Sistem Politik Islam

Sistem Politik Islam

Disediakan untuk
Ustaz Abd Aziz bin Harjin

Disediakan oleh:
Siti Hajar Binti Konik@Rushidi
2014801996

1.0            PENDAHULUAN

Perbincangan dan amalan mengenai pemerintahan negara, kebijaksanaan berpolitik serta mentadbir urusan rakyat bukanlah suatu yang baru dalam Islam. Bahkan, ia suatu yang lumrah sejak zaman Rasulullah SAW. Baginda bukan hanya seorang Nabi tetapi juga seorang ketua negara yang mahir merancang dan mengurus selok belok politik negara Islam pertama di Madinah al-Munawwarah. Puncak dari kegiatan dakwah dan tabligh Baginda ialah tegaknya institusi pelaksanaan, perundangan dan pengadilan. Institusi tersebut pada waktu itu diterajui sendiri oleh Rasulullah SAW.

Pengasingan kuasa antara institusi-institusi berkenaan berlaku secara berperingkat selepas kewafatan Baginda. Konsep syura, kebebasan, keadilan, kesamarataan serta hak untuk menegur pemerintah yang salah terus diperluas dan diamalkan oleh para Khulafa al-Rashidin dan khalifah-khalifah yang seterusnya seperti ‘Umar bin. Abd Aziz dan lain-lain.

Penerimaan atau politik yang berasaskan ajaran dan nilai Islam adalah suatu kemestian dan kewajiban setiap umat Islam. Rasulullah mengingatkan melalui salah satu sabdanya (bermaksud):

‘’Barangsiapa yang mati tapi tidak pernah membai’ah pemimpin(Islam) matinya adalah mati jahiliah’’.

Walaubagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan di Malaysia adalah hasil persetujuan yang telah dicapai antara penduduk-penduduk di Malaysia dari kalangan Melayu, Cina dan India yang telah digubal atas persetujuan tersebut. Kita harus menghormati perjanjian yang dicapai itu yang berasaskan kepada bertimbang rasa dan persahabatan antara kaum tersebut.

Pada masa yang sama, kita harus cuba berfikir dan bertindak secara positif dengan menggunakan perlembagaan itu supaya prinsip kerajaan Islam dapat ditegakkan.

2.0            MAKSUD POLITIK ISLAM

Politik adalah ilmu pemerintahan atau ilmu siyasah, iaitu ‘ilmu tata negara’. Pengertian dan konsep politik atau siasah dalam Islam sangat berbeza dengan pengertian dan konsep yang digunakan oleh orang-orang bukan Islam.

Politik dalam Islam menjuruskan kegiatan ummah kepada usaha untuk mendukung dan melaksanakan syari’at Allah melalui system kenegaraan dan pemerintahan. Ia bertujuan untuk menyimpulkan segala sudut Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai syahksiyyah untuk menerajui dan melaksanakan undang-undang.

Pengertian ini bertepatan dengan firman Allah yang mafhumnya:

‘’Dan katakanlah: Ya Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang baik dan keluarkanlah aku dengan cara yang baik dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu kekuasaan yang menolong. ’’
(Al Isra’:80)

Di atas landasan inilah para ‘ulama’ menyatakan bahawa:‘’Allah menghapuskan sesuatu perkara melalui kekuasaan Negara apa yang tidak dihapuskanNya melalui Al Quran. ’’

3.0            TUJUAN POLITIK

Dalam Islam terdapat berbagai jenis fardhu atau kewajipan syarak yang perlaksanaannya bergantung kepada negara dan jentera penguatkuasaannya. Tanpa pemerintah dan negara Islam, kewajipan tersebut akan terbelangkalai. Oleh itu, menegakkan negara Islam dan menjalankan pemerintahan Islam dengan sendirinya menjadi wajib. ‘’Al-Hukmu bima anzalallah’’ atau pemerintah berdasarkan hukum dan undang-undang Allah adalah suatu kewajiban yang berterusan sehingga hari kiamat. Ini dipertegaskan oleh dalil-dalil qati’i al Quran, Hadith dan Ijma’. Islam menetapkan bahawa tanda iman ialah beriltizam dengan undang-undang tersebut.
Allah berfirman:
‘’Perintahlah mereka dengan hukum hakam yang Allah turunkan. Janganlah engkau menurut kehendak nafsu mereka. Awasi dan berhati-hatilah agar mereka tidak sampai menyebabkan engkau mengabaikan sebahagian dari undang-undang yang telah Allah ajukan kepadamu. ’’
Antara tujuan politik ialah dapat menegakkanjihad dan mengembangkan agama Islam. Selain itu, dapat menjadikan negara Islam sebagai negara yang maju dalam dunia. Sehubungan dengan itu, kewajipan jihad tidak dapat dilaksanakan tanpa adanya negara dan pemerintahan Islam. Hanya negara dan pemerintahan Islam yang berupaya menyedia dan melengkapkan angkatan yang bersenjata untuk melaksanakan kewajiban jihad ini. Lebih jauh, kewajiban amarma’ruf dan nahi munkar adalah kewajiban yang paling asas bagi setia umat Islam. Kewajiban membasmi kilang arak, institusi dan amalan berjudi, zina dan jenayah hanya dapat dibuat dengan adanya negara dan pemerintahan Islam. Kaedah fiqh menyatakan sesuatu perkara wajib yang tidak dapat dilaksanakan melainkan bergantung kepada sesuatu perkara lain. Kewajiban ini tidak dapat dilaksanakan melainkan tanpa pemerintahan dan agama Islam.
Jelas bahawa agama dan negara dalam Islamnya sifatnya saling kait-mengait. Cubaan memisahkan Islam dari pemerintahan atau politik adalah suatu pengkhianatan yang besar terhadap Islam dan umat Islam itu sendiri.

4.0            ASAS-ASAS SISTEM POLITIK DALAM ISLAM

4. 1Hakimiyyah Ilahiyyah
Hakimiyyah atau memberikan kuasa pengadilan dan kedaulatan hukum tertinggi dalam sistem politik Islam hanyalah hak mutlak Allah. Tidak mungkin ianya menjadi milik sesiapapun selain Allah dan tidak ada sesiapa pun yang memiliki suatu bahagian daripadanya.
 Firman Allah mafhumnya:
‘’Dan tidak ada sekutu bagiNya dalam kekuasaanNya’’.
(Al-Furqan:2)
Hakimiyyah Ilahiyyah membawa pengertian-pengertian yang berikut:
Bahawasanya Allah adalah Pemelihara alam semesta yang pada hakikatnya adalah Tuhan yang menjadi Pemelihara manusia kecuali patuh dan tunduk kepada sifat IlahiyyahNya yang Maha Esa.

Bahawasanya hak untuk menghakimi dan mengadili tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali Allah. Oleh kerana itu, manusia wajib taat dan beribadat kepadaNya.

Bahawasanya hanya Allah sahaja yang memiliki hak mengeluarkan hukum sebab Dialah satu-satuNya pencipta.

Bahawasanya hanya Allah sahaja yang memiliki hak mengeluarkan peraturan sebab Dialah satu-satuNya Pemilik.

Bahawasanya hukum Allah adalah sesuatu yang benar sebab hanya Dia sahaja yang megetahui hakikat segala sesuatu, dan ditanganNya sahaja penentuan hidayah dan penentuan jalan yang selamat dan lurus.

4. 3 Risalah Kerasulan Muhammad
Risalah bermaksud kerasulan. Sejak Nabi Adam a. s sehinggalah Nabi Muhammad SAW, kerasulan adalah satu asas penting dalam sistem politik Islam.
Daripada konsep Kerasulan Muhammad, umat Islam telah menerima dua perkara yang tidak ternilai harganya iaitu Al Quran dan Al-Sunnah. Sesuai dengan maksud daripada kedua-duanya menyeru agar umat Islam menegakkan suatu pola daripada sistem hidup dalam Islam dengan melaksanakan hokum Islam. Kombinasi daripada kedua-dua unsur inilah dinamakan syariat.
Secara mudah politik dalam kepimpinan Islam itulah yang menggambarkan politik Islam. Politik Islam berpijak kepada keimanan terhadap keesaan dan kekuasaan Allah. Prinsipnya ialah bahawa manusia secara individu mahupun Jemaah harus menyerahkan semua hak kekuasaannya kepada penguasa yang Maha Esa.

4. 3Khalifah
Jawatan sebagai ketua negara, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Mawardi dalam pengertian yang ideal, ditentukan oleh Allah sebagai pengganti Rasulullah SAW yang melindungi agama dan padanya terserahlah urusan siyasah supaya dapat dilaksanakan pentadbiran agama yang telah disyariatkan oleh Allah SWT serta dapat disatupadukan dengan perintah yang dipatuhi. Melaluinya juga akan terlaksanalah kepentingan umat Islam agar urusan rakyat menjadi tenteram dan daripadanya lahir bidang kuasa khusus. Ibn Khaldun dalam ‘’Al Muqaddimah’’, menyatakan bahawa;
‘’Menjadikan khalifah (dalam sistem yang idealnya) pada hakikatnya bermaksud bertindak sebagai pengganti pembawa syariat (Nabi Muhammad SAW) untuk tujuan menyebarkan syiar Islam dan menerajui kepimpinan siyasah di dunia ini. Pembawa syariat dibebankan dengan tugas menjalankan kewajipan menyampaikan kewajipan syariat kepada manusia, serta menyebabkan mereka mematuhi tugas-tugasnya menjalankan kepimpinan siyasah mengikut keupayaannya sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal peradaban manusia. ’’

Autoriti Sebagai Kuasa Mentadbir
Daripada autoriti pemimpin Islam tertinggi itulah timbulnya perkara-perkara yang dibincangkan oleh al-Mawardi seperti perlantikan wazir-wazir atau menteri-menteri, perlantikan para hakim dan kadi, perlantikan para ‘amir jihad dengan tugas-tugas dalam peperangan, para penyelia hal ehwal pengaduan tentang penganiayaan, para naqib daripada keturunan tertentu, perlantikan para imam sembahyang, para pengurus ibadat haji, para petugas bidang zakat, pembahagian harta rampasan perang (ghanimah) dan harta fay’, pengurusan jizyah dan kharaj, urusan menjaga tanah terbiar, hukum tentang penganugerahan tanah, masalah pengeluaran air, kawasan larangan dan kawasan simpanan, peruntukan tentang diwan-diwan yang menyentuh pentadbiran tentera, baitulmal, pekerjaan, jurutulis, berkenaan hukum-hukum, berkenaan dengan kesalahan-kesalahan dan akhirnya berkenaan dengan al-Hisbah dengan bahagian-bahagiannya.

Tugas-Tugas Ketua Negara
Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mawardi, antara tugas-tugas Ketua Negara adalah seperti berikut:
i.                 Memelihara agama berhubung asas-asasnya yang tetap dan juga perkara-perkara yang diijma’kan oleh golongan salaf umat ini. Jika sekiranya muncul orang yang mengadakan bid’ah dalam agama atau penyelewengan yang meragukan, maka menjadi tugas Ketua Negara untuk menjelaskan serta menerangkan perkara yang
sebenar, disamping menjalankan segala hak-hak dan hukuman supaya agama terpelihara daripada kerosakan dan orang ramai terhindar daripada kesesatan.
ii.               Melaksanakan hukum antara pihak-pihak yang berbalah serta meleraikan perselisihan yang timbul, supaya keadilan dapat ditegakkan dan dengan itu orang yang zalim tidak akan melampau dan orang yang teraniaya tidak merasa lemah dan tertindas.
iii.             Melindungi kehormatan wanita supaya mereka dapat mengendalikan kehidupan dan bertebaran di merata tempat tanpa sebarang ancaman terhadap diri dan harta mereka, ertinya keselamatan dan keamanan terjamin.
iv.             Menjalankan hukuman-hukuman yang ada ketentuan-ketentuannya berkenaan kesalahan-kesalahan yang berat untuk melindungi kemuliaan (aturan agama) Allah SWT supaya agama tidak tercemar serta dapat melindungi hak orang ramai.
v.               Mengukuhkan daerah perbatasan dengan pertahanan serta kekuatan melalui keampuhan teknologi dan kawalan ketenteraan untuk mencegah pihak musuh daripada mencabuli perkara yang dilarang serta menumpahkan darah kalau terlibat dalam perkara-perkara yang tidak layak dengan kedudukannya atau ibadat sunat. Ini mungkin disebabkan oleh orang yang diharapkan iti melakukan pengkhianatan dan orang yang dipercayai mungkin melakukan penipuan.

Pada zaman moden, selain daripada tugas-tugas tersebut, ada beberapa perkara lain lagi yang perlu diambil berat seperti:-
i.                 Perkhidmatan kesihatan yang baik secara percuma atau dengan harga yang murah kepada mereka yang kurang berkemampuan.
ii.               Perkhidmatan pendidikan yang baik dalam bidang ilmu-ilmu agama dan juga ilmu-ilmu rasional dan elektronik serta saintifik yang diperlukan untuk kekuatan umat dan
iii.             negara demi untuk menjaga agama.
iv.             Perkhidmatan kerja raya yang baik dan cekap.
v.               Perkhidmatan luar bandar untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi.
vi.             Bahagian (kementerian) untuk menjayakan perdagangan termasuk perdagangan antarabangsa.
vii.           Perkhidmatan ketenteraan dan polis untuk menjaga keselamatan.
viii.         Bahagian Alam Sekitar; Perhutanan, Tanah dan Galian dan Perikanan.
ix.             Bahagian-bahagian penyelidikan taraf tinggi (Advanced Research) dalam pelbagai lapangan.

5. 0 ISLAM DALAM SISTEM POLITIK MALAYSIA

Di dalam Perlembagaan Malaysia, Islam ialah agama rasmi Negara dan hak mengendalikan hal ehwal Islam diberikan kepada Raja-raja dan kerajaan-kerajaan Negeri. Sungguhpun demikian, penganut-penganut agama lain adalah bebas mengamalkan agama masing-masing.
Penglibatan Raja-raja, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam bidang ini bermula sebelum merdeka lagi. Antara aktiviti dan program penting yang dikelolakan oleh mereka termasuklah sistem sekolah agama, sistem undang-undang mahkamah syariah, pembinaan surau dan masjid, pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan baitulmal. Dalam tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, aktiviti dan program ini dipergiat dan ditambah pula dengan perkara-perkara baru, antaranya termasuklah tilawah Al Quran yang telah mengharumkan negara di kalangan negara-negara Islam.
Sementara langkah-langkah ini sedang dikelolakan, dunia Islam sejagat telah bangun semula, didorong oleh satu kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan peribadi. Kesedaran baru ini yang menjadi ketara dalam dekad tujuh puluhan juga dirasai Malaysia. Dalam keadaan ini, Kerajaan Persekutuan sendiri telah terdorong untuk meluas dan mengukuhkan programnya mengenai hal ehwal Islam. Sehubungan dengan ini, usaha-usaha baru telah diambil, antaranya termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan usaha-usaha ini, satu lagi usaha yang dipanggil ‘’Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran’’ telah diperkenalkan pada tahun 1985.
Selain itu, pemilihan pentadbiran negara sebagai komponen yang pertama dalam penerapan nilai-nilai Islam adalah antara lain berasaskan tanggungjawab kerajaan memastikan kelicinan jentera pentadbiran kerajaan yang merupakan saluran terpenting dalam pelaksanaan suatu dasar. Kejayaan rancangan-rancangan yang diatur oleh kerajaan sebahagian besarnya bergantung kepada penjawat-penjawat dalam perkhidmatan awam. Penghayatan nilai-nilai Islam oleh mereka akan menjamin kelancaran dan kecekapan jentera kerajaan yang besar dan menghindarkan perbuatan rasuah, penyelewengan dan sebagainya.






6.0            PRINSIP-PRINSIP UTAMA SISTEM POLITIK
ISLAM

6. 1Al-Syura/Pemesyuaratan (Musyawarah)
Syura disyariatkan dalam bentuk yang umum, tidak ditetapkan jumlah ahli atau cara yang tertentu bagi pemilihan ahli syura. Cara perlaksanaannya diberikan kebebasan yang sepenuhnya mengikut adat sesuatu masyarakat, taraf dan keadaan mereka.
Majlis Syura hendaklah dilantik daripada mereka yang berkelayakkan. Majlis Syura mempunyai kedudukan yang paling penting dalam sistem pemerintahan Islam. Ia merupakan lambang suara rakyat kerana ia dibentuk berasaskan suara rakyat. Rakyat mewakilkan kepada Majlis Syura untuk memberi nasihat dan bimbingan kepada ketua negara, badan perundangan, badan eksekutif dan kehakiman. Ketua negara dan semua badan yang terlibat dalam pemerintahan Islam mestilah menghormati pendapat rakyat melalui Majlis Syura selagi pendapat itu tidak bercanggah dengan al Quran dan al Hadith.
Al Quran, As-Sunnah dan Ijmak tidak menetapkan berapa jumlah ahli Majlis Syura. Segala-galanya bergantung kepada keperluan semasa. Contohnya di zaman Rasulullah, Majlis Syura dianggotai oleh ketua golongan Muhajirin, ketua golongan Ansar, panglima tentera dan pegawai awam.
Peranan Majlis Syura adalah untuk merundingkan perkara yang tiada Nas atau tidak ada Nas yang Qati’I, maka syura hanya berlaku untuk merundingkan dari segi perlaksanaan sahaja dan perkara yang diputuskan mestilah selaras dengan roh Islam.
Di dalam syura, majoriti yang berdasarkan kehendak rakyat dianggap batal dan tidak berwibawa jika ketetapan itu melanggar undang-undang Al Quran atau ianya terkeluar dari roh undang-undang Islam. Majoriti yang diterima dalam melaksanakan syura adalah dengan syarat ianya tidak bertentangan dengan Al Quran dan As-Sunnah.

Pemilihan dan syarat bagi anggota majis Syura:
1.               Bersifat adil. Mestilah mereka yang bertakwa kepada Allah.
2.               Berilmu. Mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan mendalam tentang ilmu fardhu Ain dan fardhu Kifayah kerana mereka bertanggungjawab dalam menyelesaikan segala masalah. Mereka adalah ahli fikir yang mampu mengeluarkan pendapat dalam pelbagai bidang segala pertanian, perindustrian, perniagaan, peperangan dan sebagainya.
3.               Bijaksana. Mestilah mempunyai pandangan yang tepat dan bijaksana.
4.               Pengalaman professional yang luas yang dapat menyelesaikan berbagaibagai masalah teknikal semasa seperti soal pembangunan, perubatan, perekonomian dan sebagainya.
Pendapat Rashid Redha yang dipetik oleh Abd. Karim Zaidan menyatakan mereka hendaklah terdiri daripada para penguasa, gabenor, ulamak, ketua-ketua tentera dan pemuka-pemuka yang menjadi tempat rujukan orang dalam kepentingan umum.
Hukum syura menurut pendapat Ibn Qayyim dan Ibn Hajar ialah sunat. Manakala pendapat Al-Maududi dan A. Kadir Audah adalah wajib.

6. 2 Al-Musawah/Persamaan
Persamaan adalah suatu dasar yang penting dalam syariat Islam. Islam sejak dahulu lagi menetapkan persamaan insan dalam asal-usul keturunan yang sama-sama berasal dari Adam a. s. Perbezaan darjat seseorang tergantung kepada kadar amal soleh dan kebajikan yang telah dilakukannya.
Allah berfirman:
‘’Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kabilah agar kamu saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang palin mulia antara kamu di sisi Allah (Taala) ialah yang paling bertaqwa. ’’
Sumber asal-usul kejadian manusia adalah satu namun Allah SWT telah menjadikan manusia berbilang-bilang bangsa dan kabilah demi untuk mereka berkenal kenalan. Dari perkenalan mereka itu terbitlah kerjasama, bukan untuk saling bermegah-megah dengan keturunan masing-masing yang akan membawa kepada penganiayaan. Malah jauh daripada mmbuka ruang untuk segolongan mendakwa bahawa diri mereka sebagai bangsa istimewa mengatasi golongan yang lain. Dengan dasar persamaan ini, Islam telah membendung benih-benih faham perkauman ala jahiliah yakni yang bermegah dengan keturunan atau warna kulit. Satu-satunya perkara yang dapat mengangkat martabat seseorang ialah kebaikan-kebaikan serta keindahan budi pekerti, disamping sifat takwa yang terpendam dalam lubuk hatinya.
Akar umbi konsep persamaan ini tertanamteguh di dalam syariat Islam dan dasar-dasarnya banyak didapati dalam hukum-hakam syariat Islam.

6. 3Al-Hurriyyah/Kebebasan

Kebebasan Peribadi
Para ahli pakar undang-undang mengertikannya sebagai kebebasan seseorang untuk bergerak ke mana sahaja ia hendak pergi. Setiap warga dilindungi oleh undang-undang dan sebarang pencerobohan. Seseorang itu tidak boleh ditangkap, diseksa dan dikurung kecuali atas dasar undang-undang. Di samping itu, mereka bebas untuk berpindah atau keluar negeri dan kembali pulang ke negerinya.
Kebebasan peribadi dijamin oleh syariat Islam sebagaimana yang dimaksudkan oleh pakar undang-undang adalah terjamin oleh negara Islam. Hak peribadi seseorang tidak terjejas. Pencerobohan terhadap hak-hak tersebut dianggap sesuatu kezaliman. Islam secara mutlak mengharamkan kezaliman. Perlindungan negara Islam terhadap individu dari pencerobohan ke atas nyawa, diri dan nama baiknya ditunjukkan dengan nyata oleh akibat hukum atau sanction-sanction yang berkesan yang terkandung dalam teks-teks undang-undang Islam.
Kebebasan Beragama Dan Beribadah
Islam tidak memaksa seseorang untuk menukar akidahnya demi untuk memeluk agama Islam walaupun Islam mengajak mereka kearah ini. Menyeru kepada Islam itu tidaklah dapat disamakan dengan memaksa memeluk Islam. Dalam hubungan ini Allah berfirman:
‘’Serulah kearah jalan (agama) Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik dan berdebat dengan cara yang baik. ’’
(Al-Baqarah:256)
Negara Islam tidak boleh mengganggu akidah dan ibadah orang yang bukan Islam. Dari masa ke semasa, gereja dan tempat ibadat mereka tetap tidak disentuh dibawah pemerintahan negara Islam, baik oleh orang Islam uti sendiri mahupun oleh negara.
Kehormatan Tempat Tinggal
Dalam negara Islam, setiap individu menikmati hak untuk dihormati dan dilindungi tempat tinggalnya. Tidak boleh seorang pun masuk ke dalam rumahnya kecuali setelah ia diizinkan.
Pencerobohan terhadap tempat tinggal adalah sama keadaannya dengan pencerobohan terhadap peribadi orang yang berkenaan, sebab itu perbuatan ini dilarang oleh agama.
Kebebasan Bekerja
Dalam Islam bekerja amat digalakkan dan disanjung selagi ianya halal dan sah. Rasulullah SAW menegaskan:
‘’Tidak ada makanan yang dimakan oleh anak Adam yang lebih baik dan hasil pekerjaan tangannya sendiri, dan Nabi Daud makan dari hasil perbuatan tangannya sendiri’’.
Dalam negara Islam, seseorang itu bebas mengusahakan apa-apa sahaja pekerjaan yang ia sukai. Baik perdagangan, perusahaan mahupun pertanian yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam seperti riba. Dalam hal memilih pekerjaan, seseorang harus memerhatikan aspek moral pekerjaan tersebut. Hendaklah pekerjaan itu tidak merugikan orang lain, kalau tidak tentulah dicegah oleh negara Islam. Bila seseorang bekerja secara halal, maka hasil jerih payahnya adalah hak mutlaknya.

Kebebasan Hak Memiliki
Meskipun syariat Islam mengakui hak milik dan hak pemilik untuk membelanjakan miliknya, namun dalam mendapatkan harta, mengembangkan dan membelanjakannya, ia meletakkan beberapa ketentuan. Sumber utama yang mengujudkan hak milik yang diakui oleh syariat ialah pekerjaan yang halal dan sah, warisan dan kontrak. Syariat tidak mengakui penguasaan hak milik dengan cara tidak sah atau keji seperti mencuri, merampas, berjudi, pengaruh, rasuah riba dan sebagainya.
Walaupun syariat Islam menghormati hak milik perseorangan, namun ia membolehkan hak milik tersebut di sita dalam keadaan darurat atau demi kepentingan yang diakui oleh syarak. Bagaimanapun, dengan membayar ganti rugi terhadapnya secara adil.
Adapun hak-hak yang diaturkan oleh syariat sebagai tanggungan hak milik, amat banyak. Umpamanya kewajipan membayar nafkah untukkaum kerabat, menunaikan zakat dan menolong orang-orang yang susah.

Kebebasan Mengeluarkan Pendapat (Bersuara)
Kebebasan berfikir dan mengeluarkan pendapat dalam negara Islam amat penting diindungi dan dijamin. Negara tidak boleh menggugat atau mengurangkan sedikit pun hak ini. Sebaliknya individu pun tidak sayugianya mensia-siakannya. Kebebasan ini perlu ada dalam kehidupan rakyat supaya mereka dapat menjalankan kewajipan Islam. Rakyat boleh menyatakan ketidakpuasannya terhadap mana-mana tindakan yang mereka percaya tidak memberi manfaat kepada negara.

Hak Untuk Belajar
Islam sangat menghargai dan menghormati ilmu dan para ilmuan. Islam mneganjurkan supaya setiap orang berusaha menambahkan ilmu pengetahuan masing-masing, sesuai dengan ajaran Allah (menerusi firmanNya bermaksud):
‘’Maka katakanlah (Wahai Muhammad), Ya Tuhan tambahlah ilmu bagiku’’.
Ilmu amat perlu agar amal seseorang diterima. Manakala amal yang diterima ialah yang ikhlas kerana Allah dan benar berdasarkan syarat. Ini tidak akan dicapai kecuali ilmu.
Hak Untuk Mendapat Perlindungan Negara
Hak ini bererti setiap individu rakyat menikmati jaminan social dari negara apabilaia jatuh miskin dan melarat. Tidak boleh dibiarkan seseorang itu mati atau kebuluran dalam negara Islam sedangkan Negara mengetahui akan kesengsaraannya. Hak ini lahir dari hakikat bahawa agama Islam suatu Negara yang tegak atas prinsip kerjasama dan tolong menolong.

6. 4 Al’Adalah/Keadilan
Dalam Negara Islam semua rakyat adalah setaraf dari segi pengadilan dan tertakluk di bawah sewenangnya. Segala tatacara yang diikut dalam menyiapkan dakwaan atau penggugatan, kaedah pembuktian, penterapan teks undang-undang, perlaksanaan hukuman dan kewajipan berlaku adil antara pihak-pihak yang bertikai adalah sama. Tidak ada beza antara seorang dengan seorang yang lain. Malah musuh pun mestilah menikmati keadilan penghakiman serta menikmati
konsep persamaan dalam pengadilan. Allah SWT berfirman:
‘’Sekiranya kamu memutuskan perbicaraan antara manusia maka hendaklah kamu menghukum dengan adil’’.  (Al-Nisa’:58)
Penterapan konsep keadilan dalam bidang kehakiman lebih diberi penekanan lagi, sehingga dianjurkan untuk bersikap adil dalam melayani kedatangan kedua-dua pihak yang bertikai atau dalam memberikan perhatian kepada kedua belah pihak tersebut. dalam perutusan Sayyidina’Umar Ibn al-Khatab kepada Abi Musa al-Ash’ary, beliau menegaskan. ‘’Layanilah orang dalam majlis kehakimanmu dikala memberikan keputusan yang adil, sehingga yang bangsawan kurang mengharapkan sokonganmu dan yang lemah tidak pula putus asa dari menerima keputusanmu yang adil.
Ternyata praktik keadilan seperti ini sangat tinggi taraf dan nilainya. Tidak pernah undang-undang ciptaan manusia sekarang sampai ke taraf tersebut.

7.0            TUJUAN POLITIK MENURUT ISLAM

Sistem Politik Islam mempunyai tujuan yang murni dan tinggi. Yang terpentingnya adalah seperti berikut:
7.1            Menegakkan agama dan merealisasikan perhambaan kepada Allah Tuhan semesta alam.
 Sistem Politik Islam juga untuk menyebar risalah Islam di atas muka bumi ini dengan menggunakan pelbagai cara yang dibenarkan dan dengan kadar yang termampu.
Firman Allah SWT:Maksudnya:’’Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar): akan tetapi kebanyakanmanusia tidak mengetahui(hakikat itu). ’’(Surah Saba’:28)
7.2            Menegakkan keadilan.
Tujuan politik Islam adalah untuk merealisasikan keadilan dengan seluas-luasnya dan dalam berbagai lapangan sama ada kemasyarakatan, kehakiman, pentadbiran dan pengurusan, politik serta hubungan antarabangsa. Ini termasuklah perlindungan hak-hak, memelihara kebebasan dan persamaan. Negara Islam merupakan satu mekanisme politik ke arah merealisasikan cita-cita yang tinggi ini. Negara Islam juga menjadikan syariah Islam sebagai undang-undang yang memanyungi hal ehwal kehidupan rakyat, supaya kebenaran, kebaikan dan keadilan terus didaulatkan. Negara Islam juga mengatur segala hubungan kemasyarakatan dengan satu cara yang membolehkan setiap individu memelihara keamanan, kebebasan serta kemuliaannya.

7.3            Memperbaiki keadaan manusia.
Hukum Islam tidak hanya terbatas kepada hudud sahaja atau semata-mata adanya kepimpinan yang membawa kepada penyatuan orang Islam sahaja, tetapi ia bertanggungjawab dalam memperbaiki keadaan manusia sama ada bidang
ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, penerangan, pendidikan, pertahanan dan
rekaan. Semua ini dilakukan seiring dengan reformasi politik. inilah dimaksudkan dengan risalah reformasi Islam. Tujuan tertinggi perundangan Islam adalah untuk mereformasikan perkara-perkara halal dan haram. Allah menurunkan syariah bukan dengan tujuan lain melainkan kesemuanya bertujuan memberi kebaikan, hidayah dan membuang kesusahan daripada mereka.

Negara Islam dengan sistem politiknya juga dapat memakmurkan bumi ini serta memberikan cara hidup yang mulia kepada semua rakyatnya disamping memberi peluang yang sama rata dan adil dalam membahagikan kekayaan Negara. Tujuan utama sistem politik Islam yang paling penting atau khususnya ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam atau Darul Islam. Negara yang melaksanakan syariah Islam akan menegakkan Al-Din. Sehubungan dengan itu, urusan manusia menjadi mudah menurut tuntutan Al-Din tersebut.

8.0            EMPAT ASAS PERLU DIPERHATIKAN DALAM
SISTEM POLITIK ISLAM

8.1            Kedaulatan di tangan syara’.
Islam mengajarkan kedaulatan ditangan syara’, bukan ditangan manusia, umat atau yang lain. Pertama, pengendali dan penguasa adalah hukum syara’, bukannya akal. Itu bererti semua masalah dalam urusan politik atau penerapan hukum syara’ dikembalikan kepada hukum syara’. Kedua, bahawa sesiapapun akan mempunyai kedudukan yang dihadapan hukum syara’. Samaada penguasa (al-hakim) mahupun rakyatnya (al-mahkum). Ketiga, wajib mengembalikan masalah kepada hukum syara’ apabila berlaku perselisihan antara penguasa dengan rakyat.

8.2            Kekuasaan ditangan umat.
‘’kedaulatan’’ di dalam Islam hanya pada Allah dan ‘’Kuasa’’ adalah pada umat. Perkara ini tidak dapat dipertikaikan. Umat berhak memilih pemimpin denga rela untuk menetapkan Syariat Islam. Apabila Islam menjadikan umat sebagai sumber kekuasaan, maka ia menjaminkan kepada umat Islam dalam melaksanakan undang-undang Islam yang sama sekali tidak bercampur dengan hawa nafsu individu pemerintah. Ini ialah kerana umat Islam akan membuat pilihan mereka yang bebas membentuk kuasa kerajaan yang akan bertanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam. Umat Islam juga akan mengawasi perjalanan perlaksanaan ini.

8.3            Wajib mengangkat satu pemimpin sahaja di dunia Islam.
Keharaman mengangkat dua pemimpin (khalifah) sebagai ketua negara ditegaskan oleh hadis rasulullah SAW:
‘’Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya. ’’
 (HR Muslim). Ibn Hazm menuturkan kaum Muslim di seluruh dunia tidak boleh memiliki dua orang imam/khalifah, baik keduanya saling sepakat ataupun berselisi, didua tempat yang berbeza atau ditempat yang sama.


8.4            Hanya pemimpin (Khalifah) yang berhak mengadaptasikan hukum syara’.
Khalifah merupakan satu-satunya pihak yang berhak untuk mengadaptasikan salah satu pendapat yang ada dalam hokum syara’ untuk diberlakukansebagai undang-undang. Khalifah juga menentukan hukum yang akan digunakan dalam suatu perkara yang acuan dasarnya masih diperdebatkan secara publik.

9.0            PARA FUQAHA ISLAM TELAH MENGGARISKAN SEPULUH
PERKARA PENTIG SEBAGAI TUJUAN KEPADA SISTEM POLITIK DAN PEMERINTAHAN ISLAM.

1.               Memelihara keimanan menurut prinsip-prinsip yang telah disepakati oleh ulama’ salaf daripada kalangan umat Islam.
2.               Melaksanakan prosses pengadilan di kalangan rakyat dan mnyelesaikan masalah di kalangan orang-orang yang berselisih.
3.               Menjaga keamanan daerah-daerah Islam agar manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
4.               Melaksanakan hukuman-hukuman yang ditetapkan syara’ demi melindungi hak-hak manusia.
5.               Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar.
6.               Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam.
7.               Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat dan sedekah sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’.
8.               Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan Negara agar tidak digunakan secara boros atau kikit.
9.               Mengangkat pegawai-pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara.
10.            Menjalankan pergaulan dan pemeriksaan yang rapi di dalam hal ehwal awam demi untuk memimpin negara dan melindungi Al-Din.

10. 0 PENUTUP
Jika diberi penelitian yang penuh terhadap sistem pemerintahan kepimpinan Islam dalam sistem politik Islam, ternyata ia merupakan satu sistem pemerintahan yang menjamin kesejahteraan ummah yang berterusan. Namun begitu, dewasa ini kelihatan teramat kurang negara yang mengamalkannya walaupun disebuah negara yang majoritinya Islam. Walaupun telah dimaklumi, penentuan pemerintah di sesebuah negara itu ditentukan oleh rakyat tetapi kenapakah rakyat yang bergelar Islam tidak prihatin terhadap kepimpinan ini.

Kemungkinan kurangnya pengetahuan rakyat disesebuah negara tentang konsep kepimpinan Islam. Mereka yang berpeluang mengetahui kepimpinan ini hanyalah daripada golongan yang mendapat pendidikan tinggi tetapi tidak kepada mereka yang mendapat pendidikan pada tahap rendah. Oleh itu, untuk mnyedarkan masyarakat tentang kepimpinan ini, sukatan pelajar yang berkenaan perlu diadakan di setiap sekolah yang mengajar pendidikan Islam agar konsep tersebut dapat didedahkan secara menyeluruh kepada rakyat jelata.

Disamping itu, orang Islam juga tidak prihatin kepada tuntutan kepimpinan Islam disebabkan masalah perpecahan yang melanda umat Islam dari segi ideologi kepartian yang terdapat di serata negara umat Islam. Sekiranya perkara ini berlarutan, bagaimanakah orang Islam hendak bersatu menegakkan kepimpinan Islam. Umat Islam boleh bersatu sekiranya berpegang dengan tuntutan Islam, bukannya berpegang dengan tuntutan kepartian. Sebenarnya, perpecahan yang melanda umat Islam bukan saja disenangi oleh golongan bukan Islam, malah dialu-alukan oleh pihak barat. Hal ini disebabkan, apabila orang Islam bersatu dan berjaya membentuk pemerintahan Islam, maka akan wujudlah negara Islam. Maka orang bukan Islam akan melihat ancaman ia sebagai ancaman besar kepada mereka.

Untuk mewujudkan kepimpinan Islam, para pemimpin seharusnya memainkan peranan yang penting dalam menuju ke arah tersebut dan tidak boleh disandarkan kepada bahu para intelek dan rakyat semata-mata. Hal ini disebabkan pemimpin merupakan agen yang boleh merubah masyarakat kerana pemimpin yang cemerlang akan melahirkan masyarakat yang gemilang.

11.0          BIBLIOGRAFI

1.     Ahmad Redzuan Mohd Yunus(2001). Demokrasi Dan Kempinan Islam. Kuala Lumpur:Utusan Publications&Distributors Sdn. Bhd.
2.     Abu Al-Maati Abu Al Futuh, Dr(1985). Penyelesaian Islam Dari Sudut Sistem Politik. Shah Alam:Pustaka Fajar.
3.     Subhi Al-Saleh, Dr(1986). Politik Dan Pentadbiran Dalam Islam. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur:Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
4.     Abu al-Maati Abu al-Futuh Kahirah, Dr(1991). Sistem Pemerintahan dalam Islam. Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia.
5.     Mohamed Azam Mohamed Adil, Rafeah Saidon, Noorul Huda Shaari(2006). Perundangan dan kenegaraan Islam. iBook Publications Sdn. Bhd.
6.     Abdul Monir Yaacob(2014). Konsep dan Peranan Ulil Amri di Malaysia. Kuala Lumpur:Institut Kefahaman Islam Malaysia.

7.     Abdul Karim Zaidan, Dr(2000). Islam dan Politik Kenegaraan. Petaling Jaya:Persatuan Ulama’ Malaysia. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my

url: abdazizharjin.blogspot.com