Sumbangan Khulafa’ Ar-Rasyidin Dalam Pemerintahan

Tajuk :
Sumbangan Khulafa’ Ar-Rasyidin Dalam Pemerintahan

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam

Disediakan Oleh:
Dalila Nasuha Binti Mohd. Naim
2014624894

SEKALUNG PENGHARGAAN
Assalamualaikum w. b. t. dan salam sejahtera, 

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA dapatlah saya menyiapkan tugasan CTU151 ini dengan jayanya. 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah yang mengajar saya iaitu Ustaz Abd Aziz Bin Harjin kerana telah banyak memberikan tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya membuka ruang untuk saya menyiapkan tugasan ini. 

Di samping itu, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapa saya yang memberi saya sokongan moral dan pemudahcara bagi menyelesaikan tugasan ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi peringatan terhadap setiap apa yang saya alpa. Mereka telah menghulurkan bantuan dan kerjasama bagi menyempurnakan tugasan ini. 

Akhir madah, ucapan ini saya tujukan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pembikinan tugasan ini. Segala bantuan yang anda hulurkan amatlah saya hargai kerana tanpa bantuan dan sokongan anda semua, tugasan ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

Sekian, terima kasih. 

PENGENALAN

Segala puji bagi Allah yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang dan Maha Mengetahui sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. 

Saya memilih untuk menulis mengenai SEJARAH ISLAM- SUMBANGAN KHULAFA’ AR-RASYIDIN DALAM PEMERINTAHAN kerana setelah saya membaca mengenai sejarah khalifah Rasulullah, saya berasa kagum dengan khalifah- khalifah tersebut yang banyak memberi sumbangan semasa zaman pemerintahan mereka walaupun banyak cabaran yang mereka hadapi. Keempat- empat khalifah yang saya maksudkan ialah khalifah Abu Bakar As- Siddiq, Umar Al- Khattab, Uthman Bin Affan dan Ali Bin Abi Talib. 

Abu Bakar As- Siddiq ialah khalifah pertama yang memeluk Islam. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah tetapi setelah pengIslamannya, namanya ditukar kepada Abdullah tetapi sering dikenali sebagai Abu Bakar. Beliau diberi gelaran As- Siddiq kerana selalu membenarkan kata Rasulullah. Abu Bakar dilantik menjadi khalifah melalui proses musyawarah atau syura. Sumbangan beliau ialah berjaya menumpaskan golongan riddah yang diantaranya murtad, tidak mahu membayar zakat dan golongan nabi palsu. Beliau juga mula mengumpulkan ayat- ayat al- Quran dan berjaya meluaskan pengaruh Islam. 

Umar Al- Khattab merupakan khalifah kedua Islam. Beliau kadang- kadang dipanggil sebagai Umar al- Farooq ataupun Omar atau Umar daripada Bani Adi. Beliau diberi gelaran Amirul Mukminin yang bermaksud panglima agung orang mukmin. Umar dilantik menjadi khalifah melalui cadangan satu nama. Sumbangannya ialah membentuk majlis Syura, membahagikan wilayah- wilayah Islam, memperbaharui undang- undang pentadbiran tanah, melakukan polisi baru untuk golongan zimmi, memperbaharui taraf golongan hamba, menggalakkan kegiatan ilmu dan memajukan sistem pertanian. 

Uthman Bin Affan dilantik menjadi khalifah yang ketiga. Nama panggilan beliau ialah Abu Abdullah. Beliau diberi gelaran Zunnurain yang bermaksud mempunyai dua cahaya kerana telah mengahwini dua orang puteri Rasulullah. Beliau dilantik menjadi khalifah melalui proses pemilihan beberapa orang calon. Sumbangan beliau merangkumi bidang ketenteraan, pembukuan al- Quran, kerja- kerja pembangunan dan menyebarkan dakwah Islam. 

Ali Bin Abi Talib merupakan khalifah terakhir dalam Khulafa’ Ar- Rasyidin. Nama sebenar bapa Saidina Ali ialah Abdul Manaf tetapi ramai yang memanggilnya Abi Talib. Uthman diberi gelaran Abu Thurab dan Abu Hasan. Beliau didoakan sebagai Karamallahu Wajhah yang bermaksud orang yang dimuliakan wajahnya kerana beliau tidak pernah menyembah berhala. Beliau dilantik mejadi khalifah melalui pencalonan oleh sekelompok masyarakat. Sumbangannya ialah banyak menyelesaikan masalah berhubung masyarakat dan perundangan Islam, menghentikan Perang Siffin dengan menjalankan rundingan, membina markas tentera di Parsi dan Syria dan meneruskan cukai jizyah kepada golongan Zimmi. 

TAKRIF

Satu jawatan yang terpenting dalam pemerintahan Negara Islam ialah Khalifah Islam. Mereka berperanan sebagai penentu tampuk pentadbiran, penuju ketaatan dan pemegang amanah Allah yang tertinggi dalam menguatkuasa syariat Allah di muka bumi ini. Kewafatan baginda meninggalkan kesan terhadap para sahabat kerana sebuah Negara Islam perlu ditadbir dan menyelesaikan permasalahan umat Islam. Oleh itu, jawatan khalifah ini diperkenalkan untuk mentadbir dunia dan menjaga martabat agama dengan mematuhi hukum syariat untuk mendapat kebaikan dunia dan akhirat. 

Khalifah ialah kalimah mufrad yang membawa maksud seorang manakala khulafa’ adalah kata jamaknya. Khalifah secara harfiyah bermakna "pengganti" atau "wakil" yakni pemimpin umat Islam setelah Nabi Muhammad SAW. wafat. Mereka digelar sebagai khalifah Allah (perwakilan Allah) dan khalifah Rasulullah (pengganti utusan Allah). Menurut bahasa, ‘Khalifah’ merupakan mashdar dari fi’il madhi khalafa yang bermaksud menggantikan atau menempati tempatnya. Manakala dalam pengertian syariah, ‘ Khalifah’ digunakan untuk menyebut orang yang menggantikan Nabi Muhammad SAW. dalam kepemimpinan Negara Islam. Khalifah juga sering disebut sebagai Amīr al-Mu’minīn atau “pemimpin orang yang beriman”

Para ulama’ mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pengertian khalifah. Antaranya ialah Khalifah ditetapkan bagi pengganti kenabian dalam penjagaan agama dan pengaturan urusan dunia menurut Imam Al- Mawardi dan disokong oleh Abu al- A’la al- Maududi. Menurut Imam Al- Baidhawi pula, khalifah didefinasikan sebagai pengganti bagi Rasulullah SAW. oleh seseorang dari beberapa orang dalam penegakan hukum-hukum syariah, pemeliharaan hak milik umat yang wajib diikuti oleh seluruh umat. Manakala menurut Imam Juwayni adalah kepemimpinan yang bersifat menyeluruh (riyasah taammah) sebagai kepemimpinan yang berkaitan dengan urusan khusus dan urusan umum dalam kepentingan- kepentingan agama dan dunia. Khilafah pula adalah nama sebuah sistem pemerintahan yang menggunakan Islam sebagai ideologi serta undang- undangnya berpandukan pada Al- Quran dan hadis. Khalifah yang terpilih untuk menggantikan tempat baginda ialah Abu Bakar As- Siddiq, Umar Al- Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib yang merupakan para sahabat yang selalu mendampingi baginda. 

4. 1 LATAR BELAKANG ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Nama asal khalifah Abu Bakar as- Siddiq sebelum menganut agama Islam ialah Abdul Kaabah tetapi setelah beragama Islam, beliau menukar namanya kepada Abdullah bin Usman. Bapanya dikenali sebagai Abu Quhafah daripada keturunan Bani Tamim. Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Usman bin Amir bin Amar bin Kaab bin Saad bin Taim bin Murrah. Nama ibunya ialah Ummu Khair Salma binti Sagir bin Amir bin Amar bin Saad bin Taim bin Murrah. Ibu Salma memberikan nama samaran kepadanya iaitu “Abu Bakar” kerana beliau satu- satunya puteranya yang pertama hidup dari beberapa puteranya yang terdahulu. Abu Bakar dilahirkan pada tahun 570 Masihi, iaitu dua tahun enam bulan selepas Tahun Gajah. 

Beliau diberi gelaran yang benar (as- Siddiq), elok (atiq) dan kasih sayang dan rahmat (awwah). Beliau mendapat gelaran as- Siddiq kerana telah membenarkan setiap percakapan dan perbuatan Rasulullah. Ibnu Saad merakamkan Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda pada malam Israk, “ saya berkata kepada Jibril, kaum saya tidak membenarkan saya”. Maka Jibril berkata, “Abu Bakar membenarkan kamu. Beliau adalah Siddiq”. Abu Bakar terkenal dengan kejujurannya, berbudi pekerti mulia dan bersifat terpuji. Manakala gelaran Atiq diberikan kerana Rasulullah SAW. memberitahu bahawa beliau orang yang dibebaskan Allah daripada api neraka. Gelaran Awwah adalah kerana kasih sayang dan belas kasihnya. Sifat ini dipelajari daripada Nabi Muhammad. 

Abu Bakar merupakan lelaki dewasa pertama yang memeluk agama Islam. Beliau bekerja dalam bidang perniagaan. Usia beliau juga hampir sama dengan Rasulullah. Disebabkan umur dan pekerjaan yang hampir sama, mereka menjadi sangat akrab. 

Abu Bakar dilantik menjadi khalifah melalui proses musyawarah atau syura (permesyuaratan untuk mengambil keputusan bagi sesuatu perkara). Pada ketika itu, orang Ansar berkumpul di Saqifah kerana mereka ingin melantik khalifah daripada golongan Ansar iaitu Bani Saadah. Tetapi setelah mendengar ucapan Abu Bakar yang mengatakan khalifah seharusnya dilantik daripada golongan Muhajirin kerana mereka terlebih dahulu memeluk agama Islam. Lalu mereka semua bersetuju. Saidina Umar telah mencadangkan Saidina Abu Bakar dan telah dipersetujui oleh orang ramai. Beliau telah memerintah hampir selama dua tahun (632- 634). 

Abu Bakar wafat pada 23 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah. Makam Abu Bakar terletak berdekatan dengan makam Rasulullah SAW. 

Dalam khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW., beliau mengatakan, “tiada sahabat yang lebih baik terhadap diriku kecuali Abu Bakar”

4. 2 SUMBANGAN KHALIFAH ABU BAKAR AS-SIDDIQ

1. Dalam Medan Dakwah

Setelah Abu Bakar menganut agama Islam, beliau mula berdakwah. Peribadi Abu Bakar yang mulia dan selalu menolong orang lain telah dikenali oleh kaumnya. Oleh sebab itu, ramai yang selalu datang kepadanya untuk meminta tolong dan disebabkan oleh keperluan perdagangan. Dalam kesempatan baik ini, beliau mengajak rakan- rakannya untuk masuk Islam. Antara yang telah menganut agama Islam melalui dakwah Abu Bakar ialah Zubair bin Awwam, Uthman bin Affan, Talha bin Ubaidah, Saad bin Abi Wakas dan Abdul Rahman bin Auf. 

2. Meneruskan Gerakan Tentera

Sebelum baginda wafat, baginda telah membentuk pasukan tentera yang diketuai oleh Usamah bin Zaid bin Haritsah. Baginda menyuruh agar angkatan perang ini dihantar ke tempat ayah Usamah dan Ja’far bin Abu Thalib terbunuh agar angkatan perang ini dapat mengembalikan keamanan di perbatasan antara Negara Arab dan Rom. Namun setelah kewafatan baginda, tersebar berita fitnah di seluruh penjuru semenanjung Arab. Para sahabat mengharapkan agar angkatan perang Usamah tidak diberangkatkan atau diperlambatkan keberangkatannya. Namun Abu Bakar tetap akan menyambung semula hasrat baginda. Sebahagian sahabat menyuruh Abu Bakar menggantikan Usamah bin Zaid dengan orang yang lebih tua kerana beliau terlalu muda untuk mengetuai angkatan perang. Namun Abu Bakar tetap berpegang teguh dengan pendiriannya. Setelah berperang hampir 40 hari, tentera Usamah beroleh kemenangan. 

3. Memerangi Pembangkang Zakat

Para pembangkang zakat telah berkumpul dan mengadakan gerombolan yang banyak di Kota Makkah. Golongan ini diketuai oleh Malik al- Nuwairah dan ramai lagi di Bahrain, Tihamah, Umman, perbatasan Syam dan lain-lain. Mereka mengirimkan sebahagian utusan menuju ke Kota Madinah untuk menyatakan pembakangan zakat. Sebahagian daripada sahabat berpendapat jangan diperangi sebaliknya meminta pertolongan untuk memerangi kaum yang mengaku Nabi dan kaum murtad. Abu Bakar tetap bertekad akan memerangi kaum pembangkang zakat. Beliau menyerang gerombolan mereka dan menyapu dari tempat- tempat mereka sehingga bersih. Para suku pembangkang zakat kemudian datang menyerahkan harta zakat. 

4. Memerangi Golongan Al- Riddah

Selain itu, Abu Bakar juga menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu dengan membahagikan pasukan tenteranya kepada sebelas bendera. Setiap satu bendera, diangkat seorang panglima dan diberangkatkan menuju arah yang berbeza- beza. Panglima Khalid bin Khuwailid menuju ke suku Bani Asad dan setelah selesai beliau diberangkatkan menuju kepada Malik bin Nuwairah, iaitu pimpinan Bani Tamim di Baithah. Bendera kedua diketuai oleh Ikrimah bin Abu Jahal dan diberangkatkan untuk memerangi Musailimah iaitu pemimpin Bani Hanifah di daerah Yamamah. Syurahbil bin Hasanah membawa bendera ketiga sebagai pembantu Ikrimah. Lima bendera diberangkatkan ke selatan untuk memerangi kaum murtad yang berada di daerah Yaman, Kandah, Hadramaut, Bahrain dan Oman. Tiga bendera dihantar ke utara untuk memerangi suku Qudha’ah, Bani Sulaiman dan Hawazin. Mereka juga diperintahkan sampai di negeri Syam (Syria). Sebelum melancarkan perang, Abu Bakar telah mengutuskan surat agar mereka kembali kepada agama Islam, namun hanya sebilangan kecil sahaja yang menerimanya. 

5. Perluasan Kuasa

Khalifah Abu Bakar telah menyebarkan agama Islam ke Rom, Parsi dan Syria. Rom merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat yang mengusai Mesir. Penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan beragama Kristian. Rakyatnya memberontak disebabkan pemerintahannya yang zalim. Keadaan yang sama turut berlaku di Parsi. Panglima Khalid Al- Walid dan Muthana bin Harith dengan mudahnya menakluki Parsi. Ini merupakan perluasan kuasa Islam pertama oleh Khalifah Abu Bakar. Beliau turut menakluki Syria akibat kekejaman pemerintahnya. Setelah Rasulullah wafat, orang Badwi telah dipengaruhi oleh Hercules untuk melancarkan pemberontakan. Abu Bakar telah menghantar empat pasukan ke Syria yang dipimpin oleh Ubaidah al- Jarrah, Amru Al’As, Yazid bin Abu Sufian dan Syurahbil bin Hasanah. 

6. Penulisan Al- Quran

Ramai para sahabat telah terkorban semasa menghadapi peperangan dengan golongan al- Riddah. Ini berkemungkinan akan terhapus al- Quran dan berlaku penyelewangan. Para sahabat mencadangkan supaya menubuhkan satu kumpulan khas bagi menulis al- Quran dan Abu Bakar telah menerima cadangan ini. Abu Bakar telah mempertanggungjawabkan Zaid bin Thabit mengetuai usaha mengumpul dan menulis semula naskhah daripada simpanan para sahabat dan haffaz. Al- Quran pada ketika itu hanyalah ditulis di atas kulit binatang, kayu dan pelepah tamar. Al- Quran yang telah ditulis lalu diserahkan kepada Hafshah binti Umar iaitu isteri Rasulullah agar disimpan. 

5. 1 LATAR BELAKANG SAIDINA UMAR AL-KHATTAB

Nama sebenar Saidina Umar ialah Umar bin Khattab bin Naufal bin Abdul Uzaz bin Ribah bin Abdullah bin Qurat bin Zurah bin Ali bin Ka’ab bin Luway bin Fihr bin Malik. Nama ibunya ialah Hantamah binti Hasyim bin Al- Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum. Beliau merupakan keturunan Bani Adi, Quraisy. Beliau lahir pada 584 Masihi di Kota Makkah, empat tahun sebelum perang Fijr, iaitu 13 tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW. 

Setelah beliau menganut agama Islam, beliau diberi gelaran ‘al- Faruq’ oleh Rasulullah kerana Umar meminta Rasulullah membenarkan orang Islam bersembahyang berhampiran Kaabah. ‘Al- Faruq’ bermakna orang yang tegas memisahkan antara orang yang benar (hak) dengan yang salah (batil). Beliau merupakan mertua Rasulullah apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah binti Umar. Beliau salah seorang yang dijamin masuk syurga. 

Umar mempunyai banyak kelebihan dari segi sifatnya. Beliau seorang pemimpin yang berani, tegas, adil, tawadhu’ dan penyayang. Beliau menegakkan kebenaran. Oleh sebab itu, beliau disegani oleh ramai orang. Umar memelihara ternakan orang tuanya di masa kecilnya dan setelah itu dia berniaga, membawa barang dagangan berulang- alik ke Syam. Beliau dibesarkan dari kalangan keluarga yang bukan Islam. 

Beliau menganut agama Islam setelah memasuki usia remaja iaitu setelah lima tahun kerasulan Rasulullah. Beliau dilantik menjadi khalifah pada hari selasa, 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah bersamaan 23 Ogos 634 Masihi melalui cadangan satu nama. Nama beliau telah diusulkan oleh khalifah Abu Bakar as- Siddiq sebelum kewafatannya dan disetujui oleh para sahabat dan orang ramai. Beliau memerintah selama 10 tahun 6 bulan. Beliau wafat pada 27 Zulhijjah tahun 23 Hijrah akibat tikaman pisau Abu Lu’luah seorang lelaki keturunan Persia. 

5. 2 SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

1. Bidang Pemerintahan

Perluasan kuasa Islam secara besar- besaran telah terjadi sehingga zaman ini dinamakan Futuhat al- Islamiyah (perluasan wilayah Islam). Pasukan Islam berjaya menduduki Syria, Parsi, Iraq, Mesir, dan Palestin. Khalifah Umar juga telah membentuk Majlis Permusyarawatan, Anggota Dewan dan memisahkan lembaga pengadilan. Wilayah Islam telah dibahagikan kepada lapan yang terdiri daripada beberapa daerah dan subdaerah. Setiap daerah telah dilantik gabenor. Gaji mereka mengikut aturan dan pentadbiran cukai telah diperkemaskan. 

2. Bidang Pentadbiran

Khalifah Umar telah menubuhkan Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Majlis Syura terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am. Anggota tertinggi Majlis ini diketuai oleh wakil dari golongan Muhajirin dan Ansar. Melalui Majlis Syura ini, beliau dapat mengetahui permasalahan yang berlaku. Beliau turut memberi kebebasan kepada rakyat untuk memberikan pendapat dan mengemukakan persoalan demi kebaikan dan keadilan Islam. 

Selain itu, Khalifah Umar telah membahagikan wilayah-wilayah Islam untuk melicinkan pentadbiran. Di setiap wilayah mempunyai pegawai yang dilantik untuk menjalankan pentadbiran. Mereka ini akan datang ke Makkah untuk memberikan laporan sesudah menunaikan haji. Salah seorang pegawai tersebut ialah Muawiyah bin Abu Sufian. Syarat yang dikenakan demi menjamin keadilan dan kesucian Islam, sebelum menjadi gabenor, mereka hendaklah mengisytiharkan harta demi mengelakkan rasuah. Khalifah Umar turut memperbaharui undang- undang pentadbiran tanah. Mereka dikenakan cukai untuk membiayai kemudahan awam di Negara itu. Tentera atau umat Islam dari Negara lain tidak dibenarkan mengambilnya kecuali dengan pembelian. 

3. Bidang Ekonomi

Terusan telah diwujudkan bagi memajukan sistem pertanian seperti Terusan Amirul Mukminin. Khalifah Umar juga membina Empangan Abu Musa dan tanah juga diselidik untuk menempatkan tanaman yang sihat dan berkualiti. Rakyat digalakkan membuka tanah- tanah baru bagi memperbanyak hasil pertanian. Sekiranya tanah itu tidak dikerjakan maka tanah tersebut ditarik balik. Cukai telah diperkenalkan untuk menambahkan pendapatan di kawasan tertentu. Cukai jizyah telah dikenakan kepada golongan zimmi dan kharaj berdasarkan jenis tanaman dan kesuburan tanah. Oleh sebab itu, cukai ini langsung tidak memberatkan. Baitulmal telah didirikan untuk mengawal aliran masuk pendapatan Negara. 

4. Bidang Sosial

Khalifah Umar telah melakukan polisi baru untuk golongan zimmi. Taraf dan hak awam telah diberikan sama rata. Golongan zimmi yang menentang Islam akan dibuang dan dihalau keluar dari Negara. Harta mereka tidak dirampas, malah harta yang tidak dapat dipindahkan akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam. Selain itu, beliau telah meningkatkan taraf bagi golongan hamba. Golongan hamba tidak lagi ditindas dan dihina kerana mereka diberikan hak kepentingan social dan taraf yang baik. Beliau menetapkan hamba perempuan yang menjadi ibu tidak akan dijual sesuka hati dan hamba yang bekeluarga tidak boleh dipisahkan dengan keluarga mereka. Taraf golongan hamba sama dengan tuannya dalam hal- hal tertentu dan pegawai yang tidak menjaga kepentingan hamba akan dikenakan tindakan. 

Khalifah Umar turut menyediakan guru- guru bagi mengajar pelbagai ilmu dan dihantar ke seluruh tempat yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Banyak sekolah telah ditubuhkan di masjid. Bagi menghuraikan prinsip- prinsip utama ajaran Islam seperti al- Baqarah, an- Nisa, al- Maidah dan sebagainya. Umat Islam wajib menghafal surah- surah tertentu dalam al- Quran. Mereka diberikan sebagai ganjaran usaha demi menggalakkan mereka menghafal al- Quran. 

5. Bidang Pertahanan

Khalifah Umar telah menubuhkan pasukan polis untuk menjaga keselamatan dalam negeri. Beliau juga telah membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut. 

6. 1 LATAR BELAKANG SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN

Nama sebenar Saidina Uthman ialah Uthman bin Affan bin Abu al- As bin Umaiyah bin Abdul Syams bin Abdul Manaf bin Qusai. Nama panggilan beliau Abu Abdullah manakala nama ibunya pula Arwa binti Kuriz bin Rabiah. Beliau dilahirkan di Makkah pada 576 Masihi berketurunan Bani Umaiyah. Beliau lebih muda lima tahun daripada Rasulullah SAW. 

Beliau diberi gelaran ‘ Zunnurain’ yang mempunyai dua cahaya kerana Rasulullah menikahkan dua orang puteri baginda dengan Uthman iaitu Ruqaiyah dan Ummu Kalsum. Ketika Ummu Kalsum wafat, Rasulullah berkata, “ Sekiranya kami punya anak perempuan yang ketiga, nescaya aku nikahkan denganmu”. Daripada pernikahannya dengan Ruqaiyah lahirlah seorang anak lelaki. Tetapi anaknya meninggal ketika berumur 6 tahun. 

Uthman menganut agama Islam melalui dakwah Saidina Abu Bakar. Beliau merupakan hartawan lelaki pertama yang memasuki agama Islam. Uthman adalah seorang saudagar yang kaya- raya tetapi dermawan orangnya. Beliau seorang pedagang kain yang kaya, tetapi kekayaan beliau digunakan untuk mendapat keredhaan Allah, iaitu untuk pembangunan umat dan ketinggian Islam. Beliau mempunyai ternakan lebih banyak daripada orang Arab yang lain. 

Beliau dilantik menjadi khalifah melalui proses pemilihan beberapa orang calon. Seramai enam orang calon telah diusulkan oleh Khalifah Umar Al- Khattab sebelum beliau meninggal dunia. Saidina Uthman dan Saidina Ali mendapat undian yang sama banyak. Abdul Rahman bin Auf meninjau pendapat orang ramai tentang calon khalifah. Akhirnya, Saidina Uthman dilantik sebagai khalifah. Beliau dilantik pada 644 Masihi bersamaan 23 Hijrah dan telah memerintah selama 12 tahun. Beliau wafat pada 18 Zulhijjah tahun 23 Hijrah kerana dibunuh oleh pemberontak. 

6. 2 SUMBANGAN KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN

1. Bidang Ketenteraan

Khalifah Uthman memperluas wilayah Islam ke empayar Rom Timur dan empayar Parsi pada zaman kegemilangannya. Wilayah terbaru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afghanistan, Samarqand, Libya, Algeria, Morocco, Tunisia dan beberapa buah Negara lain. Beliau menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan Negara dan melakukan perluasan kuasa. Banyak Negara telah dibuka melalui angkatan tentera ini. 

2. Pembukuan Al- Quran

Apabila ramai yang menganut agama Islam maka terjadilah perbezaan dengan wilayah- wilayah lain. Mereka menghadapi masalah dalam mempelajari al- Quran dan banyak terdapat perbezaan bacaan yang membawa kepada kesalahan bacaan antara satu tempat dengan tempat lain. Keadaan ini telah menyebabkan salah faham dan saling tuduh- menuduh sesama orang Islam untuk menyatakan siapa yang betul bacaannya. Oleh itu, Khalifah Uthman menyatakan satu nafkhah al- Quran yang digunakan secara rasmi oldeh seluruh umat Islam. Al- Quran yang berbeza telah dibakar dan beliau telah menggunakan lahjah Bahasa Quraisy. Al- Quran ini dikenali sebagai Mushaf Uthmani atau Resm Uthmani. 

3. Kerja- kerja Pembangunan

Bangunan- bangunan pejabat, rumah- rumah rehat untuk para pegawai di Kufah, Basrah dan Syria telah dibina. Jalan raya, jambatan dan telaga air dibina untuk keperluan para pengembara dan tebing- tebing sungai dibina untuk mengatasi maslah banjir. Khalifah Uthman telah membesarkan masjid Nabawi dengan membeli tanah bagi memperluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut diluaskan pada tahun 29 Hijrah. 

4. Menyebarkan Dakwah Islam

Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan berjaya mengIslamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum- hukum Islam kepada rakyatnya dan ramai pendakwah telah dihantar ke serata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai pengajar hukum dan petugas khas yang memperbetulkan saf- saf solat. Beliau menjalankan hukum- hakam berpandukan al- Quran dan as- Sunnah. 

7. 1 LATAR BELAKANG SAIDINA ALI BIN ABI TALIB

Nama sebenar Saidina Ali ialah Ali Bin Abi Talib Bin Abdul Mutalib Bin Hasyim Bin Abdul Manaf. Nama sebenar Saidina Ali ialah Abdul Manaf tetapi ramai yang memanggilnya Abi Talib. Beliau lahir pada 602 Masihi iaitu 10 tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul. Beliau merupakan sepupu kepada Rasulullah kerana Abi Talib, bapa kepada Saidina Ali merupakan saudara kandung Abdullah, iaitu bapa kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau berasal daripada keturunan Bani Hasyim dan merupakan golongan Arab Quraisy. Beliau juga merupakan menantu Rasulullah melaui penikahannya dengan Fatimah Az-Zahra. 

Beliau diberi gelaran Abu Thurab dan Abu Hasan. Beliau merupakan kanak- kanak pertama yang memeluk Islam. Beliau didoakan sebagai ‘ karamallahu wajhah’ yang bermaksud orang yang dimuliakan wajahnya kerana tidak pernah menyembah berhala. Beliau telah dididik di rumah Rasulullah dan ini menyebabkan beliau mempunyai jiwa yang bersih dan tidak dikotori dengan jiwa jahiliah. 

Saidina Ali merupakan sahabat paling dekat dengan Rasulullah. Beliau sangat terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanannya dan berwatak tegas serta berpengetahuan luas dalam perundangan Islam. Beliau juga seorang yang adil, bijaksana dan berwawasan. Perlantikan beliau sebagai khalifah melalui pencalonan oleh sekelompok masyarakat. Saidina Ali rela dipilih kerana keadaan Negara yang huru- hara akibat kewafatan Saidina Uthman yang tidak mewasiatkan pewarisnya. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah bersamaan 655 Masihi dan memerintah hampir selama 5 tahun. Saidina Ali wafat pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah kerana dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljan di Kufah. 

7. 2 SUMBANGAN KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB

1. Menerima Jawatan Khalifah

Saidina Ali sanggup menerima jawatan khalifah walaupun pada masa itu Negara huru- hara kerana titik pertukaran politik Negara Islam yang bercelaru apabila ramai pihak berebut untuk menjadi ketua. Saidina Ali telah berusaha bersungguh- sungguh sehingga dibunuh kerana ingin mengekalkan keamanan Negara Islam yang telah dibina oleh Nabi Muhammad SAW. 

2. Menghentikan Peperangan

Beliau berusaha bersungguh- sungguh untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian Negara Islam. Beliau sanggup menghentikan peperangan saudara iaitu Perang Siffin dan mengadakan rundingan walaupun tenteranya hampir mencapai kemenangan apabila ada di kalangan pihak musuh yang rela mengangkat al- Quran. 

3. Membina Markas dan Meneruskan Cukai

Saidina Ali telah membina markas tentera di Parsi dan Syria untuk mengutamakan keharmonian dan kedamaian. Beliau juga tidak pernah melupakan soal pertahanan negaranya. Manakala untuk mengembangkan sistem ekonomi Negara, kutipan cukai jizyah telah diteruskan. Hal ini telah dinyatakan dalam surat yang dihantarkan kepada Al- Asytar. Khalifah Ali meminta bantuan beliau mengikat perjanjian dengan golongan zimmi untuk mengenakan jizyah kepada mereka. 

4. Menubuh Pasukan Polis dan Anggota Bersenjata

Beliau telah menubuh dan menyusun pasukan polis yang diberi nama al- syurtah. Tugasannya adalah mengendalikan perkara berkaitan jenayah yang berlaku di tempat umum terutama di pasir besar. Beliau juga melengkapkan angkatan bersenjata dengan menubuhkan beberapa pasukan bersenjata seperti angkatan berkuda, angkatan berjalan kaki, angkatan perisik yang terdiri daripada angkatan perisik sayap kanan, kiri dan belakang. Rakyat yang berkhidmat dalam angkatan senjata ini diberi peruntukan gaji sebanyak 600 dirham ditambah dengan wang kebajikan untuk keluarga masing- masing. Pada masa pemerintahannya juga ilmu sains dan matematik juga mula diperkenalkan. 

PENUTUP

Empat khalifah Ar- Rasyidin, iaitu Abu Bakar as- Siddiq, Umar al- Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib telah memerintah lebih kurang selama 30 tahun. Mereka adalah sahabat pilihan Rasulullah. Mereka termasuk dalam golongan orang yang mendapat berita gembira masuk syurga. Pemerintahan mereka merupakan zaman pemerintahan terbaik dalam Islam yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Pada zaman ini, semua hukum Islam dapat dijalankan seperti hudud, qisas dan hukum- hukum lain. Pemerintahan ini telah melalui banyak cabaran dan rintangan dalam usaha menyebarkan dakwah Islam. Hidup mereka dipenuhi dengan pelbagai peristiwa dan fitnah. Namun, mereka tetap bersemangat untuk berdakwah demi kelangsungan hidup. Niat para pemimpin adalah kebersihan hati, ketinggian cita- cita dan kebenaran tujuan dakwah. 

Oleh itu, saya berharap masyarakat Islam sekarang berjihad ke arah masyarakat yang sentiasa mahu menegakkan kebenaran dan tidak takut kepada orang yang menentang mereka sehingga datang keputusan Allah. Pemerintah umat Islam seharusnya memainkan peranan dalam membangunkan Negara Islam dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti surau di setiap kampung dan mementingkan kemaslahatan rakyat jelata. Pemimpin juga seharusnya menjadikan khalifah Rasulullah sebagai role model dalam membangunkan Negara Islam. Pemimpin juga mestilah menunjukkan sikap keprihatinan yang tinggi supaya rakyat jelata mengagumi dan menghormati beliau sebagai pemimpin sepertimana yang terjadi pada zaman Khulafa’ Ar- Rasyidin. Selain pembangunan sosial, bidang pendidikan juga perlu dititikberatkan pada akhir zaman ini khususnya ilmu- ilmu yang berkaitan dengan ilmu agama. Generasi sekarang seharusnya mengambil pengajaran dan tauladan daripada keempat- empat tokoh yang mulia ini. Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam. 


RUJUKAN

Amin Qudah, Prof. Dr. (2009). Sejarah Khalifah Rasulullah, terbitan pertama. Penerbit PTS Islamika dan PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd. 

Haji Abdul Rani Mustaffa (2003). Siri Empat Khalifah : Abu Bakar as- Siddiq (Pentadbir Gemilang), terbitan pertama. Penerbit ‘ K’ Publishing Sdn. Bhd. 

Haji Abdul Rani Mustaffa (2003). Siri Empat Khalifah : Umar al- Khattab (Tegas dan Adil), terbitan pertama. Penerbit ‘ K’ Publishing Sdn. Bhd. 

Haji Abdul Rani Mustaffa (2003). Siri Empat Khalifah Uthman bin Affan (Pentadbir Penyayang), terbitan pertama. Penerbit ‘ K’ Publishing Sdn. Bhd. 

Haji Abdul Rani Mustaffa (2003). Siri Empat Khalifah : Ali bin Abi Talib (Sahabat dan Pejuang), terbitan pertama. Penerbit ‘ K’ Publishing Sdn. Bhd. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com