Perkahwinan Dalam Islam

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh ;
Aifaa Nazihah Binti Abdullah
2014494664

Pendahuluan
Sejak Azali Lagi, Allah Taala Menetapkan Bahawa Lelaki Dan Perempuan Diciptakan Untuk Saling Melengkapi. Oleh Sebab Itu, Perkahwinan Telah Diwajibkan Oleh Allah Taala Bagi Mereka Yang Mampu Untuk Melestarikan Apa Yang Telah Ditetapkan Oleh Allah Taala Dan Seterusnya Menghalalkan Sesebuah Perhubungan Tersebut. Pernyataan Di Atas Telah Dibuktikan Apabil Agama-Agama Wahyu Memperakui Bahawa Perkahwinan Pertama Di Kalangan Manusia Berlaku Antara Nabi Adam A. S Dan Hawa.

Oleh Itu, Dalam Kertas Kerja Ctu 151 Pada Kali Ini, Saya Memilih Untuk Mengkaji Berkenaan perkahwinan menurut Islam. Dalam hasil kertas kerja saya pada kali ini meliputi takrif perkahwinan, tujuan utama perkahwinan, ciri-ciri memilih suami dan isteri, hukum perkahwinan, hak dan kewajipan, orang-orang yang tidak boleh dinikahi dan akhir sekali hikmah perkahwinan.

Dalam takrif perkahwinan, saya akan menerangkan maksud perkahwinan menurut Islam dan dalam tujuan utama perkahwinan, saya akan menerangkan mengapa kita diwajibkan untuk berkahwin. Manakala, dalam ciri-ciri memilih suami dan isteri saya akan menerangkan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang suami dan isteri apabila kedua-duanya mahu mendirikan rumah tangga. Dalam hukum perkahwinan pula, saya akan menerangkan hukum yang ada dalam Islam seperti wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Dalam hak dan kewajipan pula saya akan menerangkan tugas-tugas suami dan isteri apabila sudah berkahwin. Untuk mengetahui dengan siapa kita dilarang untuk berkahwin akan saya kupaskan dalam isi orang-orang yang tidak boleh dinikahi. Akhir sekali, dalam hikmah perkahwinan saya akan menerangkan apa yang kita perolehi apabila kita berkahwin.

Kesimpulannya, saya harap apa yang saya kupaskan dalam kertas kerja ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan kepada orang yang membaca tentang perkahwinan. Saya berharap juga kupasan yang saya terangkan dalam kertas kerja ini mudah difahami oleh semua orang.

TAKRIF PERKAHWINAN
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, pernikahan (perkahwinan) ialah perihal berkahwin atau bernikah bersaksikan seseorang sebagai saksi. Dari sudut bahasa, pernikahan (perkahwinan) bererti berkumpul atau berhimpun. Dari sudut istilah pula ialah akad dengan menggunakan perkataan nikah atau tazwij atau terjemahannya yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam. Tambahan lagi, perkahwinan juga bermaksud medium perhubungan lelaki dan wanita(suami isteri) dan saluran untuk melahirkan zuriat keturunan. (Hassan Salleh, 1989)

Selain itu, sesetengah ulama mentakrifkannya sebagai akad yang mempunyai makna pemilikan untuk bersedap-sedapan (tamattu’) dengan ada qasad. Manakala sesetengah pengikut Hanbali mentakrifkannya sebagai akad yang menggunakan perkataan nikah atau tazwij bagi mendapat faedah bersedap-sedapan. (Hassan Salleh, 1989)

Dari sudut pandangan Islam pula, sistem sosial Islam sangat memandang perkahwinan sesuatu yang penting kerana melalui pernikahan kita dapat meramaikan umat Islam di dunia ini untuk bersaing dengan agama lain. Dalam Al Quran, sabda Nabi Muhammad saw dan para imam kita mengatakan bahawa kita sangat didesak untuk bernikah. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad saw meriwayatkan :-

“Lembaga dalam Islam yang lebih disukai Allah adalah lembaga pernikahan”. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

TUJUAN UTAMA PERKAHWINAN
Menurut pandangan Islam, perkahwinan dapat menciptakan situasi yang nyaman bagi suami isteri. Selain itu, perkahwinan juga dapat melahirkan satu generasi baharu dan meramaikan anak-anak yang sihat jasmani dan rohani, beriman dan tinggi moralnya. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

Pernyataan di atas ini juga dibuktikan melalui Al Quran iaitu :
“Dia menciptakan untukmu pasanganmu dari rumpunmu sendiri sehingga kamu dapat merasakan kenyamanan bersama mereka dan meletakkan saling cinta dan kasih sayang di hatimu. Sesungguhnya dalam hal ini ada pelajaran bai orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum : ayat 21)

CIRI-CIRI UNTUK MEMILIH CALON ISTERI DAN SUAMI
Terdapat empat ciri untuk memilih calon isteri dan suami. Antaranya ialah :
1) Iman iaitu beriman kepada Islam dan jalan hidupnya seperti yang diserukan oleh Islam. Masyarakat Islam adalah masyarakat ideology. Dalam setiap masyarakat seperti itu, mengimani ideologinya merupakan orbit utama kehidupannya. Seperti umum tahu, tujuan pernikahan bukanlah sekadar untuk memuaskan kenikmatan seksual melainkan juga untuk membentuk sebuah institusi keluarga yang sihat sehingga :

i. Suami dan isteri hidup bersama dalam atmosfera saling mencintai, saling mengasihi dan saling mengerti
ii. Mereka dapat menciptakan satu lingkungan yang positif bagi kelahiran dan pertumbuhan anak-anak yang kelak akan menjadi anggota masyarakat ideologis Islam yang lebih matang dan aktif

Dua tujuan ini baru dapat dicapai jika suami dan isteri sama-sama mengimani Islam dan sama-sama mempraktikkan ajaran Islam semaksimum mungkin. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

2) Moral iaitu salah satu perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya dari segi moral suami dan isteri. Salah seorang sahabat Imam kesepuluh mengatakan : “Aku pernah berkirim surat kepada Imam Abu Ja’afar. Dalam surat itu aku aku mengujakan beberapa pertanyaan tentang perkahwinan”. Dalam jawapannya Imam mengatakan : “Nabi saw bersabda : ‘Begitu orang yang kamu cintai datang memintamu untuk menikah dengannya, sementara dia itu taat beribadah serta bagus perilakunya, maka segeralah menikah dengannya. Jika kamu tidak segera menikah dengannya, kamu akan menyimpang dari jalan yang lurus dan akan menghadapi krisis yang hebat”. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003) dan (Muhammad Ali Qutb, 1989)

3) Mampu di bidang kewangan
Kesamaan dan keserasian pemikiran, keinginan dan harapan suami dan isteri merupakan salah satu faktor yang sangat menentukan bahagia atau tidaknya suatu perkahwinan. Jika terjadi perselisihan yang serius antara suami dan isteri, maka masalah akan mudah diselesaikan berdasarkan sifat di atas yang ada pada suami dan isteri. Dengan demikian, kehidupan perkahwinan mereka akan bahagia. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

4) Kehidupan perkahwinan akan bahagia apabila suami dan isteri :
i. Mengetahui konsep perkahwinan
ii. Menyedari pasangan sebagai sahabat dan rakan yang baik hati dan setia
iii. Merasa perlu saling bekerjasama dalam setiap hal’
iv. Berusaha untuk tidak bersikap atau berperilaku angkuh dan untuk tidak merasa unggul atau menang sendiri
v. Menghormati hak masing-masing dan berupaya menyenangkan hati masing-masing (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

HUKUM KAHWIN
-Mazhab Syafi’i
1) Sunat bagi lelaki yang inginkan perkahwinan dan inginkan akan persetubuhan. Selain itu, lelaki tersebut mampu menyediakan perbelanjaan mahar (mas kahwin) dan nafkah hidup seperti pakaian dan makanan. Di sudut lain, walaupun lelaki tersebut merupakan ahli ibadat, dia disunatkan berkahwin demi mengawal agama, keturunan dan juga untuk mencari kebaikan.

Bagi perempuan pula, disunatkan kepadanya yang berhajat berkahwin samaada kerana keinginannya sendiri atau keperluan nafkah hidup. Tambahan lagi, disunatkan kepada perempuan untuk berkahwin kerana takut akan ancaman orang jahat atau kerana dia bukan ahli ibadat. Melalui perkahwinan ini, perempuan dapat mengawal keagamannya dan kehormatannya. (Hassan Salleh, 1989)

2) Makruh bagi orang yang tidak berhajat berkahwin sama ada disebabkan keadaan semula jadinya yang tiada keinginan nafsu atau juga kerana penyakit seperti mati pucuk. Selain itu, dia juga tidak mampu menyediakan perbelanjaan kerana melalui perkahwinan ini bererti dia dibebankan dengan tanggungjawab yang tidak dapat disempurnakan olehnya. (Hassan Salleh, 1989)

3) Harus berkahwin tetapi lebih afdal beribadat bagi orang yang tidak berhajat berkahwin kerana dia tidak berkeinginan melakukan persetubuhan tetapi dia mampu dari segi perbelanjaan dan tidak berpenyakit. Menurut pendapat al-Nawawi, jika seseorang itu bukan ahli ibadat adalah lebih utama baginya berkahwin (ini bertepatan dengan pendapat al-Rafi’I di dalam kitab al-Syarh) supaya tidak mendatangkan keburukan pada masa lapangnya. (Hassan Salleh, 1989)

4) Wajib berkahwin bagi orang yang tertentu atau terpaksa menghindarkan dirinya daripada nafsu kejahatan seperti perempuan yang takut akan orang yang jahat mengancam keselamatan dirinya sedangkan tidak ada pengawalnya melainkan dengan berkahwin. Hukum ini juga berlaku kepada lelaki yang khuatir kemungkinan dia akan berzina jika tidak berkahwin. (Hassan Salleh, 1989)

HAK DAN KEWAJIPAN
a) Hak Isteri
i. Mahar
ü Maksud Mahar
Pertamanya, mahar berasal dari perkataan Arab. Selain itu, terdapat juga beberapa lagi perkataan Arab yang bermaksud mahar iaitu :
· Al-sadaq
· Al-saduqah
· Al-nihlah
· Al-ajr
· Al-faridhah
· Al-a’qad

Menurut istilah syara’ pula, mahar ialah sesuatu yang diwajibkan oleh syara’ sama ada harta atau sebagainya yang menjadi hak isteri. Mahar ini diberi oleh suami dengan menyebutnya pada masa akad nikah sebagai ganti istimta’. Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan mahar itu wajib. Antaranya ialah firman Allah Taala yang bermaksud : “Berikanlah kepada perempuan(isteri) akan mahar(saduqah) mereka itu sebagai satu pemberian(yang wajib). (Surah al-Nisa’ : ayat 4)
Selain itu, terdapat juga firman Allah Taala yang bermaksud : “Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu) maka berikanlah mereka maharnya (‘ajr) sebagai satu ketetapan yang difardhukan (diwajibkan oleh Allah Taala)”. (Surah al-Nisa’ : ayat 29)

ü Hikmah Diwajibkan Mahar
Seperti yang umum tahu, dengan akad nikah suami akan memperolehi layanan mesra, kasih sayang dan percantuman dua jiwa dan dua jasad, maka hendaklah suami memberikan mahar kepada isterinya sebagai lambang kesetiaan dalam kehidupan mereka berdua. Selain itu, mahar juga menunjukkan niat baik suami terhada isteri, teristimewa sekali kerana dengan nikah itu, suami diberi kuasa terhadap isterinya. Oleh itu, eloklah suami memberi sesuatu yang menyenangkan hati isteri supaya dia berasa benar-benar mendapat perhatian daripada suaminya. Oleh itu, mahar ini merupakan penghormatan seorang suami terhadap isterinya.

Tambahan lagi, mahar juga bukan rukun bagi sah nikah atau syaratnya. Contohnya, jika sesuatu pasangan bersetuju berkahwin tanpa mahar maka akad nikah itu tetap sah tetapi diwajibkan mahar yang munasabah. Pernyataan ini dapat dibuktikan pada zaman Rasulullah saw, seorang perempuan telah berkahwin tanpa disebutkan maharnya, tetapi suaminya meninggal dunia sebelum perempuan itu disetubuhinya, lalu Rasulullah saw mengeluarkan hukum iaitu mewajibkan mahar yang munasabah untuknya.

Tambahan lagi, terdapat juga dalil yang menunjukkan mahar itu tidak menjadi rukun dalam nikah iaitu firman Allah Taala yang bermaksud :

“Tidaklah kamu berdosa (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mahar) jika kamu menceraikan isteri kamu sebelum kamu sentuh (menyetubuhi) mereka atau sebelum kamu mewajibkan mahar untuk mereka. ” (Surah al-Baqarah : ayat 236)

Selain itu, para mujtahid juga telah bersepakat mengatakan bahawa tidak ada penentuan tentang setinggi-tinggi mahar tetapi sepatutnya jangan terlalu tinggi.

Dalam sebuah hadith juga ada disebutkan tentang sunatnya merendahkan kadar mahar, sabda Rasulullh saw yang bermaksud : “Bahawa sebaik-baik perempuan dari segi keberkatan ialah yang lebih mudah tentang perbelanjaan (mahar). ”

Akibat tindakan meninggikan kadar mahar itu menyebabkan lelaki tidak mahu berkahwin atau juga akan menimbulkan kesusahan bagi kebanyakan mereka dan ini sudah terang merupakan gejala yang buruk bagi pihak keluarga perempuan yang meletakkan kebanggaan mereka dengan kadar mahar yang tinggi. Dalam konteks Islam ada mengatakan bahawa nilai ketinggian sebenar seseorang itu dalam Islam terletak pada moralnya bukan pada harta benda, kedudukan atau pangkatnya kerana ketiga-tiga elemen ini tidak akan kekal selamanya.

ü Kadar Mahar
Terdapat pelbagai pendapat tentang kadar mahar yang ditentukan. Salah satunya pendapat daripada Imam Syafi’e dan Imam Ahmad Hanbali yang mengatakan tidak ada batasan tentang sekurang-kurangnya iaitu pendek kata kadar mahar yang ditetapkan ialah tiap-tiap benda yang ada harga dan tiap-tiap yang dinamakan wang sama ada sedikit atau banyak yang boleh dinamakan mahar.

Terdapat juga dalil bagi orang yang mengatakan tidak ada penentuan had kadar mahar. Antaranya yang diriwayatkan daripada Anas RA beliau berkata : Abdul Rahman bin ‘Auf mengahwini seseorang perempuan dengan kadar maharnya emas seberat benih yang kecil. Peristiwa ini berlaku di hadapan sahabat Rasulullah saw. Pernyataan di atas membuktikan bahawa menentukan kadar mahar tidak wajib.

Di sudut lain juga, ada dalil bagi mereka yang membuat penentuan kadar mahar. Antaranya ialah Jabir yang telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :

“Janganlah dikahwinkan perempuan melainkan oleh walinya dan janganlah mengahwinkan mereka kecuali dengan orang yang setara dan tidak ada mahar yang kurang daripada sepuluh dirham. ”

Tambahan lagi, bagi perkahwinan yang maharnya disebut tetapi tidak diberitahu atau diterangkan dengan jelas akan jenis atau kadarnya maka penerimaan mahar itu tidak sah. Contohnya, orang yang bernikah yang maharnya ialah haiwan tetapi tidak ditentukan jenis haiwan tersebut. Dan tidak mengapa sekiranya tidak tahu harga seekor kuda misalnya kerana ketidaktahuan itu dimaafkan dalam pernikahan memandangkan bahawa Allah memberi kemudahan dalam perkara kahwin.

ü Jenis Mahar

Terdapat dua jenis mahar iaitu :

1) Mahar musamma dikeluarkan jika kedua-dua belah pihak yang berakad bersetuju tentang sejumlah mahar yang tertentu di dalam akad nikah atau difardhukan oleh kadi dengan kerelaan kedua-dua belah pihak selepas akad nikah.

Menurut tradisi di sesetengah tempat atau negeri, bakal suami memberi hadiah kepada isteri seperti kain, jam dan sebagainya. Sebahagian ulama berpendapat bahawa boleh dimasukkan ke dalam mahar ini dan sebahagian pula mengatakan tidak. Oleh itu, isteri boleh menahan suami daripada beristimta’ dengan dirinya hingga dia menerima mahar dan dia tidak dianggap derhaka.

2) Mahar misil (mahar yang munasabah) pula ialah jika kedua-dua belah pihak tidak bersetuju tentang kadar mahar dan masing-masing berdiam diri daripada menyebutnya dan tidak ditentukan jumlahnya pada masa akad atau disebut tetapi ditentukan mahar yang tidak dapat dimengertikan atau mahar yang tidak diharuskan di dalam syara’, maka apabila isteri disetubuhi, dia berhak mendapat bayaran misil.

ü Sabit Mahar
Menurut Abi Hanifah, apabila akad nikah sah, wajiblah dan sabitlah mahar kerana pemilikan lelaki terhadap isteri berlaku dengan akad nikah semata-mata dan mahar itu wajib sebagai ganti bagi pemilikan.

Berbeza pula dengan mazhab Syafi’i, mahar tidak sabit melainkan dengan ketetapan atau persetubuhan. Jika akad nikah itu fasid yakni tidak sah maka tidak diwajibkan mahar kecuali setelah isterinya disetubuhi baharulah menjadi wajib.

ü Gugur Separuh Mahar
Umumnya, mahar itu wajib bagi nikah yang sah. Apabila suami menceraikan isterinya sebelum bersetubuh gugurlah separuh maharnya dan pemberian mahar hanya wajib bagi baki yang separuh lagi.

Dalil pernyataan di atas sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan jikalau kamu menceraikan mereka itu (isteri-isteri) sebelum kamu menyetubuhi mereka walhal kamu telah menetapkan mahar kepada mereka maka diwajibkan (bayarannya) separuh daripada yang kamu tetapkan kecuali jika mereka sendiri memaafkan atau orang yang mempunyai kuasa perwalian memaafkannya. ” (Surah al-Baqarah : ayat 237)

ü Perkara-perkara Yang Sebabkan Wajibnya Mahar Yang Munasabah (Mahar Misil)
Terdapat tiga sebab iaitu :

1) Apabila seorang lelaki berkahwin dengan perempuan tanpa mahar, maka wajiblah perempuan itu menerima mahar misil disebabkan persetubuhan atau berkhalwat hakiki. Ketetapan itu sebagai memuliakan perkahwinan dalam Islam dan menunjukkan peri pentingnya mahar dan perkahwinan itu.

2) Apabila tidak disebutkan mahar pada masa akad nikah, kemudian pihak suami tidak menetapkannya selepas akad manakala pihak kadi pula tidak juga menetapkannya kemudian suami bersetubuh atau berkhalwat hakiki dengannya atau suami mati.

3) Apabila penamaan mahar yang disebut dalam akad nikah itu rosak disebabkan ketidaktahuan yang nyata atau mahar itu tidak merupakan wang ringgit yang boleh dinilai. (Hassan Salleh, 1989)

ii. Nafkah
ü Sebab Wajib Bagi Nafkah Kepada Orang Lain
Para fuqaha’ telah menentukan tiga sebab yang mewajibkan seseorang itu memberikan nafkah terhadap orang lain iaitu perkahwinan kerabat dan pemilikan. Antaranya ialah :

1) Nafkah isteri diwajibkan ke atas suami disebabkan perkahwinan
2) Nafkah kerabat disebabkan tali persaudaraan
3) Nafkah hamba abdi diwajibkan ke atas tuan disebabkan pemilikan

ü Nafkah Isteri
Hukum memberi nafkah kepada isteri wajib atas suami kerana suami berkuasa terhadap isteri manakala isteri pula menentukan dirinya untuk kepentingan suaminya disebabkan oleh ikatan perkahwinan. Oleh sebab itu, nafkah menjadi wajib atas suami walaupun isterinya kaya dan kewajipan menyeluruh kepada semua isteri apabila suami berpoligami.

Terdapat beberapa dalil-dalil yang mewajibkan nafkah iaitu salah satunya dalil daripada al Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud :

“Hendaklah orang yang berkemampuan memberi perbelanjaan menurut kemampuannya. ”(Surah al-Talaq : ayat 7)

Dalil yang kedua pula ialah daripada ijma’ iaitu : “Kaum muslimin telah sepakat sejak daripada zaman Nabi hingga sekarang tentang kewajipan suami memberi nafkah. ”

ü Penentuan Kadar Nafkah
Menurut mazhab Syafi’i, nafkah merangkumi tiga perkara iaitu makanan pakaian dan tempat tinggal. Pertama, nafkah daei segi makanan dan pakaian hendaklah dikira pada kedudukan atau keadaan suami yakni tentang susah senangnya tidak dikira pada keadaan isteri. Contohnya, jika seorang suami itu kaya atau berkemampuan maka hendaklah dia memberi makanan dan pakaian kepada isteri menurut keadaannya dan begitu juga sebaliknya. Seterusnya dari segi tempat tinggal seorang suami hendaklah memberi tempat tinggal yang sesuai dengan keadaan isterinya kerana tempat tinggal dianggap sebagai muta’ah (sagu hati) tidak seperti makanan dan pakaiaan yang dianggap al-tamlik (pemilikan). Oleh itu, perkara muta’ah itu hendaklah diukur pada kedudukan isteri.

ü Syarat Wajib Suami Menanggung Nafkah Isteri
Syarat-syarat dalam mazhab Syafi’i :
1) Hendaklah isteri membenarkan suami beristimta’ dengannya iaitu dengan cara menyerahkan dirinya kepada suaminya seperti katanya : “Aku serahkan diriku kepadamu. ”

2) Hendaklah isteri sanggup disetubuhi. Jika isteri masih kecil dan tidak sanggup disetubuhi, dia tidak berhak mendapat nafkah tidak kira sama ada suaminya telah dewasa dan mempunyai keinginan nafsu atau masih kecil yang tidak ada keinginan nafsu.

3) Isteri yang tidak menderhakai suami. Antaranya ialah isteri menghalang suami daripada beristimta’ dengannya seperti sentuh, kucup, bersetubuh dan sebagainya. (Hassan Salleh, 1989)

b) Hak Suami

i. Ketaatan Isteri
Isteri wajib mematuhi suami, menjaga kehormatan dan harta bendanya sama ada pada masa suaminya berada dirumah atau tidak kerana ketaatan isteri adalah faktor yang meneguhkan kehidupan rumahtangga dan kerukunan hidup.

Ini dibuktikan melalui firman Allah Taala yang bermaksud : “Kaum lelaki adalah pengurus bagi perempuan. ” ( Surah al-Nisa’ : ayat 34)

Di sisi lain, isteri tidak wajib mematuhi kemahuan suaminya yang di luar garis syara’ kerana Rasulullah saw telah bersabda bahawa tidak boleh mematuhi makhluk dalam perkara maksiat. Jika suami memaksa isteri melakukan maksiat, maka suami yang berdosa.

Tambahan lagi, isteri juga tidak boleh membenarkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali dengan kebenaran suami. Selain itu, isteri juga tidak boleh menegeluarkan perbelanjaan melainkan dengan kebenaran suami. (Hassan Salleh, 1989)

ii. Isteri Tinggal Di Rumah
Seorang suami berhak melarang isterinya keluar daripada rumah atau menziarahi seseorang melainkan setelah dibenarkan. Manakala seorang isteri pula tidak berhak memasuki rumah orang lain tanpa kerelaan suaminya. (Hassan Salleh, 1989)
Allah Taala juga telah berfirman yang bermaksud :
“Dan hendaklah kamu (isteri) tinggal di dalam rumah kamu dan janganlah kamu berhias seperti orang jahiliah dulu. ” (Surah al-Ahzab : ayat 33)

iii. Kuasa Ta’dib
ü Pengenalan Ta’dib
Terdapat dua jenis perempuan iaitu :
1) Perempuan Yang Baik
Perempuan yang baik ialah isteri-isteri yang solehah yang mempunyai peribadi yang mulia, sentiasa mematuhi Allah dan menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri yang setia terhadap suaminya, tidak membantah suaminya dalam polisi rumahtangga dan mengurus rumahtangga dengan jujur dan ikhlas. Oleh itu, suami tidak berhak dan tidak perlu mengenakan kuasa ta’dib terhadap isterinya.
2) Perempuan Yang Tidak Baik
Perempuan yang tidak baik ialah perempuan yang melanggar hak-hak dalam perkahwinan dan tidak mematuhi suruhan suami. Perempuan seperti ini perlu dikenakan kuasa ta’dib.

ü Tindakan Ta’dib
Al Quran telah menetapkan tiga cara tindakan menurut peringkat iaitu :
1) Nasihat yang baik iaitu suami memberi nasihat dan pengajaran kepada isteri supaya bergaul dengan baik. Kata-kata nasihat yang jujur dapat membuka pintu hati dan boleh mengatasi banyak psikologi perempuan, tetapi nasihat itu akan berbeza menurut peribadi seseorang perempuan itu. Ada sesetengah perempuan yang lembut hati dengan nasihat-nasihat agama dan ada pula yang sebaliknya. Pendek kata, suami yang bijak berdiplomasi itu selalu berjaya mengatasi segala kesulitan daripada sikap isteri yang derhaka itu. Jika tidak berjaya juga, maka si suami harus mengambil tindakan yang seterusnya.

2) Tidak tidur bersama supaya si isteri berasa sesuatu tekanan jiwa jika suami tidak sudi tisur bersama-samnya. Ini merupakan kuasa ta’dib yang diberikan oleh syara’ kepada suami dan kemungkinan tindakan ini akan berkesan terhadap isteri yang masih kasihkan suaminya. Ada di antara perempuan yang kasih akan suami tetapi tidak mematuhinya kerana cemburu buta kerana sikapnya yang tidak matang. Selain itu, untuk menguji sejauha mana suami cinta kepadanya da nada pula yang bertindak liar kerana hasutan keluarganya untuk mendapatkan faedah peribadi. Justeru itu, Allah memberi jalan untuk memperbaiki keadaan itu dengan cara tidak tidur bersama untuk sementara waktu agar dapat membetulkan sikap isteri yang derhaka itu.

3) Memukul dan ini merupakan tindakan akhir bagi suami. Disyaratkan pukulan itu tidak berbahaya dan tidak menyakitkan isteri. Tindakan ini hanya dibenarkan dalam masa darurat sahaja kerana ada sikap perempuan tidak berkesan dengan kata-kata nasihat dan dengan tidak tidur bersama. Tindakan ini bukanlah bermakna kejam atau bodoh bahkan suatu cara yang mungkin berhasil bagi tujuan memperbaiki isteri. Walaubagaimanapun, Rasulullah saw menganggapnya makruh kerana baginda sendiri tidak pernah memukul isterinya tetapi baginda membenarkan tindakan seperti itu apabila tidak ada jalan lain lagi untuk memperbaiki sikap si isteri yang degil. (Hassan Salleh, 1989)

c) Hak Bersama Antara Suami Dan Isteri
Terdapat empat hak iaitu :

1) Hak istimta’ antara satu sama lain. Setiap seorang itu tidak berhak melarang pasangan hidupnya itu melainkan jika ada keuzuran syara’ seperti haid, nifas atau berpenyakit. Kesimpulannya, masalah persetubuhan itu terpulanglah kepada keadaan kedua-duanya. Sekiranya memberi kepuasan batin kepada suami, supaya janganlah dia berangan-angan kepada perempuan yang lain pula dan begitu juga sebaliknya. (Hassan Salleh, 1989)

2) Pergaulan yang baik iaitu seorang isteri dan suami wajib bergaul dengan baik yang menurut garis perkara-perkara baik yang diakui oleh syara’ dan adat, baik dari segi tutur kata mahupun tindakan. Contohnya, suami mesti bekerjasama dengan isteri untuk mencari kebajikan dan menghindarkan diri daripada kejahatan dan bersama-sama menjauhkan diri daripada perkara yang buruk.

Selain itu, kedua-dua belah pihak juga hendaklah bersikap tolak-ansur atau toleransi, maaf-maafi dan jujur dalam menunaikan tugas. Pergaulan yang baik juga merangkumi perasaan setia antara satu sama lain dan kasih sayang yang terpancar dari lubuk hati masing-masing dan saling menyedari tentang tanggungjawab bersama untuk kepentingan hidup mendidik anak-anak dan menguruskan rumahtangga yang seterusnya boleh mendatangkan kerehatan, kesenangan dan kebahagiaan kepada seisi keluarga.

Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud :

“Orang mukminin yang paling sempurna keimanannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling lemah lembut terhadap ahlinya (isteri atau keluarganya). ”

Tambahan lagi, Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud :

“Orang pilihan daripada kamu itu ialah yang terbaik dalam membuat kebajikan kepada isterinya dan aku adalah yang terbaik dalam membuat kebajikan kepada isteriku. ”(Hassan Salleh, 1989)

3) Sabit keturunan anak iaitu hak-hak bagi tiap-tiap seorang daripada suami dan isteri juga menjadi hak bagi anak-anak. Dari sudut lain, sesetengah ulama berpendapat ini menjadi hak Allah Taala. (Hassan Salleh, 1989)

4) Mempusakai antara suami isteri iaitu hak bersama antara kedua-duanya. Apabila salah seorang meninggal dunia sedangkan kedua-duanya masih tetap mempunyai hubungan suami isteri maka yang hidup berhak mempusakai harta yang mati selagi tidak ada halangan yang boleh menegahnya daripada mempusakainya. Contohnya, berlainan agama dan sebagainya. Dari sudut pandangan lain pula, perkara ini juga termasuk dalam hak-hak Allah Taala. (Hassan Salleh, 1989)

ORANG-ORANG YANG TIDAK BOLEH DINIKAHI

Muhrim ialah orang yang berbeza jenis kelaminnya namun haram untuk dinikahi. Contohnya seperti hubungan antara kakak dan adik, ayah dan anak perempuannya atau anak lelaki dan ibunya. Mereka ini harus dijauhkan dari melakuka aktiviti seksual.
Muhrim pada umumnya dibahagi menjadi tiga golongan iaitu :
1) Muhrim Kerana Hubungan Darah
Muhrim seperti ini berasal daripada keluarga yang sama. Terdapat tujuh kelompok orang yang tidak boleh menikah antara satu dengan yang lain kerana alasan hubungan sedarah. Antaranya ialah :

(a) Seorang lelaki haram menikah
1. Dengan ibunya sendiri (termasuk neneknya sendiri)
2. Dengan anak perempuannya sendiri (termasuk keturunan anak perempuannya itu )
3. Dengan kakak atau adik perempuannya sendiri
4. Dengan anak perempuan kakak atau adik perempuannya beserta keturunan mereka
5. Dengan anak perempuan kakak atau adik lelaki-lelakinya beserta keturunan mereka
6. Dengan pembantu dari pihak ayah (termauk pembantu ayahnya)
7. Dengan pembantu dari pihak ibu (termasuk pembantu ibunya)
(b) Seorang wanita haram menikah
1. Dengan ayahnya sendiri (termasuk datuknya sendiri)
2. Dengan anak lelakinya sendiri (termasuk keturunan anak lelakinya itu)
3. Dengan kakak atau adik lelakinya sendiri
4. Dengan anak lelaki kakak atau adik lelakinya beserta keturunan mereka
5. Dengan anak lelaki kakak atau adik perempuannya sendiri beserta keturunan mereka
6. Dengan pembantu rumah lelaki dari pihak ayah (termasuk pembantu rumah lelaki ayahnya)
7. Dengan pembantu rumah lelaki dari pihak ibu (termasuk pembantu rumah lelaki ibunya)
2) Muhrim Angkat
Jika seseorang diasuh atau menjadi anak angkat orang lain sehingga anak angkat tersebut memiliki hubungan keluarga dengan orang tua angkat dan keluarganya kerana keadaan tertentu. Oleh kerana itu, anak angkat itu tidak dibolehkan menikah dengan orang tua angkatnya beserta keluarga orang tua angkatnya.

3) Muhrim Kerana Perkahwinan
Lima golongan orang yang tidak dibolehkan melakukan pernikahan di antara mereka keraan memiliki hubungan kekeluargaan melalui jalan perkahwinan. Contohnya seorang lelaki haram menikah dengan mertua perempuannya, dengan menantu perempuannya, dengan ibu angkatnya, dengan anak perempuan angkatnya dan dengan adik atau kakak isterinya. Manakala seorang wanita pula diharamkan menikah dengan mertua lelakinya, dengan menantu lelakinya, dengan ayah angkatnya, dengan anak lelaki angkatnya dan akhir sekali dengan adik atau abang suaminya.

Tambahan lagi, seorang lelaki juga diharamkan menikah dengan adik atau kakak perempuan isterinya hanya selama isterinya masih menjadi isterinya. Tetapi jika isterinya sudah tidak lagi menjadi isterinya kerana meninggal dunia atau kerana perceraian, maka lelaki tersebut boleh sahaja menikah dengan adik atau kakak perempuan bekas isterinya. Oleh sebab itu, larangan tersebut tidak kekal sifatnya dan menyebabkan kakak atau adik perempuan isteri tidak dipandang sebagai muhrim. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

HIKMAH PERKAHWINAN
Dalam kupasan ini, saya akan menerangkan hikmah-hikmah perkahwinan melalui pendapat tokoh terkenal iaitu Abdullah Nasheh ‘Ulwan.
Menurut pendapat Abdullah Nasheh ‘Ulwan, terdapat tujuh hikmah perkahwinan. Antaranya ialah :

1. Untuk Memelihara Jenis Manusia
Dengan perkahwinan, manusia dapat meneruskan kelanjutan jenis keturunannya dengan jalan perkahwinan dan saling berhubungan antara satu dengan yang lain dalam misi mewariskan bumi Allah dengan segala yang ada di atasnya. Salah satu bukti hasil perkahwinan ini iaitu melakukan pendidikan anak-anak, dari segi jasmaninya dan juga tentang akhlaknya. Allah Taala berfirman yang bermaksud :
“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?” (Surah an-Nahl : ayat 72)

2. Untuk Memelihara Keturunan
Sebagaimana yang telah diatur oleh syariat Allah Taala kepada hamba-hambanya, melalui perkahwinan anak-anak akan sentiasa berbangga dengan garis keturunan orang tua mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa garis keturunan ini menentukan bentuk pendidikan yang dapat mengekalkan kemuliaan bagi setiap keturunan. Seandainya perkahwinan tidak wujud sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah Taala untuk meramaikan masyarakat dengan anak-anak, kemuliaan dan keturunan jenis manusia akan punah. Dengan garis keturunan ini, maka tanggungjawab pendidikan akhlak dan pemeliharaan dari segala bentuk kebejatan akan terjamin. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)

3. Menyelamatkan Masyarakat Dari Kerosakan Akhlak
Melalui perkahwinan, masyarakat akan terhindar dari mengalami kerosakan akhlak dan pergaulan bebas. Seperti yang umum tahu, tabiat manusia yang sentiasa tertarik kepada jenis lainnya dapat dipenuhi dengan jalan perkahwinan yang diatur dengan syariat Allah Taala.

Melalui perkahwinan ini, umat akan dapat diselamatkan, baik secara individual mahupun sosial, dengan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia. Ini bersesuaian dengan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Hai para pemuda, barang siapa yang mampu diantara kamu serta berkeinginan untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu memelihara pandangan (terhadap yang tidak halal dilihatnya) dan akan menyelamatkan kemaluannya (dari godaan syahwat). Dan barang siapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah dia shaum, kerana dengan shaum itu nafsu seks akan berkurang”.(Hadis Riwayat Jama’ah)

4. Menyelamatkan Manusia Dari Pelbagai Penyakit
Melalui perkahwinan, masyarakat akan terselamat dari pelbagai penyakit yag dapat menjalar dengan cepat, yang dapat berjangkit antara anggota masyarakat akibat perzinaan, pergaulan yang keji dan haram. Antara jenis penyakit itu ialah sipilis, raja singa dan penyakit keturunan yang dapat mengancam orang-orang dewasa dan kanak-kanak. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)dan(Zulkefli Yazid, 2002)

5. Menyuburkan Rasa Kasih Sayang Ibu Dan Ayah
Umumnya, kasih sayang dalam diri ibu dan ayah dapat disuburkan melalui perkahwinan. Dari perasaan kasih sayang ini, lahirlah perasaan yang saling memberi dan menerima satu dengan yang lainnya. Sebagai bukti kasih sayang, keturunan yang mulia dan cerdik mampu dipelihara dengan akal yang sihat dan perasaan yang halus. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)

6. Untuk Mententeramkan Jiwa Setiap Peribadi
Melalui perkahwinan juga, ia dapat mententeramkan jiwa. Contohnya, tatkala suami selesai bekerja pada siang hari dan kemudian pulang ke rumah pada petang harinya, dia dapat berkumpul dengan isteri dan anak-anaknya dan seterusnya dapat menghilangkan semua keletihannya pada siang hari. Hal yang sama juga pada si isteri sebaliknya. Demikianlah apa yang dapat diperoleh pada setiap peribadi suami dan isteri. Mereka saling melindungi dan mententeramkan serta membahagiakan Allah Taala berfirman yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta kasih. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ”
( Surah ar-Rum : ayat 21)

7. Untuk Menjalin Kerjasama Suami Isteri Dalam Membina Keluarga Dan Mendidik Anak-Anak
Melalui perkahwinan, lahirlah kerjasama suami isteri dalam membina keluarganya. Antaranya meliputi hal-hal seperti berikut :
a. Isteri bertanggungjawab terhadap pekerjaan tertentu yang sesuai dengan tabiat dan sifatnya seperti mengatur rumah tangga dan mendidik anak-anak
b. Suami bertanggungjawab terhadap pekerjaan tertentu yang sesuai dengan tabiat dan keadaan fizikalnya seperti berusaha mencukupi keperluan perbelanjaan keluarga, bekerja berat dan mencegah keluarga daripada pengaruh buruk

Dengan kerjasama yang harmonis antara satu sama lain, seperti mendidik anak-anak yang soleh yang memiliki iman yang kuat dan roh Islam yang kukuh akan lahirlah rumah tangga yang tenteram dan bahagia. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)

PENUTUP
Kesimpulannya, Allah mencipta manusia untuk menjadi khalifah di bumi ini. Ini menunjukkan kepada generasi manusialah terserah urusan pembangunan dan kemajuan kehidupan manusia di dunia sehingga ke hari kiamat. Dalam konteks ini, perkahwinan adalah satu-satunya saluran atau jalan yang mutlak bagi menambahkan keturunan dan mengekalkan kelanjutan generasi manusia. Dengan perkahwinan, generasi manusia akan bertambah dan seterusnya dapat meramaikan kaum Adam supaya dapat beribadat kepada Allah Taala. Melalui perkahwinan juga, seseorang dapat mengatur kehidupan dan menjalin tali persaudaraan yang berdasarkan kasih sayang dan saling mengerti memahami. Oleh itu, terbuktilah merupakan salah satu syariat yang penting dalam Islam.

Tambahan lagi, lelaki dan perempuan dicipta saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Oleh itu, dengan berkahwin seorang suami dan isteri dapat bekerjasama mengatasi persoalan hidup ini bersesuaian dengan konteks perkahwinan yang menunjukkan seorang isteri dan suami memerlukan antara satu sama lain. Selain itu, perkahwinan juga merupakan nikmat kurniaan Tuhan yang besar kepada manusia.

Di samping itu, perkahwinan dapat memberikan kepuasan rohani kepada manusia kerana manusia terdiri daripada roh dan jasad yang memerlukan kepuasan rohani dan jasmani. Dengan perkahwinan, pasangan suami isteri dapat memupuk dan menyuburkan perasaan kasih sayang di antara kedua-duanya, sanggup memikul tanggungjawab dan berjuang untuk kepentingan keluarga dan seterusnya masyarakat.

Akhir sekali, keluarga adalah masyarakat kecil yang menjadi asa bagi membentuk masyarakat yang lebih besar. Apabila masyarakat kecil ini hidup aman dan bahagia dengan berlunaskan prinsip-prinsip agama dan nilai moral yang mulia, akan wujudlah masyarakat yang bermoral dan mulia juga.


RUJUKAN
1.    Abdul Qadir Djaelani. (2001). Keluarga Sakinah. Selangor: Pustaka Dini Sdn. Bhd.
2.    Hassan Salleh. (1989). Asas Kekeluargaan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
3.    Muhammad Ali Qutb. (1989). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
4.    Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, , & Prof. Dr. Jawad Bahonar,. (2003). Intisari Islam. Jakarta: Pt. Lentera Basritama.
5.    Zulkefli Yazid. (2002). 40 Petunjuk Menempuh Alam Perkahwinan. Kuala Lumpur: Pustaka Al Shafa.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015