Poligami

Tajuk : 
Poligami

Disediakan Untuk
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Norfazwani Binti Fakhrulrazi

1. 1PENDAHULUAN
2. 1. 1Poligami Sebelum Kedatangan Agama Islam. 
Pada zaman silam, peperangan diantara kabilah-kabilah sering berlaku banyak yang terlibat di dalam peperangan itu adalah kaum lelaki dan menyebabkan kaum lelaki berkurangan. Kekurangan ini menimbulkan suatu sikap masyarakat yang menggalakkan kahwin banyak untuk memperimbangkan anggota kabilah. Galakan tersebut tidak pula ditentang oleh kaum wanita. Bahkan mereka menerima secara rela untuk menikmati sesuatu yang sepatutnya mereka nikmati dan memberi peluang kepada kaum mereka berada di samping lelaki yang sah. 
Pada zaman pemerintahan Constantin, raja tua Roman, beliau telah menggubal undang-undang baru dalam soal perkahwinan. Poligami diharuskan dengan syarat-syarat tertentu. Itupun sebagai suatu keistimewaan bagi pembesar-pembesar saja. Poligami mestilah dengan kesukaan dan kerelaan isteri pertama dan segala keistimewaan tertentu bagi yang pertama sahaja. Anak-anak yang dilahirkan dari isteri kedua dan ketiga dan seterusnya ditegah mempusakai harta dan tidak mempunyai hak dalam pertalian keluarga. Mereka diperlakukan sebagai hamba dalam masyarakat. Kehidupan kaum wanita menjadi semakin hina daripada sebelumnya. 

2. 1. 2 Penentuan Poligami dalam Islam. 
Salah satu usaha-usaha yang nyata dari kedatangan Nabi Muhammad SAW. ialah menghormati dan mempertinggikan darjat kaum wanita di sisi agama dan masyarakat. Kepadanya diberi satu identiti yang tersendiri dengan gelaran Jinsul-Latif: ertinya jenis yang lemah. 
Dalam masalah poligami, agama Islam tidak menerima mengikut cara yang diketahui oleh peradaban lama, tetapi memberikan penentuan-penentuan yang tidak diketahui sebelumnya serta menyusun dan membataskan kemutlakan cara lama itu. Di akhir tahun kelapan Hijrah, turun ayat Al Quran yang menentukan pengharusan poligami setakat empat orang wanita sahaja. 
(Dan jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil terhadap wanita-wanita yatim itu, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu sukai dua tiga dan empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (antara wanita-wanita itu), hendaklah satu saja atau budak yang dalam milikmu. Ini paling dekat kepada kamu tidak berlaku curang). 

Dari keseluruhan ayat tersemat dua pengertian dan petunjuk yang besar. 
Pertama: Salahnya perbuatan orang-orang jahiliyah terhadap anak-anak perempuan yatim di bawah jagaan mereka dan salahnya perbuatan mereka berkahwin banyak serta tidak melakukan keadilan. 
Kedua: Turunnya ayat itu bertujuan untuk mengatur cara-cara berpoligami. Sebelum itu orang-orang Arab beristeri sebanyak-banyak yang mereka suka dan terdaya. Ayat itu menentukan tidak lebih daripada empat isteri sahaja. 
Pengertian tersebut membuktikan bahawa poligami bukanlah satu peraturan kahwin yang dibawa oleh agama Islam ataupun direka-reka oleh Nabi Muhammad SAW., tetapi ia adalah suatu tradisi turun temurun. Di tengah-tengah masyarakat yang sedang bergelumbang dengan poligami kotor, datanglah Islam dengan peraturan yang sihat dan sesuai dengan sifat semulajadi manusia untuk seluruh umat Islam. 

1. 2PENGERTIAN DAN HUKUM POLIGAMI
Poligami adalah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita. Ia diamalkan oleh hampir ke semua bangsa di dunia ini. Mereka mengamalkan poligami tanpa had dan batas. Contohnya amalan tradisional masyarakat China silam yang membolehkan perkahwinan sehingga 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, poligami dibenarkan tanpa batas dan menurut Islam, poligami hanya dibenarkan sehingga empat orang isteri dengan syarat-syarat yang tertentu. 
Poligami hukumnya tidak wajib dan tidak sunnah, tetapi mubah (boleh), ertinya bagi yang mampu boleh melakukan dan boleh pula meninggalkannya. Sedangkan bagi mereka yang tidak mampu hukumnya wajib ditinggalkan. Jadi kalau tetap dilakukan maka ia berdosa kerana tidak mungkin orang yang tidak mampu sanggup memenuhi kewajipannya. 

1. 3SYARAT-SYARAT POLIGAMI. 
1. 3. 1Berkuasa Menanggung Nafkah. 
Yang dimaksudkan dengan nafkah di sini ialah nafkah zahir. Orang yang dikatakan berkuasa menanggung nafkah ialah berkuasa menanggung makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi para isteri. Pemuda yang tidak berupaya memenuhi syarat tersebut tidak digalakkan berkahwin, walaupun anggota seksualnya segar dan subur. Cara untuk melemahkan kesuburan itu dianjurkan supaya berpuasa. 
Perkara-perkara yang dihitung sebagai nafkah hanya terbatas kepada tempat tinggal, makanan dan pakaian sahaja. Perkara-perkara ini merupakan keperluan asasi bagi setiap orang. Sekiranya suami seorang yang susah maka kadar nafkahnya secara lazim yang dilakukan oleh orang susah, walaupun isterinya dari golongan orang kaya dan mewah. 
 Yang dimaksudkan dengan tempat tinggal ialah tempat tinggal yang sesuai dengan isterinya dan sesuai pula dengan kemampuan suami. Lengkap dengan alatan rumah yang perlu, tidak menyusahkan isteri dan tidak berkongsi dengan madu-madunya. Adalah tidak baik sekali bagi seorang suami menghimpunkan isteri-isterinya di bawah satu bumbung rumah, walaupun disukai oleh mereka, kerana akibatnya amat buruk sekali bagi mereka, terutamanya dari segi pergaulannya dengan para isteri, perhubungan para isteri sesama mereka dan kesan terhadap anak-anak di kemudian hari. 
1. 3. 2Keadilan Antara Para Isteri
Ada sesetengah golongan yang tidak mengetahui hakikat sebenar masalah poligami mengatakan bahawa poligami tidak diharuskan oleh agama Islam. Allah berfirman:
(bahawa keadilan itu tidak akan dapat dilakukan walau sejauh mana dijaganya). 
Ertinya, keadilan itu telah dijadikan syarat mutlak menurut ketetapan ayat pertama. Ayat kedua pula telah menyatakan bahawa keadilan itu tidak akan dapat dilakukan sama sekali. Maka dengan itu perbuatan berbilang isteri tidak dibolehkan hukumnya. 
Sebenarnya keadilan yang dimaksudkan di dalam ayat poligami itu khusus kepada perkara-perkara yang dapat dilakukan oleh si suami mengikut tabiat semulajadi sebagai manusia. Perkara-perkara tersebut ialah yang berhubung dengan makan minum, pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam serta waktu yang dihabiskan oleh seorang suami dengan tiap-tiap seorang dari isterinya. Dengan kata lain tidak ada perbezaan dalam hal menzahirkan cinta, sayang dan memberi hormat. 
Telah menjadi tabiat semulajadi manusia, seorang suami melakukan keadilan dalam perkara-perkara yang berbentuk kebendaan seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam dan sebagainya, tetapi ia tidak dapat melakukan bahkan tidak sanggup menyempurnakan keadilan dalam perkara yang berhubung dengan jiwa dan hati. 

2. 3. 3Tidak Merosakkan Isteri Pertama Dan Anak-Anaknya. 
Setiap orang yang ingin beristeri banyak dan mempunyai kesanggupan untuk itu dalam mengeluarkan nafkah dan melakukan keadilan, terpaksa pula berkeyakinan penuh mengikut perhitungan yang jujur bahawa perkahwinan kedua tidak akan merosakkan isteri pertama dan anak-anaknya. 
Tujuannya adalah untuk menolong dan memuliakan golongan wanita yang disifatkan oleh Allah SWT. sebagai al-Jinsul-latif, ertinya jenis yang lembut agar jiwa dan perasaannya tidak terseksa, anak-anaknya tidak terbiar dan tidak liar dalam menghadapi pertumbuhan jasmaninya, juga tidak timbul fitnah dan ejekan dari masyarakat. 
Seorang suami yang berat sangkaannya bahawa jika ia berpoligami akan menimbulkan permusuhan dan perselisihan tersebut, maka haramlah hukumnya. 

2. 4HIKMAT PENGHARUSAN POLIGAMI. 
Agama Islam mengharuskan poligami adalah kerana keadaan masa dan hajat umat manusia seluruhnya di dalam setiap masyarakat. Dorongan-dorongan ke arah itu terdapat dalam semua masyarakat, baik masyarakat Islam atau masyarakat bukan Islam, termasuklah masyarakat barat sendiri kerana ia merupakan tabiat semulajadi. Tetapi mengikut kacamata Islam tabiat tersebut mestilah mempunyai syarat tertentu iaitu sanggup berlaku adil dan sanggup mengeluarkan nafkah sebagaimana yang telah diterangkan. 

1. Menjamin Sifat Kemuliaan Orang Islam. 
Agama Islam mengadakan peraturan-peraturan yang bertujuan untuk menolak manusia daripada terjerumus ke dalam jurang kehinaan yang maha dalam yang dibenci oleh manusia dan Tuhan. Agama Islam menjamin kemuliaan setiap orang untuk membina kehidupan mereka di dunia dan di akhirat sebagai hamba Allah yang sempurna. 
Beberapa ketika lelaki tidak mencukupi dengan seorang isteri saja kerana beberapa sebab. Antaranya:
Sifat semulajadi kaum wanita. 
Nafsu yang tidak terbatas dan tetap. 
Nafsu lelaki yang lebih istimewa. 
Naluri ingin menopoli kuasa dan tanggungjawab. 

a)Sifat Semulajadi Kaum Wanita. 
Sebagaimana yang diketahui umum bahawa dalam hidup kaum wanita sentiasa dihinggapi oleh masa yang tertentu yang tidak boleh dihubungi oleh suaminya. Misalnya di waktu tiba haidh dan nifas. Panjangnya musim haidh itu kadang-kadang sampai 15 hari manakala nifas pula memanjang sehingga 60 hari. 
Agama Islam tidak mahu membiarkan kaum lelaki dalam keadaan seperti ini terus dipandu syaitan, tetapi diadakan bagi mereka apa yang boleh memuaskan kemahuan mereka seluruhnya atau sebahagian darinya dalam bidang yang halal iaitu mengharuskan beristeri lebih dari satu. 
Tidak boleh dinafikan bahawa menjatuhkan talak isteri yang di dalam keuzuran itu mendatangkan bahaya. Di kala itu apakah yang sepatutnya dilakukan selain daripada berpoligami. Dengan demikian berpoligamilah yang sebaik-baiknya jika benarmengikuthukum dan syarat-syarat yang diharuskan oleh agama Islam. 
b)Nafsu Yang Tidak Terbatas. 
Nafsu adalah suatu yang berbentuk rohaniah yang menerima perubahan. Bukti kenyataan ini dapat dilihat pada batas-batas dan ketetapan nafsu itu sendiri yang amat luas untuk dibicarakan. Sebanyak mana manusia di dunia ini sebanyak itulah corak dan ragam nafsu itu tanpa boleh disamakan atau ditentukan di antara satu sama lain. 
Nafsu si A tidak akan sama dengan nafsu si B dalam memuaskan nafsu masing-masing, mungkin si A hanya mencukupi tiga atau empat kali sahaja dalam seminggu. Manakala si B terpaksa memuaskan kehendak nafsunya pada setiap malam oleh beberapa tekanan yang tertentu. Sebagai contohnya, pakaian wanita yang banyak mendedahkan tempat-tempat sulit dan kegiatan maksiat begitu terbuka pada zaman ini adalah merupakan antara tekanan-tekanan tersebut. Tempat dan keadaan juga mengambil peranan penting dalam menimbulkan gerakan gelora nafsu dalam setiap jiwa manusia. 
Pergolakan nafsu di setiap jiwa manusia biasa tidak boleh ditentukan atau dihadkan mengikut tekanan dari luar, sebagaimana kita tidak boleh hendak menentukan seorang isteri sahaja mencukupi dalam memuaskan nafsu kelamin itu adalah satu penentuan yang bertentangan dengan tabiat semulajadi manusia. Akibatnya akan lahirlah perhubungan jenis secara haram dengan berleluasa. Keburukannya lebih mendukacita dan menghancurkan keharmonian keluarga dan masyarakat. 
Berdasarkan kepada tabiat dan nafsu inilah yang menyebabkan agama Islam menetapkan peraturan-peraturan yang menentukan soal poligami. Kepada mereka yang tidak dapat mengawal nafsunya dan mempunyai keupayaan nafkah dan kesanggupan melakukan keadilan. Agama Islam membentangkan kepada mereka apa yang boleh memuaskan kemahuan mereka seluruhnya atau sebahagiannya dalam bidang-bidang yang halal agar mereka tidak dipandu oleh syaitan. 


c)Nafsu Lelaki Yang Mempunyai Dua Keistimewaan
Terdapat dua keistimewaan bagi nafsu lelaki berbanding dengan nafsu perempuan. Keistimewaan itu ialah tentang kekuatannya dan umurnya pula lebih panjang daripada nafsu perempuan. 
Perbandingan pertumbuhan jasmani di antara kaum lelaki dan kaum perempuan jelas menunjukkan bahawa kaum lelaki mempunyai kekuatan yang lebih baik dari segi kemahuan, keperkasaan dan nafsu. Yang paling ketara sekali ialah tentang nafsu sama ada wanita dari Barat atau dari Timur, dari negara sejuk atau panas. 
Tidak boleh dinafikan bahawa kaum perempuan lebih cepat datang nafsu berahi dan baligh berbanding kaum lelaki. Setelah tiba umurnya sembilan tahun jelaslah pertumbuhan badan dan nafsunya. Sedangkan bagi lelaki pula dalam umur seperti itu masih belum apa-apa kerana belum sempurna pertumbuhan nafsunya, walaupun ia mempunyai kesanggupan untuk bersetubuh. 
Tetapi lamanya waktu kesanggupan bersetubuh bagi kaum lelaki adalah lebih panjang jangka waktu daripada kaum perempuan. Kaum wanita tidak berkesanggupan lagi apabila umurnya sudah meningkat kepada kawasan lingkungan 50 tahun. Ketika itu, nafsu dan kekuatan jasmaninya akan mula berkurang. Kebanyakan daripada mereka sudah mula hendak melarikan diri daripada bersetubuh keranamereka merasai jijik apabila mendengar soal-soal itu. 
Hal ini demikian tidak hairanlah apabila kita melihat kebanyakan wanita yang berusaha dalam lingkungan 50 tahun sudah tua benar di mana ia sudah kelihatan roman muka dan kulitnya. Nafsu berahinya juga sudah tidak sekuat suaminya. Kadang-kadang dalam waktu ini juga haidhnya telah putus yang mengakibatkan kesanggupan untuk melahirkan anak sudah tidak ada lagi. Berlainan pula dengan kaum lelaki. Walaupun umurnya telah melebihi lima puluhan tetapi badan dan kulitnya masih perwira. Nafsu berahinya tetap kuat hampir menyamai pemuda-pemuda angkatan yang berumur dalam lingkungan dua puluhan. Keadaan ini tidaklah menghairankan apabila seorang lelaki yang telah meningkat umur 60-70 tahun beristerikan gadis belasan tahun, kemudian gadis itu melahirkan anaknya pula. 
Nafsu berahi bagi setiap manusia dan bagi semua makhluk pada umumnya adalah satu tabiat yang tidak dapat ditahan dan dihalang lagi tidak ubah halnya seperti air yang mengalir dari gunung ke kuala. Sesiapa yang menghalang atau menahannya sudah tentunya ia akan melimpah dan banjir. 
d)Naluri Ingin Monopoli Kuasa Dan Tanggungjawab. 
Satu daripada sifat-sifat semulajadi yang tidak dapat diubah-ubah lagi bagi seorang lelaki dan wanita ialah perbezaan di antara kedua-dua jenis itu dari segi ingin kuasa dan ingin dikuasai. Kaum lelaki semulajadinya mahu menguasai kaum wanita dan kaum wanita pula mahu dikuasai oleh kaum lelaki. 
Kaum lelaki merasai megah dapat menguasai ramai kaum wanita, terutamanya yang cantik-cantik dan menarik walaupun dalam apa bentuk sekalipun kaum wanita pula merasai megah apabila dapat menaung di bawah sayap kaum lelaki yang gagah, segak, ada kedudukan dalam masyarakat dan sebagainya. 
Semua ini jelas menunjukkan bahawa naluri ingin monopoli kuasa dan tanggungjawab kaum lelaki itu melebihi kaum perempuan dalam semua hal dan keadaan, walaupun bagi kaum wanita yang cergas, kaya, maju, cekap atau sebagainya kerana sifat wanita itu mahu dikuasai dan dilindungi oleh kaum lelaki. Perlindungan dalam erti kata yang luas iaitu perlindungan hidup baik berupa jasmani atau rohani. 

2. Membiak Keturunan. 
Tidak boleh dinafikan bahawa di antara pendorong penting dalam perkahwinan ialah bertujuan untuk melahirkan warisan kerana ia adalah bakal pengganti sifat-sifat semulajadi yang terdapat dari kedua ibu bapa. 
Kecewa sekali bagi sepasang suami isteri yang telah mendirikan rumahtangganya beberapa waktu yang agak lama dengan tidak menghasilkan keturunan. Mereka bukan sahaja merupakan sepasang suami isteri yang menjadi pemutus kepada zuriat keturunan ayah, ibu dan datuk-datuk nenek mereka tetapi lebih pentingnya mereka menjadi sepasang suami isteri yang usang yang tidak berseri lagi rumahtangga mereka. 
Kehilangan benih dan keturunan ini selalunya banyak terdapat pada kaum wanita kerana antara mereka terdapat yang lemah mengandung disebabkan tidak betul perjalanan haidh dan lain-lain gangguan kesihatan. Hal ini demikian secara tidak langsung menjadi penghalang yang besar kepada suami yang inginkan keturunan sebagai penyambung warisan kepada keturunannya. 
Agama Islam telah menjelaskan bahawa dalam pemilihan bakal isteri ia lebih menyukakan wanita yang membiak daripada keturunan yang mandul. Di samping itu, Nabi Muhammad SAW. pernah menggesa supaya setiap umatnya berusaha membiakkan keturunan. Baginda menegaskan banyaknya keturunan umat Islam akan menjadi satu kemegahan dan kebanggaan kepada baginda sendiri di akhirat kelak. Sabdanya:
(Kahwinlah dan berbiaklah kamu, sesungguhnya aku bermegah dengan golongan kamu yang ramai di hari kiamat). 

3. Mengurangkan Amalan Zina Dan Pelacuran. 
Pelacuran adalah satu amalan yang hina. Zina dalam hukum Islam adalah satu jarimah yang besar sehingga Islam menghukum bagi orang yang melakukan zina apabila sabit zinanya, hendaklah direjam bagi mereka yang sudah berkahwin dan dihukum sebat dengan rotan bagi dara dan teruna. Islam mengharamkan zina kerana adanya amalan zina di dalam sesuatu negara menyebabkan tersebarnya kejahatan dan kemudaratan. Berzina secara bayaran dari pihak lelaki kepada pihak perempuan dinamakan pelacuran. 
Pelacuran ada dimana-mana pada setiap zaman. Hal ini tidaklah dinafikan kerana ia merupakan punca rezeki lumayan yang boleh didapati dengan senang. Faktor asasi berlaku demikian ialah kerana kaum wanita tidak kesempatan kahwin ertinya tidak berpeluang menikmati seks yang menjadi unsur kenikmatan jiwa yang utama dan tidak berpeluang juga mendapat tempat bergantung sebagai pelindung ekonomi. 
Manusia ini terutamanya kaum wanita, sebagai manusia mesti hidup dengan kesempurnaan hajat lahir seperti makan minum dan hajat batin seperti nafsu dan keibuan. Dua syarat hidup ini mestilah ada pada seluruh wanita. Kalau tidak maka timpanglah hidupnya. Hal iniperlu ditegaskan bahawa nafsu dan keibuan adalah satu yang penting dalam kehidupan wanita, malah merupakan suatu penjelmaan yang paling hebat daripada kemahuan mahu hidup. 
Selain itu, poligami juga diharuskan bukan semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwat, tetapi untuk menjaga keselamatan umat dan bangsa di dunia ini. Kaum wanita akan lebih dihormati apabila berkahwin dengan jalan yang halal berbanding menjadi pelacur atau perempuan simpanan yang tidak mempunyai apa-apa hak, baik untuk dirinya atau untuk anak-anaknya. Seorang perempuan itu juga akan lebih dihormati apabila berkahwin daripada menjadi anak dara tua atau janda tua yang tidak berpeluang menikmati apa-apa tentang kehidupan ini. 
Itulah sebabnya kita dapati wanita-wanita di zaman sekarang ini begitu gigih sekali berusaha untuk mendapatkan suami. Kalaulah pada zaman dahulu, orang tua yang berusaha menjodohkan mereka tetapi hari ini mereka yang berusaha mencari sendiri, bahkan menentu sendiri hari perkahwinan mereka. 

2. 5AKIBAT-AKIBAT YANG LAHIR TANPA POLIGAMI. 
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa di Barat terdapat pemuda pemudi berpeluk-peluk dan berkucup tanpa ada rasa malu dan silu lagi. Kelahiran daripada pelukan dan kucupan yang mewah ini menghasilkan zina. Seorang lelaki biasa mengajak pemudi-pemudi mengikut pilihannya dengan senang ke bilik hotel, ke tepi pantai, ke taman bunga dan lain tempat yang difikir sesuai bagi mereka. Kadang-kadang pemudi yang terlebih dahulu mengajaknya. Di tempat-tempat tersebutlah mereka melakukan sifat-sifat kebinatangan dengan penuh bersemangat. Daripada zina yang terdapat di sana sini inilah wujudnya anak-anak yang dilahirkan tanpa mengetahui ayah yang sebenar. Tidak kurang juga di negara pantai Timur pada masa kini semakin menular dalam mengikuti perkembangan kehidupan sosial di negara Barat. 
Hal ini demikian menyebabkan sesebuah negara menjadi huru-hara dan kucar-kacir apabila tidak mengenal peraturan Islam. Pelacuran berlaku di sana sini serta anak-anak yang kehausan kasih ayah dan ibu menjerit-jerit, memekik-mekik dan meronta-ronta di segenap cerok. 
Perempuan, dia terpaksa melacurkan dirinya walaupun dia tahu bahawa perbuatannya itu adalah satu jarimah yang maha besar, kerana ia juga manusia yang inginkan makanan lahir batin yang dinikmati oleh seluruh manusia lain tetapi apa boleh buat peluang dia menikmati itu tiada, maka mahu tidak mahu makanan itu dinikmati secara haram. Lelaki juga tidak boleh dipersalahkan kerana perempuanlah yang banyak menggoda dan menjual kehormatannya secara murah, melambai-lambai meminta sesuatu darinya, maka terpaksa juga lelaki turut sama menjerumus ke lembah yang hina itu. 
Di dalam hal ini kepada siapakah yang patut kita persalahkan dan ke bahu siapakah yang hendak kita pertanggungjawabkan kesulitan yang sememangnya berbahaya. Ini merupakan persoalan yang berat. Keadaan ini akan bertambah lagi kerana bilangan wanita makin berlebihan dari lelaki. Faktor penambahan itu makin banyak di akhir-akhir ini. 

2. 6 KESAN-KESAN BERPOLIGAMI. 
Amalan poligami juga boleh menyebabkan kerosakannya kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat. Kerosakan-kerosakan dari kesan amalan poligami itu ialah wujudnya cemburu yang menyebabkan berani melakukan sesuatu yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan sehingga terjadi perkara-perkara yang di luar batas ke Islaman dan kemasyarakatan yang tidak diingini. 
Tidak menjadi mustahil dengan adanya perasaan cemburu itu, mungkin masing-masing akan menggunakan bomoh, ramuan-ramuan yang najis dan yang mengandungi racun. Akhirnya suami akan hidup dalam keadaan kurus kering dan merana. Keadaan seperti ini boleh melibatkan kepada keluarga. Mungkin ibu bapa isteri pertama irihati kepada ibu bapa isteri yang kedua. Irihati dan dendam ini berpanjangan dan berterusan sehingga melibatkan kehidupan yang tidak tenteram dalam keluarga yang berkenaan. 
Seterusnya, kesan buruk amalan poligami terhadap anak-anak ialah kerana anak-anak itu tidak dapat kasih sayang yang sepenuhnya dari ayahnya, disebabkan ayah tadi tidak dapat bermesra lebih lama dengan anak-anak kerana hendak membuat giliran kepada isteri-isteri yang lain. 
Hal ini akan menyebabkan anak-anak itu tidak mendapat bimbingan yang sepatutnya dari ayahnya. Dari gejala inilah anak-anak tadi kecewa dan tidak mendapat pelajaran yang secukupnya atau terkandas dalam pelajarannya. Akhirnya anak-anak itu menjadi liar dan melakukan jenayah seperti menjadi pencuri, penghisap dadah dan sebagainya. 

2. 7CIRI-CIRI SUAMI DAN ISTERI MITHALI

Berlaku Adil
Barangsiapa beristeri lebih dari seorang isteri, maka dia wajib berlaku adil antara mereka. Kerana itu dia wajib menetapkan giliran untuk setiap isteri sehari semalam. Tentang nafkah, maka dia wajib memberikannya sesuai dengan keadaan masing-masing. Sedangkan kecenderungan hati, maka dia tidak dapat disalahkan. 
Telah diriwayatkan dari Aisyah r. a bahawa dia berkata:
“Adalah Rasulullah SAW itu menetapkan giliran, maka beliau berlaku adil dan memanjat doa: “Ya Allah, inilah giliranku (kepada isteri) pada apa yang aku miliki maka janganlah ENgkau mencelaka pada apa yang Engkau miliki sedangkan aku tidak memiliki” yang beliau maksudkan adalah hati. ”
(HR. Abu Dawud. At Tirmidzi, An-Nasa’I dan Ibnu Majah)
Seorang suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya hendaklah dia mengerti bahawa dirinya itu orang yang zalim dan derhaka kepada Allah dan RasulNya. 
Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah r. a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa mempunyai dua orang isteri, lalu dia tidak berlaku adil antara keduanya, maka dia akan datang di hari kiamat sedangkan sebelah badannya turun(miring). ” (HR. At-Tarmidzi)

Sikap Saling Memahami
Manis dan lazat ahli keluarga merupakan buah dari sikap saling memahami. Jika ada saling memahami, maka kekukuhan keluarga adalah sesuatu yang pasti. 
Imam Ahmad bin Hanbal di dalam kitab hadith yang terkenal, al-Musnad, meriwayatkan bahawa Siti Aisyah telah berkata:
“Suatu hari Rasulullah SAW sedang berada di rumah saya. Shafiyyah mengirimkan masakan untuk Rasulullah SAW. Ketika saya melihat pelayan yang membawa masakan itu, perasaan saya ketika itu tidak terkawal, lalu saya merebut wadah makanan itu dan melemparkannya. Kemudian, saya melihat mata Rasulullah SAW menatap tajam ke arah saya, dengan jelas saya dapat menyaksikan kemarahan Rasulullah SAW atas perbuatan saya. Lalu saya berlindung kepada Rasulullah SAW dari kemarahannya dan memohon kepadanya supaya tidak melaknat saya. ”
“Rasulullah SAW berkata: ‘Wahai Aisyah, bertaubatlah. ”
Aisyah bertanya, ‘Apa yang harus saya lakukan untuk menutup perbuatan yang saya lakukan ini?’
Rasulullah SAW menjawab. ‘Sediakan masakan sebagaimana masakan yang telah dimasak oleh Shafiyyah, begitu juga wadah seperti wadahnya, lalu kirimkan Kepadanya. ”
Juga terdapat contoh lain di dalam hal ini di mana Rasulullah SAW dengan penuh lapang dada sentiasa berusaha menyelesaikan berbagai masalah dengan pendekatan kasih sayang dan tindakan logik serta sentiasa menasihati mereka dengan bersandar kepada arahan-arahan al Quran al-Karim. 
Demikian juga kita di dalam mengikuti perilaku Rasulullah SAW, manakala kita melihat adanya kesalahan dan kekurangan, hendaknya kita tidak terlalu mempersoalkannya, jika memang diperlukan kita harus berbicara maka hendaklah kita mengingatkannya dengan cara yang halus dan dengan nada suara yang lembut. Jangan sampai kita menyelesaikan berbagai kesalahan dengan teriakan, makian dan tamparan. 
Dengan berpegang kepada riwayat dan kehidupan para Imam Ahlul Bait yang suci as hendaklah kita saling mengingatkan antara satu sama lain. Hendaklah kita mengambil pelajaran dari kehidupan para Imam Ahlul Bait as, dan hendaklah kita mengulang ucapan mereka as. 
Saling Menjaga Sikap Cemburu Seadanya. 
Bagi suami isteri hendaklah menyedari cemburu itu adalah hasil penafsiran dan penafsiran itu kebanyakkannya keliru. Memang benar bahawa kecemburuan itu tidak dapat dihilangkan, selama sumber yang menimbulkan konflik masih tetap ada namun demikian bukan bererti tidak ada cara penangguhannya. 
Adapun cara untuk penangguhan cemburu ini, ialah mengendalikannya dengan mencuba menyedari semua peristiwa yang telah terjadi pada dirinya. Dia harus menyedari bahawa rasa cemburunya itu adalah akibat daripada penafsirannya, dan penafsiran ini boleh. Selanjutnya, di dalam bertindak, dia perlu menyedari keinginannya. 
Di dalam dunia perkahwinan, kecemburuan ini boleh membawa akibat yang serius malah berakhir dengan penceraian. Berbagai contoh boleh dikemukakan di sini seperti doktor cemburu pada perawat atau pesakit suaminya, isteri pengurus kepada setiausaha suaminya. Dan di pihak lain, suami bintang filem atau peragawati cemburu pada teman sekerja suaminya. 

Bermusyawarah
Bermusyawarah adalah kunci dari segala kejayaan dan kebahagiaan dalam mengharungi hidup berumahtangga. Di dalam Al Quran Allah telah menegaskan:

“Oleh kerana disebabkan rahmat dari Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya. ”

Jadi, musyawarah untuk muafakat sangat dianjurkan oleh Islam, baik dalam urusan rumahtangga mahupun yang lain. Kerana itu, Allah sentiasa memberi pujian kepada orang-orang yang beriman yang suka bermusyawarah. Di dalam Al Quran Surah Asy-Syura ayat:38 Allah telah menegaskan: “Dan (kenikmatan hidup yang hakiki) adalah bagi orang-orang yang menerima seruan Tuhannya serta mendirikan solat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan. ”
Dalam meniti kehidupan rumahtangga sangat memerlukan adanya musyawarah antara suami-isteri. Kerana hal itu merupakan sebahagian dari tuntutan Rasulullah dalam pergaulan antara keduanya. Dan prinsip ini harus dipegang oleh setiap pasangan suami-isteri. 

3. 0 PENUTUP
Intihanya, jelaslah bahawa poligami banyak memberikan kesan terhadap kaum lelaki dan juga kaum wanita. Poligami juga turut memberikan kebaikan dan juga keburukan dalam kehidupan rumah tangga. Kedatangan Islam membawa perubahan yang mendalam terhadap perkahwinan poligami di mana ia membantu membela nasib kaum wanita dan kaum lelaki untuk menjaga maruah dan alam rumahtangga supaya kekal ke akhir hayat. Allah SWT. telah mewujudkan perkahwinan poligami kerana nafsu manusia merupakan satu pergolakan batin yang tidak mempunyai batas dan persamaan langsung antara satu puak dengan lain dan di antara manusia dengan manusia yang lain. 
Poligami merupakan perkahwinan antara lelaki dengan ramai wanita. Hukum berpoligami adalah mubah iaitu boleh. Manakala, syarat-syarat dalam poligami ialah tidak melebihi empat orang isteri pada satu masa dan suami tersebut hendaklah berlaku adil antara isteri-isterinya. 

4. 0 RUJUKAN
Haji Dusuki bin Haji Ahmad (1978&1982). Poligami Dalam Islam, Edisi 1&2. Kuala Lumpur: percetakan Adabi. 

Fatimah Haji Omar (1997). Soal-jawab Bakal Pengantin Khusus Untuk Wanita. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. 

Mohd. Hasnawi Zainab (2004). Suami Mithali. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise. 

Abu Ahmad Fatanah (2002). 20 Tips Agar Dicintai Isteri. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. 

Haji Said Haji Ibrahim (1984-1999). 400 Soal Jawab Nikah Kahwin. Selangor: Darul Ma’rifh. 

Mohd Hapiz bin Mahaiyadin, Mohd Adib Shujaa’ bin Ahmad, Roshaimizam bin Suhaimi, Sofwan bin Hasbullah, Halipah binti Hamzah, Zulkifli bin Dahalan, Nurfahiratul Azlina Ahmad, Ramawan bin Ab. Rahman (penyunting)(2011). Pengantar Tamadun dan Sejarah Pemikiran Islam. Melaka: Percetakan Surya Sdn. Bhd.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com