jiwa dan sikap mereka. 

5)Mungkin mereka akan menyimpan dendam terhadap orang yang telah menghukum mereka. 

6)Kadangkala hukuman yang dikenakan bukan didasarkan dengan perasaan kasih dan sayang tetapi adalah kesan perasaan kasih sayang tetapi adalah kesan daripada kemarahan ibu atau bapa. Keadaan ini sudah tentu membuat seseorang itu merasa dirinya dizalimi atau mereka terfikir bahawa ibubapanya tidak sayang bahkan sangat zalim padanya. 

7)Anak-anak yang merasakan diri mereka dizalimi akan memberontak dan untuk melepaskan ketidakpuasan hati mereka maka mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak elok seperti merosakkan barang-barang mainan mereka sendiri atau pun memecahkan pasu bunga. 

8)Mungkin anak yang dihukum itu hilang selera untuk makan walau pun makanan yang dihidangkan itu adalah kegemarannya lebih-lebih lagi jika hukuman itu datang dari ibunya sedangkan apa yang dia tahu ibunya itu seorang yang penyayang. 

9)Hukuman terlalu berat boleh yang tidak sepatutnya dikenakan ke atas seseorang anak yang masih kecil boleh memusnahkan diri atau jiwa anak itu sendiri seperti kejadian penderaan kanak-kanak yang selalu kita lihat dan dengar. 

Namun apa yang dibentangkan sebentar tadi itu adalah kesan negatif dari hukuman-hukuman yang tidak disertakan dengan kewarasan dan kebijaksanaan ibu bapa. Bahkan tindakan menjatuhkan sehingga menyebabkan timbulnya risiko-risiko tadi bukan didasarkan dengan tujuan untuk mendidik tetapi lebih kepada melepaskan kemarahan atau rasa sakit hati. 
B)Teknik Terbaik Mengenakan Hukuman. 

1)Jika setiap hukuman yang dikenakan itu didasarkan dengan rasa kasih sayang, setimpal dan sederhana maka tindakan itu akan dapat mempercepatkan pembentukan sikap dan keperibadian anak itu sendiri. 

2)Hukuman yang diberikan wajiblah dipertimbangkan dari segi baik dan buruknya dan tempat-tempat yang patut dan tidak patut dari segi nilai-nilai kemanusiaan, keagamaan dan kemasyarakatan. 

3)Menghukum anak di atas kesalahan sama yang mereka ulangi boleh membuatkan mereka sentiasa berhati-hati dan berusaha menjauhkan diri dari kesalahan yang pernah mereka lakukan itu. 

4)Boleh menghentikan sikap buruk atau perbuatan tidak baik anak sebelum sikap itu bersebati dengan diri dan jiwa mereka kerana mereka tidak sedar dan mungkin juga tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu lebih banyak keburukan dari kebaikan untuk diri sendiri. 

5)Hukuman adalah pembetul kesilapan dan asas penting dalam pendidikan kerana ia merupakan nasihat tegas bahawa sesuatu perkara itu adalah benar atau salah. 

6)Anak-anak wajib diberikan penerangan dan sebab kenapa mereka dihukum sebelum sebarang hukuman dikenakan ke atas mereka. Dari situ mereka akan dapat belajar dan faham bahawa hukuman yang mereka terima itu ada kaitan dengan perbuatan mereka yang tidak disukai dan tentunya perbuatan mereka itu adalah salah. Jika tidak sudah pasti mereka tidak akan dihukum. Perkara ini amat penting sekali kerana bertujuan untuk mendidik dan mengajar anak-anak agar mereka tidak berbuat perkara-perkara terlarang bahkan membiasakan diri dengan amalan-amalan yang baik. Tetapi kebanyakan ibu bapa kurang memberi perhatian tentang perkara ini. Mereka biasanya memukul dahulu dan kemudian baru memberi sebab. Dan kadang-kadang ada juga sesetengah ibu bapa yang menghukum anak-anak dengan peasaan marah, bukan dengan perasaan kasih semata-mata mahu menberikan didikan dan pengajaran kepada anak-anak mereka. Tindakan seperti ini boleh mewujudkan kesan negative ke diri dan jiwa anak-anak bahkan mungkin dapat merosakkan masa depan anak-anak itu sendiri. 

7)Adakah lebih baik jika penerangan yang kemudian diikuti dengan hukuman itu disertakan dengan fikiran yang waras dan suasana yang tenang agar anak-anak dapat memahami dan menerima hukuman di atas sesuatu kesalahan mereka itu dengan hati yang terbuka, bukan dengan perasaan tidak puas hati sehingga menimbulkan syak wasangka dalam hati mereka bahawa mereka tidak disayangi oleh ibubapa mereka. (Muhammad Husain, 2004)
Penutup

Konklusi bagi penulisan saya untuk tugasan ini ialah rumusan mengenai teknik-teknik mendidik anak secara holistik yang menerangkan dengan lebih spesifik. Apa yang boleh saya rangkul, pembentukan seseorang anak itu terlebih dahulu harus disentuh pada jiwa dan rohaninya. Ini adalah bermaksud titik tolak seseorang individu bergelar anak apabila apabila lahir sahaja di dunia ini ialah penyemaian kasih sayang dan pendidikan berteraskan agama. Dengan Islam lah, anak tersebut cakna lagi tahu tujuan hidup sebenar di dunia dan diciptakan oleh Allah SWT iaitu menyembah Allah dan memakmurkan bumi Allah. Seterusnya, dalam mendidik anak, kita perlulah mencontohi yang terbaik. Siapakah individu terbaik, insan yang paling dikasihi oleh Allah SWT? Tidak lain tidak bukan, Rasulullah SAW. Rasulullah juga merupakan manusia seperti kita, berkahwin, mempunyai keluarga. Maka contohilah Baginda dalam mendidik anak-anak. Selain itu, ibu bapa perlu melakukan anjakan paradigma dalam diri untuk menjadi contoh terbaik untuk anak-anak. Ingat, bagaimana acuan begitulah kuihnya! Akhir sekali, sebagai ibu bapa perlu mengetahui kaedah-kaedah memberi peringatan dan hukuman kepada anak agar tidak memudaratkan anak tersebut. Wallahu’alam. 


Rujukan 
‘Aidl Bin Abdullah Al-Qami, Dr (2011). Membina Keluarga Bertakwa. Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Al-Shafa. 
Muhammad Husain (2004). Teknik Terbaik Mendidik Anak. Kuala Lumpur : Penerbitan Jasmin Enterprise. 
Noorfizah Abdul Malek (2001). Bimbingan Motivasi Anak Cemerlang. Kuala Lumpur : Penerbitan Darul Nu’man. 
Nurhayati A Mohd Azwan (1999). Bimbingan Mendidik Anak Bertakwa & Bermotivasi. Kuala Lumpur : Penerbitan Jasmin Enterprise. 
Tengku Asmadi, Phd (2008). Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif. Kuala Lumpur : Penerbitan PTS MILLENNIA SDN BHD.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015