Hidup Sihat Dengan Keajaiban Islam

Tajuk:
Hidup Sihat Dengan Keajaiban Islam

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam

Disediakan Oleh:
Amin Khalili Bin Abu Bakar

ABSTRAK
Indahnya Islam jika kita mengkaji dengan lebih dalam serta menghayati setiap ajarannya. Ajaran dan ikutan di dalam Islam mengajar dan memberi kebaikkan kepada umatnya setiap larangan atau perintah yang terkandung di dalam Al Quran dan hadis yang merupakan sumber rujukan utama haruslah diikuti kerana ia dapat membentuk ummah yang bertaqwa dan beriman. Justeru, menerusi sumber rujukan Al Quran dan hadis dapat kita keluarkan segala ilmu yang merangkumi keseluruhan alam. Ilmu yang sentiasa dikaji adalah sains dan perubatan. Islam menerapkan di dalam diri umatnya supaya menjaga pemakanan, tidak mengambil makanan yang haram kerana ia mampu merosakkan kesihatan. Selain itu, diceritakan di dalam Al Quran mengenai denda dan hukuman orang yang mengambil minuman keras atau memabukkan, dimana mereka akan dikenakan 40 kali sebatan. Al Quran juga telah memuatkan dengan penyakit dan ubatan yang membolehkan kita berjaga-jaga dan membuat kajian terhadap penyakit tersebut. Melalui pembacaan Al Quran dan beribadah yang terdapat dalam Islam dapat  menenangkan serta menyihatkan dalaman, rohani dan psikologi seseorang itu. Ilmu perubatan Islam sangatlah sempurna dengan cara penyembuh, kaedah ubatan dan terapi yang berkesan sehinggakan pihak barat turut mengkaji serta mengikutinya. 

PENDAHULUAN

Segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam serta selawat dan salam atas junjungan kita Rasulullah SAW. Alhamdulillah dengan keberkatanNya, saya dapat mengkaji dan menyiapkan tugasan yang diamanahkan ini dengan sempurna. Sungguh sumbangan ilmu pengetahuan dalam bidang kedoktoran, perubatan serta kesihatan sangat banyak dan beraneka. Tidak satupun dalam berbagai realiti sains melainkan ia memiliki dasar di dalam Al Quran yang agung begitu jua di dalam hadis nabi yang mulia. Sebagaimana firman Allah SWT: “Tiadalah kami alpakan sesuatupun dalam Al-Kitab kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan. ” (Al-An’am:38). 

Melalui skop tugasan yang saya kaji iaitu mengenai hidup sihat dengan keajaiban Islam yang merangakumi pelbagai faktor antaranya pemakanan, ibadah, psikologi dan kaedah perubatan. Setiap faktor ini telah diajar di dalam Islam dengan berlandaskan Al Quran dan hadis. Dimana setiap ajaran yang dibawa oleh Islam bukan sahaja dapat memberi keamanan di dunia, serta keadilan kepada setiap manusia di atas muka bumi ini. 

Dengan mengkaji tugasan ini, saya dapat memahami hikmah-hikmah mengapa Islam mengharamkan atau menghalalkan sesuatu perkara serta Allah SWT melarang atau mengwajibkan perkara tersebut, kerana setiap benda yang diwajibkan dapat memberi kelebihan dan kesan positif kepada diri kita begitu juga sebaliknya. Saya berharap sesiapa yang membaca tugasan yang saya kaji ini dapat menghayati, memahami dan mengikuti setiap kebaikkan yang diperoleh.                               -4-

SIHAT MELALUI ASPEK PEMAKANAN

Makanan dan minuman adalah antara ibadah yang penting dalam Islam. Makanan yang haram akan menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah SWT. Makanan yang haram juga merosakkan ibadah dan mendedahkan seseorang kepada azab api neraka. Sebaliknya sesiapa yang berusaha bagi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarganya boleh diibaratkan seperti seorang yang berjihad di jalan Allah SWT. Rezeki yang halal membantu pelaksanaan ibadah. Makanan yang haram memberi kesan kepada tubuh badan lantas melemahkannya untuk beribadah. Sahl at-Tustun berkata, “Sesiapa memakan makanan yang haram akan derhakalah anggota tubuhnya, sesiapa mengambil makanan yang halal anggotanya akan mentaatinya dalam kebaikkan”. Antara perkara yang diharamkan Islam adalah arak, babi dan bangkai. “ Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, korban untuk berhala dan melihat nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalakanlah ia semoga kamu berjaya”. (Al-Maidah:90)

Islam mementingkan akal malah pemeliharaan akal adalah salah satu asasi yang ditekankan dalam Islam. Syariat Islam memelihara akal dengan mewajibkan umat Islam mencari ilmu dan pada masa yang sama mengharamkan segala benda yang memabukkan. Justeru arak adalah haram dalam Islam. Apakah itu arak?Arak adalah alkohol dalam bentuk ethyl alcohol dan merupakan sejenis dadah yang bertindak keatas otak manusia dan seringkali menyebabkan penagihan. 

Ia biasanya dihasilkan sel-sel ragi yang bertindak k eats karbohidrat yang terdapat dalam buah-buahan dan bijian. Dalam pasaran terdapat tiga jenis arak yang popular, iaitu bir yang dibuat dari biji-bijian dan mengandungi 3-6% alkohol, wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11-14% alkohol dan minuman keras yang dikenali sebagai liquor. Liquor dihasilkan dengan memeram ataupun mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak dan mengandungi 40-50% alkohol. Islam membenci arak dan segala aktiviti yang berkaitan dengan arak dihukum sebagai haram. Arak sememangnya berbahaya, pada tahun 2002, Pertubuhan Kesihatan Dunia mengumumkan arak(alkohol) adalah salah satu pemusnah kesihatan yang berbahaya di dunia. Kajian di negara-negara yang membangun mengketegorikan sebagai pemusnah utama kesihatan, ketagihan arak adalah masalah kesihatan yang mendorong kepada kematian. Direkodkan di Amerika 50% kematian yang melibatkan kenderaan dan kebakaran, 67% kes-kes pembunuhan dan 33% kes-kes bunuh diri. Hal ini dilaporkan dalam Annals of Internal Medicine, Mac 1984. Tambahan pula risiko bagi penagih arak terhadap penyakit sangat tinggi. Penagih atau pengambil alkohol bakal menghidap penyakit darah tinggi yang akan menyebabkan diserang penyakit jantung atau strok maka benarlah firman Allah SWT. “Dan mereka bertanya kepada kamu berkenaan arak dan judi. Katakanlah, kepada kedua-duanya ada banyak keburukkan dan beberapa kebaikkan, namun keburukannya adalah lebih besar daripada kebaikkannya. ” (Al-Baqarah:219)

Selain itu, Islam juga mengharamkan daging babi. Babi menjadi punca pelbagai penyakit, antaranya anthrax, ascans suum dan botulism. Saintis membuat kajian dan mendapati penyakit yang dibawa oleh babi boleh membawa maut seperti penyakit leptospirosis yang menyebabkan kerosakkan hati dan buah pinggang. Babi juga pembawa virus berbahaya, jangkitan kuman virus influenza pada tahun 1918 membawa kematian lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia. Ada yang menganggarkan mangsa-mangsa yang sebenar berjumlah 40 juta orang. Pada tahun Mac, 1997, ahli-ahli sains Britain melaporkan penemuan kuman berbahaya retroviruses PERV daripada babi. Virus ini membiak dalam tabung uji yang mempunyai sel-sel buah pinggang manusia. Ia merebak melalui cecair yang ada pada tubuh manusia dan mudah dijangkiti orang lain. Tambahan daripada itu, virus daripada keluarga HIV juga wujud dalam babi oleh DNAnya dan ia tidak dapat dipisahkan. Ini kerana babi yang mempunyai banyak kuman virus didapati oleh para saintis tidak dapat dipisahkan kerana kuman retrovirus yang dapat menjangkiti manusia dengan mudah dan ia hidup di dalam babi yang dibawa oleh DNAnya. Retrovirus ini adalah daripada keluarga yang sama dari kuman HIV. Kemampuan babi menerima pelbagai jenis virus dan mengubahnya ke bentuk yang baru yang lebih merbahaya memang membimbangkan ramai saintis. Sehubungan dengan ini Professor Malik Peiris, seorang pakar mikrobiologi berkata. “ Jika anda mengambil virus dari manusia dan memasukkannya ke dalam ayam mahupun burung, ia tidak akan merebak. Sebaliknya jika virus ini dimasukkan ke dalam babi ia akan membiak dengan mudah sekali. Oleh itu, lahirlah pandangan yang mengatakan bahawa babi adalah takungan kepada virus daripada manusia dan burung sehingga melahirkan virus baru yang membunuh”. Dalam surah Al-Baqarah ayat 173, Allah SWT berfirman. “Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi. ” (AL-Baqarah:173)

Konklusinya, setiap pengharaman yang dijelaskan dalam Islam begitu besar hikmahnya. Allah SWT yang maha mengetahui tidak akan mengharamkan sesuatu yang memberi manfaat serta kelebihan kepada umatnya. Begitu indahnya Islam yang menjaga umatnya dari aspek pemakanan, dengan pengharaman daging babi dan arak, umat Islam terhindar daripada segala keburukkan serta penyakit yang dibawa oleh dua benda ini. 

MENJAGA KESIHATAN MELALUI BERWUDUK

Di samping mandi wajib, umat Islam juga dituntut supaya melaksanakan wuduk terutamanya bagi bersolat. Cara seseorang berwuduk mestilah mengikut cara yang ditetapkan agama. Tidak boleh bertindak secara sesuka hati. Secara dasarnya, berwuduk bermaksud menyucikan anggota-anggota badan tertentu dengan menggunakan air yang bersih mengikut tatacara yang ditetapkan syariat. Berhubung dengan anggota-anggota badan yang wajib dibasuh dengan air seperti muka, kedua belah tangan hingga siku, sebahagian kepala dan kedua belah kaki hingga ke buku lali. Selain itu, terdapat anggota-anggota yang sunat dibasuh dengan air semasa berwuduk. Dalam sebuah hadis yang sahih, Humran melaporkan, “ Uthman bin Affan meminta supaya (dibawa kepadanya) air bagi mengambil berwuduk, lalu dia pun berwuduk. (mula-mulanya) dia membasuh kedua tapak tangannya tiga kali, kemudian dia berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Kemudian dia membasuh muka tiga kali, membasuh tangan kanannya tiga kali serta tangan kirinya tiga kali. Selepas itu dia berkata(Uthman bin Affan), ”Aku melihat Rasulullah berwuduk seperti wudukku ini”. (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Berwuduk mempunyai rahsianya yang tersendiri terutamanya dari sudut kesihatan. Berwuduk dapat merangsang pusingan Biologi manusia dengan merangsang kawasan-kawasan yang tertentu dikenali sebagai kawasan Aktif Biologi. 

Bangsa China banyak mengkaji tentang ilmu sains refleksologi dan mereka meyakini jika Bahagian Aktif Biologi dirangsang ia akan merangsang sistem saraf dalam badan sekaligus memberi kesan yang positif terhadap kesihatan seseorang. Mengikut ilmu perubatan China, badan manusia mempunyai lebih kurang 700 kawasan Aktif Biologi dan 66 daripadanya memberi kesan positif yang segera sekiranya dirangsang. Daripada 66 ini, 61 daripadanya berada di kawasan wuduk utama orang-orang Islam. Lima lagi berada di kawasan antara buku lali dan lutut iaitu kawasan yang disunatkan berwuduk. Berhubung dengan kawasan yang khursus iaitu antara buku lali dan lutut ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud. ”Sesiapa yang mampu antara kamu maka hendaklah dia memanjangkan ghurrah dan tahjeelnya. ” (Riwayat Muslim). Ghurrah yang bermaksud membasuh muka melebihi kawasan muka yang biasa dan tahjeel bermaksud membasuh tangan melebihi kawasan siku dan membasuh kaki melebihi kawasan buku lali iaitu diantara buku lali dan lutut. Di samping berwuduk merupakan salah satu ibadah dalam Islam, ia juga mengandungi penawar yang mampu mencegah daripada pelbagai penyakit. (Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar terjemahan A. Qadir Hasan, Mu’ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B. A: 1982)

Terdapat kesan positif dan kebaikkan bagi setiap anggota yang dibasuh air untuk berwuduk seperti apabila seseorang menyentuh mukanya semasa berwuduk, ia merangsang saraf bagi memberi kekuatan baru kepada organ-organ seperti usus perut, pundi kencing, dan sistem peranakan serta saraf. Apabila kawasan kaki kanan dibasuh dan digosok, ia merangsang sistem saraf bagi mengelokkan sistem tulang, usus, pankreas, hempedu, tiroid dan kawasan pinggang. 

Apabila kaki kiri dibasuh dan digosok, saraf berperanan untuk mengelokkan kelenjar pituitary dan kawasan otak yang mengawal sistem endokrin. Di samping itu, berwuduk mencegah seseorang daripada mendapat kanser. Hal ini kerana, salah satu punca kanser adalah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang kesan daripada pencemaran yang berlaku pada zaman ini. Pembasuhan badan melalui wuduk membersihkan badan daripada kesan pencemaran ini. Berhubung dengan memasukkan air ke dalam hidung semasa berwuduk, mengikut satu kajian yang dilakukan oleh para  octor dari Universiti Alexandria, perbuatan ini mencuci rongga hidung daripada kuman dan kotoran yang melekat pada bulu hidung. Tambahan daripada itu, perbuatan berkumur semasa berwuduk membersihkan mulut daripada sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi ditambah pula dengan galakkan nabi supaya setiap muslim bersiwak iaitu menggosok gigi semasa berwuduk. Berhubung dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud. “ Jika tidak menyusahkan umatku, akan aku suruh mereka berwuduk setiap kali mereka hendak bersolah dan akan aku suruh mereka bersiwak ketika berwuduk”. (Riwayat Ahmad)

Justeru, berwuduk adalah releven dengan kehidupan manusia pada hari ini. Dimana dunia akhir zaman sekarang yang penuh dengan pencemaran akan tetapi ajaran Islam itu sentiasa memberi impak yang positif dengan mengajar umatnya untuk berwuduk bukan sahaja untuk menyucikan dosa bahkan dapat menjaga kesihatan umatnya. Benarlah Ibnu Qayim al-Jauziyah semasa beliau berkata di dalam At-Tib An-Nabawi. “mandi dan wuduk mendatangkan kesegaran badan dan kesedapan jiwa serta menghilangkan sebarang kotoran yang diperoleh, antaranya, disebabkan jimak. ”( Ibn Qayim Al-Jauziyah: 1978)

BERSOLAT MENYIHATKAN BADAN

Solat mengandungi pelbagai hikmat dan faedah, antaranya, menggugurkan dosa seseorang. Berhubung dengan itu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud. “Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki. ” ( Riwayat Muslim) serta, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku diantara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar. ” ( Riwayat Muslim). Di samping itu, ibadah solat juga membentuk disiplin, sebagai contoh, antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat adalah mengambil wuduk dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulukan didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara. Sekiranya seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebgai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap batal. Latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang berdisplin lagi peka keutamaan sekaligus menjadikannya efisen dalam setiap pekerjaan. Malah solat menjadi penawar kepada stress mengikut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat”. (Riwayat Ahmad)

Solat adalah ibadah yang dilakukan kerana Allah. Namun sekiranya solat dilakukan secara betul dengan penuh khusyuk ia mendatangkan kebaikkan di pelbagai sudut termasuk di sudut kesihatan. Semasa melakukan solat, umat Islam wajib sujud dengan meninggikan punggung dan meletakkan dahi serta kepala mereka ke bumi. 

Mengikut kajian, kedudukan ini, sekiranya dilakukan dari masa ke semasa, ia baik untuk kecergasan otak. Bagi memahami aspek ini kita perlu mengetahui otak manusia menggunakan 25 peratus oksigen yang terdapat dalam badan walaupun beratnya hanya 3 peratus daripada keseluruhan berat badan. Dalam keadaan biasa sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekali gus melawan tekanan  ravity. Semasa sujud, umat Islam meletakkan kepala mereka ke bumi dari dalam keadaan begini jantung berada di kedudukan lebih tinggi daripada kepala sekaligus memudahkan darah turun ke otak dibantu oleh tekanan gravity. Dalam keadaan ini, otak manusia beroperasi 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka di bawah, hasil kajian Peter Russell. Sujud umat Islam yang dilakukan paling kurang 34 kali sehari semalam melalui solat fardhu, merupakan aktiviti yang membalikkan badan dari atas ke bawah secara yang amat sederhana. Ia mampu dilakukan oleh semua  orang, tidak kira tua ataupun muda dan kesannya kepada kesihatan amat berkesan. ( Peter Russell:1979)

Di Malaysia, sekiranya seseorang masuk tidur pada jam 11. 00 malam dan bangun pada jam 5. 30 pagi untuk bertahajud dan bersolat subuh, tidurnya selama enam setengah jam itu sudah termasuk dalam kategori yang menyihatkan. Lebih daripada itu, kajian menunjukkan mereka yang bangun tidur pada waktu yang sama setiap pagi adalah lebih sihat berbanding mereka yang lain. Hal ini disebabkan, mereka yang bangun tidur tanpa mengikut jadual yang sistematik akan menggangu pengeluaran hormone rangsangan yang bernama cortisoldan, gangguan ini menggugat kecergasan mereka. (Walking Up In Time:1998)

Kesimpulannya, Islam mewajibkan serta mendidik umatnya untuk bersolat bukan sahaja untuk mendapatkan pahala bahkan dapat memberi manfaat dari aspek kesihatan juga. Setiap gerakan dalam solat banyak faedahnya jika dikaji secara mendalam. Begitu indahnya rahsia di sebalik solat, bukan sahaja untuk menunjukkan bahawa kita sebagai mukmin sejati dengan bersolat secara tidak langsung solat dapat memberi impak positif kepada kesihatan manusia. 

HIKMAH BERPUASA MENGIKUT ISLAM

Selepas solat, yang merupakan rukun Islam yang kedua, umat Islam diwajibkan melaksanakan rukun Islam yang ketiga, iaitu berpuasa di bulan Ramadan. Berpuasa bermaksud menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Perintah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud. “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelumnya semoga kamu bertakwa. ” (Al-Baqarah:183)

Berpuasa di bulan Ramadan adalah menyihatkan. Sebagai contoh, pada tahun 1984, Dr Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 orang wanita Islam yang berpuasa di bulan Ramadan serta di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas 9 orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa bagi mengenal pasti kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle, stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh Sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. 

Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL(low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL(High density liprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa pada bulan Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekaligus dapat mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. (Dr. Shahid Athar:1993)

Selain itu, secara dasarnya, puasa adalah salah satu proses detoksifikasi yang baik. Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun ataupun toksin. Amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat pada zaman ini adalah apabila seseorang menghidappenyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakit. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan sesuatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa semasa sakit. Puasa adalah penawar, ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikkan dalam badan. Semasa berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit. Puasa juga mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi bagi bertindak, justeru dengan menghindari makanan bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya. (Dr. Cindy Engles:2001)

Natijahnya, puasa yang diwajibkan pada bulan Ramadan dan disunatkan berpuasa pada hari selasa dan khamis serta pada hari tertentu bukanlah untuk membebankan umat Islam bahkan ia memberi kebaikkan kepada kesihatan diri. Islam ini agama yang mudah dan tidak membebankan, sesiapa yang menghidap penyakit yang kronik tidak diwajibkan berpuasa kerana ia akan memberi kemudaratan lagi kepada kesihatan mereka tetapi mereka perlu membayar fidyah untuk menggantikan puasa. Penekanan yang harus dilihat adalah puasa memberi manfaat dari aspek kesihatan dan tidak memudaratkan manusia. 

SIHAT DENGAN MENGIKUTI KHASIAT DIET NABI

Nabi Muhammad mementingkan khasiat dan kualiti dalam aspek pemakanan. Beliau banyak mengambil makanan daripada biji-bijian, sayur-sayuran serta buah-buahan. Sebagai contoh, roti yang paling kerap dimakan diperbuat daripada tepung barli yang tidak diayak. Mengikut Sahl bin Saad, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah memakan roti yang diperbuat daripada tepung putih yang diayak sehingga baginda wafat. ” Beliau ditanya oleh seseorang, “Bagaimana kamu membuat tepung tanpa diayak?” Sahl bin Saad menjawab, “Kami menumbuk barli(sya’ir) kemudian menghembus untuk membuang kulitnya. Kemudian kami menggunakan yang baki untuk memasak dan makan. ” (Riwayat Bukhari)

Barli kaya dengan serat, selenium, fosforus, kuprum, niasin dan mengenes. Serat dalam barli mengeluarkan asid propionic yang menghalang proses pengeluaran kolesterol sekaligus merendahkan kadar kolesterol dalam badan. Pengambilan makanan yang kaya dengan serat seperti barli dapat mencegah seseorang daripada menghidap sakit jantung. Barli juga mengandungi beta glucan yang berfungsi merendahkan aras kolesterol dengan mencantumkan kolesterol kepada asid hempedu (bile acids) untuk dibuang bersama najis. (Archives of Internal Medicine:2003)

Di samping roti yang diperbuat daripada barli kasar. Pada masa-masa tertentu nabi akan memakan roti yang diperbuat daripada gandum asli. Aisyah berkata, “Keluarga nabi tidak pernah kenyang dengan memakan roti gandum dua hari berturut-turut dan (pada hari mereka tidak memperoleh roti) mereka terpaksa memakan tamar. ” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Gandum sempurna adalah berbeza dengan tepung gandum yang telah diproses, kerana gandum sempurna mengandungi kadar protein, serat dan vitamin E yang tinggi. Mengikut satu kajian yang dilakukan ke atas 31, 000 orang, mereka yang memakan roti yang diperbuat daripada biji gandum sempurna menanggung risiko yang rendah menghidap penyakit jantung. (Michael H. Davidson, MD:2007)

Pada masa yang sama, antara makanan yang halal lagi berkhasiat yang perlu diutamakan oleh manusia hari ini adalah madu lebah. Ia mengandungi penawar yang bermanfaat bagi kesihatan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Keluar daripada perut lebah minuman madu yang pelbagai warnanya, dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. ” (An-Nahl:69). Madu lebah adalah nectar yang pekat dan adalah makanan asasi bagi lebah dewasa. Madu lebah yang dicampurkan dengan debunya atau pollen menjadi makanan asas bagi lebah di peringkat larva. Ia mengandungi gula asli glucose dan fruktosa yang mudah dihadamkan. Apabila madu dicampurkan dengan sedikit air, ia menyerap masuk ke dalam masa tujuh minit ke dalam badan dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh otak. (Harun Yahya:1999)

Kesimpulannya, Allah SWT telah menciptakan penawar dan juga penyakit, kedua-dua ini sangat berkait untuk memberi hikmah kepada umatnya. Indahnya Islam dengan adanya contoh ikutan yang boleh memberi bimbingan kepada umat Islam dari zaman ke zaman dengan mengikuti serta mengetahui khasiat diet Rasulullah, umat Islam akan dapat mengekalkan kesihatan mereka. 

PENUTUP

Allah SWT menciptakan bagi manusia seluruh jenis makanan dan minuman di muka bumi ini, namun Allah SWT menghalalkan baginya segala yang baik dan pelbagai rezeki yang membawa manfaat, mengharamkan segala yang membahayakannya berupa makanan dan minuman. 

Saya akan merumuskan isi yang pertama iaitu sihat dalam aspek pemakanan. Dimana Allah SWT telah mengharamkan seperti arak dan daging babi, ini kerana makanan dan minuman tersebut boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan bahkan merosakkan anggota badan manusia. Kesimpulan kedua, mengenai berwuduk dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan. Dengan berwuduk mampu memberi kesan kepada saraf-saraf di anggota-anggota wuduk, lalu ia secara tidak langsung memberi kesan dalaman dalam kesihatan. Seterusnya, bersolat mampu melatih dan membuat dalaman menjadi sihat. Selain itu, umat Islam diajar berpuasa, dengan berpuasa kita dapat memberi rehat kepada usus atau badan daripada memproses makanan yang memberi impak dalam kesihatan. Akhir sekali, dengan mengetahui khasiat diet Rasulullah SAW dan kita dapat mencontohinya dalam kehidupan seharian untuk membekalkan kesihatan yang baik. 

Saya berharap seluruh umat Islam harus bersyukur kerana dilahirkan di dalam agama Islam yang menjaga dan memberikan yang sempurna kepada umatnya, diberi contoh teladan seperti Rasulullah SAW serta diberi Al Quran dan hadis sebagai rujukan. 

RUJUKAN

Dr. Ahmad Shauqi Ibrahim (2012). Hidup Sihat dengan Keajaiban Al Quran, Selangor: Pustaka Ibnu Katsir SDN. BHD. 

Abu Umar Basyir (2014). Nabiku Doktorku, Selangor: Pustaka Ibnu Katsir SDN. BHD. 

Dr. Zainal Abidin (2012). Quran Saintifik, Selangor: PTS Mellennia SDN. BHD. 

Ustaz Sharhan Safie (2014). Aku Sakit Dia Penyembuh, Kelantan: Al-Ruqyah Thobibi. 

Mukhlas Asy-Syarkani Al-Falahi (2013). Allah Doktorku, Kuala Lumpur: Telaga Biru SDN. BHD. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com