Riwayat Hidup Imam Malik Bin Anas

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Zakiah Binti Ismail
2014258072

PENDAHULUAN

Syukur ke hadrat ilahi, kerana dengan limpah kurnianya, dapat saya menyiapkan tugasan CTU151 ini. Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pensyarah CTU151 saya, Ustaz Abd Aziz Bin Harjin, Ibu bapa saya serta rakan-rakan yang telah banyak memberikan maklumat kepada saya mengenai sejarah hidup Imam Malik Bin Anas. 
Tujuan esei ini ditulis adalah untuk menceritakan tentang sejarah hidup Imam Malik dan ajarannya melalui mazhab Maliki. Beliau merupakan tokoh Islam yang berjasa untuk ummah. 
Skop esei ini adalah mengenai sejarah dan masalah yang dihadapi serta pembaharuan yang dilakukan oleh Imam Malik untuk umat Islam. Selain itu, sumbangan beliau terhadap syariat Islam melalui kitab-kitab hasil tulisannya. 

Harapan saya apabila menulis esei ini, adalah supaya dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada semua umat Islam tentang cara kehidupan Imam Malik yang boleh dijadikan contoh teladan bagi semua umat Islam terutamanya golongan muda dan pemimpin. Jika golongan muda di negara ini mencontohi sikap Imam Malik, In Shaa Allah negara akan aman dan makmur tanpa gejala sosial. 

BIODATA IMAM MALIK
Nama sebenar Imam Malik ialah Malik Bin Anas Bin Malik Bin Abi amir Al Ashbahy. Yang mulia Imam Malik dilahirkan di Kota Madinah daerah negeri Hijaz. Beliau dilahirkan pada tahun 93 Hijrah pada zaman pemerintahan Al-Walid bin Abdul Malik Al-Umawi. Beliau dilahirkan kira-kira 13 tahun sesudah kelahiran Imam Abu Hanifah. Imam Malik adalah imam kedua dari para Imam Besar empat serangkai dalam Islam dari segi umur. Beliau adalah seorang dari keturunan bangsa Arab dari dusun Dzu Ashbah, sebuah dusun di Kota Himyar dari jajahan negeri Yaman. Ayah beliau iaitu Anas bin Malik yang pernah menjadi sahabat dan khadam Nabi Muhammad SAW dan sering disebut namanya kerana banyak meriwayatlam hadis setelah mendengar langsung dari mulut baginda. Ibunya bernama Aliyah binti Syuraik dan menurut sesetengah riwayat, beliau dikandung oleh ibunya selama dua tahun sebelum dilahirkan di sebuah kampong bernama Zul Marwah di Utara Madinah. 

Imam malik adalah seorang pelajar miskin. Pada suatu masa beliau terpaksa menjual kayu dari bumbung rumahnya yang roboh untuk menampung belanja hidupnya. Imam Malik tidak bercita-cita untuk menjadi ulama hadis, tetapi kerana patuh pada permintaan ibunya akhirnya beliau menjadi salah seorang ulama fiqh yang terbesar dan unggul di seluruh Madinah. Beliau wafat pada tahun 179 hijrah ketika berumur 86 tahun dan meninggalkan 3 orang putera dan seorang puteri. 

UJIAN YANG DITEMPUH IMAM MALIK
Sepanjang riwayatnya, ketika Imam Malik berusia 54 tahun, semasa pemerintahan Islam di tangan Abu Jaafar Al Mansur, Khalifah Abbasiyah yang kedua. Ketika itu, Imam Malik selaku mufti di Kota Madinah telah memberi fatwa dalam masalah talak atau perceraian antara suami isteri. Menurut fatwanya itu talak yang dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya secara dipaksa hukumnya tidak sah. Fatwa ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “tidak sah talak orang yang dipaksa”. 

Orang yang menaruh hasad kepada Imam Malik telah melaporkan fatwa ini kepada Gabenor Ja’far bin Sulaiman. Mereka juga menghasut bahawa fatwa ini boleh menggugat kekuasaan kerajaan Abbasiyah walaupun fatwa itu hanya berhubung dengan masalah talak atau penceraian di antara suami isteri. Didorong oleh perasaan hasad, mereka tidak segan mengaitkan fatwa itu dengan urusan politik Negara dan kekuasaan Abbasiyah yang kebetulan pada masa itu baru sahaja mengambil alih kuasa politik dari tangan Dinasti Umaiyah. Kata mereka fatwa itu menjejas soal bai’ah atau ikrar perlantikan umat Islam terhadap kekuasaan Kerajaan Abbasiyah. 

Seperti diketahui, kerajaan Abbassiyah mengambil alih kuasa melalui pemberontakan, iaitu ketika pemerintahan Bani Umaiyah semakin lemah, lalu dengan mudah digulingkan dengan kekuatan senjata. Maka kuasa yang dirampas oleh Khalifah dinasti Abbasiyah itu bukan dengan kerelaan hati kerajaan berkuasa, bahkan ia direbut tidak menerusi pilihan suara atau bai’ah secara sukarela oleh seluruh umat Islam. 

Dalam pengertian lain, rakyat telah membai’ah kerajaan sekarang bukan secara sukarela, tetapi secara paksa. Bila diqiaskan hakikat ini dengan hukum talak yang difatwakan oleh Imam Malik itu bolehlah dirumuskan bahawa kekuasaan yang ada di tangan Khalifah Abbasiyah sekarang juga diambil secara paksa dan tidak sah. Hasutan seperti ini telah disampaikan oleh Gabenor Madinah kepada Khalifah Al-Mansur di Baghdad disokong oleh penyaksian beberapa orang pegawai dan penyokong kerajaan. 

Menurut satu riwayat, khalifah telah mengutus wakilnya menemui Imam Malik supaya fatwa itu ditarik balik, atau sekurang-kurangnya ia tidak dihebahkan kepada umum tetapi Imam Malik enggan menarik balik fatwanya itu. Imam Malik tetap berpendapat bahawa fatwa itu berdasarkan Hadis Rasulullah SAW. dan hadis itu sahih. Sebenarnya beliau tidak mengeluarkan fatwa itu dengan tujuan menggugat kekuasaan khalifah. 

Ada beberapa riwayat lain berhubung dengan konflik yang berlaku di antara khalifah dengan Imam Malik. Setengah riwayat mengatakan bahawa konflik itu timbul kerana Imam Malik telah mengutamakan kedudukan Abu Bakar, Umar dan Uthman daripada Ali bin Abi Talib. Para khalifah Abbasiyah dipercayai terpaksa mengambil hati golongan Syiah yang memperjuangkan hak Ali bin Abi Talib sebagai khalifah pertama, kerana pemberontakan yang berjaya menjatuhkan dinasti Umaiyah adalah dengan sokongan kuat gologan syiah di Khurasan, Parsi. 

Satu riwayat lain pula mengatakan bahawa Imam Malik mengharamkan nikah muta’ah atau nikah sementara. Sedangkan ulama Syiah menghalalkan nikah tersebut oleh kerana golongan Syi’ah memusuhi Imam Malik dan sebahagian besar penyokong Kerajaan Abbasiyah terdiri dari golongan syiah. Kemudian Khalifah Al Mansur sendiri menangkap Imam Malik dan menjatuhkan hukuman dera ke atasnya. Tetapi menurut riwayat lain, tangkapan terhadap Imam Malik dilakukan oleh Ja’far bin Sulaiman, Gabenor Madinah. 

Di dalam tahanan, Imam Malik masih enggan menarik balik fatwanya itu. Maka Gabenor Ja’far pun memerintahkan Imam Malik dikenakan hukuman sebat 70 rotan. Ketika itu Imam Malik berusia 54 tahun tetapi beliau menerima penyiksaan itu dengan tenang, kerana beliau menganggap hukuman itu hanyalah sebagai ujian yang biasa ditanggung oleh ulama’ yang tegas dan ikhlas menegakkan kebenaran dan berpegang teguh pada syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. 

Hukuman melampau yang dijatuhkan ke atas Imam Malik itu mencetuskan kemarahan umat Islam di Madinah. Ramai orang keluar menunjuk perasaan membantah penyiksaan itu. Mereka mengutuk tindakan zalim itu dan menuntut supaya Imam Malik dibebaskan dengan segera. Kebangkitan umat Islam di Madinah itu tidak diduga oleh Gabenor Ja’far bin Sulaiman. Khalifah Al Mansur terkejut mendengar berita itu. Beliau bimbang penduduk Madinah akan menggugat kekuasaan yang baru sahaja direbut dari dinasti Umaiyah. Baginda memerintahkan supaya Imam Malik dibebaskan dengan segera dan memecat Ja’far bin Sulaiman dari jawatan Gabenor Madinah. Beliau juga meminta maaf secara langsung terhadap Imam Malik. 

SUMBANGAN YANG DILAKUKAN
Sumbangan terbesar yang dilakukan Imam Malik ialah kitab Al-Muatta’, iaitu sebuah kitab Islam yang lengkap penyusunannya. Ia adalah sebuah kitab yang paling besar sekali yang ditulis oleh Imam Malik. Sebab yang mendorong kepada penyusunan ialah disebabkan timbulnya berbagai pendapat penduduk Iraq dan orang-orang tidak bertanggungjawab, dan disebabkan kelemahan ingatan dan riwayat, dengan itu lebih nyatalah kepada penyimpan supaya ilmu-ilmu tidak hilang atau dilupai. Kitab Al-Muatta’ mengandungi hadis-hadis dan pendapat sahabat Rasulullah SAW dan juga pendapat para tabi’in. 

Menurut satu riwayat, Imam Malik menghimpun dan menyusun riwayat dan hadis yang diriwayatkan dari Nabi Muhammad SAW selama 40 tahu lamanya. Imam Malik dikatakan menghafal sebanyak 100,000 hadith. Menurut Ibnu Qudamah, Imam Malik adalah orang yang paling banyak menghafal hadis pada masanya. Bagaimanapun, tidak semua hadis yang diterimanya itu diakui untuk dijadikan sumber hokum. Sesudah ditapis dari segala segi, hanya 10,000 hadis sahaja yag diakuinya sah. Kemudian, disiasat dan dipadankan dengann firman Allah. Akhirya tinggal 5,000 sahaja hadis yang benar-benar diterimanya sebagai sabda Rasulullah SAW. 

PEMBAHARUAN YANG DILAKUKAN
Aliran mazhab Maliki berkembang cepat dari madinah ke seluruh negeri Hijaz, berdasarkan kitab Al-Muatta’ yang dijadikan panduan oleh alim ulama pengikut Imam Malik. Oleh kerana ramai pengikutnya berasal dari negeri Hijaz, Mazhab Maliki berkembang luas di negeri Mesir hingga datang pula aliran azhab Syafi’i meyebabkan berkurangnya pengaruh Mazhab Maliki di sana. 

Bagaimanapun, dalam zaman pemerintahan dinasti Al-Ayyubiy di Mesir, Mazhab Maliki disuburkan kembali bila pemerintahan memberi bantuan kepada pengikut aliran Mazhab Maliki dengan mendirikan madrasah. Mazhab Maliki juga berkembang seiring dengan Mazhab Hanafi di Kota Baghdad dan Basrah, Iraq hingga 500 Hijrah. Mahab Maliki juga sampai ke Palestin, Yaman, Kuwait dan Bahrain. Bahkan ia juga berkembang pesat di negara-negara Islam di Afrika Utara. 

Di Maghribi (Moroccow) Mazhab Imam Malik tersebar luas ketika Al Mu’iz bin Hadis Badis memegang tampuk pemeritahan di sekitar tahun 407 Hijrah. Pada hari ini, Mazhab Maliki menjadi ikutan umat Islam di Maghribi, Algeria, Tunisia, Libya dan Mesir selain dari tanah Hijaz. 

KEWAFATAN
Pada hari Ahad tanggal 10 bulan Rabi’ulawal tahun 179 Hijrah (789 Masihi), wafatlah beliau dengan tenang pada usia 86 tahun. Beliau wafat akibat mengidap sakit tua selama 20 hari. Ketika beliau menghembuskan nafas yang terakhir, beberapa orang sahabat berada disampingnya. Jenazah dimakamkan di perkuburan Baqi’ di luar Madinah iaitu sebuah tempat kubur di kala itu yang terkenal hingga sekarang. Imam Malik meninggalkan seorang balu dan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. 

PENUTUP
Secara keseluruhannya, Imam Malik adalah seorang tokoh zuhud didalam Islam yang harus dicontohi. Umat Islam pada masa dahulu dapat memahami syariat Islam dengan lebih mendalam melalui kewujudan Mazhab Maliki. Walaupun beliau telah lama wafat namun ajaran serta kitab-kitab yang ditinggalkan masih lagi digunapakai oleh umat manusia pada masa kini.

Selain dari ajarannya dalam bidang hadis dan ilmu fiqah, Imam Malik memberi banyak panduan dan tunjuk ajar dalam urusan kehidupan sehari-hari berhubung dengan urusan agama. Peninggalan Imam Malik yang terbesar adalah Kitab Al-Muatta’ yang menjadi bahan rujukan kepada seluruh umat Islam sehingga sekarang. Akhir sekali, masyarakat dipanggil untuk memahami lebih mendalam tentang ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh Imam Malik untuk membentuk individu dan masyarakat serta negara kearah penghayatan Islam terlaksana dengan jayanya. 

RUJUKAN


  1. Muhammad Shiddiq al-Minsyawi, (2007). 100 Tokoh Zuhud, terjemahan, edisi pertama. Jakarta Selatan: Senayan Abadi Publishing. 
  2. Ustaz Muhammad Helmi, (2002). Siri Tokoh-Tokoh Islam, Imam Malik, edisi pertama. Kuala Lumpur: Jade Green Publication. 
  3. K. H. Muawar Khalil, (1983). Biografi Empat Imam Serangkai, edisi 4. Indonesia: Penerbitan Bulan Bintang. 
  4. Mahmood Zuhdi bin Hj. Abdul Majid, (1992). Sejarah Pembinaan Hukum Islam, edisi 2. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya. 
  5. Mustafa Suhaimi, (1990). Imam Malik, edisi 1. Petaling Jaya, Selangor: Progressive Product Supply. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015