Hukum Menunaikan Ibadat Haji

Hukum Menunaikan Ibadat Haji

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz B Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam

Disediakan Oleh:
Fatin Suzila Binti Rozi

Pendahuluan

Risalah ringkas ini menghimpunkan serta menjelaskan hakikat perlaksanaan ibadat haji serta beberapa panduan yang sangat penting bagi bakal-bakal jemaah haji khususnya. Allah SWT telah mengurniakan sedikit sebanyak idea untuk menghasilkanya. Apa yang terkandung di dalam ini boleh dijadikan panduan berguna untuk mengerjakan rukun Islam kelima iaitu ibadat haji. Dari awal perkara sehingga akhir tentang ibadat haji dilampirkan dan diperlihatkan di sini. Telah disusun mengikut urutan perlaksanaanya agar memudahkan pembaca untuk memahaminya. Bermula dari takrif ibadat haji, syarat-syarat wajib, rukun haji, dan perkara-perkara wajib haji dihimpunkan di dalam ini. Turut terkandung amalan-amalan sunat yang mudah dan dapat dilaksanakan oleh para jemmah haji. Disamping itu, turut diselitkan tentang manfaat-manfaat yang diperoleh dan hukum-hukum perlaksanaan ibadat tertentu. Berharap dengan adanya panduan ini dapat membantu segala permasalahan tentang kekeliruan dalam menunaikan ibadat haji. 

TAKRIF HAJI
Sebagai seorang manusia yang bergelar muslim kita haruslah mengetahui, menghayati serta melaksanakan setiap perintah Allah SWT. Ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan hanya sekali seumur hidup oleh setiap orang muslim sama ada lelaki mahupun perempuan apabila telah cukup syarat-syarat mengerjakannya. Setiap ibadah yang dilakukan mempunyai syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan dan wajib dipatuhi. Sebelum mengetahui dengan lebih terperinci tentang syarat-syarat wajib haji, kita harus mengetahui apa yang dimaksudkan dengan ibadat haji dalam Islam. Dari sudut bahasa ibadat haji membawa maksud mengqasadkan atau mengunjungi  atau menziarahi sesuatu tempat. Pengertian ibadat haji menurut syara’ pula membawa maksud mengunjungi Baitullah dalam bulan-bulan haji iaitu dari 1 Syawal hingga sebelum fajar hari kesepuluh Zulhijjah kerana untuk mengerjakan nusuk kepada Allah SWT. (Setia Jasa, Dato’. (1991)). 

HUKUM MENUNAIKAN IBADAT HAJI

Seperti yang diketahui ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang  wajib dilaksanakan oleh setiap orang muslim. Hanya sekali seumur hidup diwajibkan keatas orang yang sudah mempunyai kesanggupan utuk pergi ke sana, yakni wajib bagi orang mukallaf. Sesiapa yang tidak melaksanakan ibadat haji dan menganggap tidak wajib kepadanya, dihukumkan kafir atau murtad serta wajib dikenakan hukuman keatasnya. Dan sesiapa yang telah cukup syarat dan dengan sengaja tidak mengerjakannya dianggap fasik. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:  “mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang sanggup menggadakan perjalanan ke Baitullah. Sesiapa yang mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam”.    (surah Ali Imran:97) 

Semua ulama sependapat bahawa mengerjakan ibadah haji hukumnya wajib. Orang  yang sudah mencukupi baginya syarat-syarat wajib haji, wajib baginya mengerjakan haji sekali seumur hidupnya. Maksudnya yang wajib hanya sekali, jika dikerjakan untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya dikira sebagai sunat.  

Meskipun hukum mengerjakan ibadat haji itu wajib tetapi ia boleh menjadi harus secara bertangguh, maksudnya boleh dilambatkan untuk mengerjakanya pada tahun akan datang tanpa halangan waktu mengerjakanya dengan sebab nazar, perasaan takut, marah atau sebab binasa harta benda. Kerana boleh jadi melengahkan pekerjaan ini ke tahun akan datang berkemunkinan akan berlaku sesuatu ke atasnya seperti mati dan sebagainya. Jika hal seperti ini berlaku, nyatalah jadi fasik dan berdosa.  

Sunat pula bagi seseorang itu yang telah ada kemampuan melaksanakan ibadat haji tidak menangguhkan pekerjaan tersebut sekiranya tidak ada halangan kerana menyegerakannya adalah melepaskan zimmah serta menambah rasa taqwa kepada Allah SWT. (Syeikh Hasan bin Muhammad Nur Fatani dan Syeikh Adam bin Abdullah Kelantan (2008)).  

MANFAAT MELAKSAKAN IBADAT HAJI

Ibadat haji merupakan syariat agama Allah SWT yang utama. Besar ganjaran pahala yang diperoleh sesiapa yang telah melaksanakanya kerana Allah SWT. Banyak hadis yang menyatakan ibadat haji sebagai ibadat yang paling besar pahalanya. Melaksanakn ibadat haji dengan penuh khusyuk dan ikhlas kerana Allah SWT, akan menghapuskan segala dosa-dosa lalu. Seseorang itu akan diampunkan dosa-dosanya dan seperti seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia tanpa dosa. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “sesiapa yang datang bertujuan mengrjakan ibadat haji semata-mata ikhlas kerana Allah, sesungguhnya akan di ampunkan segala dosanya yang telah lalu dan dosa yang terkemudian serta dapat mensyafaatkan orang yang didoakan. ”      (Riwayat Al Munziri) 

Selain itu, manfaat berikutnya ialah akan dimakbulkan doa orang-orang yang  mengerjakan ibadat haji. Mereka yang menunaikan ibadat haji merupakan tetamu Allah SWT yang telah dijemput olehNya ke tanah suci untuk beribadat. Maka sesiapa yang menyahut seruanNya untuk mengerjakan ibadat haji, Allah akan memberikan apa yang dihajati. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah adalah utusan Allah Azzawajalla. Jika mereka berdoa nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun nescaya Allah mengampuni mereka” (Riwayat Abu Hurairah) 

Seseorang yang mengerjakan ibadat haji dengan penuh keikhlasan akan memperoleh pahala berlipat ganda. Pahala ibadat haji dapat menyamakan pahala jihad fisabilillah, khususnya bagi para wanita dan orang-orang yang lemah yang tidak mampu berjihad.  Sudah dipastikan bahawa ibadat haji memiliki fadhilat atau manfaat rohani yang tinggi. Antara manfaat rohani tersebut adalah kebahagiaan, ketenangan, ketenteraman dan kepuasan hati. Setiap orang yang pergi haji pasti mempunyai pengalaman rohani tersendiri iaitu ketika keberangkatan meninggalkan keluarga, dalam perjalanan menuju ke tanah suci mahupun ketika beribadat di kota Mekah dan Madinah. Manfaat rohani yang diperoleh daripada ibadat haji sangat bergantung kepada kekusyukan seseorang dalam beribadat dan kemampuannya untuk mengambil ibrah, iktibar dan pengajaran daripada setiap peristiwa dan amalan yang dilakukan selama beribadat. (Muhd Najib Abdul Kadir, Prof. Madya. Dr. (2010)) 

Manfaat rohani daripada ibadat haji berupa ketengan hati juga dirasakan kerana ibadat haji dari awal sehingga akhir adalah berisi zikirullah. Dimulakan daripada ihram, talbiah, tawaf, sa’ie, wukuf, melontar dan amalan-amalan haji yang lainnya. Semuanya adalah mengingati Allah SWT. Ketika seseorang itu berzikir kepada Allah SWT, ketika itulah hati akan menjadi tenang, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram”.        (surah Al-Ra’d 13:28) 

Ibadat haji adalah satu-satunya ibadat yang mengumpulkan antara ibadat maliyyah (harta) dengan ibadat jasadiyyah (tubuh badan). Oleh itu, ibadat haji dapat memberikan manfaat dari aspek ekonomi, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Bahkan diakaui ibadat haji memberikan manfaat ekonomi yang sangat besar samada kepada individu, kumpulan mahupun negara. Manfaat ibadat haji dari aspek ekonomi secara langsung misalnya diperoleh melalui proses transaksi ekonomi secara nyata seperti perniagaan, penyewaan, pengupahan dan lain-lain. Perlaksanaan ibadat haji juga membabitkan berbagai jasa dan pelayanan. Bermula daripada kenderaan, makanan, tempat tinggal dan perbelanjaan lainnya. Semua ini manfaat ekonomi bukan sahaja kepada ratusan orang bahkan ribuan orang muslim. (Muhd Najib Abdul Kadir, Prof. Madya. Dr. (2010)).  Seseorang yang menunaikan ibadat haji pula memperoleh manfaat ekonomi yang Tinggi daripada ibadat hajinya. Secara langsung misalnya dengan melakukan perniagaan di musim haji, sebgaimana yang dilakukan oleh beberapa orang jemaah haji dari negara-negara lain. Perkara itu di dalam al Quran dibenarkan dengan syarat tidak mengganggu ibadat haji dan barang-barang yang dijual tentu dibenarkan dalam agama. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Tiada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) daripada tuhanmu. ” (surah Al-Baqarah 2:198) 

Ibadat haji turut memberikan manfaat untuk bersosial dalam kemasyarakatan  khususnya dari aspek perpaduan dan persamaan. Dari aspek perpaduan ibadat haji menjadikan seorang muslim bersatu dan saling membantu antara satu sama yang lain. Perpaduan ini dapat dilihat jelas dari awal semenjak seseorang itu akan berangkat meninggalkan rumahnya menuju ke Tanah Suci sehingga kembali ke negaranya. Tolong-menolong sesama makhluk amat digalakkan oleh Allah SWT sepertimana dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”.   (surah Al-Ma’idah 5:2) 

Perpaduan yang dibina oleh Islam adalah perpaduan yang diasaskan di atas ikatan  al-ukhuwah al-imaniyyah (persaudaraan keimanan). Ikatan persaudaraan ini lebih rapat dan lebih kuat daripada persaudaraan nasab atau keturunan. (Muhd Najib Abdul Kadir, Prof. Madya. Dr. (2010)).       

SYARAT-SYARAT WAJIB HAJI
Setelah mengetahui dan memahami apa yang dimaksudkan dengan ibadat haji, seterusnya akan menerangkan tentang syarat-syarat wajib haji bagi seseorang muslim. Jika sempurna syarat-syarat berikut ke atas seseorang muslim itu, maka dia diwajibkan menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Terdapat lima syarat wajib haji yang diperlihatkan di sini.  Syarat pertama ialah beragama Islam. Seseorang itu haruslah beragama Islam sebelum  menunaikan ibadat haji. Islam merupakan agama lurus, agama yang tidak membebankan manusia dan mudah untuk dilaksanakan. Hanya yang beragama Islam diwajibkan keatasnya menunaikan ibadat haji. Manakala bagi orang-orang kafir dan murtad tidak diwajibkan ke atas mereka untuk mengerjakan ibadat haji tersebut. Jika dikerjakan juga oleh mereka, tidak mengapa. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan (2008)).  Syarat wajib haji yang kedua ialah baligh ataupun cukup umur. Seseorang muslim itu  haruslah cukup umur ketika mengerjakan ibadat haji. Ibadat haji tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak. Jika dikerjakan juga oleh mereka, ibadat haji tersebut dikira sah dan diterima tetapi tidak menggugurkan haji fardhunya. Wajib dilaksanakan juga apabila mereka akil baligh nanti. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan (2008)).  

Selain itu, syarat ketiga ialah berakal. Ibadat haji tidak diwajibkan ke atas orang gila  atau tidak siuman. Seseorang itu haruslah sempurna akalnya ataupun waras ketika mengerjakan ibadat haji tersebut. Orang gila atau tidak siuman dilarang mengerjakannya kerana takut menggangu jemaah haji yang lain. Jika mereka tetap mengerjakannya ibadat haji ini, tidak di kira dan tidak sah hajinya. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan (2008)).  Seterusnya, seseorang muslim itu diwajibkan keatasnya untuk mengerjakan ibadat haji jika dia merupakan seorang hamba yang merdeka ataupun bebas. Merdeka yang dimaksudkan di sini ialah seseorang hamba yang tidak terikat dengan orang lain seperti hamba abdi. Ibadat haji tidak diwajibkan ke atas hamba abdi. Tetapi jika dikerjakan juga oleh mereka, ibadat hajinya dikira sah dan diterima serta dberikan ganjaran pahala seperti manusia lain yang mengerjakannya. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan (2008)).  Syarat terakhir waji haji ialah berkuasa atau berkemampuan. Maksud berkuasa dalam  dalam ibadat haji ada dua perkara iaitu berkuasa mengerjakan haji dengan sendiri dan berkuasa mengerjakan haji dengan pertolongan orang lain.  Berkuasa mengerjakan haji dengan sendiri ada tujuh bahagian. Pertama, ada  perbelanjaan pergi dan balik lebih daripada nafkah yang wajib ke atasnya dan lebih daripada membayar hutang, tempat kediaman, pakaianya dan pakaian orang yang wajib diberi nafkah sehingga selesai ibadat hajinya. Kedua, mempunyai kenderaan pergi dan balik yang disewa atau dibeli yang boleh menyampaikannya ke Tanah Suci. Bagi orang yang jauh daripada Mekah kadar dua marhalah (96 kilometer) atau lebih. Ketiga, ialah aman perjalanan pergi dan balik ke atas dirinya dan orang yang bersertanya, hartanya, dan aman daripada peperangan serta tidak ada penyakit yang berjangkit yang membahayakan anggota dan tubuh badan. Seterusnya, mempunyai kesempatan masa yang membolehkannya tiba di Arafah sebelum habis waktu haji (sebelum naik fajar 10 Zulhijjah) tahun itu dengan perjalanan yang biasa (andaian orang berjalan kaki). Syarat kelima ialah mempunyai bekalan makanan dan air secukupnya di tempat-tempat perhentian yang biasa supaya dapat mengambil atau membawa ke tempat yang lain dengan harga berpatutan. Keenam, mampu menguasai tungganganya (kenderaan yang selamat) pergi dan balik dengan tidak mengalami kesukaran mengikut kebiasaannya. Akhir sekali bagi wanita disyaratkan keatasnya ada bersama-sama suami atau mahramnya atau sahayanya (hambanya) ataupun dua orang wanita yang dipercayai. Begitu juga orang buta yang di syaratkan ada orang yang memimpinnya. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan (2008)).  

Berkuasa mengerjakan haji dengan pertolongan orang lain pula ada dua keadaan.  Pertama, orang yang berkuasa menunaikan haji dengan sendiri, tetapi tidak mengerjakannya sehingga ia meninggal dunia. Maka wajib diupah orang lain mengerjakannya dengan harta peninggalannya. Jika tiada pusaka, sunat bagi waris mengerjakan haji gantian, dan harus bagi orang lain (selain dari waris) mengerjakannya, walaupun tanpa izin daripada waris-warisnya. Keadaan berikutnya ialah orang yang tiada kuasa atau tidak berdaya untuk mengerjakan haji dengan sendirinya serta putus asa (tiada harapan untuk pulih) disebabkan sangat uzur, lumpuh, atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, tetapi sempurna semua syarat wajib mengerjakan haji, maka wajib keatas orang tersebut untuk mengupah orang lain bagi mengerjakan haji gantian (haji badal) dengan izinnya. Dan jika ada orang yang hendak menolong mengerjakan ibadat haji gantian daripadanya, wajiblah diberi keizinan kepadanya. Disyaratkan kepada orang yang tiada berkuasa itu tinggal jauh dari Mekah iaiti dua marhalah atau lebih. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan (2008)).  Sekiranya tidak sempurna syarat-syarat wajib haji yang telah di jelaskan, maka  tidaklah wajib keatasnya mengerjakan ibadat haji. Tetapi apabila meninggal dunia dalam keadaan masih muslim lagi mukallaf dan merdeka, harus bagi waris atau orang lain (ajnabi) tolong mengerjakan haji dengan mengupah orang membuat haji badal daripadanya. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan (2008)).  

RUKUN HAJI
Dalam soal ibadat, rukun adalah satu perkara yang mesti dilakukan atau dikerjakan. Sekiranya salah satu daripada rukun-rukun tersebut tidak dilakukan nescaya keseluruhan ibadat itu menjadi tidak sah ataupun batal. Begitu juga dengan rukun-rukun haji, jika tertinggal atau tidak dilakukan salah satunya sahaja maka ibadat haji tidak sah sama sekali. Apabila rukun ini ditinggalkan tidak boleh diganti atau ditutupi dengan membayar dam (denda) atau selainnya. Secara keseluruhanya, rukun menunaikan ibadat haji ada enam perkara yang wajib diketahui iaitu niat ihram, wukuf di Arafah, sa’ie antara Safa dan Marwah, tawaf ifadah, bergunting atau bercukur rambut dan tertib pada kebanyakan rukun. (Suhaimee Yassin (1995)). 

IHRAM
Ihram ialah berniat untuk mengerjakan haji atau mengerjakan umrah. Ihram dalam ibadat haji beerti satu keadaan yang istimewa sebagai jemaah haji yang sedang mengerjakan ibadat-ibadat tersebut. Sebelum seseorang itu berniat ihram samada untuk mengerjakan haji atau umrah di Miqat Makani, maka hendaklah terlebih dahulu seseorang itu memakai ihram. Pakaian ihram bagi lelaki dan perempuan berbeza cara pemakaianya. Bagi jemaah lelaki, dua helai kain yang tidak bercantum atau berjahit. Sehelai dipakai untuk menutup bahagian aurat di antara pusat dan lutut dan sehelai lagi digunakan untuk menutup bahagian bahu dan badan. Bagi jemaah perempuan, pakaian ihram mereka hendaklah menutup keseluruhan anggota badan kecuali muka dan dua telapak tangan sahaja. Pakaian ihram warna putih adalah disunatkan. (Suhaimee Yassin (1995)). 
Orang yang bermaksud memulakan ihram disunatkan terlebih dahulu menjaga  beberapa perkara berikut. Pertama, menjaga kebersihan. Maksud kebersihan di sini termasuklah kebersihan dari segi zahir dan juga batin. Seseorang yang ingin memulakan ihram hendaklah terlebih dahulu membersihkan atau mensucikan batinnya, yakni hatinya. Membersihkan hati membawa maksud mengikhlaskan niatnya. Hendaklah ibadat haji itu dilaksanakan semata-mata kerana Allah SWT. Ibadat haji dikerjakan bukanlah kerana ingin mendapat gelaran haji/hajah, bukan juga supaya dihormati orang lain dan sebagainya. Disamping itu, hati juga hendaklah dibersihkan daripada segala sifat-sifat negatif seperti hasad dengki, iri hati, ujub, dan sebagainya. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Sedangkan membersihkan zahir bermaksud membersihkan seluruh anggota badan dan  pakaian daripada segala kekotoran, termasuk kotoran hissi dan maknawi. Orang yang ingin memulakan ihram disunatkan mengemaskan dan merapikan rambutnya, menggunting misainya, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari, memotong kuku dan juga mandi. Bahkan wanita yang sedang haid atau nifas pun disuruh mandi ketika ingin memulakan ihram. Secara umumnya kita disunatkan mandi ketika ingin memulakan ihram, bermaksud masuk ke Kota Mekah dan bermaksud wukuf di Arafah. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Perkara berikutnya tidak memakai pakaian berjahit. Ini khususnya bagi jemaah lelaki.  Lelaki hanya memakai dua helai pakaian yang suci. Pakaian ihram disunatkan warna putih kerana warna putih adalah yang paling disukai Allah SWT. Dari Ibnu Abbas, beliau berkata: “Rasulullah SAW. berangkat dari Madinah setelah beliau menyikat rambutnya dan juga meminyakinya. Beliau bersama-sama para sahabatnya memakai pakaian ihram. Beliau tidak melarang mereka memakai pakaian ihram warna apa sahaja kecuali yang dicelup. Setelah sampai di Zul Hulaifah beliau menaiki tungganganya kemudian mereka membaca talbiah”. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  Sedangkan wanita lain pula pakaian ihramnya. Tidak sama seperti lelaki yang dilarang 

Memakai pakaian berjahit, tetapi mereka dibolehkan memakai pakaian biasa dengan syarat menutupi seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua telapak tangan. Niqab (purdah) dan sarung tangan juga tidak dibenarkan pakai ketika ihram. Orang yang sedang ihram dibolehkan memakai selipar. Kalau tidak ada selipar boleh juga memakai khuf, tetapi khus tersebut hendaklah dipotong di bawah buku lali. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Ketiga ialah memakai wangi-wangian. Disunatkan bagi orang yang ingin memulakan Ihram, samada lelaki mahupun perempuan memakai wangi-wangian. Tidak mengapa jika kesan-kesan wangianya masih ada ketika sudah masuk ihram. Dari Aisyah r. a. beliau berkata: “Rasulullah SAW. apabila beliau bermaksud mengerjakan ihram, beliau memakai minyak wangi apa saja yang beliau dapat. Kemudian jelas aku lihat kesan-kesan minyak wangi itu di kepala dan janggut beliau setelah itu”. Oleh itu, menurut jumhur (kebanyakan) ulama sunat memakai wangian sebelum memulakan ihram. Tidak menjadai masalah seandainya masih ada kesan dan wangianya ketika sudah masuk waktu ihram. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  Perkara berikutnya, mengerjakan solat sunat ihram. Setelah selesai membersihkan dan Merapikan diri dari segala kotoran, pakailah ihram. Setelah selesai memakai ihram kerjakanlah solat sunat ihram dua rakaat sebelum memulakan ihram. Namun begitu, hendaklah dilakukan di luar waktu makruh mengerjakan solat. Pada rakaat pertama, setelah membaca al-fatihah, dibaca surah al-kafirun. Pada rakaat kedua dibaca surah al-ikhlas. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Tempat Memulakan Ihram
Bagi ibadat haji dan umrah terdapat dua jenis miqat iaitu Miqat Zamani (waktu) dan Miqat Makani (tempat. Miqat Zamani jika dikaitkan dengan ibadat haji, ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Sedangkan untuk umrah bulan-bulan atau hari sepanjang tahun itu adalah sesuai dan boleh mengerjakan umrah. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  Miqat bererti waktu dan tempat. Ia terbahagi kepada dua, Miqat Zamani bermaksud  masa atau waktu yang dibolehkan untuk berihram untuk haji, iaitu dari 1 Syawal hingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “waktu untuk mengerjakan haji adalah beberapa bulanyang dimaklumi”    (surah Al-Baqarah: 197) 

Miqat Makani bererti tempat semestinya kita mulai berniat untuk ihram haji. Terdapat lima Miqat Makani. Pertama, Zul Hulaifah. Ini adalah miqat bagi penduduk Madinah. Jauhnya dari Mekah adalah 450 kilometer. Zul Hulaifah turut dikenali sebagai Bi’ru Ali. Kedua, Juhfah. Miqat bai orang Sham dan Mesir. Jauhnya dari Mekah ialah 204 kilometer. Ketiga, Qarnul Manazil. Ini merupakan miqat bagi orang Najed dan jauhnya dari Mekah, 94 kilometer. Miqat keempat ialah Yamlamlam. Miqat bagi penduduk Yaman. Letaknya 54 kilometer di sebelah selatan Mekah. Kelima, Zatu Iraq. Miqat penduduk Iraq yang terletak sejauh 94 kilometer di sebelah timur laut Mekah. Bagi orang yang tinggal di Mekah, miqatnya ialah di rumahnya atau di rumah penginapannya. Bagi mereka yang berada di kawasan Ja’ranah atau Tan’im. Orang yang masuk ke Mekah tidak melalui daerah atau miqat yang dijelaskan, maka miqatnya adalah kawasan miqat yang disebutkan itu. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).   Pantang-larang Semasa Dalam Ihram Sebaik sahaja berniat ihram, seseorang itu dilarang melakukan beberapa perkara. Larangan pertama ialah dilarang memakai pakaian yang berjahit. Seseorang yang sedang ihram tidak boleh memakai pakaian berjahit seperti seluar, kemeja, sarung kaki, kasut dan serban. Kedua ialah seseorang yang sedang ihram tidak boleh memakai penutup di atas kepalanya. Menutup keseluruhan atau sebahagian kepala bagi jemaah lelaki adalah dilarang sama sekali. Bagi jemaah haji perempuan pula dilarang menutup muka menggunakan niqab (purdah) atau apa-apa jenis kain. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Selain itu, menggunting atau mencabut rambut di kepala atau menghilangkan mana- mana bulu di anggota badan adalah dilarang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu sebelum qurban sampai di tempat penyembelihannya”.   (surah Al-Baqarah: 196) 

Memotong kuku juga dilarang dalam ihram. Ini juga termasuklah memotongnya  dengan pisau, mengguntingnya dengan gunting kuku, memotongnya dengan gigi, memeahkannya dengan tangan dan sebagainya. Pantang-larang berikutnya ialah memakai minyak wangi bagi jemaah haji. Orang yang sedang ihram tidak boleh memakai wangian, sama ada dia semburkan ke pakaiannya, dia gosokkan ke badannya dan sebagainya. Minyak wangi tidak boleh dipakai ketika ihram kerana menunjukkan kemawahan sedangkan orang yang ketika ihram mestilah merendah diri. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).   

Memburu binatang ketika dalam ihram adalah dilarang. Yang dikatakan memburu  adalah mempunyai cara tertentu untuk menangkap binatang, sama ada binatang liar atau jinak. Maksudnya yang dikatakan memburu itu berusaha menangkap binatang, bukan binatang itu yang datang sendiri. Binatang yang dimaksudkan termasuklah binatang empat kaki atau sejenis burung, kerana orang yang menangkap binatang berkaki empat ataupun burung sama-sama dikatakan memburu. Dan larangan itu bukan hanya membunuh binatang, tetapi menangkapnya sahaja pun tidak boleh. Pada pandangan kebanyakan ahli ulama semua jenis binatang tidak boleh diburu. Namun begitu, binatang perosak atau membahayakan tetap boleh diburu, bahkan digalakkan membunuhnya terus. Bukan hanya di waktu ihram, ketika solat pun dibolehkan untuk membunuh binatang tersebut. Antara contoh binatang perosak, burung gagak, helang, ular, kala jengking, tikus, harimau, serigala dan banyak lagi. Dan juga yang tidak boleh diburu atau dibunuh itu adalah binatang darat. Adapun binatang laut yang berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut, sebagai makanan yang lazat bagi kamu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan. Dan diharamkan bagi kamu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNyalah kamu akan dikumpulkan. ”  (surah Al-Maidah: 96) 

Pantang-larang berikutnya ketika dalam ihram ialah mengadakan akad nikah. Orang  yang sedang ihram tidak boleh menikah dan juga menikahkan orang lain. Menikah maksudnya menerima akad nikah. Menikahkan orang lain misalnya, menikahkan anaknya kepada orang lain. Tuntasnya, tidak boleh menikah, tidak boleh menjadi wakil orang lain, dan juga tidak boleh menjadi wali untuk menikahkan orang lainnya. Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang sedang ihram tidak boleh menikah dan menikahkan orang lain” (Riwayat Muslim) 

Melakukan persetubuhan adalah dilarang ketika berada di dalam ihram haji. Selain  dilarang bersetubuh, orang yang sedang ihram juga tidak boleh bercumbu-cumbuan dan berpelukan yang menaikan nafsu shahwat. Orang yang melakukan perkara tersebut wajib membayar fidyah, bahkan ibadat hajinya secara langsung terbatal. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  Oleh itu, pantang-larang ketika dalam ihram ini harus diketahui dan difahami dengan  lebih terperinci. Setiap orang yang mengerjakan larangan-larangan yang dijelaskan di atas ini, wajib keatas mereka untuk membayar fidyah. Ibadat haji mereka turut terbatal.   

WUKUF DI ARAFAH 
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi merupakan yang utama dari rukun-rukun haji tersebut. Sebelum memperlihatkan dengan lebih terperinci tentang wukuf, cara-cara mengerjakannya, dan waktu mengerjakannya, ada baiknya menceritakan terlebih dahulu tentang keutamaan hari Arafah.  Keutamaan hari Arafah iaitu hari dimana para jemaah haji berwukuf, antara lainnya  ialah hari dimakbulkan doa-doa para hamba dan hari Allah SWT membebaskan hamba-hambaNya dari neraka. Wukuf bermaksud hadir dan berada pada bahagian manapun di Arafah, kecuali di suatu lembah ‘Arinah yang terletak di bahagian Barat Arafah. Disunatkan wukuf itu pada batu-batu besar atau di dekatnya setakat yang dapat kerana Rasulullah SAW. berwukuf di tempat itu. (Suhaimee Yassin (1995)).   

Waktu Wukuf 
Masa untuk mengerjakan wukuf di Padang Arafah ialah mulai tergelincirnya matahari pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah sampai terbit fajar hari Nahar iaitu 10 Zulhijjah. Apabila tiba 8 atau 9 Zulhijjah, setelah berihram (bagi yang mengerjakan haji secara tamattu’) maka berangkatlah untuk berwukuf di Padang Arafah. Arafah letaknya di Tanah Haram dan jauhnya dari Kota Mekah lebih kurang 12 batu bersamaan 18 kilometer. Jarak dari Mekah ke Mina pula ialah 6. 5 kilometer dan dari Muzdalifah ke Mina pula ialah 3. 5 kilometer. Memadailah wukuf di Arafah satu masa tertentu dari batas yang ditentukan itu, yakni dari masuknya waktu zuhur 9 Zulhijjah sampai terbit fajar 10 Zulhijjah. Maksudnya walaupun satu jam dia berada di Arafah sudah memadai. Namun demikian lebih baik bagi orang-orang yang mengerjakan haji apabila dia sampai di Arafah pada waktu siang dia panjangkan wukuf di sana sampai terbenam matahari. Tetapi jika di sana pada waktu malam tidak mesti ditunggu sampai terbit fajar. (Suhaimee Yassin (1995)).   

Sunat-sunat Wukuf di Arafah 
Antara amalan-amalan sunat wukuf ialah bagi jemaah lelaki disunatkan berwukuf di tempat Nabi SAW. wukuf iaitu di beberapa batu besar yang terhampar di kaki Jabal Rahmah yang terdapat di tengah-tengah bumi Arafah, jika ada kemudahan melakukan demikian, dan makruh lagi bidaah baik ke atas Jabal Rahmah. Bagi jemaah wanita pula disunatkan wukuf berdekatan tempat Nabi SAW. berwukuf. Perkara sunat yang kedua ialah bersuci daripada hadas dan kekotoran, menutup aurat, menghadap kiblat, tidak berpuasa pada hari tersebut dan mendedahkan diri di bawah sinaran matahari bagi yang mampu berbuat demikian, kecuali orang yang uzur. Selain itu, sunat memperbanyakkan zikir, tahlil, doa-doa dan sebagainya. Memperbanyakkan kebajikan seperti memerdekakan (membebaskan hamba), dan bersedekah jika berkemampuan tetapi sekiranya tidak mampu berbuat demikian memadailah dengan percakapan yang baik-baik. Seterusnya, sunat menjauhkan diri daripada segala yang haram, sama ada makanan, perkataan atau perbuatan, lebih-lebih lagi memaki hamun, menengking orang susah atau fakir dan lain-lain. Para jemaah dsunatkan menghimpunkan malam dan siang di Arafah walaupun sekejap sahaja dan sunat juga bagi yang tidak dapat menghimpunkan malam dan siang membayar satu dam kerana memelihara daripada khilaf yang mewajibkan perkara demikian. (Syeikh Hassan bin Muhammad Nur Fatani dan Syeikh Adam bin Abdullah Kelantan (2008)).   

Hukum Tidak Wukuf Di Arafah 
Seperti yang telah dijelaskan bahawa wukuf di Arafah adalah salah satu daripada rukun haji. Dengan itu, seseorang yang telah berniat haji tetapi tidak berwukuf di Padang Arafah dalam waktu yang diwajibkan demikian, maka hajinya tidak sah semua sekali. Walaupun demikian, selepas batal ibadat hajinya, dia tidak boleh meninggalkannya begitu sahaja. Malah wajiblah dia mengerjakan perbuatan-perbuatan seperti di dalam umrah iaitu mengerjakan tawaf, sa’ie, dan bergunting (bercukur), selepas itu baharulah dia boleh bertahallul, iaitu keluar dari hajinyadan tidak berihram lagi. Tetapi perbuatan tersebut tidak dikira sebagai umrah. Bukan itu sahaja yang perlu dilakukan, malah wajib ke atasnya membayar dam dan wajib juga mengqada’ haji itu pada tahun yang akan datang tanpa boleh ditangguhkan, kecuali sebab keuzuran ataupun tidak sempurna syarat-syarat wajib haji. Ibadat haji seseorang itu batal jika tidak berwukuf di Arafah, walau dengan sebab apa sekalipun seperti keuzuran, tertidur, sesat, terlupa dan lain-lain sebab. (Suhaimee Yassin (1995)).  

 TAWAF IFADAH 

Tawaf merupakan rukun haji ketiga dan yang kedua pentingnya selepas wukuf di Arafah. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan. Setiap satu pusingan dinamakan syaut, jadi tujuh syaut dikira satu tawaf. Tawaf ini hendaklah dilakukan atau dilaksanakan selepas melontar Jumrah Aqabah, bercukur atau menggunting rambut dan berkorban pada pagi 10 Zulhijjah, ataupun selepas melontar kesemua Jumrah dari 11 sehingga 13 Zulhijjah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka tawaf sekeliling rumah tua itu (Kaabah)” (surah Al-Haj: 29)  

Syarat-syarat Tawaf Ifadah 
Seterusnya, akan dijelaskan tentang syarat-syarat tawaf sebelum mengerjakan tawaf, sama ada tawaf ifadah, tawaf wida’, tawaf qudum, tawaf sunat dan sebagainya. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut, jemaah haruslah suci daripada hadas dan najis atau sebarang kekotoran. Mengerjakan tawaf ini sama seperti menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Jemaah yang ingin melaksanakan tawaf mestilah suci. Suci seluruh anggota badan daripada hadas dan najis. Tawaf tidak boleh dikerjakan oleh jemaah yang tidak berwuduk, orang junub, wanita haid, atau nifas. Tawaf menjadi tidak sah jika badan atau pakaian jemaah haji kotor atau bernajis. Namun demikian, seseorang yang di datangi najis yang tidak mungkin dapat dielakkan boleh mengerjakan tawaf walaupun badannya dalam keadaan bernajis. Misalnya, orang yang kencingnya sentiasa keluar sedikit demi sedikit, begitu juga wanita istihadah. Syarat kedua ialah menutup aurat. Jemaah yang ingin mengerjakan tawaf disyaratkan menutup keseluruhan aurat seperti di dalam solat. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Niat juga merupakan salah satu daripada syarat tawaf. Niat merupakan syarat sahnya  tawaf wida’ dan juga tawaf sunat menurut ittifaq para ulama’. Menurut mazhab Syafie, Hanafi, dan Malik dengan memadailah tawaf rukun, tawaf umrah dan tawaf qudum tanpa niat. Kerana ketika berniat memulakan ihram itu sudah mencukupi niat untuk mengerjakan tawaf. Syarat berikutnya ialah sebanyak tujuh kali pusingan. Tawaf mesti dikerjakan sebanyak tujuh kali pusingan mengelilingi Kaabah dengan sempurna dan tiap-tiap keliling itu dimulai dari penjuru Hajar Aswad yang bertanda batu marmar hitam hingga sampai semula ke tempat tersebut. Tawaf boleh dikerjakan pada waktu-waktu yang makruh atau haram dikerjakan sembahyang seperti selepas sembahyang Subuh, Asar atau pada ketika tepat tengah hari atau lain-lain waktu yang sewaktu denganya. Jika ada orang yang mengerjakan tawafnya kurang satu langkah sahaja pada salah satu pusingan maka tidak sah tawafnya ataupun batal kerana tidak sempurna. Jika seseorang yang sedang tawaf itu berasa was-was tentang bilangan pusinganya, maka wajiblah di ambil bilangan pusingan yang diingati dengan yakin, kemudian meneruskan tawafnya sehingga cukup bilangan dengan sempurna. (Suhaimee Yassin (1995)).  

Syarat kelima ialah tawaf mestilah dilakukan di dalam Masjidil Haram dan diluar dari bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazarwan (tembok yang dijadikan bingkai di kaki Baitullah, kerana termasuk di dalam Kaabah). Berikutnya, berterusan atau berturut-turut maksudnya mengerjakan tawaf secara berterusan sehingga selesai tawaf dengan sempurna. Tidak berhenti sebelum selesai tawaf. Orang yang melakukan tawaf satu pusingan, lalu dia berhenti maka tidak di katakan berterusan. Oleh itu, syarat-syarat yang diperlihatkan ini haruslah diteliti sebaik mungkin agar tidak berlaku kesilapan ketika ibadat tawaf dikerjakan. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).   

Sunat-sunat Tawaf
Dalam mengerjakan atau melaksanakan tawaf ini terdapat beberapa perkara yang sunat dilakukan oleh para jemaah antaranya idhtiba’ yang bermaksud memakai selendang ihram dengan membuka bahu kanan. Perlu dijelaskan disini, idhtiba’ ini hanya berlaku bagi orang yang mengerjakan tawaf haji dan umrah sahaja. Sedangkan bagi tawaf-tawaf yang lainnya tidak ada idhtiba’. Tdhtiba’ juga hanya berlaku bagi jemaah lelaki sahaja. Seterusnya, ramal sunat dilakukan ketika sedang mengerjakan tawaf. Ramal bererti berlari-lari anak atau berjalan cepat pada tiga pusingan yang pertama bagi tawaf yang ada sa’ie selepasnya dan berjalan seperti biasa pada empat pusingan seterusnya. Ramal juga khususnya buat jemaah lelaki sahaja. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Jemaah yang ingin mengerjakan tawaf disunatkan terlebih dahulu menghadapkan  wajahnya ke Hajar Aswad, dan mengangkat tangannya seperti mahu solat sambil membaca Bismillah, takbir, dan tahlil. Disunatkan juga mengucupnya atau istilam. Istilam bermaksud menyapu Hajar Aswad dengan tapak tangan kemudian mencium tangan kita. Kalau tidak dapat diisyaratkan dengan tangan, kemudian dicium tangan kita. Kita juga disuruh mencium Hajar Aswad, memegangnya, mengucupnya, meletakkan dagu di atasnya, dan melakukan istilam jika keadaan yang mengizinkan berbuat demikian. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Jenis-jenis Tawaf 
Terdapat empat jenis tawaf yang perlu diketahui. Pertama tawaf Ifadah (rukun) ialah tawaf bagi mereka yang balik dari Arafah iaitu tawaf rukun bagi mereka yang mengerjakan haji. Kedua ialah tawaf Qudum. Tawaf Qudum dikenali sebagai tawaf selamat datang dimana mula-mula sekali dikerjakan oleh orang yang ihram sebaik sahaja tiba di Mekah atau masuk ke Masjidil Haram. Hukumnya sunat. Orang yang lupa, pitam, gila, wanita haid dan nifas tidak di kehendaki mengerjakan tawaf Qudum. Begitu juga, orang yang kesuntukan masa, tidak perlu mengerjakannya. Syarat-syarat tawaaf Qudum, wajib dan sunatnya sama sahaja seperti tawaf Ifadah. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

Seterusnya, tawaf Wida’ yang bererti tawaf perpisahan atau penghabisan atau tawaf selamat tinggal. Tawaf ini amalan terakhir yang dikerjakan oleh orang yang mengerjakan haji. Tawaf ini dikerjakan apabila ingin meninggalkan Kota Mekah. Hukum melaksanakan tawaf Wida’ adalah wajib sebelum meninggalkan Kota Mekah. Tawaf Wida’ sebagai menghormati dan memuliakan Baitullah Al Haram. Tawaf keempat ialah tawaf sunat. Tawaf biasa yang dilakukan pada bila-bila masa. Antara tawaf-tawaf sunat itu termasuklah tawaf tahiyat untuk Baitul Haram, sebagai tanda menghormatinya. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)).  

SA’IE
Rukun haji yang keempat ialah sa’ie, iaitu berjalan berulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Bermula dari Bukit Safa ke Marwah dikira sekali dan dari Marwah ke Bukit Safa dikira sekali. Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Marwah. Orang yang tidak mengerjakan sa’ie, maka tidak sah ibadat hajinya. Begitu, juga orang yang mengerjakannya kurang daripada tujuh kali dan tidak sempurna maka tidak sah hajinya. Rukun sa’ie ini sebagai tanda mengingati peristiwa Siti Hajar dan puteranya, Ismail a. s. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)). 

Syarat-syarat Sa’ie
Antara syarat-syarat sah sa’ie ialah hendaklah dikerjakan setelah sempurna tawafnya. Sekiranya sa’ie dikerjakan setelah tawaf yang belum sah, maka sa’ie pun tidak sah. Syarat kedua ialah sa’ie hendaklah dimulai dari Bukit Safa dan berakhir di Marwah. Jarak antara Bukit Safa dan Marwahlebih kurang 420 meter. Seterusnya, menamatkan perjalanan sehingga sempurna. Orang yang berjalan ataupun sa’ie ini anatara Safa dan Marwah mesti menjalaninya dengan sempurna, maksudnya betul-betul sampai Marwah barulah kembali semula ke Safa. Jika terkurang walau satu langkah sa’ie menjadi tidak sah. Syarat berikutnya, sa’ie dengan berjalan kaki. Orang yang sa’ie antara Safa dan Marwah dikehendaki berjalan kaki. Bagi orang yang kurang kemampuan untuk berjalan kaki, bolehlah diusung. Syarat kelima ialah mualat iaitu tidak ada berhenti. Sa’ie tidak boleh dikerjakan kemudian berhenti untuk jangka masa yang panjang. Sa’ie harus dikerjakan secara berterusan sehingga selesai dengan sempurna. Oleh itu, syarat-syarat sa’ie tersebut perlu diingati agar tidak melakukan kesilapan ketika mengerjakan ibadat sa’ie. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi (2013)). 

BERCUKUR (TAHALLUL)
Rukun haji yang kelima ialah tahallul, iaitu bercukur atau menggunting rambut. Tentang mencukur atau menggunting rambut ini tentunya sudah difahami. Menggunting maksudnya memotong sebahagian rambut sekurang-kurangnya tiga helai. Bagi jemaah lelaki sebaik-baiknya bercukur kesemuanya sekali. Bagi wanita Cuma mengguntingnya sahaja. (Suhaimee Yassin (1995)). 

Waktu Bercukur
Bagi jemaah yang mengerjakan ibadat haji, ialah selepas melontar jumrah Aqabah ataupun tawaf rukun. Ini namanya tahallul awal dan mengerjakan ibadat haji, ialah selepas sa’ie. Begitu juga waktu bercukur bagi orang yang mengerjakan umrah. Bagi orang yang melakukan haji ifrad ialah selepas tawaf rukun, jika dia telah mengerjakan sa’ie selepas tawaf Qudum dahulu. Dengan bertahallul ini berertilah seorang itu telah bertahallul dan bebas pantang-larang ihram. (Suhaimee Yassin (1995)). 

Jenis-jenis Tahallul
Tahallul haji terbahagi kepada dua bahagian iaitu Tahallul Awal dan juga Tahllul Sani. Tahallul Awal (pertama) ialah apabila seseorang itu telah selesai mengerjakan dua daripada tiga perkara ini, pertama melontar Jumrah Aqabah. Kedua, tawaf rukun dan ketiga bercukur atau bergunting. Manakala Tahallul Sani (kedua) pula ialah apabila seseorang itu selesai mengerjakan ketiga-tiga perkara tersebut di atas. Setelah selesai melakukan tahallul awal (pertama), para jemaah haji bolehlah melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam ihram kecuali berkahwin, mengahwinkan (menjadi wali) atau menerima wakil kahwin, melakukan perkara-perkara permulaan persetubuhan dan bersetubuh. Sebaliknya, apabila telah selesai mengerjakan tahallul kedua, maka tiada lagi pantang-larang keatas mereka. (Suhaimee Yassin (1995)). 

TERTIB
Akhir sekali, rukun haji yang keenam ialah tertib. Tertib pada kebanyakkan rukun, iaitu didahulukan niat ihram dari rukun-rukun yang lain. Didahulukan wukuf dari tawaf ifadah dan didahulukan tawaf dari sa’ie. (Suhaimee Yassin (1995)).  

Para jemaah haji yang sakit atau keuzuran dan belum pun bertahllul sani (kedua)   janganlah sekali-kali meninggalkan Mekah tanpa sempurnakan rukun-rukun haji yang belum disempurnakan seperti tawaf, sa’ie, kerana mereka masih dalam keadaan berihram lagi. Andai mereka sudah kembali ke tanah air, maka wajiblah kembali ke Mekah untuk melaksanakan rukun-rukun yang tertinggal sehingga sempurna kesemuanya. (Suhaimee Yassin (1995)).   

PERKARA-PERKARA WAJIB HAJI
Setelah mengetahui dan mempelajari tentang rukun-rukun yang terdapat dalam ibadat haji, kini akan diperlihatkan pula tentang perkara-perkara yang wajib dalam melaksanakan ibadat haji. Jika tidak dikerjakan perkara-perkara ini, maka ibadat haji menjadi tidak sempurna. Rukun haji dan wajib haji mempunyai perbezaan. Rukun haji wajib dikerjakan. Jika tertinggal dan tidak dilaksanakan, maka ibadat haji menjadi tidak sah dan tidak boleh diganti atau dibayar dengan dam. Manakala, perkara wajib haji pula jika tertinggal dan tidak dikerjakannya, ibadat haji tetap dikira sah tetapi wajib diganti dengan dam atau denda dengan menyembelih binatang ternakan. Sebagaimana rukun haji mempunyai enam perkara yang wajib dilaksanakan, begitu juga dengan perkara-perkara wajib haji mempunyai enam perkara. Antara perkara tersebut ialah berniat ihram di Miqat, bermalam di Muzdalifah, melontar Jumrah Aqabah, bermalam di Mina, melontar ketiga-tiga jumrah dan meninggalkan perkara-perkara larangan dalam ihram. 

BERNIAT IHRAM DI MIQAT
Perkara wajib haji yang pertama ialah niat ihram di Miqat. Miqat telah diterangkan dan diperjelaskan dalam perbahasan sebelum ini di bahagian rukun haji yang pertama. Orang yang bermaksud mengerjakan ibadat haji mesti memulakan ihram di miqat yang sudah ditetapkan itu. Dengan demikian, orang yang melalui miqat tanpa memulakan ihram padanya wajib membayar dam. Sekarang timbul satu persoalan. Bagaimana kalau ada orang yang melewati miqat tanpa berihram, setelah itu dia kembali lagi ke daerah miqat untuk berihram di sana? Menurut Imam Malik tidak gugur daripadanya kewajipan membayar dam, sekalipun dia kembali ke daerah miqat untuk memulakan ihram di sana. Menurut Imam Syafie’ tidak perlu lagi membayar dam jika sudah kembali ke daerah miqat. 

BERMALAM DI MUZDALIFAH
Perkara wajib haji yang kedua ialah bermalam di Muzdalifah. Muzdalifah ialah nama bagi suatu tempat yang terletak lapan kilometer dari Arafah menuju ke Mina. Bermalam di Muzdalifah ini memadai berada di situ selepas separuh malam yang kesepuluh Zulhijjah (iaitu pada malam Hari Raya Haji) dan sebelm terbitnya fajar. Tidaklah disyaratkan berhenti lama di situ, sebagaimana tidak di syaratkan mengetahui bahawa tempat yang dilalui itu adalah Muzdalifah demikian mengikut mazhab Syafie’. Dalam perjalanan ke Muzdalifah hendaklah terus-menerus mengucapkan talbiah, berzikir dan berdoa mengikut apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Tempat yang lebih utama untuk berwukuf atau berhenti ialah di Quzah. Quzah ialah nama sebuah tempat di Muzdalifah, tempat wukuf orang-orang Quraisy di zaman jahiliah kerana mereka tidak wukuf di Arafah. (Suhaimee Yassin, (1995)).  

Ketika berada di Muzdalifah terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh  jemaah haji bagi menambahkan lagi ganjaran pahala. Antaranya, apabila seseorang jemaah haji mengqasadkan (menghalakan tujuaanya) ke Muzdalifah hendaklah memperbanyakan talbiah di sepanjang perjalananya dan menuju jalan Ma’zamin iaitu jalan antara dua bukit sebelah kanan yang datang dari Arafah. Selain itu, jika mendapati tempat tidak terlalu sibuk atau sesak jemaah hendaklah menyegerakan perjalanan mereka. Perkara sunat yang ketiga ialah mandi selepas waktu tengah malam kerana wukuf (berhenti) di Masy’aril-Haram dan kerana hari raya. Jemaah haji juga di sunatkan megambil atau mengutip tujuh biji batu untuk melontar Jumratul Aqabah atau 70 biji batu untuk melontar Jumratul Aqabah dan semua jumrah (Ula, Wusta, dan Aqabah) pada hari-hari tasyriq. Apabila sudah masuk tengah malam di sunatkan mendahulukan berjalan ke Mina orang yang daif (lemah) seperti perempuan, orang-orang tua, orang-orang yang sakit atau kurang upaya, dan kanak-kanak supaya dapat melontar Jumratul Aqabah sebelum keadaan terlalu sesak. Yang lain dairpada itu sunat tinggal di Muzdalifah sehingga subuh dan hendaklah solat subuh awal kemudian bertolak ke Mina. Apabila sampai ke Masy’aril-Haram iaitu satu bukit kecil yang dinamakan Quzah seperti yang diterangkan di atas. Hendaklah berhenti di situ dan menghadap ke arah kiblat serta memperbanyakkan zikir dan doa. Mankala hampir naik matahari berjalanlah ke Mina dengan tetap dan lemah lembut serta perbanyakkan talbiah serta zikir dan apabila dapat jalan yang lapang serta terang hendaklah segerakan perjalanan. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan, (2008)).   

MELONTAR JUMRAH AQABAH 
Perkara wajib haji yang ketiga ialah melontar Jumrah Aqabah. Setelah bermalam atau berada di Muzdalifah selepas tengah malam 10 Zulhijjah, hendaklah pula menuju ke Mina, lebih kurang empat kilometer dari Muzdalifah dan lima kilometer ke Masjidil Haram, Mekah untuk melontar Jumrah Aqabah. Melontar Jumrah Aqabah wajib pada hari nahar, yakni 10 Zulhijjah. Sedangkan melontar Jumrah yang lainnya wajib pada hari-hari tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Batu yang dilontarkan itu disunatkan batu-batu kecil sebesar biji kacan dan makruh menggunakan batu yang lebih besar dari itu. Hal ini demikian kerana, jika menggunakan batu yang lebih besar ketika melontar mungkin sahaja akan menyakiti jemaah lain. Sedangkan perbuatan yang selalu dilakukan orang, terkadang dengan melontarkan sandal atau kasut kerana menyangkakan perbuatan demikian lebih menyakitkan syaitan jika terkena apa yang dilontarkan. Itu sebenarnya perbuatan orang-orang jahil. Melontar mestilah dengan batu da tidak boleh benda-benda selain daripadanya. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi, (2013)). 

Orang yang melontar itu disunatkan berdiri pada posisi jarak dekat dari tempat yang  dilontarkan itu, supaya lebih mudah terkena sasaran. Ketika melontar hendaklah dijadikan Kaabah di sebelah kiri badan kita dan Mina di sebelah kanan. Batu itu dilontarkan satu persatu. Sekiranya melontar ketujuh-tujuh biji batu tersebut secara serentak, maka yang demikian itu baru dikira satu biji batu yang dilontarkan. Setiap batu itu dilontarkan hendaklah dengan penuh yakin sudah mengenai sasaran. Dan hendaklah dijaga jangan sampai terkena orang lain yang turut melontar. Ketika melontar hendaklah menyematkan kebencian kepada syaitan dan anggaplah sedang melontarnya. Ini kerana Jumrah sememangnya mengingat kembali bagaimana Nabi Ibrahim a. s. dahulunya melempar syaitan ketika cuba memperdayanya supaya jangan melaksanakan perintah Allah SWT, yang menyuruh beliau untuk menyembelih anaknya, Ismail. (Muhammad Abd Aziz Al Hallawi, (2013)).  

BERMALAM DI MINA
Perkara wajib haji yang keempat ialah bermalam di Mina. Wajib bagi jemaah haji bermalam di Mina selama tiga malam pada hari-hari tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah jka tidak melakukan nafar awal. Sekiranya ia melakukan nafar awal, maka wajib bermalam hanya dua malam sahaja pada 11 dan 12 Zulhijjah tetapi yang afdalnya tiga malam. Disyaratkan bermalam di Mina itu ialah berada di situ pada kebanyakkan malam-malam tasyriq yakni dilewatkan sedikit daripada setengah malam iaitu satu per tiga malam sama ada awal malam atau pada akhirnya. Sempadan Mina ialah dari Wadi Muhassir sehingga sampai ke bukit tempat Jumratul Aqabah dan segala bukit di kiri kanan Mina mukanya (bahagian hadapan) yang menghadap ke Mina. Bahagian yang tidak menghadap ke Mina itu bukanlah kawasan Mina. Jemaah yang meninggalkan bermalam di Mina keseluruhan malam tasyriq wajib membayar satu dam, jika satu malam satu cupak makanan, jika dua malam dua cupak makanan bagi orang yang tidak uzur. Bagi orang yang uzur tidak dikenakan apa-apa dam jika meninggalkan bermalam di Muzdalifah atau Mina. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan, (2008)). 

Harus bagi orang yang mengerjakan ibadat haji melakukan nafar awal iaitu  meninggalkan Mina pada hari yang kedua belas dengan mematuhi syarat-syaratnya. Pertama, sudah bermalam di Mina selama dua malam, iaitu malam kesebelas dan dua belas jika tidak uzur. Kedua, sudah melontar kesemua jumrah (Ula, Wusta, dan Aqabah) pada hari 11 dan 12 Zulhijjah. Syarat ketiga ialah keluar daripada Mina selepas gelincirnya matahari. Keempat, berniat nafar selepas melontar dan niatnya pada waktu ketika berada di Mina. Seterusnya, meninggalkan Mina sebelum terbenam matahari, jika terbenam matahari sedang ia dalam perjalanan keluar daripada kawasan Mina atau sedang berkemas untuk keluar dikira sahlah nafarnya. Syarat terakhir ialah tidak berazam kembali semula bermalam di Mina. Jika berazam kembali semula, wajiblah ia kembali bermalam di Mina pada 13 Zulhijjah. Apabila dapat memenuhi syarat-syarat ini haruslah melakukan nafar, jika tidak maka wajiblah bermalam di Mina dan melontar hari ketiga belas. (Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan, (2008)).   

MELONTAR KETIGA-TIGA JUMRAH 
Perkara wajib haji yang kelima ialah melontar ketiga-tiga jumrah, iaitu Jumrah Ula, Jumrah Wusta dan Jumrah Aqabah pada hari tasyriq, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Jumrah asal maknanya ialah batu kecil atau kerikil, tetapi yang dimaksudkan di sini ialah tempat berkumpulnya batu-batu jumrah yang dilontar oleh jemaah haji. Ketiga jumrah ini adalah bertempat di Mina, iaitu Jumrah Aqabah terletak sebelah kiri orang yang masuk ke Mina. Jumrah Wusta ialah jumrah yang terletak selepas Jumrah Aqabah yang jarak antara keduanya 116 meter hingga 117 meter. Jumrah Ula atau sughra pula ialah jumrah yang mengiringi Masjid Al Khif, jarak Jumrah Ula dan Wusta ialah 156. 40 meter. Asal disyariatkan melontar jumrah ialah mengikut jejak langkah Nabi Ibrahin a. s. ketika dihalang oleh syaitan dalam perjalanan untuk melaksanakan perintah Allah SWT dengan menyembelih puteranya, Ismail. Ketika menghadapi halangan dan godaan syaitan itu Allah SWT telah memerintahkan kepada Nabi Ibrahim a. s. supaya melontarnya dengan batu bagi mengusir syaitan itu. (Suhaimee Yassin, (1995)).   

MENINGGALKAN PERKARA LARANGAN DALAM IHRAM 
Perkara wajib haji yang keenam iaitu yang terakhir ialah meninggalkan perkara-perkara larangan semasa dalam ihram. Perkara-perkara tersebut telah diterangkan pada perbincangan sebelum ini di bahagian rukun haji. Jemaah haji bebas daripada semua pantang-larang semasa dalam ihram. Antara perkara larangan itu ialah memakai pakaian yang bersarung bagi lelaki, menutup kepala walaupun sedikit bagi lelaki, menutup muka bagi wanita, memakai bau-bauan bagi lelaki dan wanita, memakai sarung tangan bagi lalaki dan wanita, melakukan persetubuhan, mencabut rambut di kepala atau anggota badan, menanggal atau mengerat kuku, bernikah dan menikahkan, memburu binatang serta mencabut, menetak dan memotong tumbuh-tumbuhan yang hidup di Tanah Haram. (Suhaimee Yassin, (1995)).  

PENUTUP

Kesimpulannya, daripada tajuk yang saya kaji ini terdapat beberapa perkara yang menjadi kekeliruan masyarakat hari ini tentang cara perlaksanaan ibadat haji, sedikit sebanyak dapat diperlihatkan dan diselesaikan. Segala isi dan kandungan yang terdapat di dalam ini adalah sebagai perkongsian ilmu untuk semua. Saya juga turut menggunakan sumber-sumber lain yang dijadikan sebagai bahan rujukan untuk digabungkan dan dimuatkan di dalam risalah ini bagi melengkapkanya supaya menjadi lebih sempurna. Setiap tajuk-tajuk yang diketengahkan adalah merupakan perkara-perkara penting yang boleh dijadikan panduan ketika mengerjakan ibadat haji. 

RUJUKAN
Muhammad Najib bin Haji Abdul Kadir, Prof. Madya. Dr. (2010). Rahsia Haji:Falsafah dan Hikmahnya menurut Al Quran, Kuala Lumpur;Telaga Biru Sdn. Bhd

Suhaimee Yassin. (1995). Panduan Haji. Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri

Setia Jasa, Dato’. (1991). Teman Anda Ke Tanah Suci, Singapura;1992 TIMES EDITIONS PTE. LTD

Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam bin Abdullah Kelantan. (2008). Bekalan Haji(Zadul-Haji), Kuala Lumpur;DARULFIKIR SDN BHD

Muhammad Abd Aziz Al Hallawi. (2013). Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Selangor;Al-Hidayah Publications

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com