Perceraian

Disediakan Untuk:-
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin. 

Disediakan Oleh:-
Nurul Shahira Izzaty Binti Sabran. 
2014806102

Pendahuluan
Perceraian Ialah Perihal (Kejadian) Bercerai (Antara Suami Isteri). Perceraian Bermaksud Menamatkan Hubungan Perkahwinan Sama Ada Dengan Pilihan Suami Atau Dengan Keputusan Qadi. Perceraian Dari Segi Bahasa Bermaksud Berpisah. Dari Segi Istilah Pula Bermaksud Keruntuhan Hubungan Perkahwinan Dan Terputusnya Hubungan Suami Isteri Dengan Bersebab. 

Talak Menurut Bahasa Ialah Cerai Atau Melepaskan Ikatan. Menurut Istilah Pula Talak Bermaksud Merungkaikan Ikatan Perkahwinan Dengan Lafaz Cerai Atau Yang Mengandungi Makna Seumpamanya. Contoh Lafaz Talak Ialah Seperti Kata Suami Kepada Isterinya, 

“Aku ceraikan engkau” atau

“Aku talakkan engkau”. 

Dari sudut pandangan Islam, putusnya ikatan keluarga pada dasarnya sangat tidak diinginkan. Dalam pandangan Allah, ini merupakan perbuatan yang sangat buruk dan sangat dibenci. Nabi Muhammad SAW. bersabda:

“Sesuatu yang paling dibenci Allah adalah perceraian. ”

“Allah sangat menyukai rumah yang didiami mnyusul terjadinya pernikahan, dan sangat membenci rumah yang ditinggalkan munyusul terjadinya perceraian. ”

Selain itu, iddah menurut bahasa ialah tempoh pengiraan. Manakala menurut istilah, iddah bermaksud tempoh masa larangan berkahwin yang wajib dipatuhi oleh isteri selepas berpisah dengan suami. 

Fasakh dari segi bahasa bererti batal. Manakala menurut istilah, fasakh ialah pembatalan ikatan perkahwinan dengan kuasa kadi disebabkan syarat-syarat yang tidak dipenuhi semasa akad nikah atau disebabkan oleh masalah yang berlaku dalam rumah tangga. 

Di samping itu, khuluk menurut bahasa bererti mencabut atau menanggalkan. Menurut istilah pula, khuluk ialah isteri membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan dengan membayar gantirugi atau memulangkan kembali mahar dan apa-apa yang diterima daripada suaminya. 

PERCERAIAN

JENIS-JENIS PERCERAIAN
Dapat dibatalkan
Apabila suami menyesal dan menginginkan untuk sambung semula ikatan perkahwinan yang terputus. Maka dengan sendirinya ikatan perkahwinan yang tadinya itu terhubung kembali, dan ini tidak memerlukan akad nikah semula, dengan syarat si suami membatalkan perceraian itu dalam tempoh iddah. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)
Tidak Dapat dibatalkan
1. Khul’ah : Jika suami setuju bercerai atas permintaan isteri. 
2. Mubarat : Suami dan isteri meminta masing-masing untuk menyudahi kehidupan bersama sebagai suami isteri, saling membebaskan diri dari ikatan perkahwinan. 
3. Perceraian yang dinyatakan suami tanpa adanya intervensi pihak lain dalam situasi seperti ini :
a) Jika perceraian berlaku sebelum perkahwinan sempurna (sebelum persetubuhan). 
b) Jika yang bercerai adalah gadis yang belum didatangi haid, atau seorang wanita berumur yang mencapai usia menopaus (sudah tidak dapat lagi mengandung). 
c) Jika bercerai untuk kali ketiga. Kedua-dua belah pihak (suami isteri) harus menikah kembali jika mereka memutuskan untuk kembali bersama dalam perkahwinan, kerana pernikahan yang pertama sudah tidak lagi berlaku. 
- Asalkan si wanita menikah dahulu dengan lelaki lain dan perkahwinan kedua itu berakhir selepas berlaku persetubuhan.

Khul’ah dan Mubaratboleh dirujuk semula asalkan bekas isteri meminta kembali apa yang sudah diberikannya kepada bekas suami. Permintaannya harus diajukan sebelum tamat iddah. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

SYARAT - SYARAT PERCERAIAN

Perceraian akan sah dan benar-benar terjadi jika syarat-syarat ini dipenuhi :-

Suami yang melaksanakan perceraian perlu telah matang, akil baligh dan harus memiliki kemampuan untuk berfikir dan memahami. Bagi orang yang belum dewasa sepenuhnya, orang gila atau kurang akal, perceraian yang dinyatakan atau dizahirkan adalah tidak sah. 

Suami harus melakukan perceraian berdasarkan kehendaknya sendiri. Bukan kerana tekanan atau paksaan. Sekiranya kerana ditekan atau dipaksa, maka perceraiannya tidak dikira sah. 

Perceraian mestilah mempunyai dua orang saksi. Seperti yang disebutkan dengan jelas sekali dalam Al Quran (QS. ath-Thalaq : 2), perceraian hendaklah dinyatakan di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai dan tinggi peringkat akhlaknya. Syarat tersebut sudah tentu menunjukkan kebenaran bahawa keputusan untuk bercerai mesti diketahui oleh dua orang yang tinggi akhlaknya. 

Dalam banyak kejadian, campur tangan atau bantuan atau bantuan dua orang tadi dapat memperbetulkan keadaan, dan mereka dapat mencari jalan penyelesaian yang tepat bagi suami dan isteri. 

Selain itu, bagi pihak isteri pula, syarat dan keadaan seseorang isteri itu hendaklah tidak sedang datang bulan. Isteri haruslah sekurang-kurangnya sekali datang bulan selepas persetubuhan yang terakhir ketika terjadinya perceraian. Bagi isteri mengandung yang telah melahirkan, maka hendaklah tempoh interval berakhir terlebih dahulu setelah melahirkan untuk perceraian berlaku. 

Tentu sahaja sekiranya isteri sedang mengandung, atau tidak datang bulan, syarat-syarat ini tidak terjadi. Namun jika keadaannya bukan seperti ini, maka perceraian harus ditangguhkan sehingga syarat-syarat ini menjadi kenyataan. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

KESAN PERCERAIAN

Dari segi pandangan psikologi, hukum dan sosial, perceraian menimbulkan pelbagai kesan. Kesan ini terdapat yang berkaitan dengan pasangan suami dan isteri itu sendiri, dan ada juga yang berkenaan dengan keluarga masing-masing. Bagi pasangan suami isteri yang telah dikurniakan anak, sudah tentu perceraian ini akan memberi tamparan yang hebat kepada anak-anak. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)

Antara kesan tersebut ialah terpaksa berpisah daripada saudara kandung sendiri, tidak mendapat kasih sayang seorang ibu atau bapa sepenuhnya, merasa tidak terjamin, berasa bersalah dan tidak berdaya. Selain itu, anak-anak akan mengalami berbagai-bagai tekanan perasaan atau ketegangan, menjadi terganggu dan bingung fikirannya, melalui kemerosotan dalam pencapaian pelajaran mereka dan menzahirkan masalah akhlak seperti bersendirian, agresif dan aktif. 

Kesan dari sudut psikologi adalah seperti sugul, marah, getir, rasa rendah diri, gagal dalam hidup, sangat tersepit dan sebagainya. Oleh kerana mempertimbangkan akibat atau dampak perceraian, jadi telah dirancang syarat-syarat khas untuk sedaya mungkin menghindar daripada perceraian. Kerana jikalau dipermudahkan, masa depan anak besar kemungkinan akan tergugat. (Noor Azilawati Mohd Sabda, 2008)

LANGKAH - LANGKAH MENGELAK PERCERAIAN

Banyakkan masa bersama dengan melakukan bermacam kegiatan bersama yang mewujudkan keseronokan. Buktinya, keluarga yang mempunyai corak perhubungan sebegini berupaya membentuk struktur keluarga yang kukuh. 

Kajian memperlihatkan kebahagiaan sesebuah rumah tangga turut dipengaruhi oleh faktor agama. Terdapat hubungan positif antara agama dan kebahagiaan perkahwinan serta kejayaan dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan. Semua masyarakat Islam harus sedar akan kepentingan menjaga akidah serta akhlak mengikut panduan yang Allah SWT. telah tetapkan. 

Seterusnya sentiasa bersikap positif dapat menjauhi perceraian. Kebijaksanaan mengendalikan segala masalah yang melanda keluarga adalah ciri kualiti yang perlu ada dalam mencapai status keluarga bahagia. Di sini semua ahli keluarga bersatu padu menyelesaikan masalah secara kolektif dan saling bantu membantu antara satu sama lain. (Noor Azilawati Mohd Sabda, 2008)

TALAK
HUKUM TALAK
Talak hukumnya mubah (dibolehkan/diharuskan) oleh syarak sebagai jalan terakhir kepada penyelesaian krisis rumah tangga. Ulama-ulama Islam telah membahaskan secara terperinci berkaitan hukum talak iaitu berbeza mengikut keadaan dan situasi seseorang. 
Wajib
-Apabila seseorang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab atau kewajipan seperti memberi nafkah dan sebagainya. 
Sunat
-Apabila si isteri menpunyai akhlak yang buruk dan tidak dapat memperbaikinya kecuali dengan talak. 
Makruh
-Menceraikan isteri tanpa sebab/ ceraikan isteri yang baik/ solehah. 
Haram
-Apabila melafazkan talak pada waktu yang diharamkan. Cth: isteri dalam haid, nifas, hamil, atau yang tujuannya menganiaya. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)
 Akan tetapi, sekiranya seorang isteri dibenci oleh bapa mertuanya, bolehlah si suami menceraikannya. Namun sudah tentu ia memerlukan seorang ayah yang bijaksana iaitu kebenciannya selalu bertumpu atas kebenaran seperti Umar r. a. 
 Abdullah bin Umar r. a. berkata: “Aku pernah mempunyai seorang isteri yang kucintai. Namun ayahku membencinya dan sering menyuruhku menceraikannya. 
 Lalu aku bertanyakan kepada Rasulullah SAW. mengenai hal itu. Dan beliau berkata: “Hai putra Umar, sebaiknya kau ceraikan saja isterimu itu. ”(Al-Ghazali, 1988)
Talak orang mabuk:
Orang yang mabuk keadaannya setaraf dengan orang yang sedang mengigau, tidak tentu percakapannya dan setelah sedar ia tidak ingat apa yang telah diucapkan atau diperbuat sewaktu mabuk. Talak yang dijatuhkannya (dalam keadaan seperti itu) tidak sah jika ia mabuk bukan kerana sesuatu yang diharamkan. Demikian menurut persepakatan empat mazhab. Akan tetapi mabuk seperti itu jarang berlaku. Contohnya mabuk kerana minum sesuatu kerana keperluan darurat, atau kerana terpaksa, atau kerana makan ubat tidur dan sebagainya, meskipun bukan kerana keperluan.

Lain pula ceritanya bagi orang yang mabuk kerana minum atau makan sesuatu yang diharamkan sebagaimana yang sering terjadi, misalnya minum arak (dan minuman keras yang lainnya) dengan sedar atas kemahuan sendiri, atau dengan sengaja dan tanpa keperluan ia makan atau minum sesuatu yang dapat menghilangkan kesedaran (mukhadir), menurut jumhur ulama selain mazhab Hanbali, talak yang dijatuhkannya adalah sah. (H. M. H Al-Hamid Al-Husaini, 1998)

Talak orang yang sedang marah:
Talak yang dijatuhkan oleh orang yang sedang marah tidak sah jika tahap kemarahannya mencecah sehingga ia tidak menyedari apa yang dikatakan dan diperbuat, dan ia pun tidak berniat hendak menjatuhkan talak, atau jika tahap kemarahannya sampai menguasai diri sehingga ia menjadi tidak keruan, kacau percakapan dan perbuatannya. Namun keadaan seperti itu jarang berlaku.

Jika orang yang sedang marah itu masih dalam keadaan sedar dan mengetahui apa yang dikatakannya, maka talak yang dijatuhkannya adalah sah. Sebab orang yang marah itu sesungguhnya mukallaf (kerana suatu sebab ia terpaksa marah), dan kemarahan dapat mendorong orang berbuat kufur, bunuh diri, mengambil harta orang lain tanpa hak, mentalak isterinya dan lain-lain. (H. M. H Al-Hamid Al-Husaini, 1998)

RUKUN TALAK
Orang yang mencerai (suami). 
Orang yang dicerai (isteri). 
Lafaz cerai. 

JENIS – JENIS TALAK
1. Talak Sunni:-
Talak yang bersesuaian dengan peraturan syarak iaitu suami menceraikan isteri dengan talak satu atau dua ketika isterinya suci daripada haid, nifas, dan tidak disetubuhi semasa suci tersebut. 
2. Talak Bid’i:-
Talak yang menyalahi peraturan syarak, iaitu suami menceraikan isterinya ketika haid, nifas, atau ketika suci tetapi selepas disetubuhi oleh suaminya. Begitu juga bila suami menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. 
3. Talak Raj’i:-
Talak satu atau dua yang belum tamat tempoh iddahnya. Suami boleh merujuk kembali isterinya semasa iddah tanpa perlu kepada akad dan mahar yang baru. 
4. Talak Ba’in:-
Talak yang tidak boleh dirujuk semula kecuali dengan akad nikah yang baru. Terbahagi kepada dua iaitu:
a) Ba’in sughra - tidak boleh suami merujuk isterinya kecuali dengan akad nikah dan mahar yang baru. Cth: talak melalui khuluk, fasakh, dan ila. 
b) Ba’in kubra - talak tiga yang mengharamkan bekas suami berkahwin semula bekas isterinya kecuali setelah isteri berkahwin dengan lelaki lain dan diceraikan selepas bersetubuh dan tamat iddah. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

BILANGAN TALAK
Bilangan talak yang diharuskan dalam Islam ialah sebanyak tiga kali. Ini berdasarkan firman Allah SWT. :
Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali hanya) dua kali. Sesudah itu dia boleh (rujuk) dan memegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik. 
(Q. S. Al-Baqarah: 229)

TALAK TAKLIK
Talak taklik bermaksud perceraian yang dilafazkan yang disandarkan kepada sesuatu syarat. Talak taklik terbahagi kepada dua iaitu talak taklik biasa dan talak taklik secara khuluk. 
Taklik Biasa:

Talak yang dilafazkan dalam keadaan biasa seperti suami berkata kepada isteri, 
“Apabila engkau keluar dari rumah ini tanpa izinku, maka engkau tertalak dengan talak satu. ”
Taklik secara Khuluk:

Biasanya diamalkan di sesetengah negeri di Malaysia. Contoh lafaz taklik secara khuluk ini ialah:
“Manakala saya tinggalkan isteri saya selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut, padahal dia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya kemudian dia mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduan-aduannya di sisi kadi atau Mahkamah Syariah dan dia memberi kepada kadi bagi pihak saya RM1. 00, maka pada ketika itu tertalaklah dia dengan satu talak khuluk. ”(Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

HIKMAT TALAK
Peluang memulakan hidup baru. Talak memberi peluang kepada pasangan yang bercerai untuk memulakan hidup baru dengan pasangan lain yang lebih sesuai.

Memberi pengajaran dan keinsafan. Pasangan yang bercerai akan dapat memperbaiki kesilapan dan kelemahan pada diri masing-masing, seterusnya memperbaikinya dalam kehidupan berumah tangga yang baru.

Memberi kesedaran beragama. Talak dapat memberikan kesedaran kepada pasangan suami isteri bahawa pentingnya penghayatan ajaran agama dalam keluarga. Rumah tangga yang bahagia adalah berasaskan nilai-nilai yang murni dan pengamalan harian yang baik.

Sesuai dengan fitrah manusia. Keharusan talak dalam syariat Islam adalah rahmat serta menepati fitrah manusia yang ingin bebas daripada sebarang masalah. Sekiranya syariat melarang talak, mungkin manusia akan mengambil jalan lain yang bertentangan dengan agama dan nilai masyarakat seperti berlaku zalim kepada isteri atau terlibat dalam maksiat.

Mengurangkan tekanan. Perceraian boleh mengurangkan tekanan perasaan suami isteri disebabkan masalah yang membelenggu rumah tangga. Suami isteri akan berasa tenang setelah masalah yang dialami dapat diselesaikan dengan cara baik mengikut syarak. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

IDDAH
SEBAB – SEBAB IDDAH
1. Sebab talak: Jalan penyelesaian terakhir. 
2. Sebab kematian suami. 
3. Sebab fasakh: Membendung kemudaratan dalam rumah tangga. 
4. Sebab khuluk: Bukti keadilan Islam terhadap wanita. 
5. Sebab persetubuhan syubhat. 

SEBAB BERBEZA TEMPOH IDDAH

Iddah Perceraian Hidup

Tempoh iddah selama 3 kali suci bertujuan untuk memastikan rahim wanita itu bersih. Bagi perempuan yang hamil, tempoh iddahnya sehingga melahirkan anak adalah cukup untuk kesempatan ibu memberi perhatian kepada anak, kesihatan, dan kandungannya. 

Iddah Perceraian Kematian

Tempoh iddah selama 4 bulan 10 hari sangat sesuai bagi memperingati suami dan tanda perkabungan dan kesedihan selepas kehilangan suami. 

Iddah Perceraian yang Belum Disetubuhi

Tiada Iddah bagi perempuan yang belum disetubuhi adalah disebabkan rahimnya bersih daripada benih bekas suaminya. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

HIKMAT IDDAH

Menjamin kesucian nasab. Kewajipan beridah bagi perempuan bagi menghindarkan tercampurnya benih apabila bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain. 

Menenangkan fikiran. Masa iddah adalah untuk menenangkan fikiran isteri sebelum memulakan hidup baru. 

Memberi peluang berbaik semula. Suami dapat menghubungkan semula hubungan yang terputus antara isteri, anak-anak dan kedua keluarga. 

Memberi peluang berfikir. Tempoh iddah dapat memberi ruang dan masa untuk suami isteri berfikir dan menyesali atas tindakan masing-masing, mudah-mudahan mereka dapat bersama semula. 

Tanda bersedih dan penghormatan bagi isteri yang kematian suami. Iddah merupakan masa untuk memberi penghormatan terhadap bekas suami dan keluarganya. 

Menzahirkan kesucian dan kepentingan ikatan perkahwinan. Perkahwinan adalah suatu ikatan yang suci menurut agama dan nilai masyarakat. Iddah menzahirkan kesucian dan kepentingan ikatan perkahwinan. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

HAK DAN STATUS ISTERI SEMASA IDDAH

Isteri yang dicerai dengan talak raj’i iaitu boleh dirujuk, mereka berada di bawah tanggungjawab suami, berhak mendapat nafkah zahir seperti pakaian, tempat tinggal, dan harta perwarisan. Isteri dilarang keluar dari rumah yang disediakan oleh suami tanpa izinnya serta suami berhak merujuknya biarpun tanpa persetujuannya. 

Bagi isteri yang dicerai dengan talak ba’in iaitu tidak boleh dirujuk, sekiranya mereka tidak hamil, mereka tidak berhak diberi nafkah kecuali tempat tinggal. Mereka juga tidak berhak mendapat harta perwarisan menurut jumhur ulama. Namun andainya isteri hamil, mereka berhak diberi nafkah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. 

Selain itu, isteri yang kematian suami berhak mendapat tempat tinggal dan jika mereka didapati hamil, isteri berhak mendapat harta perwarisan. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

HAK DAN STATUS SELEPAS IDDAH
Isteri yang dicerai dengan talak raj’i iaitu boleh dirujuk, mereka tidak lagi berada di bawah tanggungjawab suami. Mereka juga tidak akan mendapat apa-apa nafkah kecuali harta pusaka jika memenuhi syarat. Selain itu, isteri tidak mempunyai hubungan lagi dengan bekas suaminya dan bebas menentukan kehidupannya sendiri serta boleh berkahwin lagi dengan lelaki lain. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

FASAKH
Hukum meminta fasakh adalah harus bagi suami atau isteri demi menjaga kemaslahatan bagi kedua-dua belah pihak. Pembatalan perkahwinan melalui fasakh adalah hak suami dan isteri. 
Perpisahan melalui cara fasakh adalah dikira talak ba’in sughra dan iddahnya selama 3 kali suci daripada haid. 

SEBAB DIHARUSKAN FASAKH
Suami melakukan kezaliman terhadap isteri. Isteri boleh membatalkan perkahwinan mereka apabila suami bertindak zalim terhadapnya seperti memukul atau mengancam keselamatan isteri. 

Suami tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Maka isteri boleh meminta fasakh apabila suami gagal menjalankan tanggungjawabnya seperti menunaikan nafkah zahir dan batin, meninggalkannya dalam tempoh yang lama tanpa nafkah, atau tidak adil jika berpoligami. 

Selain itu, suami yang menghidapi penyakit yang sukar diubati seperti gila, sopak, mati pucuk, AIDS, atau kecacatan yang menghalangnya daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. 

Sekiranya suami tiba-tiba hilang melebihi tempoh enam bulan, isteri boleh menuntut fasakh menurut pendapat Mazhab Hanbali berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab. Mazhab Maliki pula mensyaratkan tempoh setahun dan Mazhab Syafie selama empat tahun. 

Apabila salah seorang daripada suami mahupun isteri yang murtad, maka perkahwinan akan terbubar kerana antara syarat sah perkahwinan adalah beragama Islam. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

PROSES MENUNTUT FASAKH

Yang pertama, isteri pergi membuat tuntutan fasakh melalui mahkamah. Kemudian pihak mahkamah akan menyiasat bukti dan alasan yang dikemukakan oleh isteri. Jika didapati sabit kesalahan dan tiada jalan untuk perdamaian, mahkamah akan membubarkan perkahwinan mereka. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

KESAN – KESAN FASAKH

Antaranya suami dan isteri tidak boleh rujuk dalam tempoh iddah dan mereka boleh berkahwin semula dengan syarat akad nikah serta mahar yang baru. Isteri juga tidak berhak mendapat nafkah semasa dalam tempoh iddah. Seterusnya, rumah tangga akan runtuh dan anak-anak akan menjadi mangsa kekurangan kasih sayang. Kebajikan anak-anak juga akan terabai dan mereka mengalami gangguan emosi yang dahsyat. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

HIKMAT DIHARUSKAN FASAKH
Fasakh memberi peluang membuat tuntutan pembatalan perkahwinan kepada isteri juga sebagai peringatan kepada suami agar sentiasa bertanggungjawab dalam melaksanakan hak-hak isteri dan keluarga.

Di samping itu, bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang ditanggung oleh suami atau isteri jika perkahwinan diteruskan. 

Fasakh juga diharuskan untuk menyelamatkan akidah dan nilai-nilai baik isteri dan anak-anak ekoran suami yang murtad, fasik, dan mengabaikan perintah agama serta merupakan jalan terbaik bagi perkembangan emosi dan mental anak-anak apabila mereka terjerumus dengan masalah keluarga. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

KHULUK
Hukum bagi khuluk adalah harus. Isteri diharuskan melaksanakan khuluk apabila berasa tidak senang dengan suaminya dan dia bimbang menderhakai suaminya jika perkahwinan dilanjutkan. 
Perpisahan melalui khuluk boleh dilaksanakan tidak kira isteri dalam keadaan suci atau ketika haid. Berpisah secara khuluk dikenali sebagai talak ba’in sughra dan isteri wajib beriddah tida kali haid. 

CONTOH LAFAZ KHULUK
a) Apabila isteri menuntut khuluk, suami berkata kepada isteri, “Aku ceraikan engkau dengan bayaran RM3 000”. Lalu isteri menjawab, “Aku terima” atau
b) Isteri berkata kepada suaminya, “Ceraikan aku dengan bayaran dariku sebanyak RM3 000”. Jawab suami, “Aku ceraikan engkau dengan bayaran tersebut”.

Khuluk yang dilakukan kerana dipaksa oleh orang lain hukumnya sama seperti talak iaitu tidak sah. Namun, jika suami dan isteri bersepakat menyelesaikan secara khuluk, akan tetapi suami enggan melafazkannya, maka kadi berkuasa untuk bertindak menyelesaikan tuntutan isteri setelah melihat kepada munasabah tuntutan isteri. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: Daripada Ibnu Abbas bahawa isteri Thabit bin Qais telah bertemu Rasulullah SAW. dan berkata: Wahai Rasulullah, saya tidak mencela Thabit bin Qais dari segi perangai dan pegangan agamanya, tetapi saya tidak mahu menjadi kufur setelah memeluk Islam. Sabda Rasulullah SAW. : Adakah kamu bersedia mengembalikan kebunnya yang telah diberikan kepadamu sebagai mas kahwin? Jawabnya: Ya. Rasulullah SAW. bersabda (kepada Thabit bin Qais): Terimalah kembali kebun itu dan ceraikanlah dia dengan satu talak. (Riwayat Al-Bukhari dan An-Nasa’i)

HIKMAT DISYARIATKAN KHULUK
Sebagai penghormatan kepada isteri supaya dapat bertindak mengikut undang-undang syarak demi melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan yang tidak disukainya. 
Dapat menjauhkan daripada terjadi penderhakaan kepada suami jika mereka terpaksa meneruskan ikatan perkahwinan sedangkan isteri tidak menyenanginya. 
Menghindarkan sifat ego suami yang menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua keluarga untuk bertindak sewenang-wenangnya. 
Khuluk dapat menimbulkan keinsafan dan pengajaran kepada suami untuk membetulkan kesilapan yang dilakukannya. 

KESAN KHULUK
Antara kesan daripada tindakan khuluk ialah pasangan suami dan isteri itu tidak boleh merujuk kembali melainkan dengan akad nikah serta mahar yang baru. Ketika dalam tempoh iddah pula, isteri tidak berhak untuk diberi nafkah. 
Selain itu, anak-anak juga akan terkesan dengan kasih sayang serta perhatian ibu bapa yang terjejas. Sebuah institusi keluarga dalam Islam yang terbina selama ini akan runtuh. (Maimon Husin & Zulhazmi Omar, 2013)

DALIL - DALIL AL QURAN
Allah SWT. berfirman, “Dan jika kamu khuatir terjadi pertengkaran antara keduanya, maka kirimlah seorang juru damai dari keluarga lelaki dan seorang juru damai dari keluarga perempuan. Jika keduanya (juru damai itu)bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti. ”(Q. S. An-Nisa: 35)
“Tidak halal bagi kalian untuk mengambil kembali apa yang telah kalian berikan kepada mereka (isteri yang diceraikan), kecuali mereka berdua takut tidak mampu menjaga batas-batas yang Allah tentukan. Kemudian jika kalian berdua takut tidak mampu menjaga batas-batas yang Allah tentukan, maka tiada salahnya bagi mereka berdua, jika isteri memberikan sesuatu untuk menebus dirinya. Itulah batas-batas yang Allah tentukan, maka janganlah kalian melampaui batas. Dan siapa pun yang melampaui batas-batas yang Allah tentukan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. ”(Q. S. Al-Baqarah: 229)

“Dan apabila kalian menceraikan isteri kalian, lalu isteri telah mencukupi masa iddahnya, maka kalian boleh mengahwininya lagi dengan cara yang baik atau kalian membebaskannya (tidak mahu mengahwininya lagi) dengan cara yang baik, namun janganlah kalian mengahwininya kembali dengan tujuan untuk menyakitinya, (atau) untuk mengambil keuntungan. Dan siapa pun yang melakukan demikian, bererti ia telah menzalimi dirinya sendiri. Janganlah kalian menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan tertawaan. Ingatlah nikmat-nikmat Allah atas kalian dan apa yang Allah turunkan kepada kalian berupa Kitabullah dan hikmah yang Allah ajarkan kepada kalian. Dan takutlah kepada Allah serta ketahuilah bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. ”(Q. S. Al-Baqarah: 231)

“… Dan senangkanlah hati mereka (iaitu isteri-isteri yang kamu ceraikan) dengan suatu pemberian yang menghibur…”(Q. S. Al-Baqarah: 236)
“Dan bila keduanya (iaitu suami dan isteri) berpisah, Allah akan mencukupi masing-masing dari mereka dengan kelapangan kurnia-Nya. ”(Q. S. An-Nisa: 130)

PENUTUP
Keseluruhannya, dalam melayari bahtera rumah tangga, masalah dan persengketaan mesti akan berlaku selaras dengan kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Apa yang penting, krisis yang kecil hendaklah diselesaikan dengan cara yang baik, segera dan jangan sama sekali memperbesar-besarkan dan anggaplah ia sebagai asam garam dalam rumah tangga. 
Perceraian yang berdasarkan hawa nafsu suami atau isteri merupakan perbuatan yang tidak bermoral, tidak berperikemanusiaan, dan tidak menghargai orang lain. Kita seharusnya berhenti melakukan dosa, curang, dan menzalimi orang lain agar perceraian tidak berlaku dan sekali gus dapat mengurangkan kes perceraian.

Akhir sekali, dalam menghadapi krisis atau masalah, kita bukannya belajar mengelakkan ia daripada terjadi, akan tetapi belajar bagaimana untuk menghadapi situasi tersebut. Oleh kerana itu, semua ajaran agama menganjurkan agar umatnya sentiasa berfikiran positif dan menganggap masalah hidup sebagai suatu ujian Tuhan kepada mereka. 

RUJUKAN

  1. Al-Ghazali. (1988). Menyingkap Hakikat Perkahwinan Adab, Tata-cara dan Hikmahnya. Bandung: Penerbit Karisma. 
  2. H. M. H Al-Hamid Al-Husaini. (1998). Liku-Liku Bid'ah... dan Masalah Khilafiyah. Singapore: Pustaka Nasional PTE LTD Singapura. 
  3. Husayn Ansarian. (2002). Membangun Keluarga yang Dicintai Allah, Bimbingan Lengkap Sejak Pra Nikah Hingga Mendidik Anak. Jakarta: Pustaka Zahra. 
  4. Maimon Husin, & Zulhazmi Omar. (2013). Nexus Tuntas SPM Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Sasbadi Sdn. Bhd. 
  5. Noor Azilawati Mohd Sabda. (2008). Keluarga Bahagia, Remaja Ceria. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas. 
  6. Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, , & Prof. Dr. Jawad Bahonar,. (2003). Intisari Islam. Jakarta: Pt. Lentera Basritama. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015

MOTIVASI