Penawanan Kota Konstantinopel Oleh Sultan Muhammad Al-Fateh

Tajuk: 
Penawanan Kota Konstantinopel Oleh Sultan Muhammad Al-Fateh

Disediakan Untuk: 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh: 
Syuhrah Bt. Sulaiman
2014434772

TAKRIF
Istilah penguasaan ialah perihal menguasai atau menguasakan. Manakala istilah strategi pula bermaksud rancangan yang teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Kedua-dua perkataan ini menjadi pilihan saya untuk digabungkan menjadi satu tajuk utama untuk kerja kursus saya iaitu 12 Rahsia Penguasaan Strategi Dalam Penawanan Kota Konstantinopel Oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. 

Konstantinopel yang kini dikenali Istanbul, dibina oleh Maharaja Konstanstin Agung sebagai ibu kota Byzantine pada tahun 330 Masihi. Konstantinopel berfungsi sebagai ibu negara dan pusat Empayar Byzantine, iaitu Rom Timur selama lebih 10 abad lamanya. Konstanstinopel juga dikenali sebagai kota yang termakmur dan terkaya di Eropah sejak beberapa abad. Konstantinopel terletak di antara benua Asia dan Eropah serta pertemuan antara Laut Medittranean dan Laut Hitam. Kedudukannya strategik samada daripada geo-poitik dan perdagangan. Kejatuhan Konstantinopel ke tangan Kerajaan Usmaniah telah menandakan berakhirnya Empayar Byzantine. Kehilangan Konstantinopel memberi tamparan hebat kepada Kerajaan Kristian Barat. Apabila Kerajaan Abbasiah di Baghdad runtuh dan bangsa Mongol dan Tartar muncul, hampir mustahil pada fikiran umat Islam ketika itu, akan muncul lagi Kerajaan Islam memayungi umat. Napoleon Bonaparte pernah menyatakan “Sekiranya aku menguasai Konstantinopel maka mudahlah aku menguasai dunia”. Segala puji bagi Allah yang menimbulkan Kerajaan Usmaniah yang berjasa kepada umat Islam. Wilayyah Usmaniah pada mulanya dikenali sebagai Beylik pada kurun ke-13. Pada tahun 1299, Usman I mengisytiharkan kemerdekaan Wilayah Usmaniah dan mengasaskan Kerajaan Turki Usmaniah. Sepanjang kurun ke-16, Kerajaan Usmaniah terus berkembang dari segi wilayah dan kekuasaan hingga seterusnya pada kurun ke-16, tentera Usmaniah berjaya menguasai kemahiran bersenjata api, taktik peperangan dan kesempurnaan sistem ketenteraan tetapi selepas tewas dalam perang di Vienna pada tahun 1683, Kerajaan ini tidak lagi menjadi kuasa besar di Eropah dan akhirnya kehilangan wilayah kekuasaanya. 

Terdapat banyak usaha untuk menawan semula yang dilakukan oleh Sultan yang dilantik tetapi semuanya gagal dan sehinggalah peralihan kuasa Sultan digantikan oleh Sultan Murad II, ayahanda Sultan Muhammad Al-Fateh. Syeikh Aq Syamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad II “Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota Konstatinopel, tetapi anak yang di dalam buaian itu”, sambil menunjuk kepada Muhammad Al-Fateh yang masih di dalam buaian. Pada ketika Sultan Muhammad Al-Fateh berusia 19 tahun dengan secara rasmi dinaiki takhta Kerajaan Usmaniah dan diberikan keizinan Allah untuk memerintah dengan penuh keadilan selama 30 tahun antara 1451 sehingga 1481 Masihi. Baginda telah berjaya menawan dan menukarkan nama kota Konstantinopel kepada Istambul dan seterusnya menakluk Serbia, Bosnia, Itali, Hungary dan Jerman. 

PENDAHULUAN
Abu Qubail melaporkan, “Kami berada di sisi Abdullah bin Amr bin al-Ash. Dia ditanya, “Manakah di antara dua kota yang ditakluki terlebih dahulu? Konstantinopel ataupun Rom?”. Abdullah meminta peti yang masih tertutup. Dia mengeluarkan kitab daripadanya dan berkata, “Ketika kami sedang menulis di sisi Rasullulah, tiba-tiba nabi ditanya, “Manakah di antara dua kota yang ditakluki terlebih dahulu, Konstantinopel ataupun Rom?”. Kemudian Rasulullah menjawab, “Kota Herclius atau Konstantinopel ditakluki terlebih dahulu” Direkodkan oleh Ahmad di dalam Al-Mustadrak Disahihkan oleh Al- Hakim dan Az- Zahabi

Pimpinan agung Islam dari zaman para sahabat, tabi’in, sehingga zaman bangsa bukan Arab sekalipun, kesemuanya berlumba-lumba mahu membebaskan Konstantinopel bagi mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah dalam hadis sahih Rasulullah itu. Walau bagaimanapun, kesemua 11 kempen yang dilancarkan setakat yang dapat direkodkan semuanya gagal. Kenapakah kesemua kempen tersebut gagal? Adakah disebabkan kerana tersalah percaturan, kepimpinan atau sebagainya?

Rasulullah pernah berkata, “Konstantinopel itu akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja. Tenteranya adalah sebaik-baik tentera. ”
Persoalannya, bagaimanakah Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menawan Kota Konstantinopel? Apakah rahsia penguasaan strategi dalam kejayaan pembukaan kota ini? Solusinya adalah perwatakannya yang dibentuk ketika baginda masih kecil. Syeikh Aq Syamsuddin sentiasa meyakinkan baginda dengan perkataan positif dan beliau juga meyakinkan bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis pembukaan Konstantinopel seperti di atas. Pepatah Melayu ada berkata, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Hal inilah yang dapat dikaitkan dengan kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh. Kehadiran Syeikh Aq Syamsuddin yang menonjolkan karekter sebagai seorang murabi dan ulama amat memainkan peranan penting ketika berhadapan dengan anak- anak muda yang penuh semangat. Sejak akil baligh, Sultan Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat lima waktu, solat tahajud, dan solat sunat yang lain. Beliau kuat beribadah dan sentiasa mendampingi para ulama serta guru-guru yang mursyid. Ketika berada di puncak kekuasaan, beliau tidak gelap mata dengan pangkat dan harta. Beliaulah pemimpin yang baik mempunyai tentera dan rakyat yang baik seperti yang pernah dikatakan oleh Rasulullah. 


Tentulah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh tidak hanya sebagai ‘Sang Pembuka”. Buat umat Islam kini, inilah model pentadbiran negara Islam, dalam segi aspek ekonomi, politik, dan sosial. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada ciri-ciri Al-Fateh. Antaranya ialah:, 
1) mengetahui konsep, makna, bentuk dan kandungan kepimpinan sosial dalam pemerintahannya. 
2) kejayaan demi kejayaan untuk Islam dalam menerajui dan mendahului masa depan. 
3) meletakkan dunia di paksi yang benar dengan roh terkuat iaitu Islam sebagai rahmatan lil a’lamin. 
4) mengambil iktibar tentang kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki demi memperkukuhkan kejayaan pada masa hadapan. 
Ini hanya dapat dicapai dengan pemimpin dan umat Islam yang memiliki sikap dan akhlak khalifah iaitu warak, praktikal dan pragmatik. 
  
BIODATA TOKOH: SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
Nama: Muhammad b. Murad, Sultan Muhammad II, Mehmed II atau Sultan Muhammad Al-Fateh
Lahir: 29 Mac 1432 bersamaan 27 Rejab 835 Hijrah di Edirne (kota pentadbiran kerajaan Turki Usmaniah yang terdahulu)
Nama Bapa: Sultan Murad II 
Nama Ibu: Huma Hatun
Jangka Pemerintahan Bapa: 1404-1451
Jangka Pemerintahan Tokoh:1444-1446, kemudian dari 1451-1481 Masihi
Isteri: puteri kepada Sulayman Bay iaitu gabenor dalam kerajaan Dhu Al-Ghadir
Nama Anak: Sultan Beyazid II
Mangkat: 3 Mei 1481 (49 tahun)
Sebab Mangkat: Direkodkan mangkat kerana dipercayai diracun oleh tukang masak istananya yang berketurunan Rom dan ada rekod menyatakan yang kematiannya didalangi oleh doktor peribadinya, Jacob Pasha yang sebenarnya merupakan agen perisik dari Venice. 
Peribadi Tokoh:
 12 Tahun- dihantar oleh ayahandanya, Sultan Murad II untuk menuntut ilmu dengan para ulama. 
 19 Tahun-menaiki takhta menggantikan ayahandanya, Sultan Murad II secara rasmi. 
 21 Tahun-berjaya menakluk Kota Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857H. 










MEMBONGKAR 12 RAHSIA PENGUASAAN STRATEGI DALAM PENAWANAN KOTA KONSTANTINOPEL OLEH SULTAN MUHAMMAD AL- FATEH
1) KUASA IMAGINASI YANG MERANGSANG SEMANGAT PEMUDA
-Kuasa Imaginasi Kuasa Pemuda
Antara tanda orang itu mempunyai sifat pemuda yang dibanggakan Rasulullah adalah kemampuannya berimaginasi. Kemampuan itu terserlah dalam bentuk kerja kuat yang dashyat. Sejarah merakamkan bahawa semasa usia kanak-kanak, Sultan Murad II sering kali memanggil Sultan Muhammad Al-Fateh dengan gelaran Al –Fateh yang bermaksud Sang Pembuka. Situasi ini telah menggambarkan bahawa si ayah telah menggambarkan hikmah tentang pendidikan anaknya demi mencapai cita-cita pada masa hadapan. Ada rekod menyatakan dorongan ini terhasil kerana Sultan Murad dikhabarkan Syeikh Aq Syamsuddin yang anaknya akan mencipta sejarah yang tida mampu dikecapi beliau sendiri. Beliau berkata kepada Sultan Murad, “Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang membebaskan Kota Konstantinopel, tetapi anak di dalam buaian itu, ”sambil menunjuk Sultan Muhammad Al-Fateh yang masih di dalam buaian. 

Begitu juga kuasa imaginasi yang merangsang Sultan Muhammad Al-Fateh bagi menawan Kota Konstantinopel, sekali gus membenarkan hadis Rasulullah. Keinginan yang kuat dan dashyat tidak datng tanpa imaginasi yang kukuh di fikiran. Semenjak kecil, Syeikh Aq Syamsuddin sentiasa meyakinkan Sultan dengan perkataan yang positif. Beliau meyakinkan Sultan Muhammad Al-Fateh adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis pembukaan Kota Konstantinopel. Syeikh Aq Syamsuddin juga menonjolkan karekter murrabi dan ulama ketika berhadapan dengan anak-anak muda yang penuh dengan semangat. Mereka perlu diraikan para ulama dengan kata-kata semangat yang membina, bukannya dicantas mahupun dibunuh semangat mereka. Pengajian geografi yang membabitkan gambar, peta dan lukisan juga telah merangsang otak kanan Sultan Muhammad Al-Fateh bagi terus berimaginasi dan terus melukis visi serta impiannya dengan jelas. Imaginasi yang tinggi dan visi yang jelas bagi menawan Kota Konstantinopel menyebabkan beliau tidak mampu tidur beberapa hari. Ini kerana beliau memikirkan strategi-strategi yang diperlukan bagi menumbangkan Kota Konstantinopel. 

-Pemuda dan Semangat Tidak Menyerah Kalah
Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya berkali-kali gagal dalam percubaan untuk merempuh masuk Tanduk Emas kerana dirantai dengan rantai besi yang kukuh. Rantai besi itu disalut dengan tembaga. Ia mempunyai ketebalan sebesar pemeluk malah diikat kepada ranjau-ranjau besi yang telah menyebabkan kebocoran pada kapal-kapal yang cuba merempuhnya. Atas arahan Sultan Muhammad Al-Fateh, banyak cubaan dilakukan panglima tentera laut Usmaniah, Sulaiman Palta Oglu bagi merempuh pintu masuk Tanduk Emas. Pelbagai cara dilakukan bagi merempuh rantai tersebut supaya putus. Namun demikian serangan hebat pasukan Byzantine menyebabkan ramai tentera telah mati syahid. Akhirnya, Syeikh Aq Syamsuddin telah menasihatkan supaya Tentera Turki berundur tetapi kurang dipersetujui oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Akhirnya, dengan berkat pertolongan oleh Allah SWT, 70 buah kapal berjaya ‘berlayar’ di daratan yang berbukit –bukau sejauh 3 batu dari Semenanjung Fera ke Tanduk Emas atas arahan Sultan Muhammad Al-Fateh. Demikian kuasa pemuda yang tersembunyi kekuatan yang tidak mengenal erti putus asa. 

Selain itu, slogan yang dipilih dan dilaungkan Sultan Muhammad Al-Fateh kepada tenteranya adalah, “Kalian adalah tentera Abu Ayyub al-Ansari”. Demikianlah peri pentingnya slogan bagi membakar semangat tentera dan menjaga fokus mereka pada visi yang perlu dicapai. Para ulama juga dihantar Sultan Muhammad Al-Fateh ke setiap batalion tentera Islam bagi menguatkan rohani melalui ceramah dan pidato. Para tentera juga sentiasa diperingatkan ulama yang Allah adalah sebaik-baik pergantungan dalam mencapai kemenangan. 

2) KUASA PEMIKIRAN STRATEGIK
Sultan Muhammad Al-Fateh menganalisa dengan tajam setiap cabaran yang menantinya di Kota Konstantinopel. Lebih daripada itu, hasil didikan yang kemas dan seimbang dari sudut kecerdasan intelektual (IQ), emosional (EQ) dan spiritual (SQ), beliau mampu mengemukakan penyelesaian luar kotak pemikiran biasa. 
Dua tahun selepas menaiki tahkta, Sultan Muhammad Al-Fateh telah memahami masa adalah amat singkat untuk merealisasikan harapan Rasulullah, ayahnya dan semua guru-guru besarnya di Usmaniah. Oleh sebab itu, Sultan memastikan dirinya benar-benar sibuk dengan misi dan urusan politik yang bersangkut paut dengan visi membuka Konstantinopel. Beliau tidak membabitkan dirinya dalam urusan selain itu. Sultan Muhammad Al-Fateh memahami hakikat ini. Oleh sebab itu, beliau telah mengaplikasikan Topi Putih yang diistilahkan oleh De Bono dalam teknik pemikiran lateral. Topi Putih bermakna segala fakta yang berkaitan dengan Konstantinopel perlu dibaca dan dikuasai terdahulu dalam fikiran dan apabila bahasa musuh dapat dikuasai bagi membedah peradaban, taktik dan sejarah tokoh-tokoh mereka. 

Sultan Muhammad Al-Fateh mengkaji dengan bersungguh-sungguh kempen-kempen terdahulu daripada kalangan pimpinan Islam. Lebih pentingnya, beliau telah berbincang secara langsung dengan panglima-panglimanya dan menggabungjalinkan kesemua kelebihan setiap percubaan itu. Hal ini kerana beliau dididik oleh para ulama bagi meneliti sejarah yang baik. Dengan membudayakan penyelidikan dan pembangunan, baton kemenangan diberikan Allah kepada beliau. 

Sultan Muhammad Al-Fateh bukan sekadar pemimpin yang teliti dan mahir menganalisis ancaman dan cabaran musuh beliau. Beliau turut mampu mengutarakan penyelesaian bagi mengatasi kekuatan musuh. Lebih daripada itu, komitmen beliau ketika melaksanakan idea yang diputuskan bagi menjadi strategi perjuangan pada masa itu. Hal ini merupakan kewibawaan pemimpin yang strategi bukan sekadar mampu mengkritik pelbagai masalah, malah mampu mencadangkan penyelesaian dan melaksanakan idea itu. 

Peristiwa penciptaan Meriam Urban menyerlahkan karekter Sultan Muhammad Al- Fateh yang strategis. Selain itu, pembinaan menara bergerak telah dibina dan beliau mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantium dan memuatkan ratusan tentera tetapi Byzantium berjaya mematahkan tentera Islam hingga menyebabkan ramai yang mati syahid dan Sultan Muhammad Al-Fateh terpaksa berundur dan bedilan meriam diteruskan seperti biasa. 

Pada 6 April 1453, Sultan Muhammad Al-Fateh memulakan pengepungan ke atas Konstantinopel dan pada 18 April, serangan pertama dilancarkan. Pada 6 hingga 12 Mei, beliau berjaya menggandakan serangan bagi menenbusi dinding dan pada 29 Mei, beliau berjaya memasuki Konstantinopel melalui pintu Topkapi. Beliau telah berjaya memanfaatkan peristiwa gerhana bulan pada 22 Mei 1453 yang telah menjadi kepercayaan tahyul bagi masyarakat dan pemerintah Byzantine bahawa Konstantinopel tidak akan jatuh selagi bulan dan matahari wujud. 

Adakah Sultan Muhammad Al-Fateh sengaja memilih hari tersebut sebagai masa strategik untuk melemahkan moral Byzantine, sekali gus menandakan 1, 100 tahun empayar mereka akan berakhir? Bukti inilah yang dapat mengukuhkan bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh bukan sahaja seorang yang bijaksana malah arif tentang kepercayaan dan agama Kristian Ortodoks di Konstantinopel, selain mahir dalam ilmu falak. 

3) KUASA PEMIKIRAN KREATIF DAN INOVATIF
Serangan Sultan Muhammad Al-Fateh bermula pada 6 April 1453. Sultan dengan bijak menyusun strategi mengepung Konstantinopel sambil menghalakan meriam diraja Usmaniah ke arah pintu kota. Tentera Byzantine berusaha keras mengahalang tentera darat Usmaniah daripada merapati pintu-pintu masuk kota mereka. Nmun serangan bertubi-tubi tentera Islam berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari pelbagai sudut. Kapal-kapal laut diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi Konstantinopel. Namun tidak berjaya memasuki perairan Tanduk Emas. Bagi mengatasi masalah in, Sultan Muhammad Al-Fateh melakukan beberapa pelan tindakan yang sistematik. Sejarawan menyifatkan bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai pemimpin yang mempunyai kepakaran taktikal yang lincah dan cepat. Hal ini dapat dibuktikan melalui pemindahan pelan pertempuran daripada satu pelan ke satu pelan yang lain dengan pantas. Tekanan yang ditimpakan oleh Byzantium kepada tentera Islam hanya menguatkan lagi keupayaan pemikiran lain dari yang lain milik Sultan Muhammad Al-Fateh. Misi 1, 2 dan 3 gagal tetapi Sultan Muhammad Al-Fateh tidak berputus asa. 
Beliau mencipta satu pelan luar biasa mengatasi halangan ini. Pelan ini telah mencipta satu sejarah yang paling mengagumkan dari segi kreativiti apabila sebanyak 70 buah kapal laut Usmaniah kerjaya diluncurkan dari daratan sejauh 5 km dari Selat Bosphorus ke Tanduk Emas. Batang-batang kayu diatur dan diminyakkan bagi melicinkan perjalanan kapal-kapal itu. Pada masa yang ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinopel sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang terpasang. Hal ini memeranjatkan tentera dan pemerintah Byzantine ketika itu. Sebanyak 400 buah kapal musuh dibakar dan serangan dari lautan juga dilakukan serentak dengan pengepungan sebelah daratan. Inilah kebijaksanaan yang tergambar dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh yang memberi idea mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Tanduk Emas. Inilah pemikiran kreatif yang menjai bukti termahal dalam sejarah Islam. Kuasa pemikiran kreatif ini tidak mampu dilakukan mereka yang hanya berbicara soal pemikiran kritis dan kreatif dalam buku mahupun bilik seminar. 

 -Inovasi memanfaatkan kepakaran dari Hungary
Meskipun Hungary merupakan musuh tradisi Usmaniah, namun Sultan Muhammad Al-Fateh sentiasa berfikiran jauh. Padanya setiap ancaman itu ada peluang yang seharusnya direbut. Meriam Usmaniah adalah bukti kepada kekuatan ketenteraan mereka. Meriam- meriam Usmaniah diperbuat daripada gangsa dan dibawa berdekatan dengan kota menggunakan tenaga ramai manusia di samping penggunaan kerbau dan lembu. Oleh sebab beratnya, meriam itu ditanam di sebelah hujung bagi menyerap tekanan letupannya. Panglima Austria berkata, tentera Usmaniah kebal pada musim panas. Keterangan ini nyata benar memandangkan banyak kejayaan dicapai semasa kempen-kempen perangnya pada musim panas khususnya bulan Mei ke atas. 

Zia Sakir dalam Fateh Istambulu Nasil Aldi yang merakamkan dialog yang berlaku di antara Sultan Muhammad Al-Fateh dengan Urban yang berjaya dilarikan daripada penjaranya, :
Sultan Muhammad Al-Fateh: Mampukah engkau ciptakan meriam gergasi yang besar daripada apa yang engkau ciptakan selama ini? 
Urban: Dengan segenap kemampuanku, aku menciptakan buatmu meriam yang menggoncangkan tembok tebal Konstantinopel. Aku hanya seorang jurutera bukannya tentera. Aku hanya mampu menciptakannya buatmu, namun tidak kuketahui tempat terbaik bagi diletak meriam itu nanti. 
Sultan Muhammad Al-Fateh: Memang tugasmu hanya membinanya. Soal dimana mahu meletaknya, serahkan kepadaku. 
 Meskipun Hungary merupakan musuh tradisi Usmaniah dan penyebab utama kegagalan Sultan Beyazid gagal merealisasikan impiannya untuk menjadi ‘Al-Fateh’, namun tidak menghalang Sultan Muhammad Al-Fateh yang sentiasa berfikiran jauh dan cuba mendapatkan pakar penciptaan meriam, Urban, yang telah dipenjarakan oleh Maharaja Konstantin XI kerana enggan berkompromi dengannya bagi mencipta teknologi yang mampu memusnahkan kerajaan Usmaniah. 
4) KUASA KERJA BERPASUKAN
-Ahli Jawatankuasa Bertindak Menawan Konstantinopel 
Berikut adalah senarai nama penting yang dirakamkan sejarah sebagai manusia yang memainkan peranan sama penting dengan peranan yang dimainkan Sultan Muhammad Al-Fateh. Kesemua ini tergolong dalam sebaik-baik tentera kepada Sultan Muhammad Al-Fateh

Antara Nama Sebaik-baik Tentera yang Disebut Rasulullah
Hakikatnya ramai lagi nama-nama besar di belakang Sultan Muhammad Al-Fateh yang namanya tidak muncul dalam lipatan sejarah. Sultan Muhammad Al-Fateh adalah pemimpin nombor satu Usmaniah dan ahli politik terkemuka pada era itu. Beliau bukan sekadar menyusun, mengarah dan mengerah setiap kabinet dan tenteranya mengikut posisi strategik bagi melumpuhkan Konstantinopel. Lebih daripada itu, beliau mengenal pasti potensi dan kelebihan masing-masing dalam percaturan strategik beliau. 
  
-Rotan Membina Ketegasan Sultan Muhammad Al-Fateh
Sultan Muhammad Al-Fateh membuktikan hasil didikan dan disiplin ketat yang beliau terima sejak kecil daripada ayahandanya dan Syeikh Al-Kurani. Hal ini apabila beliau mampu mengepalai sendiri 150, 000 tentera menawan Konstantinopel. Sejarah direkodkan semasa berumur 11 tahun, Sultan Muhammad Al-Fateh dipanggil Sultan Murad dari tempat tinggal beliau di Pulau Magnesia. Sultan Murad memanggil anakandanya pulang ke istana Usmaniah di Adrianople bagi melihat prestasi pengajian ilmunya. Sultan Murad terkejut dengan kelemahan anaknya dalam proses pembelajaran di samping darah anak mudanya yang agresif dan suka kepada keseronokan lebih daripada aktiviti keilmuan. Guru-gurunya memberikan pengakuan betapa sukarnya mereka bertegas dan berkomunikasi dengan sifat kebudak-budakan Sultan Muhammad Al-Fateh. 

Sebagai ayah yang berpandangan jauh dan mementingkan soal pendidikan anaknya, Sultan Murad tidak berkompromi dengan anaknya. Sultan mengambil keputusan melantik Syeikh Al-Kurani sebagai guru dan memberinya rotan bagi mendisiplinkan anaknya dengan pendekatan yang lebih keras dan berkesan. Direkodkan bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh pernah dipukul tanpa sebarang kesalahan oleh Syeikh Al- Kurani. Apabila ditanya rasionalnya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, Syeikh Al-Kurani memberikan jawapan, “Pukulan kali ini bagi mengajarmu erti sakitnya kezaliman kepada rakyat di bawah pemerintahanmu nanti”. Demikian hikmah Syeikh Al-Kurani sepanjang mendidik erti keadilan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh. 

Ke mana tumpahnya kuah sekiranya tidak ke nasi. Demikian gambaran ketinggian disiplin melalui teladan yang ditonjolkan ayahandanya Sultan Muhammad Al-Fateh, iaitu Sultan Murad. Hal ini dapat dilihat sewaktu anakandanya memangku jawatan Sultan, mengarahkannya kembali memimpin tentera Usmaniah dalam peperangan Varna. Dengan kelebihan pengalaman yang ada pada Sultan Murad berbanding anaknya yang baru sahaja berusia 12 tahun ketika memangku, Sultan Murad patuh kepadaarahan tegas pemerintah Usmaniah masa itu, iaitu anakandanya sendiri. 

 Dalam peristiwa lain pada 18 April 1453, berlaku serangan laut antara tentera laut Usmaniah dan tentera laut Genoese utusan Pope. Sultan Muhammad Al-Fateh menghantarkan utusan kepada tentera laut yang sedang berperang. Katanya, “Samada kamu tawan kapal-kapal tersebut ataupun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Apabila kamu gagal, jangan pulang kepada kami selagi kamu semua masih hidup !” 

Ketika itulah, beliau menunggang kuda sehingga ke gigi air laut sambil menjerit dengan sekuat hati nama ketua misi iaitu, Palta Oglu bagi memberikan semangat. Kesungguhan Sultan Muhammad Al-Fateh itu telah menaikkan semangat tenteranya. Namun tentera Kristian berjaya mematahkan serangan tentera Islam. Sultan Muhammad memecat Palta Oglu yang mengambil tindakan untuk mengundurkan kapal-kapal laut Usmaniah kerana tidak tahan dengan asakan hebat olah 40 buah kapal tentera Genoese. Namun Palta Oglu memohon maaf kepada beliau tetapi beliau tidak berkompromi demi menjaga motivasi dan semangat tentera yang lain dan digantikkan Panglima Hamzah Basha sebagai ketua. Demikianlah kepentingan disiplin dalam kerja berpasukan. 

5) KUASA CONTOH
Sultan Muhammad Al-Fateh dibuktikan oleh sejarawan menyerlahkan sikap yang jarang ada pada pemimpin tentera yang lain ketika membina Rumeli Hissari. Rumeli Hissari adalah tembok laut yang dibina bagi mengepung musuh. Tembok ini dibina pada zaman Sultan Usman I ketika beliau mengepung Byzantine di Bursa. Rumeli Hissari adalah benteng yang disempurnakan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada1452 M. Beliau menampilkan model kepimpinan yang unggul. Pemimpin tidak boleh hanya tahu memberikan arahan sahaja tetapi juga perlu mampu memotivasikan tenaga kerja bagi melakukan tugasan dengan baik. Semasa menjalankan latihan ketenteraan untuk tenteranya di kepulauan yang dirahsiakan, beliau tidak membiarkan latihan itu diserahkan sepenuhnya kepada ketua perang yang dilantik sahaja. Beliau sendiri yang menghadiri latihan ketenteraan itu. Contoh lain, pada waktu sebelah siang, Sultan Muhammad Al-Fateh berada di atas kuda sambil memerhatikan tenteranya melakukan latihan ketenteraan yang membabitkan tentera-tenteranya. Pada sebelah malam, beliau berjalan menyiasat khemah-khemah tentera, apakah mereka bertahajud dan membaca al Quran ataupun tidak. 

Mungkin atas sebab menonjolkan kuasa contoh ini, hadis pembebasan Konstantinopel diucapkan Nabi Muhammad ketika beliau sedang kepenatan, di bawah terik matahari apabila menggali parit Khandaq bersama sahabatnya. Nabi bukan pemimpin bersifat elit dan eksklusif yang memberikan arahan kepada para sahabat sedangkan nabi di atas permaidani merah. Nabi sendiri turun padang dan mendahului para sahabat yang lain dalam menggali parit besar dan mengetuk batu-batu keras. 

-“Kami lebih rela melihat serban-serbanTurki daripada topi-topi Latin dari Eropah di kota ini!”
Kenyataan ini dirakamkan oleh Prof. Mehmet Maksudoglu daripada dua bekas pendeta Kristian Ortodoks, Granduke Notaras dan Gennadios ketika memberontak apabila Raja Constantine mengumumkan kepada rakyatnya untuk meminta pertolongan daripada Pope Nicholas V, ketua kuasa Eropah Timur yang berjanji memberikan bantuan untuk memerangi tentera pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh dengan bersyarat apabila rakyat Konstantinopel mengikut mazhab ikutan mereka, iaitu Kristian Katolik. Rakyat Konstantinopel lebih senang berada di bawah jajahan takluk Sultan Muhammad Al-Fateh kerana beliau dilihat sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Masakan tidak, beliau sememangnya mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi. Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana malah memusuhi pembaziran. Oleh sebab itu, rakyat Byzantine tertawan melihat keindahan pemerintahan Islam dengan model keadilan yang ditunjukkan secara praktis oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. 

Usmaniah memberikan keadilan yang dikenang rakyat Kristian dan bukan Muslim. Usmaniah pada saat kebesaran empayar mereka berhadapan dengan suasana kemajmukan masyarakat daripada pelbagai bangsa dan agama yang mencabar. Situasi ini menjadi sebab kenapa Sultan Muhammad Al-Fateh digelar sebagai The Grand Signaeur iaitu Sang Penakluk. Gelaran yang selama ini hanya diberikan kepada tokoh-tokoh besar Barat yang membawa perubahan kepada Eropah. Gelaran ini diberikan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh kerana keadilan itu dirasai bukan sekadar umat Islam bahkan rakyat Kristian di seluruh jajahan Usmaniah. 

 Sultan Muhammad Al-Fateh juga bijak menggunakan helah bagi mengelakkan tenteranya terkorban. Hal ini kerana dalam beberapa pertempuran selain Konstantinopel, jumlah tenteranya ketika itu kecil jumlahnya berbanding tentera Rom. Beliau tidak mahu mengambil risiko berperang tanpa persediaan yang rapid an perancangan yang teliti. Beliau pernah mengatakan tentera bantuan akan tiba pada bila-bila masa bagi menggerunkan pihak lawan. Usmaniah sememangnya terkenal dengan taktik pengepungan yang sistematik. Ini sebagai sekatan ekonomi, hubungan dan bantuan dari luar. Taktik ini menjadi taktik wajib Usmaniah sebelum misi penawanan yang dilakukan. 
  
6) KUASA PIDATO BERPENGARUH
“Saudaraku Harun lebih petah lidahnya daripada aku. Utuskan dia bersamaku sebagai pembantuku bagi membenarkan perkataan aku. Aku bimbang mereka mendustakan aku” 
 Surah al-Qasas, ayat 34
Halil Inalchik menulis perihal pidato terkemuka Sultan Muhammad Al-Fateh selepas kemenangan di Konstantinopel, “Dengan pembukaan Konstantinopel, Mehmed II menjadi penguasa muslim berprestij. Usmaniah menganggapnya sebagai penguasa Islam tersebar sejak empat Khalifah pertama. Mehmed Sang Penakluk yang melihat dirinya berjuang atas nama semua umat Islam berkata, “Kesukaran perjuangn ini demi Tuhan. Pedang Islam di tangan kami. Apabila ia tidak memilih bagi menanggung kesukaran jihad, kita tidak layak disebut ‘gazis’. Kami malu berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat dalam keadaan begitu. ”

Pemimpin yang hebat bukan sekadar mampu menghasilkan idea yang luar biasa. Namun beliau turut mampu mengutarakan dan memindahkan kerangka idea ke bentuk komunikasi yang jelas kepada orang di bawahnya. Hal ini amat penting kerana ia satu persoalan khususnya dalam melebarkan pengaruh secara halus dan lembut, iaitu dengan menjinakkan hati dan menawan perasaan. Ismail Hami Dinsmand dalam kitabnya Mausu’ah at-Tarikh al-Usmni merakamkan, Sultan Muhammad Al-Fateh hanya mengucapkan beberapa kalimah sahaja ketika memberikan pidato terakhir di hadapan seluruh pejuang Usmaniah, :

“Wahai anak-anakku, inilah aku. Aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang cintakan syahadah di jalan Allah, ayuh ikutiku !!”
Pidato menggunakan kalimah anak-anak sebagai tanda kasih sayang dan cintanya kepada tenteranya, membakar semangat komando Hassan Ulubate dan 25 komando yang lain. Mereka terbunuh syahid ketika memacakkan panji Usmaniah di atas menara Konstantinopel. 

Bukan setakat pidato Sultan Muhammad Al-Fateh, bahkan pidato orang yang tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam hierarki kerajaan Usmaniah, Syeikh Aq Syamsuddin, turut juga dirakamkan. Pidatonya berbunyi, :

“Dibebaskan Kota Konstantinopel pada hari ini. Sebaik-baik raja adalah raja yang mengetuai misi ini. Sebaik-baik tentera adalah tentera yang melaksanakan misi ini. Semoga Allah memberikan hidayah dan keampunan kepada kita semua. Saya ingin berpesan kepada kalian supaya jangan kalian melampaui batas dalam mengambil harta rampasan perang dan jangan kalian melakukan pembaziran. Berikan ia ke jalan kebaikan penduduk kota ini. Kalian mesti mendengar serta taat kepada Sultan dan sayangi beliau. ” 

Kemudian Syeikh Aq Syamsuddin mengalihkan perhatiannya kepada Sultan Muhammad Al-Fateh lantas berkata, “Wahai Sultanku, engkau penyejuk mata keluarga Usman. Tetapkan hati engkau demi berjihad dijalan Allah. ”. Pidato itu disambut dengan laungan takbir Allahuakbar yang kuat. 
7) KUASA IMAN DAN TAWAKAL
Penawanan Konstantinopel diisyaratkan sebagai kemenangan pasukan, bukannya individu. Justeru melengkapkan persiapan bersifat kecerdasan spiritual adalah perlu kepada semua 150, 000 individu yang berangkat melaksanakan misi yang dikatakan nabi sejak 800 tahun dahulu. Oleh sebab itu, para pejuang Usmaniah bukan sekadar dilatih dan dilengkapkan dengan senjata-senjata moden sebagai persediaan fizikal, mereka turut dididik dengan persiapan dalaman, iaitu takwa. Hal ini memenuhi kriteria sebaik-baik tentera yang dinyatakan Rasulullah. Setiap malam, Sultan Muhammad Al-Fateh bermunajat kepada Allah mengharapkan bantuan daripada-Nya. Namun ikhtiar beliau tidak terhenti sekadar munajat dan Qiamulail sahaja. Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri menyusup masuk ke dalam Konstantinopel secara rahsia di samping memahami sendiri isu-isu politik dan sosial masyarakat Konstantinopel di bawah pemerintahan Maharaja Constantine XI. Usaha sebegini tidak dilakukan pemimpin Islam yang terdahulu yang mungkin menjadi sebab kepada kegagalan. Hal ini kerana mereka gagal mengetahui kekuatan musuh. 

Sultan Muhammad Al-Fateh yang teliti dalam memastikan tentera dan tenaga pakar di sekelilingnya menjauhi maksiat dan dosa sama sekali. Itu faktor yang mampu menghalang pertolongan Allah dalam menawan Konstantinopel. Sultan sendiri sentiasa memikirkan kaedah bagi melihat prestasi takwa tenteranya. Kebijaksanaan pemimpin muda Usmaniah ini dizahirkan dalam peristiwa yang berlaku kepada tenteranya. Ketika dalam ekspedisi latihan ketenteraan di Pulau Magnesia Sultan Muhammad Al-Fateh diserang demam panas dan mengidam buah delima. Sultan memerintahkan beberapa tenteranya mencari buah delima untuknya. Akhirnya mereka menenui ladang buah delima yang segar tetapi tidak dapat dikenal pasti siapakah tuannya. Mereka tidak mengambil buah itu kerana teringat pesanan Sultan. Sewaktu berehat di tepi sebatang sungai, mereka terlihat sebiji buah delima terapung-terapung di permukaan air. Nasihat Sultan menyebabkan mereka tidak mengambil buah itu. Mereka pulang dengan tangan kosong. Sebenarnya perlakuan mereka diperhatikan oleh tuan kebun tersebut yang sengaja menyembunyikan diri bagi melihat sejauh mana kejujuran dan amanah tentera Turki Usmaniah. Sultan akhirnya tahu yang tenteranya sedang berada pada paras terbaik bagi diiktirafkan sebagai sebaik-baik tentera. 

-‘Tangan’ Allah Memindahkan 70 Buah Kapal

Surah Ali Imran, ayat 160 menyatakan, “Apabila Allah menolong kamu, tidak ada yang dapat mengalahkan kamu. Apabila Allah membiarkan kamu dengan tidak memberikan pertolongan, maka siapakah yang dapat menolong kamu selain Allah? Kepada Allah sahaja orang-orang beriman tawakal”

Pemindahan 70 buah kapal dalam hanya satu malam melalui kawasan berbukit-bukau dan sejauh lebih 5 km bukan kerja yang mudah. Yilmaz Oztuna merakamkan dalam bukunya Osmanli Tarihi kenyataan sejarawan Byzantine yang berkata, “Tidak pernah kami melihat ataupun dengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fateh menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Muhammad Al-Fateh dengan usahanya ini mengatasi Alexander The Great!”. Hakikatnya yang sebenar tidak dapat dinafikan mahupun diremehkan adalah bantuan Allah yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Idea pemindahan 70 buah kapal gergasi Usmaniah ini datang selepas Sultan Muhammad Al-Fateh mendengar Syeikh Aq Syamsuddin tidak putus-putus berdoa kepada Allah di dalam khemahnya. Ketika itu, beliau sendiri semakin penat dan berputus asa di medan peperangan yang memakan masa lebih 50 hari. 

-Mencari Iman Terbaik untuk Masjid Aya Sophia

“Kamu mesti bangun pada sebahagian dari malam itu dan kerjakan solat Tahajud. Ia menjadi solat tambahan untukmu. Semoga Tuhanmu dengan Tahajud itu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat kelak di tempat yang terpuji. ”

Surah al-Israk, ayat 78-79

Sewaktu pemilihan imam untuk Masjid Aya Sophia untuk solat Jumaat kali pertama di sana, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mencadangkan Syeikh Aq Syamsuddin untuk menjadi imam solat Jumaat namun cadangannya ditolak dengan kewarakan dan sifat merendah diri oleh beliau. Sultan Muhammad Al-Fateh tiada pilihan lain melainkan keluar ke kawasan lapang di hadapan masjid Aya Sophia itu. Beliau membuat pengumuman mencari menteri mahupun tenteranya yang soleh sebagai imam. Sultan Muhammad Al-Fateh mahu mengiktiraf peranan tentera yang tidak meninggalkan solat walaupun dalam 53 hari yang memenatkan. Sultan menyuruh seluruh tenteranya bangun dan menanyakan kepada mereka 3 soalan iaitu, siapakah yang tidak meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawattib dan solat sunat Tahajud sejak akil baligh. Pada mulanya, tiada tenteranya duduk dan selepas apabila soalan ke-2 diajukan, separuh tenteranya duduk dan soalan terakhir, yang mengenai solat sunat tahajud, tiada siapa dalam kalangan tenteranya yang berdiri kecuali seorang sahaja iaitu Sultan sendiri. 

8) KUASA JIHAD DAN PENGORBANAN
Dr. Salim Rushdi menyebut peristiwa Sultan Muhammad al-Fateh sendiri memacu kudanya menyeberangi parit di hadapan benteng Konstantinopel. Beliau mengepalai kemaraan tentera selepas menyaksikan kematian Hassan Tulubatle dan pengunduran Giustannian yang membakar semangat tentera Islam. Tindakan Sultan Muhammad Al-Fateh meluru ke benteng mendahului tenteranya yang lain membuakkan semangat tentera Islam. 

-Pengajaran Daripada Kuasa Jihad dan Pengorbanan

Tentera Salib meneliti dan mengkaji rahsia kekuatan dan keunggulan armada Usmaniah dahulu sehingga mereka menguasai dunia. Mereka mendapati puncanya daripada iman yang sangat kuat. Bukan sekadar pemerintah cita kepada jihad dan mati di jalan Allah, bahkan rakyat sendiri memperkatakan perihal jihad dan bersedia melakukannya. Kalangan rakyat Turki Usmaniah di era Sultan Muhammad Al-Fateh berbondong-bondong mendaftarkan diri menjadi tentera menyahut seruan jihad daripada kerajaan. Jelas, semangat yang sama seperti Tariq b. Ziyad wujud dalam diri mereka. Tariq ada menyebut, “Kami bawakan kepada kamu sepasukan tentera yang cintakan kematian dan bencikan dunia lebih daripada kamu cintakan dunia dan bencikan kematian. ”Ini berkat didikan ulama yang kuat mengakar dalam institusi pendidikan dan sosial Usmaniah. 

Tentera Salib mendapati senjata pemusnah kekuatan ini adalah menggunakan virus nasionalisme dan mengapi-apikan sentimen kebangsaan. Satu persatu negara di bawah naungan Usmaniah keluar. Armenia dahulunya negara yang patuh kepada Usmaniah selama hampir 500 tahun menjadi antara negara pertama keluar daripada Usmaniah Kematian jihad dan semangat pengorbanan umat Islam menyebabkan jatuhnya Khalifah Usmaniah secara rasminya pada 3 Mac 1924. 

-Negarawan Usmaniah Selama 30 Tahun

Pendekatan diplomasi Sultan Muhammad Al-Fateh bukan direka bagi mendapat keuntungan politik daripada penduduk Byzantine pada awal kemenangan semata-mata. Buktinya pendekatan diplomasi yang konsisten diteruskan Sultan Muhammad Al-Fateh sepanjang memerintah Usmaniah selama 30 tahun, sepanjang berpangkalan di Istanbul. Sultan Muhammad Al-Fateh selalu berusaha mengembalikan fungsi bangunan yang rosak akibat peperangan di hampir setiap kota yang diduduki Usmaniah. Beliau juga mendirikan rumah-rumah tempat tinggal yang layak dihuni rakyat biasa. Bagi memastikan kelancaran perkembangan sosio-budaya masyarakat, Sultan Muhammad Al-Fateh melantik dan merujuk tokoh masyarakat setempat sebagai wakil penempatan. 

Sultan Muhammad Al-Fateh menarik perhatian rakyat daripada golongan petani di wilayah Yarmar yang terletak bersempadan dengan Turki. Mereka mula berasa lebih selamat berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam yang adil dan telus berbanding Maharaja yang sering merampas hasil tanaman mereka dan mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka. Ramai yang berpindah ke Turki dan kemudian memeluk agama Islam kerana tertarik dengan pendekatan diplomasi, sambutan dan layanan rakyat, serta pemerintahan Islam yang baik. Keadaan ini mendorong Gabenor Yarmar menawarkan bantuan serta permuafakatan dengan Sultan Muhammad Al-Fateh bagi menjatuhkan Maharaja Constantine XI yang zalim pada bila-bila masa. 

Sultan hidup dengan akhlak ahli diplomatik. Bahkan direkodkan beliau mangkat kerana sikap lunak, diplomasi dan terbuka dengan sesiapa sahaja yang difikirkan terbaik bagi berkhidmat dengannya di istana. Sultan direkodkan mangkat kerana diracun oleh tukang masak istananya sendiri yang berketurunan Rom dan ada yang mengatakan kematian Sultan didalangi olah doktor peribadinya sendiri, Jacob Pasha, yang sebenarnya agen perisik dari Venice. Begitulah sikap Sultan yang tidak prejudis walaupun sikap ini telah disalahgunakan oleh musuh. 

Sultan Muhammad Al-Fateh tetap tidak meninggalkan kewajipan terpentingnya sebagai pemerintah kaum muslimin sendiri. Beliau telah mendeklarasikan pendidikan secara percuma untuk anak-anak Usmaniah. Pusat aktiviti ekonomi dan sosial sengaja dipusatkan di masjid supaya masyarakat memahami kesempurnaan syariah Islam yang bukan sahaja mencakupi semua urusan hidup, bukan sekadar urusan masjid dan ritual semata-mata. Dapur awam yang berhampiran dengan masjid diarahkan menyediakan makanan kepada fakir miskin secara percuma. 

9) KUASA DIPLOMASI DAN KEBAJIKAN
Penawanan Konstantinopel pada 1453M tidak didorong oleh keghairahan melulu menjadi sebaik-baik raja ataupun sebaik-baik tentera yang dijanjikan rasul. Sultan Muhammad Al-Fateh meletakkan tindakan politiknya selaras dengan lunas perundangan yang ada di dunia pada masa itu. Perjanjian damai yang termeterai antara Usmaniah dan Byzantine supaya tidak memerangi antara satu sama lain adalah ikatan perdamaian yang menjadi keutamaan Usmaniah dalam pelbagai perjanjian mereka. Namun demikian, sejarah membuktikan sejak dari zaman Muhammad b. Abdullah sehingga Muhammad b. Murad, pihak musuh sama ada Yahudi atau Nasrani menjadi golongan yang memulakan pencerobohan. 

Sultan Muhammad Al-Fateh sememangnya menawan Konstantinopel dengan didahului beberapa siri diplomasi yang dicabuli sendiri oleh Kerajaan Byzantine. Tekanan ekonomi dengan menggunakan taktik pengepungan yang memakan masa yang lama terus tidak dipedulikan Maharaja Constantine XI. Padahal rakyat sendiri yang menuntut perdamaian dengan Sultan Muhammad al-Fateh. Peperangan pada 1453M itu berlaku dalam skala kemusnahan yang minima dan sememangnya ia tercetus kerana tidak dapat dielakkan lagi. 

-Gereja Saint Sophies Dikekalkan

Sultan Muhammad Al-Fateh menyerlahkan kebijaksanaanya dalam politik apabila mengekalkan fungsi pusat pentadbiran yang ada pada Haghia Sophia. Sultan Muhammad Al-Fateh memindahkan pusat pentadbiran Usmaniah dari Adrianople ke Haghia Sophia. Beliau juga bijak menjaga hati orang Kristian di Konstantinopel dengan tidak menukar istilah Haghia atau Aya Sophia. Beliau hanya sekadar meletakkan nama masjid sahaja sebelum istilah itu. Syeikh Aq Syamsuddin sendiri memberikan arahan agar supaya tentera Islam menutup gambar Jesus dan seumpamanya dengan kain hitam tanpa perlu merosakkannya mahupun membuangnya dari tempat asalnya. 

Hanya Haghia Sophia yang ditukarkan menjadi masjid, gereja-gerja lain masih dikekalkan terus berfungsi seperti biasa. Bahkan mereka tidak menerima sebarang tekanan politik daripada pemerintah seperti yang dilakukan Maharaja Constantine XI sebelum ini. 

10) KUASA BAHASA
Ada 3 tujuan Sultan Muhammad Al-Fateh dilatih para ulama Usmaniah supaya mahir bertutur dalam 7 bahasa sejak kecil lagi iaitu, :
a) Mempersiapkan diri sebagai bakal negarawan dunia yang mampu diterima semua pihak berbilang bangsa dan agam. Hanya bahasa sahaja jambatan untuk Sultan diterima baik di 3 buah benua Usmaniah iaitu Afrika, Eropah dan Asia. 
b) Memudahkan Sultan membongkar bahan bacaan perihal peradaban, pemimpin dan taktik perang musuh yang ditulis dalam buku-buku sejarah bahasa mereka sendiri. 
c) Menjadikan diri sebagai contoh dalam kemampuan memahami dan menterjemah bahasa asing. Kepimpinan melalui teladan adalah kuasa yang berkesan. 

Menguasai bahasa adalah persediaan jangka panjang dari sudut IQ Sultan bagi menawan Kota Konstantinopel. Apabila beliau tidak mampu menawan fizikal musuh melalui pembacaan sumber-sumber strategi perang, sekurang-kurangnya Sultan dapat menawan mental dan psikologi musuh. Hali ini apabila beliau dilihat fasih berbicara dalam bahasa yang pelbagai. Beliau bertungkus lumus mempelajari bahasa Rom untuk mengenali dan mengkaji bangsa Rom terutama daripada sudut kelemahan dan kekuatan Kerajaan Rom. 

 11) KUASA SENTUHAN ULAMA
Halil Inalchik menyatakan, “Guru kerohanian atau syeikh kepada setiap Sultan Usmaniah mempengaruhi hampir setiap keputusan dan polisi penting Kerajaan Usmaniah. Setiap Sultan dipertanggungjawabkan kepadanya syeikh yang menjadi guru kerohanian. Mereka juga menjadi penyampai firasat-firasat penting apa yang berlaku pada masa hadapan. Kesemua itu hasil pertolongan daripada Allah atas kedekatan mereka kepada-Nya. Semasa penawanan Konstantinopel sendiri, Sultan tidak putus mendapatkan pandangan spiritual daripada Syeikh Aq Syamsuddin. Apabila Sultan Muhammad Al-Fateh tidak meyakini tarikh awal penawanan Konstantinopel akibat pertahanan Konstantinopel belum mampu ditembusi, syeikh menulis surat kepada Sultan. Beliau mendedahkan bagaimana para askar Sultan mengalami kemerosotan iman dan keyakinan pada Allah. Syeikh mencadangkan supaya dilantik komander-komander yang lebih tegas dan berani”. 

Pidato kemenangan Sultan juga menggambarkan betapa besarnya kesan kehadiran ulama besar Usmaniah di sisinya. Beliau menjadi perangsang utama semangatnya ketika Sultan hampir berputus asa. Beliau memberikan peringatan kepada Sultan yang beliau hanya hamba Allah yang diuji dengan pelbagai ujian dalam melumpuhkan Empayar Byzantine berusia 1100 tahun. 

Pembabitan Syeikh Aq Syamsuddin kekal sehingga tahap Sultan Muhammad Al –Fateh mahu melakukan reformasi dalaman Kerajaan Usmaniah yang membabitkan kedudukan para ulama. Pengiktirafan Sultan kepada ulama terbukti apabila jawatan Sheikh ul-Islam disertakan dalam hierarki tertinggi kepimpinan Kerajaan Usmaniah. Kedudukan Sheikh ul- Islam diletakkan setaraf dengan Sadr al –Azam atau Perdana Menteri di sisi sultan yang mengetuai negara. 

12) KUASA SISTEM PENDIDIKAN KOMPREHENSIF
Usmaniah sememangnya kerajaan Islam yang terkenal dengan institusi pendidikan Islam atau madrasah yang unggul dan ketat. Daripada rakyat biasa sehingga kepada anak raja, kesemuanya diwajibkan mengikuti kelas-kelas pengajian agama dan ilmu dunia. Kerajaan Usmaniah diberikan kelebihan Allah bukan sahaja dari sudut kekuatan ketenteraan, bahkan juga kemampuan para ulamanya mewarisi saki- baki tamadun ilmu dan peradaban terhebat dunia pada era Abbasiyyah. 

-Hikmah Daripada Belekan Kitab Sejarah 

Kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh adalah cerminan kepada kejayaan institusi tarbiah atau pendidikan Usmaniah. Kemampuan Sultan memberikan idea pemindahan 70 buah kapal bukannya idea yang lahir dari akal fikiran beliau secara sendirian berkemungkinan juga daripada para pemikir di belakang Sultan yang turut menerima didikan pemikiran yang kritis, historis dan kreatif oleh ulama yang lain. 

-Penekanan Pendidikan yang Dimulakan Sejak Dari Kecil

Sistem pendidikan ketat yang berlaku kepada Sultan sejak dari kecil bukannya situasi baharu kepada para pengkaji sejarah Usmaniah. Ia hanya rentetan tradisi yang selama ini mengakar ratusan tahun dalam setiap pemimpin besar kerajaan Usmaniah termasuk anak-anak raja mereka di mata para-para ulama Usmaniah. Sultan Muhammad Al-Fateh menerima didikan langsung daripada para ulama bersama-sama dengan anak-anak rakyat. Setiap pemerintah Usmaniah diajar bergaul dengan rakyat dan tidak mencipta tadbir dengan rakyat bawahan sejak kecil lagi. Para ulama Usmaniah bertanggungjawab mendidik Sultan sejak kecil lagi hidup dengan penuh kesederhanaan seperti rakyat biasa. Dia bermain dengan anak-anak rakyat jelata di jalanan seperti biasa. Bahkan anak raja tidak dibenarkan hidup secara elit dan eksklusif melainkan dalam soal adat istiadat diraja sahaja, 

Perkara yang lebih menarik perihal tentang sistem pendidikan Usmaniah ketika era Sultan Muhammad Al-Fateh adalah kuasa pendidikan anak-anak diraja diserahkan sepenuhnya kepada para ulama tanpa sebarang campur tangan. Hal ini berlaku walaupun ayahanda mereka berkedudukan tinggi dalam Kerajaan Usmaniah. Sultan Murad sendiri menyerahkan sepenuhnya kuasa mendidik dan menyentuh anakanda beliau kepada para ulama yang dilantik oleh beliau. 

KESIMPULAN
Sebagai anak-anak muda dan mahasiswa yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mahu dilihat lesu dan layu dalam perjuangan untuk menjadi pemimpin harapan negara kelak, perlulah mempunyai idealisme perjuangan yang jelas. Perkataan ‘mustahil’ perlulah wajib ‘dihapuskan’ di dalam kamus hidup seseorang individu jika hendak menggapai kejayaan. Kita harus menggambil iktibar melalui sejarah tokoh terulung Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh yang mampu membuktikan pemuda mampu merealisasikan semua hadis nabi, mampu melakar sejarah peradaban dunia, apabila beliau dapat ‘melayarkan’ 70 buah kapal di kawasan yang berbukit-bukau dalam tempoh satu malam tanpa disedari oleh musuh. Hal ini merupakan kejayaan yang amat membanggakan bagi umat Islam dan yang lebih penting dapat mengubah stereotaip pemikiran kepada umat Islam. Sebagai seorang individu yang bakal menerajui negara ini, haruslah kita seimbangkan hal dunia dan akhirat. Hal ini merupakan faktor asas kepada kejayaan yang dikecapi oleh semua manusia. Jika perkara ini diabaikan, berkemungkinan kita tidak akan meraih impian dan harapan tersebut langsung terkubur begitu sahaja dan akhirnya memberi kesan negatif kepada pewaris-pewaris negara pada masa hadapan. 

Sebagai masyarakat negara Islam, kita perlulah berusaha berganding bahu untuk membimbing dan membentuk generasi yang akan datang supaya dapat melahirkan generasi’ al-fateh’ melalui penekanan pendidikan yang secara holistik iaitu dengan mengutamakan ilmu dunia dan ilmu akhirat supaya generasi yang akan datang akan menjadi generasi yang mempunyai berdaya saing, tidak lemah dan terpukau hingga tenggelam dalam arus lautan kemewahan dunia yang hanya sementara dan sentiasa mengorak langkah dan terus maju ke hadapan. Masyarakat perlulah menyedari bahawa sejarah akan berulang jika mereka lalai dan alpa dengan dunia sehingga terlupa dengan tanggungjawab yang harus dipikul iaitu membimbing dan membentuk generasi yang akan datang dan menjadi contoh teladan yang baik supaya generasi seterusnya tidak akan menderita di tanah mereka sendiri. 

Dari sudut negara pula, apabila kita telah memenuhi semua kriteria seperti Sultan Muhammad Al-Fateh. Dengan izin Allah, negara tersebut akan mencapai keamanan dan kesejahteraan tanpa penderitaan yang akan dihadapi. Selain itu, negara-negara Islam akan sentiasa maju dan digeruni oleh pihak-pihak musuh yang ingin mencuba menghuru-harakan negara tersebut. Harapan saya sebagai bakal penaung generasi yang akan datang, kita haruslah mengubah diri kita untuk menjadi lebih baik bagi melahirkan generasi yang terbaik dan menjadikan keperibadian Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai salah satu contoh terbaik selepas Rasulullah SAW dan mempersiapkan diri untuk berjihad di jalan Allah. 

RUJUKAN 
Muhammad Syaari Abdul Rahman. (2011). Kuasa Kepimpinan Al-Fateh. Batu Caves, Selangor :PTS Millenia Sdn. Bhd. 

Abdul Latip Talib. (2014). Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel, edisi kedua. Batu Caves, Selangor:PTS Litera Utama Sdn. Bhd. 

Muhammad Nur Iman Ramli. (2015). Dracula vs Al-Fateh. Batu Caves, Selangor:PTS Publishing House Sdn. Bhd. 

Halil Inalchik. The Ottoman Empires:The Classical Age 1300-1600. (1973):Phoenix PressYusuf Al-Qardhawi, Dr. (1999). Petanda-petanda Kemenangan Islam, terjemahan. Selangor:Maktabah al Qardhawi. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com