Sejarah Hidup Saidina Umar Bin Al Khattab

Sejarah Hidup Saidina Umar Bin Al Khattab

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Saifuiddin Bin Hussain
2014873224


Pendahuluan

Syukur Kehadrat Illahi, Dengan Limpahan Rahmatnya Memberi Saya Kekuatan Untuk Menyempurnakan Tugasan Saya Dengan Lancar Dan Membantu Saya Memperkenalkan Tokoh-Tokoh Islam Yang Banyak Berjasa Dalam Agama. Tokoh Inilah Yang Telah Menjalankan Tanggungjawab Yang Besar Bagi Memimpin Umat Islam Yang Telah Diamanahkan Oleh Allah Swt Kepadanya.

Tajuk tugasan saya ini adalah tentang sejarah hidup Umar Al Khattab dalam memimpin umat Islam serta meluaskan pengaruh Islam di atas muka bumi Allah SWT ini. Skop esei saya merangkumi tentang sejarah hidup beliau ketika kecil sehingga memeluk Islam, peribadi beliau, cara beliau dilantik menjadi khalifah, sumbangan beliau di dalam dunia Islam dan kemangkatan beliau Saya berharap dengan adanya penulisan ini, kita dapat menyebarkan dan merasai sendiri kisah perjalanan hidup beliau sebagai seorang khalifah.

Natijahnya, kita sebagai umat Islam perlu diajar dan mengikut sikap-sikap tokoh terdahulu kerana mereka amatlah baik sikapnya dan amat dikagumi oleh setiap umat Islam

SEJARAH HIDUP SAIDINA UMAR BIN AL KHATTAB

1. 1 UMAR BIN AL KHATTAB SEBELUM ISLAM

“Umar Al-Faruq” demikian gelaran khalifah Islam kedua pada zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin. Nama penuh putera Al-Khattab ini ialah Umar bin Khattab bin Naufal bin Abdul Uzaz bin Ribah bin Abdullah bin Qurat bin Zurah bin Ali bin Ka’ab bin Luway bin Fihr bin Malik. Salasilah keturunannya bertemu dengan salasilah keturunan Rasulullah SAW pada moyang mereka, Ka’ab, iaitu keturunan yang ketujuh daripada kerabat Nabi Muhammad SAW. (Haji Abdul Rani Mustaffa:2003)

Umar dilahirkan pada tahun 584 Masihi di kota Makkah. Ibunya pula bernama Hantamah binti Hisyam bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Bani Makhzum merupakan satu anggota yang besar dalam kabilah Quraisy. Semasa zaman Jahiliyah, ia telah banyak melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat. Mereka terkenal dengan bilangan yang ramai dalam kepimpinan, masyhur dengan keberanian yang tiada tara, kuat dank eras sehingga kaum Quraisy menyerahkan tugas penjagaan tali gembalaan dan khemah-khemah kepada mereka. Pada ssat sebelum Islam hamper menjelma, tugas ini berada di tangan Khalid bin al-Walid. (Mahmud Syakir:2004)

Ramai di kalangan kabilah Quraisy yang menggalakkan ahlinya untuk membentuk hubungan kekeluargaan dengan Bani Makhzum demi untuk melahirkan keturunan yang kuat dan berani. Oleh itu, Al-Khattab bin Nufail telah mengahwini Hantamah binti Hisyam yang akhirnya telah melahirkan Umar bin Al-Khattab. Beliau mewarisi kekuatan dan keberanian dari Bani Makhzum, keras hati dan kasar dari bapanya al-Khattab dan kasih saying dari Bani ‘Adi. Ini adalah sifat yang jelas terserlah di dalam dirinya sewaktu dalam keadaan jahiliyah. Umar al-Khattab dilahirkan 42 tahun sebelum Hijrah. Oleh itu, beliau adalah lebih muda daripada Rasulullah SAW sebanyak 12 tahun. Umurnya sewaktu kelahiran Islam adalah 29 tahun. (Mahmud Syakir:2004)

Sewaktu kecilnya, Umar mengembala kambing. Apabila usianya berginjak remaja, beliau berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan sering berdagang ke Syam. Selain kedudukan keluarganya yang disegani, Umar juga dikenali sebagai pemuda Quraisy yang gagah berani. Malah, di pasar Ukkaz, beliau merupakan juara gusti yang paling perkasa Sebelum memeluk agama Islam, Umar amat memusuhi Rasulullah SAW. Sikapnya sama seperti Abu Jahal. Umar menganiaya pengikut-pengikut Rasulullah tanpa belas kasihan Malah, beliau pernah menyeksa hambanya yang bernama Labinah kerana memeluk agama Islam.

Ketika Muhammad Al-Amin diutus menjadi Rasul, usia Umar sudah menjangkau 27 tahun. Pada peringkat awal dakwah Islam, Umar merupakan penghalang besar kepada perjuangan Rasulullah SAW Kebenciannya kepada agama Islam amatlah ketara. Beliau tidak segan silu menyeksa orang Islam dan beliau juga berpegang teguh dengan fahaman jahiliyahnya. Namun begitu, Umar tidak mampu untuk mengugat pendirian mereka terhadap agama Islam. (Mahmud Syakir:2004)

1. 2 UMAR AL KHATTAB MEMELUK ISLAM

Harapan Rasulullah SAW, agar Umar memeluk Islam diluahkan melalui doanya, “Ya Allah!Perkuatkanlah Islam dengan salah seorang daripada mereka iaitu Amr bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar bin al-Khattab” Allah SWT memperkenan doa Rasulullah SAW itu apabila Umar al-Khattab memeluk Islam sekitar tahun kelima sesudah Nubuwah atau 616 Miladiah. Pada awalnya, Umar al-Khattab merupakan tokoh Quraisy yang keras penentangannya terhadap Islam, dan sewaktu mendengar adiknya memeluk agama Islam, beliau naik berang kerana ia merupakan sesuatu yang amat memalukan dan bertentangan dengan pendiriannya. Dengan keadaan yang tergesa-gesa, beliau segera ke rumah Fatimah binti al-Khattab iaitu adiknya.

Umar memperlihatkan sikap keras lalu bertanya dengan suara tinggi, “ Apakah bacaan yang aku dengar tadi, yang berhenti bila aku tiba?”. “Tidak ada apa-apa yang dibaca, kamu silap, ” jawab Fatimah dan suaminya serentak. “Tidak silap”, tegas Umar. “ Tidak silap juga bila aku katakan bahawa aku tahu kamu berdua sudah pun menjadi penganut agama Muhammad!”. Tanpa menantikan jawapan, Umar al-Khattab menyerang iparnya dan menampar pipi adiknya, Fatimah. Selepas melihat darah mengalir menyebabkan Umar menanggung malu atas tindakannya itu (Haji Mohd Rasyad Shamsuddin M. D. :2003)

Umar berkata kepada adiknya, aku ingin lihat apa yang dibawa oleh Muhammad. Fatimah menjawab “ Wahai abangku, engkau dalam keadaan kotor kerana kesyirikanmu, ia tidak boleh dipegang kecuali oleh orang yang bersih. ”. Setelah Umar membersihkan dirinya, Fatimah pun menyerahkan helaian ayat suci yang bertulis “ Taha” kepadanya. Setelah membaca ayat-ayat suci tersebut, Umar menyuruh hamba adiknya, Khabbab membawanya ke tempat Muhammad kerana beliau ingin memeluk Islam. Apabila beliau bertemu Rasulullah SAW, Umar berkata “Wahai Muhammad, aku dating untuk beriman kepada Allah, menjadi pengikutmu dan mempercayai apa sahaja yang kamu bawa dari-Nya. ” (Mahmud Syakir:2004)

1. 3 PERIBADI UMAR BIN AL-KHATTAB

Umar bin al-Khattab ialah seorang pahlawan yang gagah berani, seorang ahli ibadat, seorang yang disegani. Beliau terkenal kerana sifatnya yang adil, penyayang, cerdas, teguh pendirian, beriman dan selalu bersedia untuk membela Islam. Sifatnya yang mulia itu sentiasa menjadi sebutan kawan dan lawan.

Sejak zaman jahiliah lagi, beliau telah mewarisi jawatan kadi daripada kabilah ayahnya. Jika dibandingkan dengan ahli keluarganya yang lain, Umarlah yang paling cerdas dalam keluarga Bani ‘Adi. Beliau memegang jawatan sebagai wakil kaumnya untuk berunding dengan abilah-kabilah Arab yang lain dan sering menghakimi sesuatu perbicaraan. Oleh sebab itu, beliau Berjaya menyelesaikan banyak persengketaan. Sifat adil Umar tidak mengenal pangkat, kedudukan dan hubungan kekeluargaan, walaupun anaknya sendiri yang melakukan kesalahan. Malah, jika perlu hukuman terhadap anaknya akan dikenakan melebihi orang lain. (Mahmud Syakir:2004)

Umar al-Khattab adalah seorang yang tegas dalam menegakkan kebenaran, dan sebelum Islam Merupakan seorang penentang Islam yang amat kuat. Akan tetapi sejurus sesudah memeluk Islam, Umar menjadu lebih berani, dan tegas dalam memperjuangkan hak dan kebenaran Islam (Haji Mohd Rasyad Shamsuddin M. D. :2003)

1. 4 CARA UMAR AL-KHATTAB DILANTIK MENJADI KHALIFAH

Perlantikan Umar al-Khattab sebagai khalifah kedua diusulkan sendiri oleh khalifah pertama Abu Bakar ketika beliau menghadapi saat-saat akhir hayatnya pada 21hb Jamadil Akhir, 13 Hijrah. Dalam proses perlantikannya, Khalifah Abu Bakr terlebih dahulu meninjau pendapat sebilangan para sahabat mengenai cadangannya itu. Sesudah menimbang sedalam-dalamnya, dan berpuas hati di atas pendapat dan pandangan para sahabat. Maka, Khalifah Abu Bakar mengarah Uthman bin Affan supaya menulis dan mengeluarkan watiqah, yang isi kandungannya melantik Umar al-Khattab sebagai khalifah untuk menggantikan tempatnya. (Haji Mohd Rasyad Shamsuddin M. D. :2003)

1. 4. 1 Peribadi Umar selepas menjadi khalifah

Khalifah Umar mempunyai kelebihan tersendiri dalam melaksanakan pemerintahannya apabila beliau menjalankan hukum dan perundangan berasaskan hak dan keadilan tanpa memikirkan kedudukan dan pertalian keluarga. Kesederhanaan dan penumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab selaku pemimpin ummah adalah merupakan ciri perwatakan yang jelas terlihat dalam kehidupan Khalifah Umar. Di dalam pertumbuhan pemerintahannya yang luas sehingga menjangkau wilayah-wilayah Empayar Byzantine dan Parsi, Khalifah Umar tetap meneruskan kehidupannya yang sederhana dan tidak sekali-kali terjebak dengan cara kehidupan yang mewah dan boros. (Haji Mohd Rasyad Shamsuddin M. D. :2003)

Pada suatu ketika, dua utusan daripada Azerbaijan datang ke Madinah dan menyerahkan makanan khas Azerbaijan kepada Umar al-Khattab. Selepas Umar menikmati makanan tersebut, Umar bertanya kepada utusan itu, “Apakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?”. “Tidak. Tidak semua boleh menikmatinya, ”. jawab utusan itu. Khalifah Umar berasa marah dan memerintahkan kedua-dua utusan itu supaya membawa pulang makanan tersebut ke negerinya. Kepada gabenor, Khalifah Umar menulis surat, “………makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu.

Kenyangkan perut rakyatmu, dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu. ” Kisah ini memberi pengajaran bagi umat Islam, khususnya para pemimpin. Umar al-Khattab telah memberikan pengajaran yang sangat bererti. Pemimpin harus memikirkan rakyat sebelum dirinya sendiri. Umar juga pernah berkata, “Aku orang yang pertama yang merasa jika rakyatku kelaparan, dan orang yang terakhir yang merasa kenyang jika mereka kenyang”. (Tuan Guru Dato’Nik Abd Aziz Nik Mat:2008)

1. 5 SUMBANGAN UMAR AL-KHATTAB TERHADAP DUNIA ISLAM

Dalam pemerintahan Khalifah Abu Bakar, sebahagian kawasan di sebelah utara semenanjung Arab, yang terletak di bawah naugan atau jajahan takluk Byzantine walaupun Parsi, telah dapat ditawan oleh pasukan tentera Islam Selain mempertahan kedaulatan kawasan yang dimiliki, maka pengiriman pasukan tentera memasuki keseluruhan rantau kedua-dua Empayar diteruskan oleh Umar bagi menentukan bahawa perkembangan dakwah Islamiah tidak tersekat, di samping menentukan bahawa kedudukan orang-orang Islam di sempadan utara itu tidak terancam oleh Empayar besar, kekuatan dan kekuasaan mereka, Natijah dari kepimpinan dan komitmennya dalam mengembangkan dakwah, Khalifah Umar Berjaya menawan negeri-negeri Fars, Palestin, Syria, Mesir, Kazakhtan, Iraq, Armenia, Azerbaijan, Kirman, Khurasan, Makran dan sebahagian Baluchistan. Apapun jua, hakikatnya menunjukkan bahawa iltizam dan komitmen yang mendalam dihati para sahabat, dibawah kepimpinan Khalifah Umar dalam memperjuang, memperkembang dan memperluas kalimah tauhid melalui peningkatan iman dan taqwa menggambarkan seakan gelombang besar yang melanda pantai yang luas, yang tidak terhalang oleh mana-mana kuasa dunia. Fitrah manusia yang merindui keadilan, kebebasan, keamanan, dan kesejahteraan hidup menyebabkan kehadiran Islam disambut ghairah oleh penduduk dan rakyat yang tertekan oleh sistem penjajah. (Haji Mohd Rasyad Shamsuddin M. D. :2004)

Zaman pemerintahan Umar adalah zaman yang penuh dengan tindakan-tindakan yang membantu mengembangkan Islam, mengangkat bendera kebenaran di atas bumi Allah serta menanam dasar-dasar hukum dan peraturan-peraturannya bagi melaksanakan sebuah pemerintahan yang kuat. Antara tindakan beliau yang paling utama adalah 1. Mengarahkan kumpualan pertama menuju Parsi 2. Kumpulan kedua menewaskan Rom di negeri Syam 3. Kumpulan ketiga menuju ke Mesir yang dijajah oleh Rom ketika itu.

WILAYAH

Umar al-Khattab membuat peraturan wilayah Bandar-bandar Islam pada masa Khulafa’ ar Rasyidin dengan sempurna Abu Bakar membuat asas peraturan itu dengan mengutus tenetera-tentera bagi perluasan wilayah Islam, termasuk mengirim ketua angkatan tentera. Ketua tentera semasa pemerintahan Abu Bakar adalah orang yang mengurus daerah-daerah yang ditaklukinya Manakala Umar membuat peraturan wilayah dengan tetap. Pada masa itu gelaran bagi ‘Wali’, ataupun ‘Amil’ adalah ‘Amir’. Orang pertama yang dinamakan Amir adalah Mughirah bin Syubah. Kemudian gelaran ini berterusan kepada ketua-ketua tentera ataupun ketua wilayah yang lain



Pada mulanya, Amir adalah kakitangan pemimpin dalam daerah kekuasaannya dan beliau mempunyai tiga bidang kuasa iaitu membentuk undang-undang, melaksanakannnya dan menjatuhkan hukuman. Namun, Umar al-Khattab memisahkan tiga bidang kuasa ini. Amir diberi kuasa melaksanakan undang-undang dan menjadi imam masjid. Manakala bagi bidang kuasa melaksanakan hukuman, beliau melantik Qadhi(hakim) di setiap tempat bagi menguruskan dan menyimpan harta(baitulmal)Beliau memilih individu tertentu bagi mengurus cukai dan sedekah. Namun, kuasa para wali, Qadhi dan pegawai-pegawai semuannya tertakluk di bawah kuasa khalifah. Beliau berkuasa melantik mereka dan memecat mereka. Peraturan ini berterusan sehingga akhir pemerintahan Khulafa’ ar Rasyidin (Zulkifli Yusof:2009)

BAITULMAL

Pemimpin pertama yang memperkenalkan sistem adalah Umar bin al-Khattab. Simpanan di Baitulmal diambil daripada zakat orang Islam, cukai daripada orang bukan Islam, satu perlima daripada ghanimah iaitu harta rampasan perang dan harta-harta orang Islam yang tidak mempunyai waris apabila meninggal dunia, (Zulkifli Yusof:2009)

PEMBINAAN MASJID

Khalifah Umar mengeluarkan arahan agar setiap daerah dan kawasan yang dihuni oleh kaum muslimin hendaklah didirikan masjid. Di kota Kufah dan Basrah misalnya, Masjid Jame’ didirikan bagi setiap kota itu sementara daerah dan kawasan-kawasan lainnya, masjid yang lebih kecil ukurannya dibina bagi menampung keperluan Jemaah kaum muslimin tempatan. Menurut perkiraan, sebanyak 4000 buah masjid telah didirikan dan dibina sepanjang pemerintahan Khalifah Umar Dalam pada itu, Masjidil Haram yang terdapat di dalamnya Kaabah dan Baitullah, maka Khalifah Umar telah meluaskan kawasan masjid bagi menampung kehadiran ummah yang semakin ramai bilangannya.

PENCIPTAAN KALENDAR ISLAM
Sejak kelahirannya, Islam tidak mempunyai calendar atau taqwin sendiri yang seragam bagi ikutan ummah sebagaimana masyarakat lainnya seperti Parsi, Rom dan Byzantine. Sehubungan itu, Khalifah Umar telah mengadakan perbincangan di kalangan Jemaah kaum muslimin bagi mengambil ketetapan mengenainya Kalendar Rom atau Parsi dikemukakan akan tetapi ditolak kerana calendar kedua-dua Empayar itu tidak selari dengan identity Islam. Segolongan mencadangkan agar calendar Islam dimulai dari hari kelahiran Rasulullah SAW sementara satu pihak lagi mengusulkan supaya permulaan kalendar dikira dari hari wafatnya Rasulullah SAW. Usuk yang dikemukakan oleh Umar al-Khattab bagaimanapun diterima dan dipersetujui oleh Jemaah iaitu kalendar Islam hendaklah dimulakan dari hari penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

CIRI-CIRI KEKHALIFAHAN
Sepanjang kekhalifahan, Umar al-Khattab telah memperkenalkan corak pemerintahan yang efisien dan berkesan, yang antara lainnya membentuk Jabatan Pengawasan dengan tugas-tugas mengawasi alat ukur dan timbang, mengawal pergerakan lalu lintas, mengawasi agar binatang tidak dibebankan dengn muatan yang berlebihan, melarang penjualan arak. Seiringan pembentukan Jabatan Pengawasan maka dibentuk secara berkekalan Jabatan Ketenteraan dengan tugas mendaftar anggota tentera dan menentukan imbuhan sewajarnya. Pendaftaran anggota tentera dimulakan dari golongan Muhajirin dan Ansar, diikuti dengan pendaftaran dari penduduk Tanah Hijaz, kabilah-kabilah dari Bahrain, Kufah, Basrah, Mosul, Fustat, dan lain-lainnya

Dalam menyusun pentadbiran wilayah, Khalifah Umar melantik pegawai-pegawai eksekutif yang harus memikul tanggungjawab sesuai dengan jawatan yang disandang seperti jawatan Katib(Setiausaha), Katib ad-Dewan (Setiausaha Dewan), Sahibu’l Kharaj (Pegawai Percukaian), Sahibu’l Andath (Ketua Ketenteraan Umum), Sahib Baitul Mal (Pegawai Khazanah Negara), dan al-Hakim (Hakim Mahkamah). Bagi menggelakkan pegawai-pegawai itu tidak terjebak dengan penyelewengan dan tuduhan rasuah, maka mereka dikehendaki oleh pemerintah Khalifah Umar supaya nilai dan harta setiap pegawai itu didaftarkan terlebih dahulu sebelum memegang jawatan yang bersangkutan. Menyentuh amalan rasuah, Rasulullah bersabda “ Dilaknat Allah keatas penyogok dan penerima sogokan mengikut hukum”

KEADILAN DAN LAYANAN BAIK

“Zimmi”atau golongan rakyat bukan Islam yang dinaungi oleh pemerintah Islam, diberikan layanan baik melalu sistem keadilan yang amat unik, yang tidak dinikmati oleh golongan itu sebelumnya. Golongan “Zimmi”diberikan kebebasan dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing, membunyikan loceng gereja, membawa salib semasa perarakan dan mengadakan pesta keagamaan.

TINDAKAN KERAS

Sekalipun keadaan dan layanan baik begitu terserlah dilaksanakn, namun terdapat golongan tertentu yang tidak dapat melihat keihsanan pemerintah Islam, disebabkan mereka mempunyai agenda yang tersendiri. Orang Yahudi, seperti di Khaibar, tidak dapat menyesuaikan diri hidup berbaik-baik dengan orang Islam. Dendam Yahudi dilepaskan kepada anak Khalifah Umar, sehingga lengannya cedera. Insiden tersebut menyebabkan Khalifah Umar mengarahkan mereka keluar dari wilayah Islam

1. 6 KEMANGKATAN UMAR AL KHATTAB

Pemerintahan Islam yang hebat dan agung ini berakhir dengan kemangkatan Saidina Umar pada 27 Zulhijah, 23 Hijrah (643 Masihi). Tempoh masa pemerintahannya ialah 10 tahun 6 bulan dan 4 hari. Riwayat mengatakan bahawa beliau mangkat ketika berumur 63 tahun. Allah telah mentakdirkan bahawa Khalifah Umar mangkat kerana terbunuh. Pembunuhan itu bukan disebabkan oleh ketidakadilannya dalam pemerintah tetap berpunca daripada sikap perkauman oleh beberapa orang musuhnya. Antara mereka itu ada yang dikalahkan di medan perang

Pembunuhan Khalifah Umar berlaku ketika beliau sedang bersembahyang subuh. Beliau menjadi imam sembahyang subuh di Masjid Nabawi di Madinah. Sewaltu beliau baru sahaja selesai mengangkat takbir, secara tiba-tiba seorang lelaki bernama Fairuz menyerbu ke depan menghayun khanjar yang beracun lalu menikam belikat Khalifah Umar bertubi-tubi Saf hadapan menjadi kacau-bilau. Khalifah Umar jatuh berlumuran darah. Tempatnya sebagai imam diambil alih oleh Abdul Rahman bin Auf. Setelah menikam Khalifah Umar, Fairuz cuba melarikan diri. Semua jemaah solat di saf hadapan cuba menangkap Fairuz, tetapi semuannya ditikam oleh Fairuz. Selepas itu dia menikam dirinya dan mati di situ juga. (Haji Abdul Rani Mustaffa:2003)

PENUTUP

Umar al-Khattab ialah Khalifah ke-2 dalam Khulafa’ ar Rasyidin. Beliau juga dikenali sebagai Al-Faruq iaitu pemisah hak dan batil. Beliau seorang yang amat memusuhi Islam ketika zaman jahiliahnya tetapi berkat doa dari Rasulullah SAW, Umar memeluk Islam selepas membaca ayat-ayat suci yang diberikan oleh adiknya kepada beliau. Selepas memeluk Islam, Tiada sesiapa pun yang berani menganggu nabi, kerana mereka mengetahui bahawa Umar seorang yang bengis dan kuat. Tiada siapapun yang dapat mengalahkan beliau Saya dapat simpulkan bahawa Umar seorang yang amat memusuhi Islam tetapi berubah menjadi orang yang amat tegas dan sayangkan Islam. Beliau sanggup berkorban bagi mempertahankan agama Islam. Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kemangkatan khalifah pertama iaitu Abu Bakar as-Siddiq. Zaman pemerintahan Khalifah Umar dikenali sebagai zaman keemasan dalam dunia Islam. Khalifah Umar berjaya meluaskan wilayahnya, menubuhkan jawatan-jawatan yang menjadikan pentadbiran beliau menjadi lebih efisien. Walaubagaimanapun, Umar tidak bangga diri, tidak menggunakan harta dengan sesuka hati. Malah, beliau hidup dalam keadaan sederhana. Beliau langsung tidak menggunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya.

Dengan ini dapat kita simpulkan bahawa betapa pentingnya khalifah mahupun tokoh-tokoh Islam terdahulu dalam meluaskan syiar Islam di seluruh dunia. Keperibadian mereka juga amatlah terpuji. Sifat tawadduk, merendah diri adalah sikap yang sering diberikan kepada tokoh-tokoh Islam terdahulu. Masyarakat kita sekarang perlu dilatih supaya mempunyai keperibadian seperti mereka. Cara sebegini juga dapat membuatkan masyarakat bukan Islam hormat kepada kita sekaligus dapat menarik mereka untuk mendekati Islam.


RUJUKAN

1. Zulkifly Yusof, (2009), Sejarah Khalifah Rasulullah, Selangor : PTS Islamika SDN. BHD
2. Tuan Guru Dato’Nik Abd Aziz Nik Mat, (2008), Belajar Dari Dua Umar, Kenyangkan Perut Rakyat, Selangor : Anbakri Publika Sdn Bhd
3. Mahmud Syakir, (2004), Biografi Gemilang Umar Al-Khattab(Al-Faruq) : Jasmine Enterprise.
4. Haji Mohd. Rashad Shamsuddin, M. D. (Homoe), (2003), Khulafa’ ar-Rasyidun dan Daulah Islamiah, Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publisher
5. Haji Abdul Rani Mustaffa, (2003), Umar al-Khattab, Tegas dan Adil, Selangor : ‘K’ Publishing Sdn. Bhd.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com