Khusyuk Dalam Solat

Tajuk:
Khusyuk Dalam Solat

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Pendiddikan Islam

Disediakan Oleh:
Nur Amalina Binti Fauzil
2014231622

PENGHARGAAN

Assalamualaikum, alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah rahmat-Nya serta nikmat masa, nyawa dan tenaga yang dianugerahkan, akhirnya saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan jayanya. 

Pertama, saya ingin mendedikasikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pensyarah saya, Ustaz Abd Aziz bin Harjin kerana dengan tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya telah membuka ruang dan minda saya bagi menyiapkan tugasan yang diamanahkan. Secara tidak langsung, saya telah memperoleh ilmu yang bermanfaat yang berkaitan dengan tugasan ini, Islamic Thought and Civilization yang bertajuk ‘Khusyuk Dalam Solat’. 

Selain itu, saya juga ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih kepada ibu bapa saya iaitu Aini binti Shafie dan Fauzil bin Zainul yang mempermudah cara saya untuk menyiapkan tugasan ini. Mereka telah memberikan segala kemudahan dan sokongan moral yang tidak terhingga kepada saya sehinggalah tugasan ini disiapkan. Ucapan penghargaan ini juga saya tujukan kepada rakan-rakan yang sudi membantu bagi menyiapkan tugasan ini. 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau sebaliknya semasa menyiapkan tugasan yang diberikan kepada saya. 

Sekian, terima kasih. 

ABSTRAK

Manusia dan alam serta isinya adalah ciptaan Allah. Allah Yang Maha Esa yang menjadikan, menghidupkan dan mematikan manusia. Allah juga yang bersifat Ar-Rahman iaitu Maha Pemurah yang memberikan segala rezeki dan nikmat kepada manusia. Manusia sebagai hamba-Nya wajib seratus peratus bergantung Allah. Hanya Allah sahaja yang disembah dan hanya Allah sahaja tempat manusia meminta pertolongan. Perjalanan manusia yang begitu jauh dan susah memerlukan bimbingan dan petunjuk yang tidak putus-putus kerana manusia mempunyai tanggungjawab iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Firman Allah dalam Surah Dzariyaat ayat 56 yang bermaksud, 

“ Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. 

Oleh itu, kita perlulah bersolat agar kita tidak terpesong dari landasan agama Islam serta diri kita juga akan menjauhi kemungkaran. 

Saya akan jelaskan dengan lebih terperinci mengenai khusyuk dalam solat. Solat kita tidak akan ada maknanya jika tiadanya khusyuk seiring dengan pemahaman ilmunya. Hal ini kerana solat merupakan tiang agama sedangkan kekhusyukan merupakan tuntutan syariat. Ramai orang yang tidak khusyuk ketika melakukan solat kerana mereka telah terpedaya dengan tipu muslihat syaitan. Syaitan akan selalu berusaha dengan segala bentuk cara dan gangguan sehingga mereka tidak dapat merasakan kelazatan ibadah yang sedang mereka lakukan. Syaitan adalah musuh yang nyata bagi kita maka kita tidak boleh mengambil mudah mengenai solat terutamanya tentang kekhusyukan. 

Jika khusyuk tidak wujud dalam diri seseorang ketika menunaikan solat maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian kepada Allah. Justeru itu, kita tidak boleh lalai ketika solat kerana syaitan telah berjanji terhadap dirinya untuk menyesatkan anak Adam sehingga kita lalai terhadap solat yang sedang dilakukan. 

PENDAHULUAN

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun di sebalik itu, kita acap kali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang berona yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Hal ini disebabkan remaja-remaja pada ketika ini telah tersasar jauh dari landasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka tidak menurut perintah Allah seperti bersolat, berpuasa, mengeluarkan zakat serta menunaikan haji bagi yang berkemampuan. 

Solat merupakan tiang agama  manakala doa merupakan senjata orang mukmin. Kita mesti melakukan solat dengan penuh kekhusyukan supaya kita tidak menjadi orang yang lalai. Saya akan memperjelaskan tentang hukum khusyuk, panduan mendapatkan khusyuk dalam solat, kesan solat yang khusyuk serta bahaya solat tanpa khusyuk. Saya juga akan membincangkan sama ada solat yang dilakukan tanpa kekhusyukan adakah sah atau sebaliknya. Di samping itu, kelebihan-kelebihan jika kita mencapai khusyuk dalam solat turut dibincangkan di sini. 

Khusyuk dalam solat amat penting bagi orang yang beragama Islam kerana solat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Solat dapat membentuk akhlak yang mulia. Rasulullah SAW bersabda, “Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu”. Jika kita tidak solat, kita tidak dapat mengamalkan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan seharian malah kita juga turut terlibat dalam masalah sosial termasuklah pergaulan bebas. Oleh itu, isi-isi penting di atas akan mewarnai fokus perbincangan yang akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama. Sebagai penutup wacana, bahawasanya Allah SWT telah memberikan kemenangan kepada orang yang melakukan solat dengan khusyuk. Apabila tidak ada khusyuk, nescaya tidak akan memperoleh kemenangan dalam hidupnya. 

KHUSYUK DALAM SOLAT

1. 1 PENGERTIAN KHUSYUK

Terdapat pelbagai definisi bagi khusyuk antaranya pendapat daripada sesetengah ulama’ bahawa khusyuk adalah memejamkan mata (penglihatan) dan merendahkan suara. Selain itu, pandangan daripada Ali Ibnu Abi Thalib mengenai khusyuk ialah tidak berpaling ke kanan dan ke kiri di dalam solat. Amru Ibnu Dinar mengatakan bahawa khusyuk adalahtenang dan bagus kelakuan dan Ibnu Sirin juga mengatakan bahawa khusyuk ialah tidak mengangkat pandangan dari tempat sujud. Namun demikian, Ibnu Jubair mengatakan bahawa khusyuk ialah tetap mengarahkan fikiran kepada solat hingga tidak mengetahui orang di sebelah kanan dan di sebelah kiri dan Atha juga berpendapat bahawa khusyuk ialah tidak mempermainkan tangan dan tidak memegang-memegang badan dalam solat. Dengan mengumpulkan makna-makna tersebut, maka pengertian khusyuk ialah “Amalan badan, seperti tenang, amalan hati sama dengan takut”. Menurut pentahkikan khusyuk ini ialah amalan hati, suatu keadaan (kelakuan) yang mempengaruhi jiwa dan akan lahir keberkesanannya pada anggota, seperti tenang dan menundukkan diri. Nabi Muhammad bersabda bahawa, ”Sekiranya khusyuk hati jiwa orang ini, tentulah khusyuk segala anggotanya”. Tegasnya, khusyuk ialah tunduk dan tawaduk serta tenang hati dan semua anggota kepada Allah. (Muhamad Aiman Al-Zuhairi : 2008)

1. 2 HUKUM KHUSYUK

Menurut pendapat yang dapat dipertanggungjawabkan bahwa hukum khusyuk adalah wajib, sebagaimana yang telah dikatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah semoga Allah akan memberi rahmat kepadanya. Menurut Imam Al-Ghazali mengenai khusyuk dalam solat amat penting kerana khusyuk itu adalah jiwa solat sehingga baginya orang yang merasa solatnya tidak khusyuk wajib mengulanginya. Beliau membawa tiga ayat Al Quran sebagai pegangannya iaitu kerjakanlah sembahyang untuk mengingati Aku dalam Surah Taha ayat 14. Kedua, dan janganlah engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang alpa dalam Surah Al-A’raf ayat 205. Seterusnya, dalam Surah An- Nisak ayat 43, dan janganlah kamu menghampiri sembahyang ketika kamu mabuk hingga kamu mengetahui apa yang kamu lafazkan. (Mustafa Suhaimi : 1999)

Dalam Surah Al-Mu’minuun ayat satu hingga dua menerangkan “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyuk solatnya” serta ayat 10 hingga 11 yang bermaksud “Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka itu kekal di dalamnya”. Terdapat hadis (Majmu’ Ul Fatawa, jilid 22, halaman 553-558) yang menunjukkan kewajipan khusyuk di dalam solat ini adalah bahawa  Rasulullah SAW pernah mengancam orang yang meninggalkan kekhusyukan di dalam solat. Beliau mengumpamakan orang yang tidak khusyuk tersebut seperti orang yang mengangkat pandangannya ke langit tersebut bercanggah dengan keadaan khusyuk. (Muhammad Salleh Al Munajjid : 2001)

1. 3 PANDUAN UNTUK MENDAPAT KEKHUSYUKAN DALAM SOLAT

Saya rumuskan inti pati daripada segala panduan bagi mencapai khusyuk dalam solat antaranya adalah ketika solat kita hendaklah menganggap diri kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia isi hati hamba-Nya. Selain itu, kita juga hendaklah memahami dan menghayati makna segala ayat yang kita baca terutamanya Al-Fatihah. Muhammad Al-Bakri berkata, “bahawa di antara amalan yang dapat menghasilkan khusyuk ialah memanjangkan rukuk dan sujud”. Jadi, kita perlu memanjangkan rukuk dan sujud bagi mencapai kekhusyukan. Di samping itu, kita tidak boleh terlalu menggerakkan anggota seperti menggaru kepala, berpaling ke kanan dan ke kiri kecuali ketika memberi salam. Kita juga hendaklah memberi tumpuan yang sepenuhnya agar seluruh ingatan dan fikiran kita semata-mata kepada Allah. Kosongkan hati, daripada apa sahaja yang boleh mendatangkan rasa curiga dan bimbang. Oleh sebab itu, kita perlu elakkan solat sambil menahan daripada membuang air besar ataupun kecil serta membuang angin. Selain daripada itu, rasa takut dan rendah diri terhadap Allah SWT juga merupakan salah satu kaedah untuk mencapai khusyuk dalam solat. Perasaan takut ini adalah alamat khusyuk dan penyebab kepada khusyuk. Kita juga perlu ingat bahawa solat ini merupakan amalan terpenting dan jalan terbaik untuk menjamin kejayaan di akhirat. (Mustaffa Suhaimi : 1999)

1. 3. 1 Peranan hati
Untuk lebih terperinci dalam topik ini, hati memainkan peranan yang amat penting kerana hati manusia mudah dijangkiti dengan penyakit lalai. Bagaimanakah hati boleh menjadi perantaraan sekiranya ia dalam keadaan lalai sedangkan hati merupakan perantaraan kepada Allah? Maka selagi hati kita lalai segala bacaan itu tidak sampai kepada Allah. Sekiranya tidak diubati penyakit tersebut, maka hati akan terus lalai dari melaksanakan tanggungjawab mengingati Allah ketika melaksanakan fardu solat. Imam Al-Ghazali menggariskan beberapa kaedah luaran bagi merawat hati supaya tidak dihinggapi penyakit lalai. Antaranya, adalah dengan memejamkan mata ketika solat. Ertinya, mata juga kena beringat kerana seseorang sangat mudah mengikut ke mana sahaja pandangan matanya. (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

1. 3. 2 Elakkan gangguan solat dengan membatasi pandangan

Sehubungan dengan itu, memejamkan mata dengan maksud menghindari daripada memandang sesuatu yang tidak baik itu sepatutnya dilakukan sebelum mendirikan solat. Justeru, kita perlu berusaha menghindari pandangan daripada perkara yang boleh melekat dalam ingatan agar ia tidak terbawa-bawa sehingga kita menjadi khusyuk ketika solat. Oleh itu, sebaik-baiknya seseorang itu berdiri menghampiri dengan dinding atau tembok yang boleh membatasi pandangan matanya, atau sudut-sudut yang sekiranya dia membuka mata hanya akan terhenti pandangannya itu ke arah sudut terdekat itu semata-mata. Ataupun memandang ke tempat sujud sahaja jika kita tidak berada di hadapan dinding. (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

Sesetengah orang yang berusaha untuk mengatasi masalah tersebut dengan menggali liang dan bertapa di dalam gua yang sunyi untuk beribadah serta menghindar daripada gangguan bagi mencapai rasa khusyuk. Walau bagaimanapun, Islam tidak menggalakkan perbuatan bertapa seperti itu sehingga terpaksa mengasingkan diri daripada bergaul dengan orang ramai. Hal ini bersangkut-paut dengan peranan di sisi Islam dalam perjuangan seseorang untuk masyarakat. Seseorang itu harus berada dalam kalangan masyarakat tetapi dia seharusnya berperanan untuk membentuk orang ramai ke arah yang dikehendaki oleh Islam. Seseorang itu perlu mempengaruhi orang ramai ke arah kehidupan berakidah dan jangan pula dia terpengaruh dan diheret oleh masyarakat yang rosak sehingga dirinya turut menjadi rosak.  (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

Selain daripada itu, kita hendaklah menghindar diri kita daripada menunaikan solat di tepi-tepi jalan yang mana menjadi laluan orang ramai dan juga kenderaan misalnya di kaki lima. Hal ini boleh memberi kesan terhadap solat kita malah ia turut membahayakan diri sendiri. Sejadah yang mempunyai pelbagai ukiran bunga, gambar serta berwarna-warni juga merupakan hal sampingan yang boleh mendatangkan gangguan. Kebanyakan para pengusaha sejadah ini bukan daripada golongan orang Islam. Mereka membentuk ukiran dan gambar-gambar itu atas muslihat untuk melariskan perniagaan sahaja. Ada kalanya juga, mereka menyelitkan unsur-unsur tertentu di permukaan sejadah misalnya berbentuk salib. Selain daripada itu, terdapat juga usahawan yang mengukirkan gambar-gambar masjid Al-Aqsa, masjid Istanbul dan masjid Nabawi seolah-olah ia menggambarkan seni reka Islam tetapi sebenarnya segala ukiran itu boleh melalaikan apabila mata seseorang yang sedang solat itu merenung ke arah corak dan warna yang terdapat pada sejadah itu. Oleh yang demikian, menggunakan hamparan berwarna putih tanpa corak lebih sesuai kerana setiap warna-warni yang terdapat pada hamparan yang sedang digunakan dalam solat itu akan mengundang hati dan ingatan seseorang terhadap warna dan ukiran tersebut. (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

1. 3. 3 Hayati makna ayat bagi mencapai kekhusyukan

Kita hendaklah memahami dan menghayati makna segala ayat yang kita lafazkan. Hadir hati dalam solat ialah memusatkan segala fikiran kepada yang dikerjakan iaitu solat, tiada berpaling kepada selain-Nya. Sesungguhnya tidak ada harga solat yang tidak khusyuk di dalamnya kerana Allah telah mengaitkan kemenangan orang mukmin, dengan khusyuk di dalam solatnya. Terdapat enam perkara yang diringkaskan untuk huraian dalam persoalan ‘hadir hati’ iaitu sebagai nyawa kepada solat. Antaranya ialah hudbur al-qalbi, at-tafahhum, ta’zim, al-hebah, ar-rajaa dan al-hayaa. (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993)

Pengertian pertama yang mengenai hudbur al-qalbi yang dikenali sebagai hadir hati iaitu berusaha membuang segala perkara yang tidak ada hubungan dengan Allah SWT yang dihadapkan segala bacaan dan ucapan. Di dalam solat, kita mengucapkan segala pujian dan memohon petunjuk dan sebagainya. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa jangan sesekali seseorang itu keluar dari apa yang difikirkannya sehingga menyebabkan ucapan dengan  pemikiran kita berlainan. Segala ucapan dalam solat itu disusun oleh Allah SWT sendiri, bukanlah seperti ucapan doa selepas solat di mana seseorang itu yang mengaturnya untuk berdoa apa-apa sahaja yang dikehendakinya. Sudah tentu untuk mengosongkan hati daripada perkara yang boleh membuat kita menjadi lalai dalam solat merupakan perkara yang berat. Namun begitu, kita perlu berusaha setiap kali melakukan solat. Pokoknya, usaha harus dilakukan secara berterusan.  (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993)

Sesetengah orang yang terlalu bimbang dengan tajwid ketika membaca Al-Fatihah dalam solat sehingga dia mengulanginya beberapa kali kalimah-kalimah yang dibacanya kerana untuk meyakinkan bacaannya itu betul mengikut tajwid. Setelah kita belajar dan guru pun sudah berpuas hati tentang makhraj dan tajwid kita itu, maka selepas itu kita tidak perlu bimbang lagi dengan persoalan betul atau tidak mengenai bacaan kita. Hal ini kerana kebimbangan serupa itu boleh memberi ruang kepada syaitan untuk mencelah dan mengganggu kekhusyukan kita sehingga boleh menyebabkan kelalaian untuk menghayati tujuan soalt itu.  (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993)

Pengertian yang kedua at-tafahhum bererti melakukan usaha untuk memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat itu sama ada perbuatan dan juga segala bacaan kita. Walaupun hati seseorang sudah terikat dengan lafaz kalimah yang diucapkan oleh lidah namun ia juga dapat menghalang kita daripada lalai dan mengingati perkara-perkara lain namun ia belum juga bererti ia telah menyempurnakan rasa hadir hati selagi ia tidak memahami segala patah kata yang sedang diucapkannya itu. Setiap kali hati orang yang mengerjakan solat itu dapat mengikut kalimah yang diucapkan itu, maka itulah yang dimaksudkan dengan at-tafahhum. Imam Al-Ghazali juga mengatakan bahawa tidak semua orang dapat mencapai maqam yang serupa dalam menghayati at-tafahhum itu kerana ada orang yang sekadar dapat memahami makna yang sehabis tinggi dan ada juga orang yang sekadar peringkat kulit sahaja. Sebaliknya, terdapat juga orang yang selain daripada faham malah mereka merasa gerun dan terasa mencengkam hatinya. Sekiranya mereka membaca ayat-ayat mengenai kiamat, peristiwa dahsyat itu terasa mencengkam ke dalam hati mereka seolah-olah kiamat itu sedang berlaku di hadapannya. Ini semua bergantung pada keadaan seseorang dalam pencapaian ilmunya. (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993)

Pengertian yang ketiga at-ta’zim iaitu merasa kebesaran Allah yang sedang disembah di dalam solat itu dan orang yang melakukan solat itu ada rasa hormat dan ta’zim kepada-Nya. Seterusnya, pengertian yang keempat al-haibah iaitu bukan sahaja merasa kebesaran Ilahi tetapi juga merasa gerun terhadap keagungan Allah itu. Kelimanya  ar-rajaa iaitu sentiasa menaruh harapan besar dan mudah-mudahan segala ibadah solat yang dilakukan itu mendapat ganjaran daripada Allah SWT dan menjadi orang yang berat timbangan amalnya di akhirat kelak. Akhir sekali,  al-hayaa iaitu merasa malu terhadap Allah SWT atas segala kelalaian dan kekurangan serta kecacatan di dalam ibadahnya, sekadar mana yang terdaya dilakukan namun dipersembahkan juga ibadah tersebut kepada Allah. Kesemua enam perkara itu jika diadun dengan sebaik-baiknya di dalam solat maka hati kita tidak akan lalai. (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993 dan Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

1. 3. 4 Dorong hati mendekati khusyuk

Pada waktu yang sama juga, kita perlu mendorong hati untuk mendekati khusyuk kerana hati kita sering lalai. Oleh itu, untuk menghindari lalai kita hendaklah memaksa hati agar ia ingat akan Allah dengan sentiasa mengawal wajah hati daripada berpaling kepada Allah. Apabila batin telah khusyuk maka segala perbuatan yang lahir juga akan menjadi khusyuk. Selain daripada itu, kita juga perlu mendorong hati agar dijauhi dengan perasaan khuatir dan waswas. Lintasan-lintasan hati ada kalanya timbul dari dalam diri sendiri dan ada kalanya juga datang tanpa dikehendaki atau dengan tidak disengajakan. Khuatir terbahagi kepada dua iaitu kekuatan jiwa sendiri dan suatu yang tidak masuk ke dalam lingkungan kekuatan jiwa. Contoh khuatir yang terbit daripada kekuatan jiwa sendiri ialah seorang pendengki digerakkan oleh kekuatan dengkinya yang ada pada dirinya dan membuatkan si pendengki ini sakit hati dari orang yang didengkinya serta menghilangkan nikmat yang ada pada orang yang didengkinya itu. Khuatir seperti ini pasti dihisab baik dikeluarkan atau disembunyikan terkecuali jika dia berusaha menolak garisan-garisan yang ada pada hatinya. (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993 dan Muhamad Aiman Al-Zuhairi : 2008)

Khuatir yang terbit dari suatu yang tidak masuk ke dalam lingkungan kekuatan jiwa misalnya teringat akan penganiayaan yang telah menimpa dirinya. Kita perlu berwaspada dengan pemikiran kita agar tidak memikirkan penganiayaan yang telah berlaku. Tetapi kadang-kadang kita tidak terlepas daripada berfikir untuk mengatur strategi untuk menjerumuskan orang yang telah menganiaya atau membalas aniaya itu dengan lebih buruk. Adapun lintasan-lintasan yang terlintas di hati dan perkataan-perkataan bernafsu yang tidak dimaksudkan tidak menjadi keinginan yang tetap maka tidaklah dihisab. Namun demikian, apabila seseorang berdiri di dalam solat, syaitan akan berusaha untuk memperdayakan dan mengingatkan kita kepada sesuatu yang telah dilupakan di luar solat supaya kita telah menjadi tidak fokus ketika solat. (Muhamad Aiman Al-Zuhairi : 2008)

Terdapat tiga pembahagian hati. Pertama, hati yang kosong daripada iman dan kebajikan iaitu hati yang gelap. Keadaan hati yang sebegini, syaitan tidak berusaha apa-apa lagi kerana memang telah menjadi sarangnya. Kedua, hati yang mempunyai penerangan iman tetapi mempunyai gangguan syahwat. Hati yang sebeginilah yang syaitan akan masuk ke dalamnya maka terjadilah peperangan iman dengan syaitan-syaitan di dalam hati itu. Akhir sekali, hati yang penuh iman dan terang-benderang sedikit pun tidak ada kegelapan di dalamnya. Hati yang sebegini pula tidak akan didekati syaitan. Oleh itu, terdapat dua penolong yang dapat menolok waswas iaitu kekuatan hati dan kelemahan pembimbing waswas. Kita akan memperoleh kekuatan hati jika kita memahami maknayang dibaca dan yang dikerjakan, serta memahami erti surah-surah yang dibaca, zikir-zikir yang disebut dan doa-doa yang dipohonkan. Hal ini dapat menutup rasa waswas itu kerana apabila lisan membaca hati akan terus mengingati maknanya. Bukan itu sahaja, kekuatan hati dapat ditingkatkan jika kita benar-benar mengingati bahawa apabila bersolat senarnya kita sedang bermunajat dengan Allah yang dapat melihat segala gerak-geri kita seperti gerak-geri anggota kita dan yang dapat mendengar dan mengetahui segala isi hati kita. Penolong yang kedua, kelemahan pembimbing waswas adalah dengan bersungguh-sungguh kita menangkis segala yang membimbangkan hati seperti menangkis segala yang membimbangkan hati misalnya, menangkis segala fikiran yang bukan-bukan. (Muhamad Aiman Al-Zuhairi : 2008)

1. 3. 5 Pusatkan hati ke arah objek bagi mencapai kekhusyukan

Apabila kita bersolat, fikiran kita mestilah fokus kepada Allah SWT agar solat kita diterima Allah dan hati kita akan merasa tenang. Sekiranya ketengan itu tidak dapat dicapai dengan solat maka sudah tentu ada sebab-sebab yang menghalang ketenangan itu daripada dicapai. Banyak halangan yang menyebabkan hilangnya ketenangan ketika solat yang berpunca dari persekitaran dan juga dari dalam diri sendiri. Bagi mengelak masalah persekitaran, kita mestilah berdiri berdekatan dengan dinding supaya pandangan terbatas. Selain itu, kita perlulah mengelakkan daripada mengguna sejadah yang berwarna-warni dan bercorak agar kita dapat pusatkan hati ke arah objek yang dikehendaki. Sebab yang kedua ialah berunsur dalaman iaitu gangguan yang datang dari dalam diri sendiri. Walau bagaimanapun jika jasad lahiriah boleh dikawal pergerakannya maka hati kita juga boleh dikawal dan diarah untuk memusatkan ingatannya kepada sesuatu objek yang dikehendaki. Sebenarnya hati manusia itu mampu menguasai sifat khusyuk atau memusatkan ingatannya secara khusus kepada sesuatu yang dihajati. (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

Tiada masalah yang tiada penyelesaiannya maka cara-cara yang telah dijadikan panduan oleh ulama’ perlulah kita ikuti iaitu untuk memusatkan hati dan ingatan kepada matlamat yang dituju di dalam solat ialah ketika berdiri sebelum kita memulakan takbiratulihram. Kita hendaklah membaharui ingatan ke alam akhirat iaitu ke Padang Mahsyar yang penuh dengan himpunan manusia-manusia, umat kepada para nabi dan rasul. Nabi Muhammad SAW juga akan berada di sana bersama para rasul yang lain sibuk menghadapi umatnya dan seluruh manusia yang sedang terjemur beribu-ribu tahun kerana menunggu hari mizan iaitu hari pertimbangan amal. Kita juga hendaklah membaharui ingatan kepada Allah kerana ketika itu kita masih diberi kesempatan oleh-Nya untuk melangsungkan sesi dialog antara Allah SWT dengan hamba-Nya. Allah SWT sentiasa bersedia untuk mendengar apa-apa jua yang bakal dipohon dan dipinta serta rintihan hamba-Nya.  (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

1. 3. 6 Mengharap limpah rahmat dari sifat ‘Lutfillah’

Di samping itu, kita juga perlu rasa penuh pengharapan atau meletakkan pergantungan terhadap Allah SWT. Hal ini kerana ia telah makrifat akan sifat ‘lutfillah’ iaitu sifat lemah lembut Allah SWT dan mukaram serta luas nikmat-nya dan amat halus serta ciptaan-Nya. Sifat lemah lembut atau halus  budi bicara Allah SWT itu telah melimpahkan rahmat-Nya sehingga manusia sebagai hamba ini hanya melakukan ibadah atau amal terlalu sedikit tetapi Allah Yang Maha Latif itu memberi ganjaran yang lebih. Satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh malah lebih daripada itu. Oleh itu, kita perlu berazam bersungguh-sungguh dan melakukan ibadah itu dengan khusyuknya hanya kepada Allah semata-mata. Tetapi, apabila kita sedang melakukan ibadah solat ada kalanya juga sejak rukuk atau sujud tiba-tiba hati kita melayang ke tempat lain dan ingtan kita turut mengembara namun apabila kita tersedar daripada kelalaian itu, kita perlu segera kembali mengingati Allah. Oleh sebab kita mengetahui bahawa Allah SWT itu bersifat Latif lemah lembut serta Maha Penyayang yang boleh berkira bicara terhadapnya hamba-Nya yang lemah ini maka sudah tentu seseorang itu boleh menaruh harapan dan yakin bersungguh-sungguh kepada Allah bahawa Allah akan menerima solatnya walaupun hanya separuh ingatannya mengingati Allah ketika solat.  (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

1. 4     Kelebihan khusyuk dalam solat

Antara kelebihan khusyuk dalam solat adalah pahala yang didapati oleh seseorang yang melaksanakan solat itu dapat diukur sesuai dengan tingkat kekhusyukannya. Yang keduanya ialah seorang yang melaksanakan solat itu tidak akan mendapatkan pahala daripada solatnya kecuali sesuai dengan pemahamannya terhadap solat tersebut. Segala beban, dosa dan noda akan terlepas daripada seseorang yang melaksanakannya dengan penuh kekhusyukan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Sesungguhnya seorang hamba jika telah berdiri untuk melaksanakan solat, kemudian didatangkanlah dosa-dosanya secara keseluruhan, kemudian dosa-dosa itu diletakkan di atas kepalanya dan di atas kedua-dua bahunya, maka setiap dia rukuk dan sujud berjatuhlah dosa-dosa itu daripadanya”. (Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, di dalam As-Sunnan Al-Qubra, jilid 3, halaman 10. Dan disebutkan juga di dalam Shahihul Jami’). Kelebihan yang seterusnya adalah apabila seseorang itu khusyuk solat dia dapat merasakan ketenangan jiwa. Dengan demikian dia akan menemukan ghairah  hidup, kesenangan dan kegembiraan sehingga dia berangan-angan agar dia tidak keluar dari solatnya. (Muhammad Shaleh Al Munajjid : 2001)

1. 5 Kesan solat yang khusyuk

Di sebalik hujan ada kecantikan pelangi. Begitu juga setiap perkara yang berlaku ada baik dan ada buruknya. Selepas kita mengetahui kelebihan-kelebihan khusyuk dalam solat, terdapat juga kesan solat yang khusyuk antaranya akidah kita akan terjaga. Bukti yang jelas dan berkaitan dengan perkara ini menunjukkan Imam Al-Ghazali ada menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia kerana solat bertujuan selain daripada mengingati Allah SWT, solat juga berfungsi sebagai alat pencegah daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Apabila kita lalai ketika menunaikan solat ia bererti orang tersebut tidak akan merasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Sebagai contohnya, apabila kita membaca ayat kelima dari Surah Al-Fatihah yang bermaksud, “Engkaulah yang ku sembah dan Engkaulah tempat ku bermohon” 

Ayat di atas bermaksud mereka telah diberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah. Hal ini menyebabkan mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar kerana apabila mereka melakukan perbuatan keji bererti mereka telah menjadi hamba nafsu. Hal ini bersangkut-paut dengan percanggahan perbuatan dan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah SWT semata-mata. Jika kita menghayati dan memahami bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Allah, cukuplah kesemua itu akan menghakis sikap-sikap negatif yang ada pada diri manusia. (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995)

1. 6 Bahaya solat tanpa khusyuk

Maksud yang tersirat daripada perkataan bahaya solat tanpa khusyuk ialah orang-orang yang mengerjakan solat tetapi  solat mereka itu dalam keadaan lalai dan lupa. Antara erti kata lupa yang pertama ialah mereka yang lupa ketika mendirikan solat sehingga tidak sedar berapa rakaat solat yang dikerjakannya. Mereka juga lupa waktu masuk solat fardu ataupun mereka ingat akan waktu tetapi mereka menangguhkan solat. Mereka menangguhkan solat disebabkan urusan pekerjaan dan seumpamanya. Termasuk juga dalam erti kata lupa ialah mereka yang melupakan maksud sebenar solat yang diperintahkan oleh Allah SWT walaupun mereka mendirikan solat namun bukan daripada kesedaran akan maksud dan hikmah solat itu. Ibnu Jarir pula mengertikan perkataan lupa itu ialah mereka tidak bersungguh-sungguh mengerjakan solat dan ingatannya juga tidak fokus dalam solat dan mereka tidak menyegerakan untuk membulatkan ingatannya untuk Allah SWT. Selain itu, mereka yang melakukan solat di awal waktu itu merasa beruntung serta bersyukur kerana Allah telah mengizinkannya untuk mengerjakan solat di awal waktu dan jika mereka melambat-lambatkan solatnya sehingga di hujung waktu pun tidak merasa sesuatu yang merugikan juga merupakan salah satu maksud lalai dan lupa. Orang yang telah sampai ke peringkat yang tidak merasai perbezaan antara solat di awal waktu dan di hujung waktu maka mereka akan mendapat kedudukan yang selayaknya iaitu di dalam neraka. (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993)


Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “ Berapa banyak orang yang mendirikan solat tetapi yang diperolehnya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya”. Hadis tersebut menggambarkan walaupun banyak solat yang kita dirikan tetapi kita tidak akan mendapat pahala solat tersebut. Hal ini kerana orang yang mengerjakan solat itu dalam keadaan lalai maka Allah SWT menjanjikan balasan api neraka kepadanya. Selain itu, sesetengah orang yang terlambat mengerjakan solat kerana tertidur. Jika kita tertidur apabila setelah masuknya waktu solat atau ketika waktu solat hampir tiba itu disifatkan sebagai kecuaian. Lebih baik jika seseorang itu mengerjakan solat itu terlebih dahulu sebelum tidur. Tidur yang dianggap sebagai ibadah hanyalah tidur yang dilakukan sebagai modal untuk berjaga malam kerana hendak melakukan solat malam seperti yang digalakkan oleh Islam.  (Abu Hanifah Abdul Rahman : 1995 dan Mohd Rizal Mohd Nor : 1993) 

1. 7 Adakah sah solat yang dilakukan tanpa khusyuk?

Pada realitinya, memang tidak dinafikan lagi ramai orang yang menanyakan adakah solat yang dilaksanakan tanpa kekhusyukan itu dianggap sebagai solat atau tidak dianggap sebagai solat. Maka jawapannya adalah jika permasalahannya adalah dianggap sebagai solat atau sebaliknya dalam masalah pahalanya, solat yang dilakukan tanpa kekhusyukan itu tidak dianggap solat kecuali sesuai dengan pemahaman orang yang melakukan solat terhadap solat yang dilaksanakan dan sesuai dengan tingkat kekhusyukan kepada Allah. Ibnu Abbas pernah berkata, “ Tidakkah ada pahala daripada solat mu, kecuali sesuai dengan pemahaman mu terhadap solat yang dilakukan itu”. Di dalam Al-Musnad juga disebutkan dalam sebuah hadis marfu’ yang bermaksud, “ Sesungguhnya seorang hamba benar-benar melaksanakan sebuah solat, sedangkan dia tidak mendapatkan sebarang pahala daripada solat itu, kecuali separuhnya atau sepertiganya atau seperempatnya sampai kepada sepersepuluhnya. ”.  (Muhamad Shaleh Al Munajjid : 2001)

Orang yang melaksanakan solat dengan khusyuk ialah orang yang mendapat keberuntungan. Namun jika anggapan terhadap solat itu ditinjau dari sisi hukum dunia dan jatuhnya hukuman, maka dapatlah ditentukan seperti berikut iaitu jika solat yang dilakukan oleh seseorang itu lebih banyak kekhusyukan dibandingkan dengan kelalaian dan pemahamannya dibandingkan dengan ketidakfahaman terhadap solat yang dilakukan maka solatnya itu boleh dianggap sebagai solat. Sedangkan ibadah-ibadah sunat seperti berzikir dan berdoa yang dilakukan setelah melakukan solat itu merupakan penyempurna dan pelengkap daripada kekurangan-kekurangan yang terdapat pada solat yang dilaksanakan itu. (Muhammad Shaleh Al Munajjid: 2001)

Selain daripada itu, persoalan yang sering menjadi tanda tanya seperti adakah kita harus mengulangi solat apabila tiada kekhusyukan dan ketidakfahaman dalam solat yang didirikan ? Ibnu Hamid, seorang faqih aliran mazhab Al-Imam Ahmad menyatakan bahawa solat yang dilaksanakan tiada kekhusyukan dan ketidakfahamannya atau dengan kata lain, solat yang dilakukan oleh seseorang itu tidak wajib untuk mengulangi kembali solat yang telah dilaksanakannya. Mereka berlandaskan kepada hadis Rasulullah SAW bahawa Rasulullah hanya pernah memerintahkan kepada orang yang lalai di dalam solatnya untuk melakukan dua sujud, iaitu yang dikenali sebagai sujud sahwi. Rasulullah juga tidak pernah menyuruh untuk mengulangi kembali solat yang telah dilaksanakannya sebagaimana sabda, “Sesungguhnya syaitan yang datang kepada seseorang di antara kamu, kemudian dia akan berkata: “Sebutlah begini, sebutlah begitu (ingatlah masalah ini, ingatlah masalah itu). ‘Selama orang itu tidak mengingat (maka) dia terus mengganggu hingga tersesat, (lalu) tidak mengetahui berapa (rakaatkah) dia telah melaksanakan solatnya”. Namun hal ini tidak bererti bahawa solat yang dilaksanakan itu tidak ada pahalanya sama sekali tetapi dia akan mendapatkan pahala daripada solat yang dilaksanakannya itu sesuai dengan kehadiran hatinya di hadapan Allah dan disesuaikan dengan tingkat ketundukannya. (Muhammad Shaleh Al Munajjid : 2001)

Rasulullah SAW menamakan dua sujud itu dengan sebutan Al-Murghamataini yang bermaksud dua sujud yang dapat menundukkan tipu daya yang dilancarkan oleh syaitan. Para fuqaha’ itu juga berkata, “ Inilah rahsia daripada dua sujud sahwi itu yang merupakan penunduk terhadap tipu daya yang dilancarkan syaitan tentang seorang hamba, di mana dia selalu menjadi pengadang yang bersarang di antara seorang hamba dengan kehadiran hatinya di hadapan Allah SWT di dalam solat. Jika seseorang berkeinginan untuk mewajibkan pengulangan solat yang telah dilakukan maka dia akan mendapat manfaatnya hanya sahaja dengan sebuah catatan jiak solat yang kedua kalinya itu lebih baik in sha Allah akan ada manfaatnya. Namun jika dia salah lagi, tentu akibatnya harus ditanggung dan dia juga akan diberikan hukuman jika hal itu ditinggalkan serta hukumnya dikategorikan sebagai orang yang meninggalkan solat. Wallahu a’alam. (Muhammad Shaleh Al Munajjid : 2001)

1. 8        Rahmat Allah serta kaitannya dengan khusyuk dalam solat

Sekiranya seseorang yang sentiasa mengingat bahawa kehidupannya di dunia ini bergantung atas ihsan Allah, rezeki yang diterima dan dinikmatinya setiap ketika dan alam yang terbentang ini untuk keperluan hidupnya dengan udara yang tersedia malah bagi percuma matahari dan bulan yang menyinarkan cahaya silih berganti siang dan malam. Kesemua ini adalah anugerah Allah terhadap hamba-Nya maka ia akan memberikan natijah yang baik iaitu sentiasa khusyuk ketika melakukan solat. Hal ini menunjukkan betapa eratnya hubungan dan rahmat Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya iaitu manusia. Di dalam kitab ‘Minhajul Abidin’ nikmat terbahagi kepada dua iaitu nikmat al-ijad dan nikmat al- Imdad. Nikmat al-ijad nikmat bahawa Allah SWT telah menjadikan kita. Apabila manusia diciptakan dan lahirlah kita untuk melihat dunia. Seterusnya, nikmat pertolongan, Allah SWT memelihara makhluk-Nya dan menyediakan segala keperluan jasad dengan segala infrastruktur yang diwujudkan di sekelilingnya. Sebagai contoh, daratan tempat tinggal dan lautan untuk belayar membawa barang dagangan serta rezeki yang terkandung di dasarnya. Nikmat yang paling utama adalah didatangkan para Rasul-Nya untuk membimbing manusia ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di alam yang kekal abadi iaitu di akhirat kelak. Jadi, segala kebuluran dan kesengsaraan yang berlaku itu adalah disebabkan oleh kegagalan atau kelemahan manusia itu sendiri dalam mentadbir bumi ini yang telah diamanahkan kepadanya. Kegagalan pengurusan menyebabkan rezeki yang Allah kurniakan itu tidak diagihkan dengan adil dan sempurna di antara satu sama lain sedangkan Allah telah menjanjikan setiap yang meneroka di muka bumi ini atas Allahlah tertanggung segala rezekinya.  (Mohd Rizal Mohd Nor : 1993)

PENUTUP

Solat merupakan perintah Allah SWT yang disampaikan kepada Rasulullah untuk umatnya. Solat merupakan asas kepada setiap umat Islam untuk menjalani kehidupan di dunia. Melalui solat, manusia dapat diingatkan bahawa betapa dahsyatnya azab Allah pada akhir zaman nanti ketika semua manusia di himpun di Padang Mahsyar untuk dipertanggungjawabkan segala amal dan perbuatan yang dilakukannya selama di dunia. Tempat bagi kekhusyukan adalah di hati nurani. Walau bagaimanapun, ia dapat memberikan kesan terhadap jasmani sebab anggota badan akan mengikuti hati nurani tersebut. Jika hati nurani kita telah rosak ia bermaksud hati kita tidak khusyuk dan ia berada dalam keadaan yang lalai. Hal ini disebabkan tipu daya syaitan dan menyebabkan kekhusyukan kita turut akan rosak. 

Setelah kita mengetahui tentang kebaikan dan keburukan mengenai kekhusyukan dalam solat, saya berharap agar sama-samalah kita memperbetulkan atau memperbaiki solat kita sebagai supaya ia lebih khusyuk. Hal ini sangat tidak merugikan malah kita sangat beruntung kerana hati kita tidak lalai ketika berhadapan dengan Allah. Apabila kita sudah mengetahui akan kebenaran atau kebaikan serta kelebihan khusyuk dalam solat, kita tidak wajar hanya akur dengan kesalahan yang selalu kita lakukan tetapi kita seharusnya mengorak langkah dengan mendorong hati kita ke arah kekhusyukan kerana sesiapa yang menjaga solatnya maka dia telah menjaga agamanya dan sesiapa yang mensia-siakan solatnya maka dia telah mensia-siakan agamanya. 

Secara tuntasnya, saya berharap kongsian saya di sini dapat memberi manfaat kepada pembaca dan juga diri saya sendiri. Bersama-samalah kita berusaha ke arah kebaikan dan seterusnya dapat membangunkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang dari segi akhlak mahupun jasmani serta rohani. 

RUJUKAN

Muhamad Aiman Al-Zuhairi (2008). Rahsia mencapai khusyuk dalam solat. Johor Baru: Pustaka Azhar. 

Mustaffa Suhaimi (1999). Rahsia khusyu’ dalam sembahyang. Ulu Kelang, Selangor: Progressive Products Supply. 

Muhammad Shaleh Al Munajjid (2001). 33 Panduan mendapatkan khusyuk dalam solat, diterjemaholeh M. Amin Uthman. Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada. 

Abu Hanifah Abdul Rahman (Ogos 1995). Khusyuk dalam solat. Kepala Batas, Pulau Pinang: Dewan Muslimat Sdn. Bhd. 

Mohd Rizal Mohd Nor (Jun 1993). Khusyuk dalam solat. Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan PAS Pusat Kuala Lumpur. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com